Sabtu, 13 Januari 2024

Lelaki menembak mati rakannya disangka tikus


Seorang lelaki menembak dan membunuh rakannya di ladang tebu dalam insiden di wilayah Chaiyaphum kerana menyangka mangsa seekor tikus, lapor portal berita Thaiger pada 11 Januari 2024.


Anggota-anggota polis menyerbu ladang tebu berkenaan di daerah Kasetsombun pukul 12.45 tengah malam (waktu tempatan) pada 10 Januari selepas menerima aduan mengenai satu kejadian tembakan.


Mereka menemui seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Adisak, 31, terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Polis berkata, Adisak mempunyai beberapa kesan tembakan pada muka dan badannya. Rakannya yang bernama Banterng, 34, mengaku melepaskan tembakan yang mengenai mangsa.


Banterng menegaskan tembakan itu adalah satu kemalangan. Ketika kejadian, Banterng menyatakan bahawa mereka sedang memburu tikus.


Menurut Banterng, dia melihat sesuatu bergerak di belakang tebu dan segera melepaskan tembakan ke arahnya, menyangka ia adalah tikus. Dia kemudian menyedari sasarannya adalah rakannya dan cuba menyelamatkannya.


Banterng berkata, dia menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan tetapi Adisak meninggal dunia ketika polis dan pegawai perubatan dalam perjalanan ke tempat kejadian.


Dia menyerahkan sepucuk pistol yang digunakan dalam kejadian tersebut kepada polis.


Walaupun tembakan itu disahkan sebagai kemalangan, Banterng masih berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 288 Undang-undang Jenayah iaitu membunuh dengan niat.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara selama 15 hingga 20 tahun. - Sumber The Thaiger. 


Adisak ditembak oleh rakannya di ladang tebu di wilayah Chaiyaphum pada 10 Januari lepas. - Foto Matichon.


EmoticonEmoticon