Selasa, 22 Jun 2021

Wanita Tunggu Makhluk Asing Datang Kembali Untuk 'Melamarnya'


Benarkah makhluk asing itu wujud? Satu kaji selidik di Britain mendedahkan bahawa satu pertiga rakyat negara itu percaya makhluk asing hidup dalam kalangan manusia.


Kaji selidik sama menyatakan, orang ramai juga percaya kerajaan menyembunyikan maklumat tentang objek terbang tidak dikenali (UFO). Maka tidak hairanlah ramai yang mendakwa pernah diculik makhluk dari luar angkasa itu.


Terbaru, seorang pelakon dari Britain mendedahkan telah jatuh cinta dengan makhluk asing selepas dia kononnya diculik oleh sebuah UFO pada awal bulan ini, lapor akhbar Daily Star pada 19 Jun 2021 lalu.


Abbie Bela mengakui sebelum ini, dia pernah bergurau mengenai keinginannya untuk diculik oleh makhluk asing kerana sudah 'letih' dengan lelaki dari Bumi.


"Sejak itu, saya mula bermimpi melihat lampu berwarna putih pada setiap malam. Pada satu malam, terdapat satu suara dalam mimpi saya yang berkata, 'tunggu di tempat biasa'.


"Pada keesokan malamnya, ketika saya tertidur di tepi tingkap rumah yang terbuka, satu objek muncul dari luar rumah. Saya dapat lihat lampu terang berwarna hijau dan secara tiba-tiba saya dibawa masuk ke dalam UFO tersebut," katanya.


Tambah wanita itu, terdapat lima makhluk asing di dalam UFO tersebut dan mereka mempunyai anggota badan seperti manusia, namun kelihatan amat tinggi dan kurus.


"Satu daripada makhluk asing itu tertarik kepada saya. Saya turut merasakan perasaan yang sama. Kata makhluk asing itu, saya perlu bersetuju untuk tinggal bersama mereka, namun saya menolak kerana bimbang akan diculik buat selamanya," ujarnya.


Abbie Bela mendakwa dia dihantar pulang dengan selamat ke rumahnya selepas 20 minit. Dia kini berharap agar makhluk asing itu datang kembali dan membawanya tinggal di angkasa lepas.


EmoticonEmoticon