Jumaat, 13 November 2020

Usahawan bergelar Datuk Seri, adik ditahan bersama dadah seberat 126 kg bernilai RM5 juta


Shah Alam: Seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri serta adiknya ditahan polis dalam serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.


Dalam serbuan kira-kira 4.30 petang itu, kedua-dua mereka yang berusia 25 dan 31 tahun itu, ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina bernilai kira-kira RM5 juta.


Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan tersebut melibatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang.


"Hasil siasatan, polis (kemudian) telah menahan tiga lelaki (lain) termasuk seorang warga Indonesia yang pasportnya sudah tamat tempoh di lokasi sama.


"Dua lelaki tempatan itu dipercayai anggota sindiket terbabit manakala warga Indonesia itu dikenal pasti memainkan peranan sebagai orang tengah.


"Pemeriksaan mendapati kesemua mereka positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai 19 rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di IPK Selangor pada Jumaat.


Difahamkan, sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum semua dadah itu dihantar ke negara jiran. Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa kenderaan termasuk Ford Mustang, Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV.


"Hasil siasatan mendapati Ford Mustang yang dianggarkan bernilai RM500,000 didaftarkan di bawah nama isteri kepada adik ahli perniagaan itu yang juga seorang anggota tentera," katanya.


Sementara itu, Arjunaidi berkata, dadah yang dirampas pihaknya dalam serbuan itu boleh menampung kehendak 253,700 penagih.


Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


EmoticonEmoticon