Isnin, 14 Mac 2022

Saintis temui 'ikan pelangi' yang menakjubkan di 'zon senja' di luar pantai Maldives


Saintis dilaporkan menemui ikan becok berwarna pelangi yang menakjubkan yang hidup di 'zon senja' di luar pantai Kepulauan Maldives, lapor akhbar Daily Mail pada 10 Mac 2022.


Ikan becok jenis rose-veiled fairy dan berwarna-warni itu adalah penemuan baharu dalam dunia sains. Ia ditemui hidup pada kedalaman antara 40 hingga 70 meter di bawah permukaan laut.


Ia diberi nama saintifik Cirrhilabrus finifenmaa untuk menghormati bunga kebangsaan Maldives iaitu bunga mawar merah jambu. Finifenmaa bermaksud mawar dalam bahasa tempatan.


Spesies berkenaan adalah yang pertama ditemukan oleh saintis Maldives, Ahmed Najeeb yang merupakan pengarang bersama kajian dan ahli biologi di Institut Penyelidikan Marin Maldives.


"Saintis asing selalu menggambarkan spesies yang ditemui di Maldives tanpa banyak melibatkan saintis tempatan, malah mereka yang endemik di Maldives," katanya dalam satu kenyataan.



"Penemuan kali ini adalah berbeza dan buat pertama kalinya mengujakan terutama selepas berpeluang bekerja bersama pakar iktiologi terkemuka dan menemukan spesies yang begitu elegan dan cantik ini," jelas beliau.


Spesies itu pertama kali ditemui 30 tahun lalu tetapi dipercayai adalah jenis Cirrhilabrus rubrisquamis atau ikan becok red velvet fairy.


Ikan becok merupakan spesies ikan berwarna terang yang diketahui bertukar warna apabila menjadi dewasa, demikian menurut pengarang kanan kajian, Luiz Rocha dari Akademi Sains California.


Menurutnya, spesies ikan berkenaan pada usia remaja kelihatan sangat serupa dan ciri-ciri yang berbeza hanya dapat dikenal pasti apabila ia meningkat dewasa.


Sehinggalah para penyelidik mengkaji rakaman dari kenderaan yang dikendalikan dari jauh di Chagos, barulah mereka menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan spesies baharu yang berbeza dengan Cirrhilabrus rubrisquamis.


Ikan becok jenis rose-veiled fairy atau Cirrhilabrus finifenmaa mempunyai warna unik yang termasuk magenta terang, pic, oren-merah jambu dan merah keunguan gelap.


"Sebelum ini kami fikirkan ia adalah ikan yang sama, sebenarnya adalah dua spesies berbeza," kata pengarang utama Yi-Kai Tea, pelajar kedoktoran Universiti Sydney, dalam satu kenyataan.


Zon senja lautan wujud pada kedalaman antara 115 kaki (35 meter) dan 230 kaki (70 meter), di mana terdapat cahaya yang cukup untuk beberapa kehidupan sebelum air beralih ke jurang yang gelap.


Gambar menunjukkan ikan becok jenis rose-veiled fairy yang baru ditemukan oleh saintis. - Foto Yi-Kai Tea.


EmoticonEmoticon