Khamis, 28 Mac 2024

Polis sudah 'kutip' lelaki tunggang ala Spiderman di lebuhraya


Lelaki yang menayangkan aksi 'superman' ketika menunggang motosikal di lebuh raya ditahan polis di Kampung Pantai, Mersing, semalam.


Suspek berusia 20 tahun ditahan jam 4 pagi selepas aksi dilakukan di Kilometer 139, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata tangkapan itu dilakukan selepas video berdurasi 29 saat dikesan di media sosial.


Beliau berkata, pasukan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ke rumah suspek sebaik mendapat maklumat mengenainya.


"Semasa ditahan, polis turut merampas motosikal jenis Yamaha 152ZR digunakan ketika mempamerkan aksi spiderman itu.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya hari ini.


Raiz Mukhliz berkata, pada masa sama, suspek turut direman tiga hari bagi membantu siasatan kes itu.


Aksi lelaki menunggang ala Spiderman di lebuhraya sebelum ditahan semalam. - Foto PDRM.


EmoticonEmoticon