Isnin, 28 Mac 2022

Lelaki ditahan simpan lebih 500 basikal curi di halaman belakang rumahnya


Seorang lelaki Britain berusia 55 tahun ditahan selepas polis menemui lebih 500 basikal curi di halaman belakang rumahnya, yang boleh dilihat melalui satelit Google Earth, lapor laman berita NDTV pada 24 Mac 2022.


Polis menemui basikal-basikal itu yang ditimbun di kediaman tersebut di daerah Littlemore, Oxford. Pihak polis masih dalam proses untuk mengenal pasti pemilik-pemilik ratusan basikal yang ditemui di hartanah lelaki berkenaan.


Polis mendapat maklumat setelah beberapa aduan telah difailkan terhadap lelaki itu oleh jiran-jirannya, yang mengadu diganggu oleh tikus-tikus yang bersarang di dalam timbunan basikal curi itu.


Lelaki itu ditahan pada minggu lalu kerana disyaki menyimpan dan memiliki barang curi. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan selesai.


Polis Lembah Thames memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa waran telah dikeluarkan terhadap lelaki itu berdasarkan siasatan. Menurut penduduk tempatan, polis dilihat berada di lokasi tersebut untuk menyusun beratus-ratus basikal yang dicuri.


"Ia telah berlaku selama kira-kira lima tahun," kata Colleen Butler, yang telah tinggal di kawasan itu selama 32 tahun. Dia menambah bahawa lelaki yang ditahan kerana mencuri telah berpindah ke sana sedekad lalu.


Selepas kejadian itu dilaporkan dan polis memuat naik gambar basikal tersebut di media sosial, ia mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna yang kebanyakannya mempersoalkan tindakan lelaki tersebut.


"Apa yang dia lakukan dengan semua basikal itu?" kata seorang pengguna di Twitter. "Kenapa tiada siapa yang melihatnya lebih awal," tambah seorang lagi.


Sebanyak 500 basikal ditemui polis setelah menyerbu rumah lelaki berkenaan. - Foto Hyde News.


EmoticonEmoticon