Jumaat, 17 September 2021

Hanya Beritahu Dah Makan, Lelaki 'Naik Hantu' Tikam Abang Ipar


Seorang lelaki mengamuk dan menikam abang iparnya dengan pisau, hanya kerana abang iparnya memberitahu ibunya yang dia (suspek) sudah makan dalam kejadian di Kampung Gunung Bongsu, Karangan, Kulim, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah berusia 30-an cedera ditikam di dada kiri dan mendapatkan rawatan di Hospital Kulim, lapor Harian Metro, semalam.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, polis menerima panggilan pada 3.16 petang daripada ahli keluarga yang memaklumkan kejadian terbabit.


Katanya, bertindak daripada maklumat itu, polis bergegas ke lokasi kejadian serta menahan suspek berusia 27 tahun dan merampas sebilah pisau. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.


Menurutnya, siasatan mendapati mangsa sebelum itu sedang makan di dapur bersama ibu mentuanya dan dia ketika memberitahu wanita terbabit yang suspek sudah makan.


Katanya, suspek yang mendengar perbualan dan kata-kata abang iparnya itu secara tiba-tiba mengamuk dan mengambil pisau di sinki sebelum menikam mangsa.


"Tikaman itu terkena bahagian kiri dada abang iparnya dan doktor merawat memaklumkan mangsa berada dalam keadaan stabil. Hasil keterangan awal, keluarga memberitahu suspek seorang pendiam serta kerap bercakap seorang diri sejak lebih lima tahun lalu.


"Keluarga suspek mendakwa yang dia seorang penagih dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," kata Sazalee Adam ketika dihubungi, semalam.


Penoreh getah (kanan) cedera dada kiri akibat ditikam adik ipar (kiri) dalam kejadian di Kampung Gunung Bongsu, Karangan, Kulim. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon