Jumaat, 11 Disember 2020

Tergelincir ketika ambil selipar, mayat Naib Ketua Armada Kota Tinggi ditemukan


Kota Tinggi: Mayat Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi yang tergelincir dan ditarik ombak ketika membaiki jeti nelayan di Tanjung Balau, di sini, ditemukan hari ini.


Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, mayat Mohd Zulfikrie Buang, 24, ditemukan kira-kira jam 3 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam operasi yang bermula sejak jam 7 pagi tadi.


"Mayat ditemukan di celahan batu kira-kira 500 meter daripada tempat mangsa tergelincir," katanya ketika dihubungi.


Hari ini media melaporkan, Mohd Zulfikrie, dipercayai tergelincir ketika cuba mengambil selipar yang terjatuh ketika melakukan kerja membaiki Jeti Tanjung Balau kira-kira jam 5 petang semalam.


Mangsa dipercayai tergelincir dari perancah ketika membuat kerja membaik pulih jeti Tanjung Balau. Kejadian berlaku ketika hujan lebat dengan laut berombak dan angin kuat.


Susulan itu, operasi SAR dilakukan di pinggir pantai di tiga kawasan iaitu di jeti nelayan Tanjung Balau, Jeti Chalet Tanjung Balau dan Pantai Tanjung Balau.


Ketua Bersatu Pengerang, Mohd Faizal Asmar berkata, Mohd Zulfikrie, sudah dikenalinya sejak beberapa tahun lalu berikutan aktif dalam kerja kemasyarakatan di daerah berkenaan.



EmoticonEmoticon