Jumaat, 4 Disember 2020

Curi pokok bonsai untuk beli dadah, 3 lelaki ditahan


Kepala Batas: Mangsa lelaki berusia 45 tahun membuat laporan polis susulan kehilangan pokok bonsainya. Kira-kira 8 pagi ketika lelaki itu keluar dari rumah sebelum mendapati pokok bonsai miliknya tertulis angka '1-5' yang dibeli Mei lalu itu sudah tiada di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, di sini.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tiga lelaki ditahan selepas didapati mencuri sepohon pokok bonsai jenis adenium, ketiga-tiga suspek berusia 18, 22 dan 36 tahun itu ditahan di Paya Keladi, Kepala Batas pada jam 3.30 petang semalam.


Menurutnya, polis turut merampas pokok bonsai bersama pasu yang dipercayai milik lelaki berusia 45 tahun tersebut. Penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang menyedari pokok bonsai bernilai RM800 yang diletakkan di luar pagar rumahnya telah hilang pada 29 November lalu.


"Mangsa merupakan penggemar pokok bonsai dan telah membeli pokok yang ditanda 1-5 itu melalui Facebook pada awal Mei lalu. Bagaimanapun, dia menyedari pokok itu telah hilang.


"Mangsa cuba mencari pokok tersebut di kedai menjual pokok bunga di sekitar namun gagal. Selain itu, rumah mangsa dan sekitar kawasan tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup," katanya ketika dihubungi.


Tambahnya, mangsa kemudiannya melayari iklan menjual pokok bunga di Facebook dan ternampak gambar pokok bonsai sama seperti pokok miliknya yang hilang itu.


"Susulan itu, polis menahan tiga lelaki bersama pokok bonsai bertanda 1-5 dipercayai milik mangsa. Kesemua suspek mengaku mencuri pokok bonsai tersebut untuk dijual bagi membeli bekalan dadah.


"Ujian saringan air kencing mereka juga positif methamphetamine. Hasil siasatan, polis menahan empat lagi lelaki di Tasek Gelugor dan merampas dadah jenis syabu dan botol kaca yang diubahsuai menjadi alat menghisap dadah," katanya.


Dalam pada itu, Noorzainy berkata, tiga suspek yang mencuri pokok direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala tangkapan membabitkan dadah pula disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama.


EmoticonEmoticon