Ahad, 12 April 2026

Stok habis punca pam diesel 'keluar angin' - KPDN


Ketiadaan sistem pengesan isipadu automatik atau 'automatic cut-off' di sebuah stesen minyak di Jalan Segambut, Kuala Lumpur dikenal pasti menjadi punca insiden meter pam terus merekodkan bayaran meskipun bekalan diesel telah habis semasa pengisian.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, perkara itu disahkan selepas siasatan dijalankan susulan video tular di media sosial.


"Stesen minyak tersebut bergantung kepada kaedah pemeriksaan manual (manual dipping).


"Semakan turut mengesahkan bahawa jumlah sebenar diesel yang diisi adalah sebanyak RM232.07 dan pihak stesen telah mengambil tindakan segera dengan memulangkan semula bayaran penuh kepada pelanggan yang terlibat, Khamis lalu.


"Pihak pengadu telah bersetuju dengan penyelesaian tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Menurut Fuziah, pemeriksaan teknikal yang dijalankan mendapati semua pam minyak di premis berkenaan masih berada dalam tempoh tentusah yang sah dan ujian menggunakan Sukat Isipadu Cecair (SIC) 20 liter menunjukkan bacaan sukatan berada dalam had selisih yang dibenarkan.


Tambah beliau, semakan ke atas lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 mendapati Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) dan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act, PDA) stesen berkenaan adalah sah dan masih berkuat kuasa.


"Bagaimanapun, pihak stesen telah diberikan amaran keras agar memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan perundangan serta meningkatkan pemantauan operasi bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.


"KPDN ingin menegaskan bahawa kejadian ini bersifat terpencil dan tidak mencerminkan keadaan keseluruhan sistem bekalan bahan api yang kekal stabil dan terkawal," ujarnya lagi.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon