Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Ahad, 1 November 2020

Pemimpin PN, Presiden UMNO dan PAS berkumpul untuk mesyuarat di Hilton KL

Pemimpin PN, Presiden UMNO dan PAS berkumpul untuk mesyuarat di Hilton KL


Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mula tiba di Hotel Hilton Kuala Lumpur tengah hari ini (01/11/2020) untuk menghadiri mesyuarat praparlimen.


Antara tiba ialah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dilihat memasuki hotel berkenaan kira-kira jam 12.20 tengah hari. Sebelum itu beberapa pemimpin lain lebih awal sampai.


Mereka ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Lain-lain ialah Presiden Parti Bersatu Sabah, Maximus Ongkili; Presiden MCA, Wee Ka Siong; dan Presiden MIC, S Vigneswaran.


Mesyuarat hari ini dianggap penting kerana sidang Dewan Rakyat akan bermula esok dan bakal menyaksikan Belanjawan 2021 dibentangkan pada Jumaat ini.


Ia kemudian akan dibahas dalam kalangan 221 ahli parlimen sebelum ia terbuka untuk undian, sama ada akan diluluskan atau ditolak.


Secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi namun salah seorang daripadanya kosong ekoran kematian wakil Batu Sapi, Liew Vui Keong, baru-baru ini.


Untuk rekod kerajaan PN pimpinan Muhyiddin kini bergantung kepada sokongan majoriti sangat tipis berdasarkan situasi pada Mei lalu.


Namun kedudukan itu kini diragui baru-baru ini ekoran perkembangan semasa politik dalam negara.

Sabtu, 31 Oktober 2020

'Jangan putar belit kenyataan PM' - Jeffrey

'Jangan putar belit kenyataan PM' - Jeffrey


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, membidas dakwaan pembangkang yang mengaitkan cadangan pemutihan pendatang tanpa izin (PTI) sebagai satu cara membenarkan golongan itu terus berada di Sabah.


Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu, berkata cadangan disuarakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu lebih merujuk kepada situasi di Semenanjung dan bukannya di Sabah.


Jeffrey turut menegaskan kebenaran sementara yang dicadang diberikan kepada PTI itu berbeza dengan cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) dipertahankan Parti Warisan Sabah (WARISAN) awal tahun ini untuk menangani kehadiran golongan itu di Sabah.


"Perdana Menteri hanya merujuk kepada situasi di Semenanjung. Pas sementara itu berbeza dengan kad sementara di Sabah atau PSS yang dipertahankan WARISAN dengan bersungguh-sungguh pada awal tahun ini.


"Cadangan Perdana Menteri itu adalah untuk memberi kebenaran kepada PTI sedia ada di Malaysia bekerja di ladang getah dan kelapa sawit secara sementara selama setahun dua sebelum digantikan oleh pekerja sah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap tuduhan tidak berasas melalui laman sosial yang menyindir kononnya kerajaan Pusat akan memberikan pas khas untuk PTI di Sabah.


Ia berkaitan cadangan Muhyiddin semalam mengenai pemutihan PTI dengan membenarkan mereka yang tiada permit dan terperangkap di negara ini bekerja dalam sektor pertanian kelapa sawit dan getah bagi tempoh masa tertentu.


Cadangan itu mengambil kira masalah kekurangan pekerja yang dialami pengusaha ladang kelapa sawit dan getah ketika pandemik COVID-19 di negara ini.


Muhyiddin berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang cadangan menjalankan pemutihan selain pemberian pas sementara kepada pekerja asing yang berada di Malaysia akibat penutupan sempadan untuk bekerja dalam tempoh satu atau dua tahun.


Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, berkata Sabah mempunyai dasar buruh dan imigresen tersendiri yang mana kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan.


"Di Sabah, situasinya berbeza kerana kadar pengangguran yang tinggi. Pemberian pas kerja khas kepada pendatang tanpa izin sama seperti mencuri peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah sendiri.


"Kerajaan Sabah yang baharu tidak boleh mengulangi kesalahan WARISAN. Rakyat Sabah melaungkan suara mereka dengan lantang dan jelas bahawa mereka tidak akan bertolak-ansur dengan perkara karut seperti itu," katanya.


Jeffrey menasihati pembangkang untuk menggunakan masa ini dengan lebih baik dan mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk berhenti bermain politik.


"Ini adalah masa yang amat getir terutama di Sabah dengan jumlah jangkitan COVID-19 belum menunjukkan penurunan positif.


"Daripada memutarbelitkan setiap perkataan yang keluar dari mulut pemimpin kerajaan, mereka seharusnya menyumbangkan idea untuk bersama memerangi pandemik ini," katanya.