Isnin, 30 Ogos 2021

Remaja Perempuan, Penjawat Awam Antara 13 Individu Ditahan Berparti Liar


ISKANDAR PUTERI - Seorang penjawat awam dan remaja perempuan dikesan menikmati hiburan bersama 13 individu dalam 'private party' di sebuah unit pangsapuri mewah di Medini, Iskandar Puteri, Johor, semalam.


Bagaimanapun keseronokan mereka terbantut apabila parti yang diadakan itu dapat dihidu sepasukan polis sebelum diserbu polis kira-kira pukul 4 pagi. Serbuan itu dilakukan hasil risikan oleh pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, susulan serbuan itu, polis menahan seramai 10 orang lelaki dan tiga wanita yang berusia lingkungan 17 hingga 27 tahun.


"Penganjur parti liar itu menghantar jemputan kepada individu berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp dan tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap mereka.


"Parti telah bermula kira-kira 9 malam Sabtu lalu dan dijadualkan berakhir lewat pagi Ahad (semalam). Antara ditahan penjawat awam berusia 27 tahun dan remaja 17 tahun.


"Hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati sembilan lelaki dan dua perempuan positif dadah jenis methamphetamine. Bagaimanapun tiada dadah ditemui di pangsapuri itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah melakukan kesalahan dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Pelan Pemulihan Negara (PPN 2021).


Dzulkhairi berkata, dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas sebuah set pembesar suara dan alat pemancar cahaya. Hasil semakan mendapati dua daripada kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod orang dikehendaki bagi kesalahan berkaitan dadah.


Antara 13 individu termasuk seorang penjawat awam ditahan selepas disyaku terlibat dalam parti liar di sebuah pangsapuri di Medini, Iskandar Puteri, Johor, semalam. - Foto PDRM.


EmoticonEmoticon