Rabu, 6 Disember 2023

Takut diceraikan oleh isterinya, seorang lelaki nekad curi motosikal untuk penuhi keinginan isteri


Gara-gara bimbang ditinggalkan isteri, seorang lelaki dari Kunir, wilayah Jawa Timur sanggup mencuri sebuah motosikal bagi memastikan dia dapat memenuhi keinginan wanita itu, lapor laman berita Warta Bromo pada 1 Disember lepas.


Kisah Yoyok Adi, 37, penduduk Kampung Kunir Lor melarikan sebuah motosikal bersama konconya Yusuf, 35, penduduk Kampung Karanglo, Daerah Kunir, tular di media sosial.


Mereka menyamar sebagai penghibur jalanan atau busker sebelum melarikan motosikal automatik yang diketahui milik Angga, penduduk Kampung Selok Awar-Awar, yang diletakkan di tepi jalan.


Aksi mereka bagaimanapun dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum polis berjaya mengesan dan menahan kedua-dua pelaku.


Selepas disoal siasat, Yoyok mengaku bahawa isterinya mengugut untuk diceraikan jika dia gagal memberikannya sebuah motosikal dalam masa tiga hari.


"Isteri saya mengugut dengan meminta cerai. Disebabkan saya tidak memiliki motosikal selama ini, dia berlaku curang dengan lelaki lain kerana saya seorang yang tidak berharta," ujarnya.


Disebabkan takut kehilangan wanita itu, Yoyok nekad mencuri motosikal dengan bantuan Yusuf.


Polis Kasatreskrim Lumajang, AKP Achmad Rochim berkata, selain menahan dua penjenayah itu, polis turut menyita dua buah motosikal.


"Polis menyita motosikal yang dilarikan dan sebuah lagi motosikal milik salah seorang pelaku yang digunakan untuk melakukan jenayah itu," kata Rochim.


Kedua-dua mereka masih dalam tahanan pihak polis untuk siasatan lanjut. - Sumber Warta Bromo.


Rakaman CCTV menunjukkan Yoyok dan Yusuf melarikan sebuah motosikal di Kampung Selok Awar-Awar. - Foto Polis Lumajang.


EmoticonEmoticon