Ahad, 22 November 2020

Sorok 63 ekor burung dilindungi, sindiket tumpas diserbu Perhilitan


Kuala Lumpur: Suspek warga Myanmar ditahan sorok 63 ekor burung dilindungi untuk dijual di pasaran gelap, burung dilindungi itu dipercayai dijerat oleh pemburu haram. Suspek dipercayai diupah sindiket tempatan untuk menjaga 19 spesies burung itu di dalam rumah di Hulu Langat, Selangor.


Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan berkenaan dibongkar hasil maklumat dan risikan yang dilakukan pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak beberapa minggu lalu.


"Kejayaan itu susulan tindakan sepasukan pegawai Perhilitan dan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Lubok Kelubi, Hulu Langat, Selangor.


"Dalam serbuan jam 2.30 petang semalam, seorang lelaki Myanmar yang juga pemegang kad Pesuruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditahan," katanya.


Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah yang didiami lelaki itu menemui berpuluh sangkar burung diletakkan hampir di semua sudut kediaman termasuk bilik dan dapur.


Siasatan mendapati semua burung itu disimpan tanpa permit membabitkan spesis white rumped sharma, greater green leaf bird, yellow billed warbler, everett's white eye, breasted flower pecker, black cremates bulbul, stripe throated bulbul, hill blue flycatcher, olive wing bulbul dan pelbagai spesies burung lain.


"Perhilitan mengesyaki lelaki warga asing itu diupah untuk menjaga semua burung yang dijual untuk pasaran tempatan.


"Suspek yang berusia 30-an itu kemudian ditahan dan telefon bimbitnya turut dirampas. Kes itu kini disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.


Kes berkenaan rampasan terbaru selepas 1,978 burung daripada 22 spesies yang dilindungi dianggarkan bernilai RM279,960 dirampas dalam tiga siri serbuan di Lembah Klang dan Johor antara Januari sehingga 28 September lalu.


EmoticonEmoticon