Selasa, 24 November 2020

Mat gian bakar motosikal, kecewa tak dapat wang beli dadah


Kepala Batas: Kecewa gara-gara tidak memperoleh wang seperti yang diminta, seorang lelaki bertindak di luar dugaan membakar motosikalnya selepas mengamuk dalam kejadian di Paya Keladi Hujung di sini petang semalam.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, suspek dikatakan berang apabila ibu bapanya enggan memberi wang dipercayai untuk membeli dadah.


Menurutnya, suspek berusia 24 tahun itu kemudiannya mengamuk lalu membakar sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 miliknya di depan rumah.


"Pihak polis menerima panggilan menyatakan ada seorang lelaki mengamuk lalu membakar motosikal miliknya.


"Dia dipercayai bertindak demikian kerana berang tidak diberi wang untuk membeli dadah. Bagaimanapun, suspek tidak mencederakan sesiapa termasuk ibu bapanya," katanya ketika dihubungi.


Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati suspek positif methamphetamine. Suspek diserahkan kepada AADK Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.


Kesan pengambilan 'meth' ialah drug-induced psychosis (DIP). DIP menyebabkan seseorang hilang pertimbangan, tidak berada di alam realiti, mendengar suara, alami halusinasi, delusi dan paranoia.


Pengambilan dadah ini akan mengganggu kemampuan mengawal emosi. Contohnya, andai sesuatu diminta tidak diberi, ia mengundang kemarahan melampau hingga hilang pertimbangan.


EmoticonEmoticon