Jumaat, 26 Jun 2026

'Siapa kerap tabur paku?' bertaburan di laluan keluar masuk Cybersouth, Dengkil

'Siapa kerap tabur paku?' bertaburan di laluan keluar masuk Cybersouth, Dengkil


Kejadian paku bertaburan di laluan keluar masuk Cybersouth, Dengkil yang didakwa berlaku berulang kali mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya, selain mengundang pelbagai spekulasi mengenai dalang di sebalik insiden tersebut.


Menerusi beberapa hantaran yang tular di media sosial, sejumlah paku dilihat dikutip di atas jalan berhampiran pusingan U di bawah jejambat menghala ke Dengkil, lokasi yang menjadi laluan utama penduduk keluar masuk kawasan perumahan itu.


Lebih membimbangkan, pemilik akaun yang berkongsi kejadian mendakwa insiden tersebut sudah berlaku sebanyak dua kali sehingga menimbulkan persoalan sama ada paku berkenaan sengaja ditabur atau tercicir daripada kenderaan yang melalui kawasan terbabit.


Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan sebahagian mendakwa terdapat segelintir pengguna jalan raya yang sering memotong barisan menggunakan laluan berkenaan ketika waktu puncak.


Bagaimanapun, penduduk menegaskan perbuatan menabur paku, jika benar dilakukan, bukanlah jalan penyelesaian kerana boleh mengundang kemalangan serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal.


"Walaupun saya baran dengan warga Cybersouth yang suka potong barisan dengan guna laluan tu sampaikan saya dari Dengkil tu jem nak ‘U-turn’ bawah jambatan, tapi tindakan begini tak patut lah. Tabur paku tu teruk sangat," komen Orked.


"Ye memang ada tindakan segelintir pnduduk Cybersouth suka potong barisan waktu puncak pada barisan putih merah tu tapi bukan dengan cara aniaya orang lain untuk pastikan benda macam itu tak berulang lagi," komen Daniel pula.


Seorang lagi pengguna mendakwa tayar kenderaannya sudah dua kali terkena paku ketika melalui laluan sama, sekali gus menguatkan kebimbangan bahawa kejadian itu bukan lagi insiden terpencil.


Susulan itu, orang ramai menggesa pihak berkuasa memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengelakkan insiden sama berulang.


Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada paku-paku tersebut sengaja ditabur atau tercicir daripada kenderaan yang melalui laluan berkenaan.

Jenazah 'terbiar' dalam liang lahad hampir sejam didakwa angkara pertikaian caj RM1,400

Jenazah 'terbiar' dalam liang lahad hampir sejam didakwa angkara pertikaian caj RM1,400


Urusan pengebumian jenazah seorang lelaki di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang didakwa tertangguh selama hampir satu jam kerana pertikaian mengenai caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 oleh pihak pengurusan sebuah masjid.


Insiden tersebut tular di media sosial selepas pendedahan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai Official melalui satu hantaran video di Instagram.


Difahamkan, kejadian berpunca apabila bapa arwah yang juga ahli Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) Kampung Pandan Dalam memilih untuk menggunakan khidmat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut bagi menguruskan jenazah anaknya.


Pihak BKS dilaporkan telah menyelesaikan semua urusan awal melibatkan pengambilan jenazah di Hospital Ampang, memandikan, serta menyolatkan jenazah, namun pertikaian mula timbul apabila waris meminta borang kebenaran pengebumian jenazah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) daripada pihak pengurusan masjid.


"Pihak pengurusan masjid kemudiannya menyatakan akan caj ahli waris sebanyak RM1,400 untuk urusan jenazah. Tetapi bapa arwah tetap nak BKS yang uruskan," katanya dalam hantaran tersebut.


Susulan keengganan waris membuat bayaran, pihak pengurusan masjid didakwa bertindak menahan borang permohonan pengebumian serta permit kubur daripada keluarga mangsa.


Keadaan menjadi lebih rumit apabila kehadiran dua anggota polis di tanah perkuburan mengarahkan proses pengebumian dihentikan seketika ekoran laporan yang dibuat oleh pihak masjid terbabit sehingga menyebabkan waris terpaksa menunggu lebih sejam di liang lahad.


"Sehinggalah ahli waris keluarga arwah terpaksa tunggu lebih satu jam. Selepas pihak pengurusan masjid datang ke tanah perkuburan, barulah pihak polis dan penyelia kubur benarkan BKS meneruskan pengebumian," jelasnya.


Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan rasa kesal dan berduka cita terhadap tindakan pihak masjid yang dianggap tidak sensitif dengan keluarga mangsa.


Sementara itu, Wan Cai menerusi hantaran tersebut menegaskan, urusan pengebumian jenazah sepatutnya diutamakan terlebih dahulu berbanding isu dokumen atau bayaran.


"Jadi sepatutnya walaupun ada pertikaian, jenazah sudah masuk dalam liang lahad, terus kebumikan dahululah, kenapa arwah pula kena jadi mangsa? Kita yang hidup kena selesaikan.


"Perkara sebegini sudah banyak kali terjadi dan pernah dibuat aduan kepada pihak berwajib tetapi tiada respons, disebabkan itu kali ini insiden dimuat naik ke media sosial," katanya.

Gara-gara cemburu isteri berbual dengan jiran lelaki, suami tetak isteri guna parang

Gara-gara cemburu isteri berbual dengan jiran lelaki, suami tetak isteri guna parang


Hanya kerana mengesyaki isterinya berbual dengan jiran lelaki, seorang lelaki bertindak ganas sehingga menyebabkan wanita itu parah akibat ditetak dalam kejadian di Kampung Mangkupa, Kota Marudu, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan pada bahagian dagu, leher, kedua-dua tangan dan lutut selepas dipercayai diserang suaminya sendiri yang berusia 50 tahun.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomidin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perasaan cemburu suspek terhadap mangsa.


"Semasa kejadian, mangsa keluar ke halaman rumah untuk melihat keadaan di luar sebelum ditegur suspek yang melarangnya berbual dengan jiran lelaki.


"Mangsa menafikan dakwaan tersebut dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, anak saudara mangsa yang berada di dalam rumah ketika kejadian melihat suspek menuju ke dapur untuk mengambil sebilah parang sebelum berjalan ke arah mangsa yang berada di hadapan rumah.



"Susulan itu, saksi terus masuk ke dalam bilik dan bersembunyi bersama anak-anak mangsa," katanya.


Menurutnya lagi, saksi kemudian terdengar jeritan mangsa meminta pertolongan sebelum mendengar bunyi seseorang berlari ke arah dapur dan membuka pintu belakang rumah.


"Saksi kemudian keluar dari bilik dan mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah jiran.


"Seorang jiran yang baru pulang dari ladang getah turut melihat mangsa dalam keadaan tersebut sebelum menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan," katanya.


Simiun berkata, siasatan lanjut di hospital mendapati suspek bukan sahaja cemburu pada hari kejadian, malah sering menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan jiran-jiran, namun dakwaan itu dinafikan mangsa.


"Mangsa memaklumkan dia bergelut dengan suspek di halaman rumah ketika suspek meletakkan parang pada lehernya.


"Dalam masa sama, mangsa cuba menahan libasan parang menggunakan kedua-dua tangannya sehingga mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan, bawah dagu, kening dan lutut.


"Selepas melihat mangsa berlumuran darah, suspek dipercayai menjadi takut lalu melarikan diri dari lokasi kejadian," katanya.


Menurutnya, mangsa kemudian bangun dan mendapatkan bantuan daripada jiran yang tinggal berhampiran.


"Suspek yang juga warga Indonesia kini sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.


Siasatan lanjut mendapati mangsa dan suspek, warga Indonesia yang bekerja sebagai penoreh getah, telah berkahwin secara adat kampung selama 19 tahun dan mempunyai enam orang anak.

Khamis, 25 Jun 2026

Warga emas umpan RM5, mi goreng sebelum cabul 2 murid perempuan dalam stor masjid

Warga emas umpan RM5, mi goreng sebelum cabul 2 murid perempuan dalam stor masjid


Seorang kariah masjid berusia 73 tahun ditahan polis selepas disyaki melakukan cabul terhadap dua murid perempuan berusia lapan dan 10 tahun di sebuah stor masjid di Semabok.


Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian tersebut berlaku pada 16 Jun lalu dan melibatkan dua mangsa yang merupakan pelajar sekolah berhampiran masjid berkenaan.


Menurut beliau, kedua-dua mangsa dipercayai berada di kawasan masjid sementara menunggu ibu bapa mereka datang mengambil mereka selepas waktu persekolahan.


"Suspek yang merupakan seorang kariah tetap masjid berkenaan dipercayai telah mengumpan mangsa dengan wang tunai RM5 dan mi goreng segera sebelum membawa mereka ke dalam stor masjid.


"Di dalam stor tersebut, suspek dipercayai menyentuh dan mencium mangsa," katanya pada sidang media di IPK hari ini.


Beliau berkata, perbuatan itu dipercayai berlaku berulang kali dalam tempoh dua minggu melibatkan mangsa yang sama.


Katanya, suspek turut meminta kedua-dua mangsa supaya tidak menceritakan kejadian tersebut kepada sesiapa.


Bagaimanapun, perubahan tingkah laku mangsa disedari pihak sekolah sebelum kedua-duanya dipanggil untuk sesi kaunseling.


"Dalam sesi kaunseling itu, mangsa telah menceritakan kejadian yang berlaku. Pihak sekolah kemudian memaklumkan kepada penjaga sebelum laporan polis dibuat," katanya.


Dzulkhairi berkata, suspek telah ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.


Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan setakat ini mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ini merupakan kes pertama yang dikaitkan dengannya.


"Setakat ini tiada unsur rogol dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.


Beliau pada masa sama menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta memastikan mereka tidak dibiarkan bersendirian atau berkeliaran tanpa pengawasan, walau di mana sahaja mereka berada.

Polis serbu majlis ulang tahun pertubuhan haram, tahan 19 orang

Polis serbu majlis ulang tahun pertubuhan haram, tahan 19 orang


Seramai 19 lelaki termasuk lima remaja diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pertubuhan haram. Semua mereka ditahan dalam operasi bersepadu Op Cantas Bersepadu (Gengsterisme), 9 malam tadi.


Operasi dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) itu dijalankan di sebuah premis makanan di Jalan Masjid, Keningau yang dikenalpasti menjadi lokasi kumpulan itu berhimpun.


Difahamkan, semua ahli kumpulan itu berkumpul di lokasi serbuan bagi memperingati sambutan ulang tahun Kumpulan Kappa Rho Kappa atau Knight's Of The Right Kepper's (KRKK) yang diadakan pada 24 Jun setiap tahun.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan siasatan awal, kumpulan itu diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Disember 2015.


Katanya, semua individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala beberapa individu lain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.


"Pemeriksaan fizikal mendapati lima individu yang mempunyai tanda tatu di tangan yang menandakan mereka ahli kumpulan KRKK.


"Selain itu, dua individu lagi didapati memiliki Kad Keahlian KRKK dan hanya empat suspek memiliki keterangan diri jenis MyKad, MyPR, MyKAS dan Pasport," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, 15 individu lain didapati tidak memiliki dokumen keterangan diri.


"Semua suspek mengaku tujuan mereka berkumpul adalah untuk memperingati sambutan ulang tahun pertubuhan berkenaan. Pihak polis turut merampas 15 telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Guru didakwa dua pertuduhan amang seksual terhadap pelajar lelaki di bilik hotel

Guru didakwa dua pertuduhan amang seksual terhadap pelajar lelaki di bilik hotel


Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun, awal Jun lalu.


Tertuduh, Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga guru kontrak didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun 1 bulan, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama.


Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kira-kira jam 8 pagi pada 4 Jun lalu.


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 14(d) akta yang sama.


Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Jertih, Besut pada setiap awal bulan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nor Aishah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

‘Kalau bukan Zahid, siapa yang halang Onn Hafiz ke program Felda? - Akmal Saleh

‘Kalau bukan Zahid, siapa yang halang Onn Hafiz ke program Felda? - Akmal Saleh


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pengarah Felda menjelaskan pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor serta menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memasuki kawasan Felda.


Beliau berkata, persoalan itu timbul selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menafikan mengeluarkan arahan membatalkan program berkenaan mahupun menghalang Menteri Besar Johor daripada memasuki kawasan Felda.


Menurutnya, terdapat pihak yang sebelum ini menuding jari kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung kontroversi tersebut.


Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid sendiri telah menjelaskan bahawa walaupun beliau merupakan menteri yang menyelia Felda, agensi itu masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.


"Kalau bukan arahan daripada menteri penyelia iaitu Ahmad Zahid, mestilah arahan yang Felda dapat daripada orang atau pihak yang lebih atas daripada menteri penyelia, iaitu kemungkinan arahan daripada Jabatan Perdana Menteri ataupun arahan daripada Perdana Menteri sendiri.


"Ini soalan saya. Jadi, saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Ketua Pengarah Felda untuk menjawab siapa yang tak bagi (sambutan diadakan) ini. Janganlah jadi bak kata pepatah, dah baling batu, lepas itu sorok tangan. Rakyat nak tahu," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Rabu.


Sebelum ini, sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Felda Ulu Belitong, Kluang, dibatalkan dan didakwa atas arahan pihak pengurusan Felda Kebangsaan.


Program itu kemudiannya dilaporkan diteruskan dalam skala lebih sederhana menerusi Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda.


Onn Hafiz pada Selasa pula mendedahkan beliau dihalang daripada memasuki kawasan Felda bagi menghadiri majlis penyerahan geran hak milik kepada peneroka.


Keadaan itu menyebabkan majlis yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang, pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa dipindahkan ke Dewan Dato Onn, Taman Sri Lambak, Kluang.


Terdahulu, Ahmad Zahid, seperti dilaporkan media berkata tiada sebarang arahan atau halangan untuk Onn Hafiz memasuki kawasan Felda.


Ahmad Zahid menjelaskan tindakan seperti yang didakwa Onn Hafiz itu juga tidak pernah diarahkan olehnya.


"Saya tidak pernah mengarahkan atau menghalang Menteri Besar Johor untuk masuk ke dalam kawasan Felda," katanya.

Rabu, 24 Jun 2026

Penuntut IPTS maut dibunuh di Bandar Sunway: Mangsa, suspek saling mengenali, ada hubungan istimewa - Polis

Penuntut IPTS maut dibunuh di Bandar Sunway: Mangsa, suspek saling mengenali, ada hubungan istimewa - Polis


Mangsa dan suspek kes pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Selasa dipercayai saling mengenali serta mempunyai hubungan istimewa.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal turut mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada isu peribadi melibatkan emosi, perasaan serta perbelanjaan harian.


"Setakat ini, kita percaya motif kejadian adalah disebabkan isu peribadi yang melibatkan emosi, perasaan serta perbelanjaan harian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam hari ini.


Menurut beliau, fokus siasatan kini tertumpu kepada seorang lelaki warga asing yang ditahan di lokasi kejadian sejurus mayat mangsa ditemukan.


"Setakat ini, tiada petunjuk yang mengaitkan individu lain dengan kejadian tersebut. Bagaimanapun, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan sehingga siasatan selesai sepenuhnya," katanya.


Beliau berkata, beberapa barang kes telah dirampas termasuk senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.


"Pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa," katanya.


Shazeli berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak institusi berkenaan termasuk tempoh pengajian, bidang pengajian dan hubungan antara kedua-dua individu tersebut.


"Setakat ini, kita telah merakam percakapan beberapa jiran dan saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan polis menerima maklumat kejadian pada jam 11.03 pagi sebelum menemui mangsa berusia lingkungan 20-an dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan pada tubuh.


Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an turut ditahan di lokasi sama bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ibu rayu kewarganegaraan 2 anak dibawa bapa ke Indonesia pada 2004

Ibu rayu kewarganegaraan 2 anak dibawa bapa ke Indonesia pada 2004


Seorang ibu merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempertimbangkan semula permohonan kewarganegaraan dua anak lelakinya selepas permohonan daftar lewat kad pengenalan mereka ditolak, namun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan hubungan ibu dan anak.


Peguam Panel Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), May Eva Sofea Zainal Abidin dan Muhammad Falaq Adnan, hadir ke ibu pejabat JPN Putrajaya, hari ini, bagi mengemukakan rayuan serta mendapatkan penjelasan berhubung penolakan permohonan terdahulu.


May Eva berkata, berdasarkan maklum balas diterima daripada JPN, permohonan sebelum ini ditolak berikutan terdapat percanggahan maklumat dalam dokumen dimiliki dua beradik terbabit termasuk perbezaan ejaan nama, tarikh lahir dan tempat kelahiran antara sijil kelahiran Malaysia dengan pasport Indonesia.


Katanya, dua beradik itu dilahirkan di Malaysia, masing-masing pada 1999 di Kelantan dan 2003 di Sungai Buloh, sebelum didakwa dibawa keluar ke Indonesia oleh bapa kandung mereka pada 2004 tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.


"Ketika itu anak sulung berusia lima tahun manakala adiknya baru berusia setahun. Mereka ditinggalkan bersama datuk dan nenek di Indonesia tanpa dokumen asal dari Malaysia.


"Susulan itu, mereka didaftarkan dalam kartu keluarga di Indonesia yang kemudiannya menjadi asas kepada pengeluaran pasport negara itu.


"Bagaimanapun, maklumat dalam pasport Indonesia berbeza dengan sijil kelahiran Malaysia termasuk ejaan nama, tarikh lahir dan tempat lahir yang direkodkan sebagai Indonesia," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.



Beliau berkata, dua beradik itu hanya kembali ke Malaysia pada 2023 dan kini masih menggunakan pasport Indonesia kerana belum memperoleh dokumen pengenalan Malaysia.


Katanya, pihak JPN mencadangkan untuk maklumat dalam pasport Indonesia diselaraskan terlebih dahulu sebelum permohonan dikemukakan semula.


Bagaimanapun, May Eva berkata, cadangan itu sukar dilaksanakan kerana anak guamnya dimaklumkan oleh Kedutaan Indonesia bahawa pembetulan terbabit perlu dilakukan di Indonesia.


"Kami berpandangan langkah itu tidak praktikal kerana memerlukan kos yang tinggi, sedangkan perkara ini boleh diselesaikan di sini, tambahan pula, ibu mereka kini berdepan masalah kewangan.


"Kami berharap kes ini dapat dipertimbangkan berdasarkan fakta-fakta istimewa kerana mereka dibawa keluar dari Malaysia ketika kecil tanpa sebarang dokumen yang sah, bukannya atas kehendak sendiri," katanya.


Katanya, MHO turut berharap aspek kemanusiaan diberi perhatian memandangkan kedua-dua beradik itu disahkan mempunyai hubungan darah dengan ibu mereka menerusi ujian DNA serta memiliki sijil kelahiran Malaysia.



"Kedua-duanya kini bekerja sebagai pencuci namun berpotensi memperoleh peluang pendidikan serta pekerjaan yang lebih baik sekiranya diberikan status kewarganegaraan," katanya.


Sementara itu, ibu, Siti Zubaidah, 50, berkata beliau merayu urusan dua anak lelakinya yang kini berusia 27 dan 23 tahun dipermudahkan serta dapat memperoleh pengiktirafan sebagai warganegara selepas melalui pelbagai kesulitan sejak dibawa keluar dari negara ketika masih kecil.


"Saya berharap JPN dapat memudahkan urusan anak-anak saya. Saya sudah tiada kemampuan untuk menghantar mereka pulang ke Indonesia bagi membetulkan maklumat pasport.


"Saya sudah berhenti kerja kerana syarikat mengurangkan pekerja. Sepanjang tiga tahun menguruskan pelbagai urusan berkaitan dokumen, saya sudah menghabiskan banyak wang.


"Saya benar-benar berharap JPN dapat mempertimbangkan rayuan ini dan tidak menyukarkan lagi urusan anak-anak saya," katanya.

Papagomo dihalang guna media sosial sebar kandungan palsu, fitnah terhadap MCMC

Papagomo dihalang guna media sosial sebar kandungan palsu, fitnah terhadap MCMC


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan perintah injunksi interim ex-parte terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo dalam satu tindakan sivil yang dimulakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).


MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi perintah itu, mahkamah menghalang Wan Muhammad Azri daripada menerbitkan sebarang pernyataan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya tersebut serta menghentikan serta-merta penerbitan dan penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian melalui media sosial.


Mahkamah turut menetapkan bahawa Wan Muhammad Azri tidak boleh menggunakan mana-mana platform media sosial untuk menyebarkan kandungan palsu, mengelirukan atau memudaratkan sama ada melalui akaun sedia ada atau akaun baharu.


"Perintah injunksi interim ini akan terus berkuat kuasa sehingga pendengaran inter-partes atau arahan lanjut oleh mahkamah," menurut kenyataan itu.


MCMC memaklumkan tindakan itu susulan Notis Tuntutan yang dikeluarkan kepada Wan Muhammad Azri pada 9 April berhubung penerbitan kandungan palsu yang menuduh suruhanjaya itu menyekat laporan berita sebuah portal berita.


Menurut kenyataan itu, Wan Muhammad Azri juga didapati berulang kali menggunakan akaun media sosial untuk menyebarkan kandungan yang memudaratkan dalam talian.


"Perintah injunksi interim dan tindakan sivil ini berdasarkan undang-undang sedia ada yang memberi fokus kepada kandungan dalam talian yang boleh menjejaskan kepentingan awam, menggugat keharmonian masyarakat serta menghakis keyakinan terhadap institusi awam," menurut kenyataan itu.


Pada 9 April, MCMC memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Muhammad Azri susulan dakwaan suruhanjaya itu menyekat laporan mahkamahnya yang melibatkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.


MCMC menegaskan dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan tidak berasas.