Khamis, 11 Februari 2021

Farid Kamil, Boy Iman reda ditarik balik gelaran Datuk


Kuantan: Pelakon, Farid Kamil Zahari dan Boy Iman atau Noruliman A Rahman antara lima individu yang ditarik balik gelaran Datuk. Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, tarikh surat penarikan balik darjah kebesaran Farid Kamil dan Boy Iman iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) berkuat kuasa 1 Februari lalu.


Sallehuddin yang juga pendaftar darjah kebesaran negeri menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata, perintah terbabit dibuat atas perintah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


"Dengan ini dimaklumkan bahawa Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur kepada penama ditarik balik dan dibatalkan serta-merta. Penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini.


"Darjah itu dikembalikan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang–Bintang Negeri Pahang," katanya dalam satu kenyataan.


Tiga individu yang turut ditarik balik gelaran Datuk ialah Wong Shee Kai@Ricky dan Tran Thi Mai@Maimunah, masing-masing berkuat kuasa pada 1 Febuari lalu, manakala Syed Mohammad Faiz Syed Azemman berkuat kuasa pada 12 November tahun lalu.


Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang kepada
Farid Kamil dan Nuroliman A Rahman ditarik balik.


Sementara itu, pelakon Farid Kamil dan Boy Iman reda dan menerima kenyataan Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Datuk kepada mereka ditarik balik dan dibatalkan berkuatkuasa 1 Februari lalu.


Farid berkata, dia tenang menerima keputusan itu, apa yang berlaku tidak menjejaskan usahanya memasarkan filem Remp-it 2 yang akan menemui penonton tahun ini.


"Sejak 16 Disember 2017, saya amat berbangga dan berbesar hati membawa gelaran Datuk yang dikurniakan Istana Pahang. Saya menjunjung kasih di atas penganugerahan tertinggi dalam hidup saya ini dan menerimanya dengan penuh kerendahan diri pada ketika itu.


"Hari ini juga saya dengan penuh rasa hormat menerima keputusan daripada pihak Istana Pahang menarik balik gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada saya," katanya.


Sementara itu, Boy Iman berkata, dia sentiasa bersedia menerima sebarang kemungkinan. "Tiada masalah baginda nak buat begitu kerana itu hak baginda, Saya tak tahu dan tak berani nak komen kerana tak dapat apa-apa surat rasmi daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang," katanya.


EmoticonEmoticon