Ahad, 17 Januari 2021

Aktiviti kuari memusnahkan Air Terjun Tanjung Batu


Manjung: Keindahan alam semula jadi di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di sini musnah apabila aktiviti kuari beroperasi sejak pertengahan tahun lalu. Projek di atas tapak berkeluasan 18 hektar itu didakwa telahpun memulakan kerja-kerja awal pembersihan di kawasan laluan masuk ke air terjun berkenaan.


Kerajaan Perak sudah mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri itu, mengemukakan laporan berhubung dakwaan aktiviti kuari memusnahkan Air Terjun Tanjung Batu dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang dekat Pantai Remis di sini.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin, berkata kerajaan negeri memandang serius isu terbabit dan memberi jaminan untuk menyelesai dan mencari punca sebenar dalam masa terdekat.


"Sekiranya apa yang berlaku itu disebabkan kegagalan pematuhan dalam syarat lesen, maka tindakan tegas akan diambil kepada pihak berkaitan," katanya.


Keadaan dari udara pemandangan Air Terjun Tanjung Batu yang diambil menggunakan 'dron' yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Segari Melintang kelihatan musnah akibat daripada aktiviti kuari batu ketika tinjauan.


Keindahan dan keunikan Air Terjun Tanjung Batu dekat Pantai Remis di sini, didakwa mulai musnah sejak aktiviti kuari dibenarkan dalam kawasan terbabit sejak Julai tahun lalu. Aktiviti kuari di situ, dipercayai dijalankan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut melakukan pembersihan hutan dilakukan untuk aktiviti kuari.


Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Ismady Radzuan, mendakwa kegiatan itu menimbulkan kegusaran apabila pokok ditebang tanpa terancang hingga mencacatkan keindahan landskap air terjun berkenaan.


Katanya, beliau menyedari keadaan di kawasan air terjun seluas hampir satu hektar pada ketinggian 300 meter itu semakin serius ketika membuat tinjauan untuk penanaman pokok bakau di kawasan berhampiran pada 14 Januari lalu.


"Ini sangat mengecewakan kita kerana aktiviti itu memusnahkan hampir 90 peratus air terjun yang sebelum ini mempunyai lubuk (kolam) hampir di setiap tujuh peringkat air terjun," katanya ketika ditemui, hari ini.


Media yang berkesempatan mengikuti tinjauan bersama KUASA ke lokasi berkenaan mendapati dakwaan mengenai kesan aktiviti itu yang memusnahkan alam semula jadi ternyata benar. Malah, pembukaan hutan di kawasan itu juga membolehkan media melihat terus air terjun itu yang mana sebelum ini ia dikatakan 'tersembunyi' dalam hutan.


Ismady menunjukkan Air Terjun Tanjung Batu yang terletak di dalam kawasan hutan simpan Segari Melintang yang musnah akibat aktiviti kuari batu ketika tinjauan.


Ismady berkata, pihaknya pernah membuat bantahan pada 2017 mengenai aktiviti kuari di kawasan itu dan hasilnya kerajaan negeri didakwa bersetuju dengan cadangan untuk tidak mengeluarkan permit baharu terhadap aktiviti itu.


"Aktiviti sedia ada yang sebelum ini memang sudah tidak boleh buat apa, tetapi hari ini masih ada aktiviti baharu. Itu yang kita pertikaikan kerana dahulu kata tidak setuju.


"Kawasan ini menjadi tumpuan penggiat aktiviti luar, biarpun tidak dibuka kepada awam kerana ia adalah HSK dan memerlukan permit untuk masuk ke sini," katanya.


Ismady berkata, sebelum ini, pihaknya bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga sudah beberapa kali menggesa pihak berkuasa negeri mewartakan keseluruhan hutan simpan itu sebagai hutan perlindungan terutama sebagai Hutan Taman Negeri.


Katanya, pihaknya menggesa pihak berkuasa negeri meneliti dan memperhalusi semula perkara itu, malah sebaiknya aktiviti seumpama itu tidak dilaksanakan dalam HSK.


Sementara itu, penduduk, Ishak Mohamad, 63, berkata, keadaan di air terjun berkenaan ketika ini sangat menyedihkan berbanding 43 tahun lalu dan seharusnya khazanah alam semula jadi itu perlu terus dipelihara.


"Air terjun ini dahulu memang sangat cantik, sebab itu saya berharap pihak berwajib dapat melihat keadaan ini supaya alam semula jadi terus terpelihara. Kami bukan membantah pembangunan dan sektor ekonomi tetapi pihak berkaitan perlu prihatin dengan alam sekitar dan mempunyai tanggungjawab.


"Kita mahu ia kembali pulih dan tidak mahu lagi berlaku kerakusan manusia yang mencari kepentingan hingga menyebabkan alam semula jadi musnah dan perkara ini perlu diambil perhatian," katanya.


Keindahan landskap Air Terjun Tanjung Batu, sebelum musnah apabila pokok ditebang tanpa terancang hingga mencacatkan keindahan landskap air terjun berkenaan. Kini, yang tinggal hanya memori yang dipahatkan dalam bentuk gambar kenangan.


EmoticonEmoticon