Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan

Ahad, 5 September 2021

Nampak UFO Setiap Kali Melakukan Penerbangan Dakwa Juruterbang Tentera Laut AS

Nampak UFO Setiap Kali Melakukan Penerbangan Dakwa Juruterbang Tentera Laut AS


Kisah objek tidak dikenali (UFO) bukan baru. Sudah terlalu banyak teori dan penemuan yang dikaitkan kewujudan makhluk asing ini. Biarpun banyak gambar dan saksi-saksi yang mengaku berpeluang melihatnya, namun misteri tentang UFO masih tidak jelas.


Menurut laporan Daily Star pada 3 September 2021, seorang juruterbang tentera laut Amerika Syarikat (AS) mengakui melihat UFO terbang di ruang udara setiap kali dia melakukan penerbangan.


Ryan Graves menggambarkan kesemua UFO yang dilihatnya sebagai fenomena udara tidak dikenali (UAP) dan mendakwa boleh mencetuskan ancaman keselamatan. Dia membuat kenyataan itu beberapa minggu selepas Pentagon mendedahkan laporan mengenai penampakan UFO.


Laporan itu memaklumkan, tiada tanda-tanda kehidupan makhluk asing dikenal pasti dan menegaskan penampakan sejumlah UFO sebelum ini tidak dapat dijelaskan. Namun, Graves memberitahu, kesemua UAP yang dilihatnya sejak 2014 lalu adalah sukar untuk dipalsukan.


"UAP itu mungkin boleh jadi jet tentera dari negara lain yang kita tidak ketahui, maka keadaan tersebut secara tidak langsung boleh mengancam keselamatan. Adalah sukar untuk menyatakan semua penampakan UAP itu, lebih-lebih lagi jika anda melihatnya hampir setiap hari," katanya.


Sementara itu, pakar berpendapat kebanyakan kes penampakan UAP adalah melibatkan pesawat fizikal kerana boleh dikesan menerusi pelbagai sistem termasuk inframerah dan radar. Kerajaan AS menerusi satu lagi laporan turut menyatakan ratusan penampakan UFO dikesan antara 2004 hingga 2021.


AS mempunyai sejarah yang panjang tentang pesawat misteri ini, termasuk penemuan serpihan logam aneh pada tahun 1947 di Roswell, New Mexico. Laporan berita kemudian menyebutnya 'piring terbang', tetapi tentera AS mendakwa ia adalah belon cuaca yang jatuh.


Ryan Graves mengatakan UAP menimbulkan ancaman kepada keselamatan. - Foto Fox 8 News.

Ahad, 29 Ogos 2021

Saintis Yakin Hidupan Makhluk Asing Di Planet K2-18b Mungkin Ditemui Dalam 3 Tahun Lagi

Saintis Yakin Hidupan Makhluk Asing Di Planet K2-18b Mungkin Ditemui Dalam 3 Tahun Lagi


Sekumpulan saintis meramalkan akan berjaya membuktikan kewujudan makhluk asing dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang. Hal ini berdasarkan penemuan gugusan planet baharu yang berpotensi dapat didiami, lapor Daily Star 26 Ogos 2021.


Ahli astronomi dari Universiti Cambridge, England melihat gugusan planet yang dipanggil hycean dan terletak dalam Galaksi Bima Sakti dan mengandaikan bahawa satu daripadanya mungkin mempunyai keadaan yang sesuai untuk dihuni makhluk asing.


Planet yang dikenali sebagai 'Neptuna mini' K2-18b itu dilitupi lautan serta mempunyai tahap haba dan hidrogen yang mencukupi untuk menampung kehidupan. Namun, selepas mendapati kadar metana dan amonia serta tanda-tanda wap air, saintis yakin planet K2-18 b itu menyimpan rahsia semesta.


'Neptuna mini' terletak 124 tahun cahaya dari Bumi dan memiliki saiz sehingga lapan kali ganda lebih besar berbanding Bumi, namun memiliki jarak yang cukup jauh daripada bintang paling hampir dengannya yang membolehkan ia mengekalkan kehidupan pintar.



Saintis, Dr. Nikku Madhusudhan dari Universiti Cambridge berkata, planet itu dapat membuka jalan baharu dalam mencari kehidupan di tempat lain. Jelasnya, pasukan penyelidik Britain berusaha mencari 'biosignature' pada molekul yang menjadi bukti kehidupan tersebut.


"Kami memfokuskan kepada planet yang menyerupai bumi kerana tempat paling sesuai untuk dimulakan pencarian. Jadi, planet Hycean menawarkan peluang yang lebih baik untuk mengesan beberapa jejak kehidupan.


"Ini akan mengubah pemahaman kita tentang kehidupan alam semesta. Kita harus bersikap terbuka dalam mencari makna kehidupan kerana alam akan terus mengejutkan kita dengan cara yang sering tidak dapat dibayangkan.


"Kami mengatakan bahawa dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, kami akan mengesan biopenunjuk pertama sekiranya planet ini dihuni sesuatu yang hidup," katanya.


Penemuan itu secara besar-besaran dapat meningkatkan kemungkinan kehidupan berkembang di tempat lain dan boleh tersebar luas. Para saintis berharap dapat mencari makhluk asing itu dengan Teleskop Angkasa James Webb yang akan dilancarkan akhir tahun ini.


Beliau bagaimanapun berkata, perlu mendapatkan lebih banyak maklumat sebelum benar-benar yakin bahawa terdapat makhluk lain yang sama-sama menghuni semesta.


Gambar ilustrasi planet 'Neptuna mini' yang terletak 124 tahun cahaya dari Bumi. - Foto Getty Images.

Pusat Kajian Alien di Hiko, Nevada, AS. Foto AFP.

Isnin, 23 Ogos 2021

Dakwa Lihat UFO, Seorang Model Tidak Dapat Tidur 3 Hari Sebab Seronok

Dakwa Lihat UFO, Seorang Model Tidak Dapat Tidur 3 Hari Sebab Seronok


Seorang model dari Argentina, Nicole Neumann membuat pengakuan kontroversi mendakwa tidak dapat tidur selama tiga hari kerana begitu teruja gara-gara ternampak objek terbang tidak dikenali (UFO).


Memetik laporan Detikcom pada 20 Ogos 2021, Nicole berkongsi pengalamannya melihat UFO waktu tampil dalam satu program televisyen di negara berkenaan.


Menurut Nicole, kejadian itu berlaku sekitar tahun lalu ketika dia melancong bersama anak dan rakan-rakannya. 


"Kami sedang memasak pada satu malam dan pemilik vila datang serta bertanya pada kami sama ada pernah melihat UFO atau tidak.


"Pemilik vila itu bertanya kepada kami, 'Apakah anda ingin melihatnya?' Kami keluar dari rumah dan UFO ada di belakang rumah," katanya.


Tambah Nicole, dia yakin bahawa objek yang dilihatnya ketika itu adalah UFO dan bukannya dron atau pesawat.


Nicole turut mendakwa melihat objek itu secara jelas kerana UFO itu tidak terbang terlalu tinggi. Kata model itu lagi, pemilik vila juga mendakwa melihat kelibat UFO beberapa kali.


"Kami menaiki kereta dan mengikuti UFO itu terbang hingga sampai hujung ladang tanaman. Dari situ, UFO itu terbang di sebalik pokok. Terdapat pagar di depan sehingga kami tidak dapat mengikuti lebih jauh," kata Nicole.


Bukan hanya Nicole dan pemilik vila yang melihatnya, pengawal keselamatan dan orang-orang di ladang juga memberikan pengakuan yang sama dan percaya bahawa objek itu adalah UFO.


Nicole mengatakan bahawa kejadian itu adalah pengalaman pertamanya melihat 'bebenang terbang'. Dakwa Nicole, pengalaman melihat UFO adalah sesuatu yang sukar digambarkan.


"Anda tidak dapat membayangkan sensasinya yang tidak dapat digambarkan, saya tidak dapat tidur selama tiga hari kerana saya beremosi," kata model itu.


Nicole Neumann melihat UFO waktu dia melancong bersama anak dan rakan-rakannya.

Ahad, 22 Ogos 2021

Kesan Imej UFO 'Terhempas' Di Pulau Tidak Berpenghuni, Dakwa Pengguna Google Earth

Kesan Imej UFO 'Terhempas' Di Pulau Tidak Berpenghuni, Dakwa Pengguna Google Earth


Seorang pengguna laman sosial Reddit mendakwa bahawa dia mengesan imej objek terbang tidak dikenali (UFO) mendarat di sebuah pulau tidak berpenghuni di tengah lautan, lapor akhbar Daily Star pada 14 Ogos 2021.


Pengguna akaun itu memuat naik imej saiz besar objek berbentuk aneh terdampar di Pulau Starbuck yang merupakan sebahagian daripada negara Kiribati. Pulau Starbuck berada di barat daya lautan Pasifik yang terletak 3,200 kilometer di selatan Hawaii.


"UFO terhempas di Pulau Starbuck! Imej Google Earth ini menunjukkan terdapat corak laluan di belakang objek tersebut yang menunjukkan ia bergerak pada kelajuan tinggi," tulisnya pada kapsyen gambar tersebut.


Imej itu menerima pelbagai komen daripada pengguna yang membuat spekulasi mengenai bagaimana objek tersebut boleh berada di situ.



"Saya tidak tahu apakah objek itu atau adakah ia UFO? Bagaimanapun, ia amat hebat," tulis seorang pengguna.


Terdapat juga pengguna yang tidak mempercayai dakwaan tersebut dan berkata, imej yang dilihat berbentuk seperti bot yang mempunyai corak laluan pasir pada bahagian belakangnya, berkemungkinan ditarik oleh seseorang.


Ada juga yang mengatakan bahawa jika benar ia adalah UFO, sebab apa ditinggalkan di situ sejak sekian lama? Pulau Starbuck terkenal dengan lokasinya yang sangat terpencil dan bangkai kapal yang banyak terdapat di sana.


Gambar ini pernah tular beberapa tahun lalu menunjukkan sebuah objek misteri di pulau Starbuck.

Imej yang didakwa merupakan UFO yang terdampar di tepi pantai. - Foto Reddit.

Rabu, 18 Ogos 2021

Penemuan 'Titik Hijau' Di Padang Pasir Dipercayai Laluan Ke Dunia Makhluk Asing

Penemuan 'Titik Hijau' Di Padang Pasir Dipercayai Laluan Ke Dunia Makhluk Asing


Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak penemuan 'aneh' yang dilaporkan dikaitkan dengan makhluk asing. Malah, ada individu yang mendakwa pernah melakukan hubungan seksual dengan makhluk tersebut.


Memetik laporan Daily Star pada 13 Ogos 2021, pengguna internet percaya mereka telah menjumpai satu laluan ke planet makhluk asing menerusi peta Google. Penemuan itu dibuat oleh seorang peminat peta Google yang menemui satu 'titik hijau' di tengah-tengah sebuah padang pasir di Peru.


Titik itu muncul berdekatan tapak arkeologi Garisan Nazca yang merupakan geoglif pra Columbia yang terukir di padang pasir dan menempatkan koleksi 300 figura berbeza termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan bertarikh antara 500 Sebelum Masihi (SM) dan 500 Anno Domini (AD).


Pengarang dari Switzerland, Erich von Daniken dalam bukunya bertajuk Chariots of God menulis Garisan Nazca merupakan landasan lapangan terbang kuno yang digunakan oleh kapal angkasa makhluk asing. Sebab itu, pengguna internet menganggap titik itu ada kaitan dengan kewujudan makhluk asing.


"Peru juga mempunyai piramid kuno dan mungkin makhluk asing sama yang membina piramid di Mesir," tulis seorang pengguna internet. Baca juga: Ramai mengaku pernah jalin hubungan seksual dengan Alien.


"Tahniah, manusia. Anda telah menjumpai laluan ke dunia kami," tulis seorang lagi. Seorang pengguna lain bagaimanapun memberi penjelasan lain berkenaan titik hijau itu.


"Mungkin seseorang sedang menyalakan laser hijau yang terang ke arah pesawat yang merakam imej itu. Namun, mustahil untuk seseorang berbuat begitu di padang pasir tersebut. 


"Satu lagi kemungkinan adalah terdapat sesuatu yang memancar di bawah itu memantulkan matahari kepada kamera," katanya.


Penemuan itu bukan penemuan pertama di peta Google yang disangka sebagai makhluk asing oleh pengguna aplikasi itu. Baca juga: Teori Kewujudan Beratus Lukisan Aneh 'Gergasi' Di Gurun Nazca, Dikaitkan Dengan Makhluk Asing.


Arkeologi Garisan Nazca yang merupakan geoglif pra Columbia yang terukir di padang pasir. - Foto Google.

Titik hijau misteri yang dikesan di sebuah padang pasir di Peru. - Foto Reddit.

Ahad, 1 Ogos 2021

Koleksi Ikan Pelik Dengan Wajah Mengerikan Seakan 'Makhluk Asing' Ditangkap Di Laut Barents

Koleksi Ikan Pelik Dengan Wajah Mengerikan Seakan 'Makhluk Asing' Ditangkap Di Laut Barents


Seorang nelayan Rusia berjaya menangkap sejumlah hidupan laut yang kelihatan pelik seakan 'makhluk asing' di Laut Barents sebelum dia berkongsi gambar tersebut di media sosial baru-baru ini, lapor Daily Mail pada 22 Julai 2021.


Roman Fedortsov, 39, telah menemui pelbagai hidupan laut yang kelihatan pelik. Dia sangat kagum dengan beberapa makhluk yang ditangkapnya itu sehingga dia mula memotret, dan telah menjadi sensasi di dalam internet.


Katanya, terdapat ribuan misteri di dalam laut tersebut yang perlu diteroka. Kadang-kadang ikan dan lain-lain material yang ditemui di dalam laut tersebut mengejutkan orang ramai.


Roman, berjaya menangkap satu koleksi ikan yang pelik itu kadang-kadang pada kedalaman lebih 1,000 meter. Dia merasa teruja dengan hasil tangkapan ikan-ikan yang kelihatan seperti makhluk asing yang mirip dalam televisyen.


Nelayan itu banyak menghabiskan masa menangkap ikan di Laut Barents iaitu di pantai utara Rusia. Namun, dia juga pergi ke tempat lain di dunia seperti Lautan Atlantik untuk menangkap ikan. Berikut merupakan antara koleksi makhluk pelik yang ditemui di dalam lautan.


Separuh daripada badan ikan ini tidak bersisik. Warna seperti kulit dibezakan dengan sisik berwarna hijau-coklat gelap yang terlihat di sebelah kanan, yang juga memiliki bintik-bintik merah dan oren. - Foto Roman Fedortsov.

Antara ikan pelik yang ditangkap oleh seorang nelayan Rusia di Laut Barents utara Rusia baru-baru ini. - Foto Roman Fedortsov.

Seekor ikan laut yang besar berjaya dinaikkan, merupakan salah satu tangkapan yang lebih besar menggunakan pukat tundu. - Foto Roman Fedortsov.

(Puffer fish) Ikan beracun ini adalah salah satu spesies makhluk laut yang membengkak hingga kelihatan pelik. Empat gigi besar itu digunakan untuk menghancurkan mangsanya. - Foto Roman Fedortsov.

Ikan hijau zamrud ini adalah salah satu makhluk laut yang ditangkap oleh nelayan Roman Fedortsov di utara Rusia. - Foto Roman Fedortsov.

Makhluk bersisik ini sangat kecil untuk dipegang dan hanya diletakkan di tangan kiri seseorang. Mata ikan ini seakan manik biru dan sisiknya berwarna hijau. - Foto Roman Fedortsov.

Makhluk laut ini ditangkap sejurus selepas memakan hidupan laut lain yang jauh lebih kecil dan tidak sempat menelannya. Ia juga merupakan tangkapan yang jarang berlaku bagi nelayan. - Foto Roman Fedortsov.

Seekor lagi ikan pemangsa bermata besar yang terperangkap dalam jaring pukat berjaya dinaikkan. - Foto Roman Fedortsov.

Seakan makhluk asing-ikan pelik ini ditangkap oleh Ronan Fedortov, di Laut Barents utara Rusia. - Foto Roman Fedortsov.

(Anglerfish) Makhluk laut ini kelihatan hitam berkilat dengan tompok biru di badannya dan gigi tajam. - Foto Roman Fedortsov.

Ikan ini dengan kepala memanjang kelihatan seperti makhluk asaing yang mirip dalam televisyen. - Foto Roman Fedortsov.

Jumaat, 23 Julai 2021

Pada Mei 2022, Makhluk Asing Mendarat Di Bumi Dakwa Seorang Pengguna TikTok

Pada Mei 2022, Makhluk Asing Mendarat Di Bumi Dakwa Seorang Pengguna TikTok


Tidak dinafikan, kewujudan makhluk asing masih menjadi tanda tanya orang ramai sehingga hari ini. Satu kaji selidik di Britain mendedahkan bahawa satu pertiga rakyat negara itu percaya makhluk asing itu wujud.


Kebiasaannya, makhluk asing hanya digambarkan mengikut wajah hodoh dan imaginasi pengkarya filem dan drama sahaja. Jika makhluk asing ini memang wujud, bagaimana sebenarnya wajah mereka?


Baru-baru ini seorang pengguna media sosial yang mendakwa dirinya pengembara masa, meramalkan bahawa makhluk asing setinggi 213 sentimeter (kira-kira 7 kaki) bakal mendarat di Bumi, pada Mei tahun depan.


Menurut lapor akhbar The Sun semalam, pengguna TikTok yang menggunakan akaun @Futuretimetraveller itu berkata, tarikh sebenar ketibaan makhluk asing itu adalah pada 24 Mei 2022.


"Berdasarkan masa saya, terdapat banyak makhluk asing daripada pelbagai jenis akan hidup di sini sebagai penduduk Bumi pada masa depan," katanya.


Individu yang mendakwa dirinya datang dari masa depan itu turut menamakan kumpulan makhluk asing itu sebagai 'Nirons' yang akan tiba secara aman.


"Amerika Syarikat (AS) akan menyerang makhluk asing tersebut serta memulakan 'perang antara dimensi'," ujarnya.


Video yang dimuat naik itu dikongsi lebih 90,000 kali dan menerima lebih daripada 2,300 tanda suka setakat ini. Seorang pengguna turut mengomen berkata, dakwaan luar biasa memerlukan bukti yang luar biasa.