Jumaat, 4 September 2026

Pemandu lori mengaku bersalah pecahkan cermin kereta jiran guna batu bata


"Macam mana nak bayar (ikat jamin), duit pun tak ada," kata pemandu lori Ho Wee Siang, yang mengaku salah memecahkan cermin kereta jirannya menggunakan batu bata selepas enggan memberi wang untuk membeli makanan.


Wee Siang, 42, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, kerana melakukan khianat memecah cermin kereta milik jiran lelaki berusia 34 tahun hingga menyebabkan kerugian RM800.


Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Perdana, Batu Pahat pada jam 1.20 pagi Rabu lalu dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 sementara menunggu tarikh sebutan bagi fakta dan hukuman.


Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayarnya sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar bagi menjalani tahanan sementara.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Berdasarkan laporan dibuat, mangsa sedang berehat di rumahnya sebelum terdengar bunyi bising dari luar.


Mangsa membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati cermin belakang keretanya dipecahkan lelaki dikenalinya selepas dia gagal meminjam wang untuk membeli makanan.


EmoticonEmoticon