Isnin, 16 November 2020

Armenia serah wilayah pertikaian, penduduk bakar rumah sebelum ditinggalkan


STEPANAKERT - Perjanjian damai akhirnya dicapai. Armenia mula menyerahkan wilayah yang menjadi pertikaian kepada Azerbaijan, bermula semalam.


Beberapa hari lepas, Presiden Russia, Vladimir Putin, menjemput kedua-dua Menteri Luar Armenia dan Azerbaijan ke Moscow untuk rundingan damai. Putin sekali gus menegaskan, pertempuran di Nagorno-Karabakh harus dihentikan atas sebab kemanusiaan.


Jemputan beliau itu menyusul selepas tiada tanda akan berakhirnya pertempuran yang telah berlarutan hampir dua minggu antara puak pemisah Armenia dengan Azerbaijan yang mengorbankan ratusan nyawa, setakat ini.


Ia adalah sebahagian daripada perjanjian damai yang mengakhiri pertempuran sengit selama enam minggu berhubung kemelut Nagorno-Karabakh.


Penduduk di daerah Kalbajar, Azerbaijan yang dikawal puak pemisah Armenia selama berdekad-dekad, mula meninggalkan wilayah itu secara beramai-ramai.


Tinjauan wartawan AFP mendapati penduduk terbabit memuatkan perabot dan peralatan dapur ke dalam kenderaan sebelum berangkat ke Armenia. Kepulan asap tebal pula dilihat menyelubungi lembah berdekatan kampung Charektar selepas penduduk membakar kediaman mereka.


Mereka memilih untuk meninggalkan kawasan itu dalam keadaan musnah dengan kediaman yang tidak dapat dihuni oleh orang Azerbaijan. Malah, sebilangan penduduk daripada etnik Armenia memaklumkan, mereka turut menggali semula kubur kerana bimbang ia akan diganggu pihak Azerbaijan. 


Antara kandungan utama dalam perjanjian damai yang dimeterai ialah Armenia memulangkan Kalbajar, selain daerah Aghdam menjelang 20 November ini dan Lachin menjelang 1 Disember depan. Daerah terbabit dikuasai Armenia sejak peperangan pada 1990-an.


Dalam pada itu, pasukan pengaman Rusia sudahpun ditempatkan di Nagorno-Karabakh, minggu ini.


EmoticonEmoticon