Jumaat, 8 Januari 2021

Pejabat KWSP Miri dilontar bom petrol


MIRI: Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terletak di Pusat Komersial Centre Point, Miri, Sarawak rosak selepas dipercayai dilempar dengan bom petrol atau molotov cocktail, pada jam 3 petang tadi, Jumaat.


Difahamkan ketika kejadian, beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berada di luar bangunan bagi menjaga keselamatan orang awam yang berurusan dengan KWSP. Kira-kira 30 pelanggan sedang beratur di luar bangunan KWSP gempar selepas bangunan itu dilempar bom petrol oleh individu tidak dikenali.


Seorang saksi kejadian yang enggan namanya didedahkan berkata, beliau melihat seorang lelaki bertatu meletakkan motosikal beberapa meter dari bangunan KWSP sebelum melontar bom berkenaan ke arah tingkat satu bangunan.


"Kejadian berlaku dengan pantas. Usaha orang awam mengepung suspek gagal kerana suspek memecut laju motosikal selepas itu," katanya.


Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan menerima makluman berhubung kejadian.


"Polis sedang mengumpulkan maklumat serta menjalankan siasatan terperinci insiden itu yang mengancam keselamatan awam, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.


Sementara itu, KWSP mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden itu. Jabatan Hal Ehwal Korporatnya berkata, KWSP memandang serius insiden itu yang bukan saja satu jenayah, malah membahayakan pengunjung ke cawangan dan juga anggota.


"KWSP ingin menegaskan keganasan bukan jalan penyelesaian bagi apa juga perkara. Tindakan seumpama ini bukan sebahagian daripada nilai dan budaya kita," katanya dalam satu kenyataan.


EmoticonEmoticon