Isnin, 1 Mac 2021

Kerapu Seberat 100kg Masuk 'Perangkap' dijual RM2,100


Seekor kerapu kertang seberat hampir 100 kilogram (kg) berjaya ditangkap seorang nelayan dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, menggunakan bubu bersaiz gergasi yang dihasilkannya sendiri.


Bahiyuddin Awang Harun, 35, berkata, beliau tidak menyangka bubu sebesar 1.82 meter lebar dan 2.43 meter panjang yang ditahan lebih seminggu pada jarak kira-kira 45 batu nautika dari perairan Dungun itu dimasuki ikan berkenaan.


Menurutnya, ikan itu memasuki bubu gergasi yang dibinanya dan terpaksa mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengangkat bubu menggunakan mesin pengangkat berikutan beban ikan yang berat dan arus serta gelombang yang kuat. Bubu berkenaan dinaikkan jam 4 petang pada Khamis lalu.


"Bubu bersaiz besar ini saya turunkan ke laut sejak lebih seminggu iaitu pada 16 Februari lalu. Tak sangka pula mengena seekor ikan kerapu bersaiz besar.


"Sepanjang 19 tahun jadi nelayan ini kali pertama saya dapat ikan kerapu bersaiz besar begini sebelum ini pernah dapat ikan yu seberat 100kg," katanya ketika dihubungi pada Jumaat lalu.


Usaha menaikkan ikan gergasi itu dilakukan
Bahiyuddin bersama dua pekerjanya.


Katanya, ikan yang dianggarkan berharga RM35 hingga RM50 sekilogram yang kebiasaannya dihidangkan di restoran itu dijual kepada peraih dengan harga RM2,100.


Dalam pada itu, katanya, setakat ini beliau telah menghasilkan enam bubu bersaiz besar sejak November tahun lalu. Inisiatif menghasilkan bubu dilakukan kerana kesukaran mendapatkan ikan ekoran persaingan yang tinggi ditambah pula dengan keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim tengkujuh hujung tahun lalu.


"Nelayan dahulu ramai yang buat bubu saiz besar, tetapi sekarang tidak ramai yang berani cuba kerana kebanyakan bubu yang ditahan hilang kerana masuk ke dalam pukat tunda.


"Saya berani tahan bubu besar ini kerana saya sudah mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai untuk memasang bubu yang tidak boleh dilalui pukat tunda," katanya.


Bahiyuddin berkata, bubu yang dihasilkan menggunakan kayu sungkai, rotan dan dawai itu turut mendapat tempahan, namun beliau menolak untuk menerima tempahan disebabkan kekangan masa. Katanya, Setakat ini dia hanya mampu hasilkan bubu untuk kegunaan sendiri.


EmoticonEmoticon