Selasa, 5 Januari 2021

Polis Miri musnahkan bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua


Miri: Polis hari ini memusnahkan bom jenis Aerial yang dipercayai tinggalan Jepun ketika Perang Dunia Kedua dan ditemui orang awam berhampiran pantai Tanjung Lobang, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari, berkata bom seberat 113 kilogram dengan panjang 1.1 meter itu masih aktif ketika dijumpai.


"Operasi meletupkan bom itu dijalankan Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri.


"Letupan dilakukan sebanyak dua kali, iaitu pada jam 10 pagi dan 12 tengah hari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, bom terbabit berjaya diletupkan dengan impak paling minimum tanpa kecederaan.


"Kita bergegas ke lokasi sebaik saja menerima laporan berhubung kes itu, semalam.


"Bagaimanapun, operasi meletupkan bom itu terpaksa ditangguhkan ke hari ini berikutan kawasan terbabit ditenggelami air pasang," katanya.


Semalam, seorang lelaki dikejutkan dengan penemuan satu objek menyerupai bom ketika mahu membuang air kecil di kawasan semak berhampiran pantai Tanjung Lobang.


EmoticonEmoticon