Sabtu, 15 Januari 2022

Saintis menemui planet 'cacat' dua kali ganda saiz planet Musytari

Saintis menemui planet 'cacat' dua kali ganda saiz planet Musytari


Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) mengesan sebuah planet di luar sistem suria kita yang berbentuk seperti sebiji bola ragbi, para saintis melabelkan objek itu sebagai planet 'cacat', lapor akhbar Daily Star pada 12 Januari 2022.


Dinamakan Eksoplanet WAP-103b, planet dua kali ganda saiz Musytari itu menjadi tanda tanya kepada pakar-pakar angkasa lepas, yang ingin tahu dengan lebih mendalam mengenai kewujudannya selepas ia mula dikesan dalam buruj Hercules.


"Misi Cheops eksoplanet ESA mendapati bahawa terdapat sebuah eksoplanet yang mengorbit bintang perumah dalam masa sehari serta mempunyai bentuk yang tidak sempurna. Ia berbentuk seperti bola ragbi, dan bukannya sfera.


"Ini merupakan kali pertama di mana kecacatan pada eksoplanet ditemui, sekali gus menawarkan maklumat baharu mengenai struktur dalaman planet-planet di sekitar bintang," kata ESA dalam satu kenyataan.



Eksoplanet merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan mengenai planet yang berada di luar sistem suria.


Para penyelidik menggunakan data daripada teleskop Hubble dan Spitzer Nasa serta teleskop angkasa Cheops ESA, untuk mendapatkan gambar planet aneh itu, lapor The Sun.


Sementara itu, satu kertas kajian yang diterbitkan mendedahkan bahawa saintis mendapati eksoplanet tersebut, yang bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada Musytari itu berkemungkinan mempunyai struktur sama dengan gergasi gas.


"Jika kita boleh mengesahkan butiran-butiran mengenai struktur luarannya dengan pemerhatian lanjut, mungkin kita akan lebih memahami apa yang membuatkan planet itu menjadi terapung seperti itu.


"Selain itu, pengetahuan mengenai saiz terasnya juga adalah penting untuk kita lebih memahami bagaimana ia terbentuk," kata pengarang utama kajian tersebut, Susana Barros.


Para saintis juga bingung mengapa planet tersebut kelihatan semakin menjauh dari bintang yang ia kelilingi. Mereka bercadang untuk meneruskan pemerhatian terhadap objek angkasa yang pelik untuk mencuba mendapatkan lebih banyak pemahaman.


Planet tersebut terletak di bahagian luar sistem suria kita dan dua kali ganda saiz planet Musytari. Foto ESA.

Jumaat, 14 Januari 2022

China bina 'bulan tiruan' untuk mempersiapkan angkasawannya bagi misi masa hadapan

China bina 'bulan tiruan' untuk mempersiapkan angkasawannya bagi misi masa hadapan

Gambar hiasan.

Saintis-saintis China membina 'bulan tiruan' yang mempunyai daya graviti seperti Bulan sebenar untuk membantu mempersiapkan angkasawannya bagi misi eksplorasi di masa hadapan, lapor akhbar Daily Mail pada 12 Januari 2022.


Persekitaran simulasi graviti rendah telah diilhamkan oleh eksperimen yang menggunakan sebilangan magnet untuk mengapungkan katak, lapor South China Morning Post.


Simulator bulan itu merupakan sebuah bilik berukuran 0.7 meter yang ditempatkan di dalam ruang vakum, berpangkalan di Xuzhou di wilayah Jiangsu di China, dan telah direka dengan cara yang boleh 'membuat graviti hilang.'


"Bulan tiruan ini boleh menghasilkan grafiti rendah atau graviti sifar selama mana yang kami mahu," kata saintis-saintis berkenaan.


Di dalam bilik tersebut, mereka menghasilkan landskap bulan tiruan termasuk batu dan debu ringan seperti yang terdapat pada permukaan Bulan. Daya graviti di Bulan adalah satu perenam daripada yang terdapat di Bumi.


"Sesetengah eksperimen contohnya ujian impak hanya memerlukan masa beberapa saat," kata ketua saintis tersebut, Li Ruilin dari Universiti Perlombongan dan Teknologi China, Li Ruilin sambil menambah, beberapa ujikaji lain pula mengambil masa lebih lama, malah sehingga beberapa hari.


China menetapkan matlamat untuk menghantar angkasawan ke Bulan menjelang 2030 dan membina sebuah pangkalan di Bulan dalam satu projek bersama dengan Rusia menjelang akhir dekad ini.


Dijangka 'bulan buatan' ini akan memainkan peranan penting dalam misi masa depan ke Bulan, membolehkan saintis merancang latihan dan bersedia untuk membina dalam graviti rendah.


Konsep menggunakan medan magnet untuk pengangkatan berasal dari ahli fizik Rusia Andre Geim, yang bekerja di Universiti Manchester dan memenangi hadiah Ig Nobel pada tahun 2000 kerana membuat katak terapung.


Dia memberitahu South China Morning Post bahawa dia gembira melihat eksperimen pendidikannya membawa kepada aplikasi dalam penerokaan angkasa lepas, menjelaskan bahawa 'pengangkatan magnet tidak sama dengan antigraviti.'


Bagaimanapun, beliau berkata terdapat situasi di mana meniru mikrograviti menggunakan medan magnet boleh menjadi tidak ternilai.


Saintis China membina bulan tiruan sebagai cara mempersiapkan angkasawannya untuk misi eksplorasi di masa hadapan. - Foto Daily Mail.

Khamis, 13 Januari 2022

Pengunjung terkejut jumpa bangkai buaya tembaga di Pantai Cermin

Pengunjung terkejut jumpa bangkai buaya tembaga di Pantai Cermin


PORT DICKSON - Bangkai seekor buaya tembaga sepanjang hampir dua meter dengan berat kira-kira 100 kilogram (kg) ditemui di Pantai Cermin, di sini, pagi tadi.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, buaya jantan itu dianggarkan sudah mati satu atau dua hari lalu.


Menurutnya, kira-kira pukul 9.10 pagi, pejabat Perhilitan Daerah Seremban telah menerima maklumat daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan SWM Port Dickson berkaitan penemuan bangkai seekor Buaya Tembaga.


Katanya, pihaknya menghantar pasukan Perhilitan Seremban ke lokasi dengan dibantu pejabat Pusat Pendidikan Biodiversiti (PPBD) Tanjung Tuan, Melaka untuk menjalankan siasatan lanjut.


"Bangkai buaya tersebut dibawa ke pejabat Perhilitan untuk proses post-mortem bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.


Dalam pada itu, Nurul Ermi berkata, kali terakhir kematian buaya dilaporkan di Port Dickson adalah sekitar 2010.


"Buaya jenis tembaga sering dijumpai di sungai namun buaya sering berkeliaran untuk mencari makanan dan kadangkala sehingga sampai ke kawasan pantai.


"Ini pertama kali kami menjumpai buaya jenis tembaga yang mati. Pada tahun lalu, kami ada menerima aduan buaya yang masih hidup cuma di lokasi berbeza," katanya lagi.


Bangkai seekor buaya tembaga matang seberat kira-kira 100 kilogram ditemukan di Pantai Cermin, hari ini.
Badut curi RM4 dan telefon Nokia berdepan penjara 9 tahun

Badut curi RM4 dan telefon Nokia berdepan penjara 9 tahun


Seorang penghibur jalanan yang berpakaian seperti badut di Bali, Indonesia, berdepan hukuman penjara sembilan tahun selepas mencuri wang 15,000 rupiah (RM4.40) daripada seorang penjual buah-buahan, lapor laman berita Kumparan pada 7 Januari 2022.


Suspek lelaki berusia 25 tahun dikenali sebagai FS itu terdesak mendapatkan wang untuk meninggalkan Pulau Bali dan pulang ke kampung halamannya di Jawa Timur.


Ketua Polis Jembrana, Dewa Gde Juliana berkata, selepas disoal siasat, suspek mengaku turut mencederakan mangsa dan mengambil barang milik mangsa.


"Dia berasakan pendapatannya sebagai penghibur jalanan semakin merudum sejak pandemik Covid-19 melanda pulau pelancongan ini.


"Suspek terdesak mencari wang untuk pulang ke Jawa hingga sanggup mencuri RM4.40 dan sebuah telefon jenama Nokia daripada seorang wanita yang merupakan penjual gerai buah-buahan," katanya.


Seperti yang dilaporkan, pada mulanya suspek berpura-pura membeli jeruk bali dan sambil memantau keadaan. Kemudian, dia mengarahkan penjual atau mangsa mengupas kulit oren tersebut, sementara menunggu suspek duduk di perhentian belakang tempat mangsa berjual.


Bagaimanapun, tidak lama kemudian, suspek memukul kepala mangsa dengan batu sebanyak dua kali. Mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri, suspek mengambil dompet dan telefon bimbit mangsa kemudian melarikan diri.


Menerusi kejadian itu, keluarga mangsa telah melaporkannya kepada Polis Jembrana dan polis segera menyiasat di tempat kejadian, seorang saksi telah memaklumkan suspek melarikan diri menaiki lori.


Suspek yang hendak pulang ke kampungnya telah dikejar polis dan akhirnya berjaya ditahan di Jalan Raya Srono, Daerah Rogojampi, Banyuwangi, Jawa Timur.


Suspek didakwa melakukan kesalahan di bawah Kanun Jenayah (KUHP) yang membawa hukuman maksimum penjara 9 tahun.


FS kini berdepan kemungkinan penjara sehingga 9 tahun kerana mencuri serta mencederakan mangsa. - Polis Jembrana.
Pramugara berjaya rakam UFO berbentuk V terbang di atas jet penumpang Airbus A230

Pramugara berjaya rakam UFO berbentuk V terbang di atas jet penumpang Airbus A230


Satu rakaman luar biasa dirakam oleh seorang pramugara di Amerika Syarikat, menunjukkan sebuah UFO berbentuk seperti huruf V terbang di atas sebuah jet penumpang jenis A230 baru-baru ini, lapor akhbar The Sun pada 7 Januari 2022.


Rakaman itu dirakam dari ruang kokpit pada ketinggian 39,000 kaki oleh seorang pramugara yang sedang melihat ke arah langit, untuk merakam imej galaksi Bima Sakti, dia kemudian mengesan sesuatu yang luar biasa di langit.


Pramugara yang tidak didedahkan identitinya itu berkongsi rakaman itu dengan akaun YouTube popular, UFOMania. Dalam video yang dirakam menggunakan peranti iPhone 13 Pro Max itu, ruang udara yang gelap diterangi lampu yang bercahaya dari UFO.


Pramugara itu menjelaskan, dia sedang cuba mengambil video pesawat lain yang terbang tepat di atas pesawatnya pada arah bertentangan apabila dia terlihat objek aneh itu.


"Ketika saya merakam pesawat itu yang terbang di atas pesawat kami, saya perhatikan objek berbentuk V ini muncul dan ia kelihatan seperti sedang berada di antara kami dan pesawat lain," katanya.


Peminat UFO memuji kebolehan pramugara itu dalam merakam penampakan itu, dengan beberapa yang lain bergurau dengan mengatakan ia kelihatan seperti sebuah lampu isyarat.


"Saya melihat keseluruhan barisan benda berwarna-warni ini dalam satu barisan bergerak melintasi langit, beberapa tahun lalu. Ia adalah nyata, saya melihat mereka selama 30 minit," tulis seorang peminat UFO.


Seorang pengguna yang ragu-ragu dengan keaslian rakaman itu pula berkata, ia mungkin satu penipuan selepas menganalisis kualiti rakaman.


"Video objek dan kemudian pandangan pantas kokpit nampaknya tidak sesuai. Kualiti adalah sangat berbeza dan, apabila menyambung semula ke objek, nampaknya terdapat suntingan yang sangat kaku," katanya.


Rakaman itu pada asalnya diserahkan kepada forum dalam talian UFO Stalker, yang kerap membincangkan penampakan yang tidak dapat dijelaskan di seluruh dunia. Ia dipercayai dirakam pada awal pagi Isnin ketika pesawat penumpang itu melepasi Georgia.


Rakaman itu dirakam dari kokpit pada ketinggian 39,000 kaki oleh seorang pramugara. - Foto YouTube.

Rabu, 12 Januari 2022

Ais mencair semakin pantas, 32 saintis dihantar siasat pencairan 'Glasier Kiamat' di benua Antartika

Ais mencair semakin pantas, 32 saintis dihantar siasat pencairan 'Glasier Kiamat' di benua Antartika


Sekumpulan saintis 'belayar ke tempat paling sukar dikunjungi di dunia' supaya mereka dapat mengetahui dengan lebih baik, berapa banyak dan berapa cepat paras laut akan naik disebabkan pemanasan global.


Memetik lapor akhbar New York Post pada 6 Januari 2022, seramai 32 saintis itu dihantar untuk memulakan misi di atas sebuah kapal penyelidikan Amerika Syarikat (AS) selama lebih dua bulan, untuk menyiasat kawasan utama pencairan glasier Thwaites di Benua Antartika.


Pencairan pantas dilihat berlaku pada kawasan Glasier Thwaites yang menghadap Laut Amundsen dengan potensi kehilangan sejumlah besar bongkah ais, salah satu penyebabnya adalah air laut yang semakin panas.


Erin Pettit saintis dari Universiti Oregon berkata, ia mencair dari bawah kerana air laut panas, bahagian darat glasier 'kehilangan cengkaman' ke tempat ia melekat pada dasar laut menyebabkan bongkah besar boleh terkeluar ke lautan dan kemudian cair.


Glasier bersaiz menyamai negeri Florida itu digelar 'Glasier Kiamat' kerana memiliki bilangan bongkah ais yang banyak serta memberi ancaman kepada peningkatan paras laut dunia melebihi 65 sentimeter jika semuanya cair.


AS dan Britain bersama-sama menjalankan misi yang memakan belanja sekitar AS$50 juta (RM210.13 juta) untuk mengkajinya melalui jalan darat dan laut. Thwaites dilaporkan berada di bahagian barat Antartika dan menganjur ke laut.


"Thwaites adalah sebab utama kita tidak mempunyai kepastian berkenaan unjuran kenaikan paras laut pada masa depan kerana ia berada di kawasan sangat terpencil dan sukar untuk dicapai," jelas kenyataan Anna Wahlin yang merupakan ahli oseanografi dari Universiti Gothenburg di Sweden.


Temu bual itu diadakan dari Kapal Penyelidikan Nathaniel B. Palmer pada 5 Januari 2022 lalu sebelum kapal itu dijadual meninggalkan pelabuhan di Chile beberapa jam kemudian.


Thwaites menggugurkan kira-kira 50 bilion tan ais ke dalam laut dalam masa setahun. Tinjauan Antartika British mengatakan glasier menyumbang empat peratus kenaikan paras laut global, dan kini ia mencair semakin pantas.


Glasier Thwaites dilaporkan menyumbang empat peratus kepada kenaikan paras laut dunia. - Foto Rob Larter.

Selasa, 11 Januari 2022

Pengikut ajaran 'flat Earth' percaya Bumi berbentuk donat dengan lubang 'gergasi' di tengahnya

Pengikut ajaran 'flat Earth' percaya Bumi berbentuk donat dengan lubang 'gergasi' di tengahnya


Sebilangan pengamal ideologi 'Bumi mendatar' percaya bahawa planet ini berbentuk seperti donat yang mempunyai sebuah lubang besar pada bahagian tengahnya, lapor akhbar Daily Star pada 9 Januari 2022.


Menurut 'Teori Bumi Donat' yang dipercayai mereka, Bumi ini berbentuk seperti cincin atau dalam bahasa saintifik berbentuk 'torus', dan teori konspirasi ini semakin popular di kalangan pengikut tersebut.


Teori tersebut mula dikeluarkan oleh seorang pengamal ideologi itu, Dr. Rosenpenis dalam sebuah forum pada 2008, dan ia asalnya dikeluarkan sebagai satu bentuk gurauan.


"Saya menggunakan perisian akademik astrofizikal profesional bagi membina sebuah model Bumi berbentuk donat dengan ruang angkasa yang 'enak' dan Bumi yang disaluti dengan 'gula'," katanya.


Gurauan itu bagaimanapun berkembang menjadi satu idea yang dipercayai dengan sebilangan pengikut mendakwa, bahawa manusia tidak dapat melihat lubang pada bahagian tengah Bumi disebabkan cara cahaya membengkok.


Sementara itu, dalam forum yang sama pada 2012, seorang lagi pengamal ideologi tersebut yang dikenali sebagai Varaug berkata, dia percaya bahawa Bumi berbentuk seperti donat (torus), namun disebabkan cahaya berada dalam bentuk melengkung, keadaan itu sukar dijelaskan.


Varaug mengembangkan ideanya, dengan alasan bahawa cahaya mengikuti lengkung torus, menjadikan lubang itu 'tidak dapat dilihat'. Ketika ditanya mengapa tiada siapa yang pernah jatuh ke dalam lubang Bumi, Varaug meminta ahli forum lain untuk menganggap Bumi sebagai 'donat jem', dengan graviti bekerja ke arah jem.


Varaug juga berpendapat bahawa siang dan malam masih berlaku kerana Bumi berbentuk donat melengkapkan revolusi setiap 24 jam, dengan lubang pada sudut 90 darjah terhadap Matahari.


Pengikut 'flat Earth' lain juga membuat spekulasi bahawa bentuk torus terbentuk oleh tarikan graviti batu dan habuk serta cebisan bahan angkasa bersama-sama ke orbit tanpa titik fokus pusat, dengan berkesan mencipta planet berbentuk cincin berputar di sekeliling tiada - lubang.


Para saintis telah menyelar teori itu, menjelaskan bahawa Matahari tidak boleh terbit atau terbenam seperti yang berlaku jika Bumi mempunyai lubang ternganga di tengah, dan kita juga tidak akan mengalami siang dan malam seperti yang kita alami sekarang.


Pengikut ajaran 'Bumi mendatar' menolak fakta yang menyatakan bahawa Bumi berbentuk sfera. - Foto Getty.
Berjaya menurunkan berat badan dari 170kg kepada 55kg, suami hadiahkan cincin berlian

Berjaya menurunkan berat badan dari 170kg kepada 55kg, suami hadiahkan cincin berlian


Seorang wanita dari Taiwan menerima hadiah berupa sebentuk cincin berlian daripada suaminya sebagai 'ganjaran' kerana berjaya menurunkan berat badan sebanyak 75 kilogram (kg), lapor berita Liputan6 pada 10 Januari 2022.


Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di laman Facebook pada 3 Januari 2022, suami wanita itu berkongsikan mengenai bagaimana isterinya berjaya menurunkan berat badan kepada 55 kg dalam masa dua tahun.


"Dua tahun lalu, isteri bertanya kepada saya, hadiah apa yang saya mahu pada hari ulang tahun kelahiran saya.


"Saya menjawab 'tiada apa', namun secara spontan saya bertanyakan kepadanya, sama ada dia boleh cuba menurunkan berat badan demi saya, sekali dalam seumur hidupnya," tulis lelaki tersebut.


Cabaran ini merupakan motivasi terbesar buat isterinya untuk menurunkan berat badan. Pelbagai cara diambil untuk mendapatkan bentuk dan berat badan yang ideal.


Kerja kerasnya membuahkan hasil apabila semua cabarannya ditempuhi. Wanita itu berjaya menurunkan berat badan dan memuat naik gambar sebelum dan selepas dia berdiet. kisah tersebut menjadi tumpuan netizen.


"Selepas dicabar, dia berusaha untuk menurunkan berat badan dengan cara mengamalkan pemakanan yang seimbang. Selepas dua tahun, dia akhirnya berjaya menurunkan sebanyak 75 kg daripada 130 kg sebelum ini," kata lelaki itu.


Isterinya kemudiannya dihadiahkan dengan sebentuk cincin berlian satu karat seperti yang dia janjikan. - Sumber Liputan6.


Wanita ini berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 75 kg dalam masa dua tahun. - Foto China Press.

Isnin, 10 Januari 2022

Misteri 'pondok berbentuk kiub' yang ditemui di Bulan oleh rover China akhirnya terjawab

Misteri 'pondok berbentuk kiub' yang ditemui di Bulan oleh rover China akhirnya terjawab


Objek seperti kiub berjerebu yang digelar sebagai 'pondok misteri' di Bulan, yang dirakam kenderaan rover angkasa milik China bulan lalu sebenarnya sebiji batu, lapor akhbar Daily Star pada 8 Januari 2022.


Rover Yutu-2 bulan lalu membuat penemuan objek misteri itu di sisi gelap Bulan. Namun, rover itu mengambil masa selama dua bulan untuk mendekati objek tersebut untuk mengetahui apa sebenarnya objek yang dikesan itu.


Ketika penemuan 'kiub' itu mula-mula dilaporkan, ramai orang membuat spekulasi bahawa ia mungkin hanya tinggalan hentaman meteor, kerana ia kelihatan bersebelahan dengan kawah hentaman.


Para saintis China membangunkan strategi baharu untuk rover itu melintasi permukaan Bulan dan menghampiri objek tersebut dengan lebih pantas. Bagaimanapun, objek tersebut rupa-rupanya hanyalah sebiji batu lama biasa.


Menurut catatan blog tempatan iaitu Our Space, kiub itu dari jauh kelihatan setinggi bangunan Arc de Triomphe. Tetapi apabila didekati oleh rover, ia ternyata sangat pendek dan 'pemandu tidak dapat mengelak daripada berasa sedikit kecewa'.


Namun begitu, batu itu telah diberi nama jolokan 'Jade Rabbit' berkat serpihan batu yang mengelilinginya, yang kelihatan seperti sisa makanan dari jamuan lobak merah arnab.


Walaupun penemuan itu menyebabkan saintis kecewa, ia bukan sesuatu yang tidak dijangka. Rover Yutu-2 kini akan lebih dekat dengan batu tersebut dan kawah berhampiran untuk menganalisisnya.


Artikel Berkaitan: Kenderaan Jelajah China Berjaya Rakam 'Pondok Misteri' Di Bulan.


Rover Yutu-2 bulan lalu membuat penemuan objek misteri itu di sisi gelap bulan. - Foto Daily Star.

Ahad, 9 Januari 2022

Lelaki belanja lebih RM70,000 ubah bahagian tubuhnya untuk tidak kelihatan seperti manusia

Lelaki belanja lebih RM70,000 ubah bahagian tubuhnya untuk tidak kelihatan seperti manusia


Seorang lelaki dari Jerman sanggup membelanjakan wang sehingga £12,500 (RM71,526) untuk mengubah bahagian tubuhnya supaya tidak nampak seperti seorang manusia, lapor laman berita Mirror UK pada 6 Januari 2022.


Lelaki yang hanya dikenali sebagai 'Black Depression' menerusi laman Instagramnya itu telah mencacah tatu pada wajahnya yang kelihatan seperti permainan teka-teki jigsaw.


Selain tatu mukanya yang menampilkan kepingan teka-teki berwarna dan digariskan, lelaki berusia 28 tahun itu juga telah mengeluarkan ketulan tulang rawan dari telinganya.


Menindik telinga dan hidung, mewarnakan bebola mata serta melapisi giginya dengan titanium dan membelah lidahnya, menjadikan ia bercabang.


Lelaki itu menyifatkan dia telah menghasilkan trend sendiri selain tidak menggayakan apa yang digayakan orang lain.


"Saya berminat terhadap pengubahsuaian badan sejak bertahun-tahun lamanya. Saya boleh menghasilkan dan mengubah badan saya seperti apa yang saya mahukan dan tidak mengikut trend seperti kebanyakan orang lain," katanya.


Dia mula mengubahsuai badannya ketika berusia 20 tahun dengan menjalani prosedur membelah lidahnya. Lelaki itu juga berkata masih belum berpuas hati dengan perubahan yang dilakukan dan bercadang untuk melakukan lebih banyak perubahan ekstrem dalam masa terdekat.


Lelaki ini mula mengubahsuai badannya ketika berusia 20 tahun - Foto Jam Press.