Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan

Rabu, 2 Jun 2021

'Hanya latihan penerbangan biasa' China patuh undang-undang antarabangsa, tak ceroboh ruang udara Malaysia

'Hanya latihan penerbangan biasa' China patuh undang-undang antarabangsa, tak ceroboh ruang udara Malaysia


Malaysia baru sahaja dikejutkan dengan berita kejadian pencerobohan 16 pesawat asing dari China di ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu, Sabah, semalam. 16 pesawat China terbabit dipercayai merupakan pesawat tentera udara China.


Kehadiran mereka yang langsung tidak diundang itu menimbulkan pelbagai spekulasi serta kebimbangan awam. Kementerian Luar Negeri mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada China ekoran pencerobohan 16 pesawat tentera negara itu di ruang udara Zon Maritim Malaysia.


Kedutaan Besar China di Malaysia kemudian memberi penjelasan mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada Isnin sebagai latihan penerbangan biasa.



Jurucakap kedutan itu berkata, kesemua 16 pesawat Tentera Udara China (PLAAF) tersebut tidak langsung menyasarkan mana-mana negara. Menurut undang-undang antarabangsa, kapal terbang tentera China itu hanya menikmati kebebasan penerbangan di ruang udara berkenaan.


"China dan Malaysia adalah negara jiran yang baik dan China bersedia meneruskan hubungan dua hala dengan Malaysia bagi bersama-sama mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.


"Malah, sepanjang latihan tersebut, pesawat tentera China itu mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkaitan dan tidak memasuki ruang udara wilayah mana-mana negara lain," katanya.


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang terbang pada ketinggian 23,000 dan 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots


Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi. China ketika ini semakin agresif meluaskan 'jajahannya' di wilayah perairan yang dituntut di Laut China Selatan.


Malahan, pasukan pengawal pantai China sering memberi amaran kepada mana-mana bot atau kapal yang melalui kawasan tersebut. Sumber: Berita HarianAstro Awani


Baca juga: 16 pesawat PLAFF China masuk Zon Maritim Malaysia, berhampiran Kota Kinabalu

Selasa, 1 Jun 2021

16 pesawat PLAFF China masuk Zon Maritim Malaysia, berhampiran Kota Kinabalu

16 pesawat PLAFF China masuk Zon Maritim Malaysia, berhampiran Kota Kinabalu


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional, semalam.


Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.


Menurutnya, pesawat itu dikesan terbang secara formasi taktikal 'in-trail' pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.


Dalam kenyataan itu, pesawat-pesawat itu kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara.



Ackbal berkata, pesawat itu dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR.


Pesawat itu seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.


"Pihak TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.


"Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat itu di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR," katanya.


Beliau berkata, apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.


"Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM mengenalpasti pesawat itu adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat jenis ini adalah pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi," katanya.



Menurut Ackbal, insiden ini adalah perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR.


"Insiden ini dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).


"Kementerian Luar Negeri sudah mengambil maklum mengenai perkara ini melalui Kementerian Pertahanan," katanya. Sumber: Harian Metro


Antara 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional, semalam.

Ahad, 22 November 2020

Serah Wilayah, Kehidupan kembali normal di Nagorno-Karabakh

Serah Wilayah, Kehidupan kembali normal di Nagorno-Karabakh


NAGORNO-KARABAKH - Kehidupan kembali normal di Stepanakert, ibu kota Nagorno-Karabakh, setelah gencatan senjata mengakhiri konflik berminggu-minggu antara Armenia dan Azerbaijan berhubung wilayah yang dipertikaikan.


Menteri Pertahanan Rusia Sergey Shoigu berkata, kira-kira 7,000 pelarian kembali ke Nagorno-Karabakh, penjual daging dan penjual sayur dilihat sudah kembali memulakan perniagaan mereka, dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Armenia, di Yerevan, ibu negara Armenia, sabtu lalu.


Pasukan pengaman Rusia dikerahkan ke Nagorno-Karabakh setelah perjanjian gencatan senjata ditandatangani antara Armenia dan Azerbaijan bagi mengakhiri pertempuran selama enam minggu ke atas wilayah pemisah.


Antara kandungan utama dalam perjanjian damai yang dimeterai ialah Armenia memulangkan Kalbajar, selain daerah Aghdam menjelang 20 November ini dan Lachin menjelang 1 Disember. Daerah terbabit dikuasai Armenia sejak peperangan pada 1990-an.


Pada Selasa, pengaman Rusia membuka sebatang lebuh raya melalui koridor Lachin yang menghubungkan Nagorno-Karabakh dengan Armenia.


Terdahulu, perjanjian oleh Moscow itu dibuat selepas beberapa kejayaan Azerbaijan dalam pertempuran untuk merampas kawasan yang didiami etnik Armenia.


Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan Presiden Russia, Vladimir Putin mengumumkan perjanjian damai itu minggu lepas (10 November 2020).


Pashinyan menyifatkan perjanjian itu sebagai 'amat menyakitkan untuknya dan rakyatnya', manakala Aliyev mengumpamakannya sebagai 'penyerahan' oleh Armenia. Kandungan perjanjian itu dilihat lebih berpihak kepada Azerbaijan.


Pasukan pengaman Russia terdiri daripada 1,960 anggota tentera dan pegawai serta 90 kenderaan berperisai telah dikerahkan ke wilayah itu sebagai pasukan pengaman untuk tempoh lima tahun, yang boleh dilanjutkan.


Aliyev berkata, Turki akan turut terbabit dalam usaha damai itu, sekutu Azerbaijan, yang merupakan anggota NATO.


Berkaitan: Armenia serah wilayah pertikaian, penduduk bakar rumah sebelum ditinggalkan

Isnin, 16 November 2020

Armenia serah wilayah pertikaian, penduduk bakar rumah sebelum ditinggalkan

Armenia serah wilayah pertikaian, penduduk bakar rumah sebelum ditinggalkan


STEPANAKERT - Perjanjian damai akhirnya dicapai. Armenia mula menyerahkan wilayah yang menjadi pertikaian kepada Azerbaijan, bermula semalam.


Beberapa hari lepas, Presiden Russia, Vladimir Putin, menjemput kedua-dua Menteri Luar Armenia dan Azerbaijan ke Moscow untuk rundingan damai. Putin sekali gus menegaskan, pertempuran di Nagorno-Karabakh harus dihentikan atas sebab kemanusiaan.


Jemputan beliau itu menyusul selepas tiada tanda akan berakhirnya pertempuran yang telah berlarutan hampir dua minggu antara puak pemisah Armenia dengan Azerbaijan yang mengorbankan ratusan nyawa, setakat ini.


Ia adalah sebahagian daripada perjanjian damai yang mengakhiri pertempuran sengit selama enam minggu berhubung kemelut Nagorno-Karabakh.


Penduduk di daerah Kalbajar, Azerbaijan yang dikawal puak pemisah Armenia selama berdekad-dekad, mula meninggalkan wilayah itu secara beramai-ramai.


Tinjauan wartawan AFP mendapati penduduk terbabit memuatkan perabot dan peralatan dapur ke dalam kenderaan sebelum berangkat ke Armenia. Kepulan asap tebal pula dilihat menyelubungi lembah berdekatan kampung Charektar selepas penduduk membakar kediaman mereka.


Mereka memilih untuk meninggalkan kawasan itu dalam keadaan musnah dengan kediaman yang tidak dapat dihuni oleh orang Azerbaijan. Malah, sebilangan penduduk daripada etnik Armenia memaklumkan, mereka turut menggali semula kubur kerana bimbang ia akan diganggu pihak Azerbaijan. 


Antara kandungan utama dalam perjanjian damai yang dimeterai ialah Armenia memulangkan Kalbajar, selain daerah Aghdam menjelang 20 November ini dan Lachin menjelang 1 Disember depan. Daerah terbabit dikuasai Armenia sejak peperangan pada 1990-an.


Dalam pada itu, pasukan pengaman Rusia sudahpun ditempatkan di Nagorno-Karabakh, minggu ini.