Jumaat, 29 Januari 2021

Rugi duit i-Sinar akibat diperdaya sindiket nombor ramalan


Ipoh: Seorang wanita mendakwa kerugian RM3,000 termasuk RM1,000 daripada pengeluaran i-Sinar KWSP, akibat ditipu dalam pembelian tiket nombor ekor menerusi laman sosial Facebook sebanyak dua kali sejak Disember lalu.


Ibu kepada lima anak berumur 42 tahun dari Menglembu di sini, mendakwa berurusan dengan seorang lelaki selepas melihat satu iklan di Facebook dikenali sebagai Kelvin, kononnya ejen agensi nombor ramalan yang menawarkan perkhidmatan tip pada jam 10 pagi, 1 Disember lalu.


"Dia meminta saya bayar RM500 dan saya memasukkan wang yang diminta ke dalam satu akaun. Selepas itu, dia minta lagi RM1,500 dan RM4,450 untuk dapatkan tip tetapi saya tolak," katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Menglembu Steven Chaw, di sini, hari ini.


Wanita itu mendakwa dia sekali lagi berhubung dengan seorang lelaki dikenali sebagai Sam menerusi Facebook kononnya ejen agensi nombor ramalan yang memintanya membayar sebanyak RM1,000 pada 20 Januari lalu dan RM1,500 dua hari kemudian.


"Tetapi selepas itu, saya sedar ditipu kerana saya tidak menerima apa-apa nombor ramalan, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Menglembu, semalam.


"Saya menggunakan sebanyak RM1,000 daripada pengeluaran i-Sinar KWSP manakala RM2,000 lagi saya pinjam daripada seorang rakan," katanya yang kehilangan kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu.


Sementara itu, Steven berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan nombor ramalan dan mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi menahan pihak tidak bertanggungjawab.


EmoticonEmoticon