Sabtu, 5 Disember 2020

Polis sahkan gangguan ketukan pintu misteri berakhir


Sabak Bernam: Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias ketika dihubungi, mengesahkan misteri gangguan ketukan pintu rumah pada waktu malam berakhir apabila tiada lagi kes terbaharu dilaporkan berlaku.


Beliau berkata, pihaknya tetap melakukan kawalan rondaan di kampung dan taman perumahan meskipun gangguan itu telah berakhir.


"Kita juga menggalakkan penduduk supaya membuat rondaan di kawasan masing-masing bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya, hari ini.


Dalam pada itu, Agus Salim mengingatkan masyarakat agar tidak memperbesarkan lagi isu gangguan ketukan pintu misteri itu.


"Orang ramai diminta tidak menokok tambah perkara sedia ada selain menyebarkan maklumat tidak sahih hingga menimbulkan ketidaktenteraman kepada penduduk," katanya.


Sebelum ini media melaporkan, penduduk daerah Sabak Bernam dihantui bunyi ketukan pintu yang kuat hingga mengejutkan penghuni rumah. Kejadian misteri itu mencetuskan tanda tanya dan ketakutan penduduk sekitar yang berlaku sejak 18 November lalu.


Ketua Penerangan Pas Kawasan Sabak Bernam, Muhammad Labib Abd Jalil turut diganggu bunyi misteri itu 2 hari lepas, kejadian ketukan pintu hadapan jeriji besi rumahnya di Taman Yu berlaku kira-kira jam 12.10 pagi. 


Menurutnya, bunyi ketukan kuat selama kira-kira lima minit itu mengejutkannya daripada tidur dan terus melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Setelah meneliti rakaman CCTV, saya dapati tiada sesiapa pun yang kelihatan mengetuk pintu jeriji besi terbabit.


Baca: Misteri ketukan pintu belum berakhir.. Orang tengah masak pun kena kacau


EmoticonEmoticon