Sabtu, 21 Oktober 2023

Ibu bapa hilang wang RM1.3 juta, tanah bernilai RM39.2 juta akibat ditipu anak bongsu


Sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 80-an di Thailand membuat aduan terhadap anak bongsu mereka kerana menipu wang dan tanah bernilai jutaan ringgit dalam tempoh tiga tahun, lapor laman berita Thaiger pada 19 Oktober 2023.


Pasangan tersebut berkata, wanita itu telah mengambil wang mereka selain memberi mereka dadah.


Cucu perempuan pasangan itu, Praw menemani mereka untuk mendapatkan bantuan daripada pertubuhan bukan bermotifkan keuntungan, Saimai Survive.


Menurut Praw, datuk dan neneknya hilang tanah seluas 160,000 meter persegi bernilai lebih 300 juta baht (RM39.2 juta) dan wang simpanan berjumlah 10 juta baht (RM1.3 juta) akibat ditipu anak bongsu mereka.


Praw berkata, datuk dan neneknya mempunyai dua orang anak. Anak perempuan sulung pasangan warga emas itu ialah ibunya, manakala anak bongsu mereka ialah ibu saudaranya.


Praw mendedahkan bahawa datuk dan neneknya telah bertelagah selama dua tahun dengan ibunya berhubung pembahagian aset mereka. 


Ibu saudara Praw membuat datuk dan neneknya salah faham tentang ibunya sehingga wanita itu sanggup memutuskan hubungan dengan ibu bapanya walaupun mereka tinggal berjiran.


Praw terus menjelaskan bahawa ibunya mendengar seseorang menangis dari sebalik dinding dan pergi untuk memeriksa. Ibu Praw mendapati bahawa ibunya sedang menangis selepas kehilangan aset dan wang mereka.


Menurut datuk dan nenek Praw, anak bongsu mereka memberi ubat untuk merawat penyakit keturunan mereka, namun setiap kali makan ubat, mereka berasa pening.


Mereka percaya anak perempuan mereka telah memberi dadah dan memaksa mereka menandatangani dokumen untuk memindahkan aset mereka kepadanya.


Wang simpanan bernilai 10 juta baht (RM1.3 juta) telah dipindahkan daripada akaun bank mereka ke dalam akaun bank anak bongsu itu. Sebahagian tanah telah dijual dan selebihnya telah digadaikan.


Siasatan kes itu masih diteruskan tetapi keluarga tersebut bimbang tentang keselamatan mereka kerana premis gadaian yang terlibat merupakan pihak berpengaruh di kawasan itu.


Mereka menghubungi Saimai Survive untuk mengikuti kes itu dan melindungi mereka daripada kemungkinan bahaya semasa prosiding undang-undang terhadap orang berkuasa itu. - Sumber The Thaiger.


Pasangan itu kini meminta bantuan daripada Saimai Survive. - Foto Facebook.


EmoticonEmoticon