Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan

Khamis, 22 April 2021

Fosil gajah purba 'raksasa' berusia lebih 30 ribu tahun ditemui di Gopeng, Perak

Fosil gajah purba 'raksasa' berusia lebih 30 ribu tahun ditemui di Gopeng, Perak

Gajah Stegodon. - Foto Earth Archives.

Sekumpulan saintis Universiti Malaya (UM) menemui fosil gajah purba Stegodon pertama di dalam negara dengan anggaran kasar usia antara 30,000 hingga 80,000 tahun di dalam sebuah gua batu kapur terletak di Gopeng, Perak, pada Oktober 2020 lalu.


Untuk pengetahuan, sesetengah jenis gajah Stegodon ini memiliki tubuh jauh lebih besar dibandingkan dengan gajah moden, ada yang mencecah berat sehingga 13 tan dengan tinggi sehingga tiga setengah meter, gadingnya juga berukuran jauh lebih panjang dari gajah biasa. Namun, bukan semua spesies gajah Stegodon ini berukuran 'raksasa' ada yang kecil iaitu Stegodon Sondaari yang berasal dari Flores dengan berat hanya 350 hingga 400 kilogram.


Penemuan fosil gajah purba berkenaan antara genus Proboscidea daripada keluarga Stegodontidae yang sudah lama pupus. Penyelidikan itu diketuai saintis dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Dr Ros Fatihah Muhammad dengan kerjasama ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi dari Persatuan Paleontologi Malaysia, Lim Tze Tshen.


Menurut Dr Ros Fatihah, penemuan itu hasil maklumat kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch selain tinjauan serta kajian pasukan penyelidik. Gajah purba itu berbeza dengan spesies moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di Malaysia dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi.



Katanya, Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies Proboscidea paling tinggi di Malaysia, sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis Proboscidea berlainan pernah hidup di Semenanjung (Stegodon sp, Elephas maximus dan berkemungkinan juga Palaeoloxodon namadicus).


Beliau berkata, penemuan itu amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula sejarah laluan migrasi biota zaman Pleistosen, termasuk manusia. Kajian setakat ini menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba.


Fosil itu dikenal pasti sebagai Stegodon oleh Tze Tshen, juga hasil maklumat dari perkongsian pakar dari seluruh dunia. Ros Fatihah berkata, gajah purba itu mungkin mati pada usia kurang dua tahun, susulan hasil proses pengimejan dilakukan pakar gigi dari Fakulti Pergigian UM, Prof Madya Dr Norliza Ibrahim dan Dr Mohd Azmi Abdul Razak.


"Saya berharap kerajaan negeri mewartakan kawasan penemuan ini supaya dilindungi daripada pencerobohan dan boleh dicadangkan sebagai geotapak baharu, Geopark Lembah Kinta.


"Terdapat bukti di lokasi penemuan Stegodon dan tapak paleontologi lain, menunjukkan tinggalan haiwan telah pupus pernah wujud di Semenanjung seperti orang utan, badak sumbu Sumatera, badak raya Java, beruang hitam Asia dan satu spesies tikus kuno sudah lama pupus.


"Kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara bukit batu kapur daripada ancaman kuari sebagai contoh, penemuan fosil dari gua ini sebab kukuh bagi pemeliharaan berterusan," katanya.


Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, menyifatkan penemuan itu sebagai tonggak sejarah dalam kajian paleontologi Kuaterner di Malaysia dengan pasukan berkenaan berjaya membuka lembaran baharu bidang kajian terbabit.


"Setakat ini, hanya dua sarjana doktor falsafah dianugerahkan dalam bidang ini, masing-masing berkenaan fosil dan paleo-ekologi mamalia besar serta fosil dan paleo-ekologi tikus.


"Beberapa penerbitan dihasilkan mengenai penemuan tapak fosil mamalia baharu berpotensi tinggi di Semenanjung dan penentuan umur geologi tapak lama dengan menggunakan kaedah terkini," katanya. - Sumber Harian Metro.


Proses ‘casting’ oleh pakar gigi dari Fakulti Pergigian Universiti Malaya. - BH Online

Fosil gigi Stegodon yang dianggar secara kasar berusia di antara 30 ke 80 ribu tahun terenap di dalam sedimen gua. - Foto BH Online

Fosil gigi Stegodon yang telah dikeluarkan dari dinding gua. - Foto BH Online

Khamis, 25 Februari 2021

'Perak Man' Rangka Manusia Tertua Berusia 11,000 Tahun Akhirnya Memiliki Lakaran Wajah Sempurna

'Perak Man' Rangka Manusia Tertua Berusia 11,000 Tahun Akhirnya Memiliki Lakaran Wajah Sempurna


Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lalu di Lembah Lenggong, Perak kini mempunyai lakaran wajah yang siap pada 19 Januari lalu.


Lakaran wajah Perak Man itu dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruction, oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.


Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM Dr Johari Yap yang juga merupakan seorang daripada penyelidik berkenaan berkata, projek itu tercetus sejak dua tahun lepas, hasil idea Pakar Bedah Neurosurgeri di Hospital USM Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah.


Berkongsi cerita, Johari berkata, Jafri Malin yang banyak menjalankan kajian berkaitan neurosains dan kognitif telah mengajak beliau untuk mereka bentuk semula tulang kepala perak Man dan seterusnya membuat lakaran wajah perak Man.


Johari yang memilki kepakaran dalam pengimejan kraniofasial dan rekonstruksi 3D muka serta tengkorak berkata beliau telah menggunakan data imbasan CT perak Man dan tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D untuk dihantar melalui e-mel kepada Moraes bagi menghasilkan lakaran wajah.


Jelasnya, sebelum mereka bentuk wajah, Moraes memerlukan maklumat seperti jantina, umur dan keturunan bagi menghasilkan tisu muka berdasarkan ketebalan purata melalui kajian sebelum ini.


Tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D bagi menghasilkan lakaran wajah Perak Man.

"Apabila muka sudah terbentuk, pihak kami akan berbincang mengenai warna mata, warna kulit, rambut berdasarkan Antropologi Forensik.


"Oleh kerana perak Man ini dirujuk sebagai 'Australo-Melanesian' dan merupakan nenek moyang kepada orang asli Negrito, maka ciri-ciri Negrito banyak mempengaruhi reka bentuk akhir muka perak Man ini," katanya.


Selain Johari, Jafri Malin dan Moraes, empat lagi penyelidik yang terlibat dalam kajian berkenaan ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, Pakar Forensik Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Dr Helmi Hadi, Pakar Pengimejan Kraniofasial Prof Dr Zainul Ahmad Rajion dan Pensyarah Sekolah Seni USM Norshahidan Mohamad.


Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lepas di Lembah Lenggong, Perak.

Jelasnya, hasil kajian mendapati anggaran isi padu otak perak Man adalah 1,204.91 mL, rendah sedikit daripada isi padu otak manusia moden yang dalam lingkungan 1,312 mL hingga 1,479 mL dan secara tidak langsung dapat memberikan sedikit maklumat kognitif berkaitan perak Man.


"Walaupun dilahirkan dengan kecacatan fizikal, perak Man terus hidup dan menjalani gaya hidup berburu dan berkumpul secara nomad, mungkin disebabkan penjagaan yang diberikan kepadanya. Dia mungkin mengatasi kekurangan fizikalnya dengan mengembangkan kemahiran berburu, atau mungkin dia jarang memburu dan melakukan tugas lain.


"Berdasarkan andaian statusnya, perak Man mungkin seorang yang dihormati dalam kumpulan dan mungkin juga seorang dukun dan orang yang paling berpengetahuan dalam kumpulan mengenai kelangsungan hidup, pemburuan, pengumpulan dan aspek lain dalam kehidupan seharian Paleolitik.


"Perak Man berkemungkinan hidup sebagai pemburu, sama seperti gaya hidup kumpulan etnik Negrito, yang mungkin keturunan perak Man," menurut para penyelidik dalam jurnal itu.


Johari berkata, menerusi perkembangan terbaharu kajian berkenaan, ia dilihat membuka jalan bagi pengkaji menggunakan teknologi abad ke-21 untuk memahami bagaimana interaksi antara otak, minda, tingkah laku dan budaya berlaku pada masa lalu.


Katanya, teknologi 3D yang ada sekarang ini mampu menghasilkan lakaran muka yang mampu memberikan kefahaman baharu mengenai penemuan prasejarah di negara kita.