Khamis, 4 Disember 2025

Singapura akan buka konsulat di Sabah, Sarawak

Singapura akan buka konsulat di Sabah, Sarawak


Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyambut baik keputusan Malaysia untuk meluluskan secara rasmi cadangan Singapura membuka konsulat di Sabah dan Sarawak, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.


"Gembira Malaysia telah bersetuju secara rasmi dengan cadangan Singapura untuk membuka konsulat di Sabah dan Sarawak.


"Ini akan membolehkan Singapura menyediakan perkhidmatan konsular kepada rakyat Singapura di sana, serta memperdalam hubungan erat yang sedia terjalin antara rakyat kita," kata Wong pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pemukiman Pemimpin Tahunan Ke-12 yang diadakan di Singapura hari ini.


Perkara itu pertama kali dibangkitkan pada pemukiman pemimpin di Putrajaya pada Januari lalu.


Pada masa ini, Singapura mempunyai dua misi diplomatik di Malaysia, iaitu Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur dan konsulat di Johor Bahru yang memulakan operasi pada 2009.


Lawrence Wong ketika mengadakan mesyuarat bersama dengan delegasi Malaysia di Singapura hari ini. - Foto Pejabat Perdana Menteri.
'Skodeng' wanita dalam tandas pusat beli-belah, penganggur didenda RM4,000

'Skodeng' wanita dalam tandas pusat beli-belah, penganggur didenda RM4,000


Penganggur dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit di tandas sebuah pusat beli-belah, bulan lalu.


Tertuduh, Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan merakam mangsa menggunakan telefon bimbit ketika mangsa berada di dalam tandas di tingkat satu Mayang Mall, 20 November lalu, jam 6.12 petang.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan.


Kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.


Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Husna Zukepeli @ Zulkifli.


Muhammad Syahmi ketika hadir di Mahkamah Majistret atas pertuduhan merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit di tandas sebuah pusat beli-belah. - Foto Harian Metro.
Jangan sambung kontrak Azam Baki - Rafizi

Jangan sambung kontrak Azam Baki - Rafizi


Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat berkaitan isu rasuah susulan kekalahan gabungan politik itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17.


Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, langkah itu boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Salah satu faktor utama yang mempengaruhi keputusan pengundi ialah rasa kecewa terhadap prestasi reformasi dan pembaharuan kerajaan, khususnya berkaitan usaha membersihkan negara daripada amalan rasuah," katanya menerusi media sosial Facebook semalam.


Rafizi berkata, dalam sidang Dewan Rakyat minggu ini, isu berkaitan kontrak Azam turut dibangkitkan, sama ada ia akan disambung buat kali keempat atau sebaliknya.


"Bagaimanapun, jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu adalah kabur," katanya.


Menurut Rafizi, apa jua keputusan Perdana Menteri akan memberi kesan langsung kepada penilaian rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah.


"Bukan untuk dua kali. Bukan tiga kali. Tetapi empat kali. Jika kontrak itu disambung lagi, keputusan itu akan terus mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.


"Dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan nama beliau (Azam), sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi," tegasnya.


Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, desakan tersebut tidak akan berkesan sekiranya hanya datang daripadanya seorang diri.


Rafizi mencadangkan agar Nurul Izzah Anwar serta kepimpinan DAP, termasuk Anthony Loke, turut mendesak secara terbuka bagi menunjukkan kesepaduan dalam usaha memperkukuh komitmen menentang rasuah.


"Lebih baik jika Nurul Izzah juga mendesak secara terbuka. Lebih baik lagi jika Anthony Loke dan DAP juga berbuat demikian," katanya.


Beliau berkata, kelebihan utama PH dan PKR sebelum ini ialah harapan rakyat agar sistem negara bebas daripada rasuah.


"Ini kehendak utama pengundi-pengundi PH yang rata-ratanya daripada golongan kelas menengah," katanya.


Rafizi turut berkata bahawa beliau sering mengingatkan Anwar berkenaan data-data kaji selidik sejak tahun lalu yang menunjukkan kebimbangan rakyat terhadap prestasi pencegahan rasuah yang kekal menjadi kritikan utama terhadap kerajaan.


"Persepsi ini disahkan oleh statistik kes-kes rasuah yang berakhir dengan hukuman. Peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan yang dibuka menurun daripada 56 peratus pada tahun 2020 kepada 39 peratus tahun lalu.


"Sabitan bersalah juga menurun, daripada 300 kes bersamaan 36 peratus kertas siasatan yang berakhir dengan sabitan pada 2021, kepada hanya 256 sabitan atau 22 peratus pada tahun 2024," katanya.


Beliau berkata, terdapat kes-kes berprofil tinggi yang berakhir dengan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), kes digugurkan, atau tertuduh dilepaskan selepas membayar kompaun.

Rabu, 3 Disember 2025

Anwar tolak cadangan Bank Dunia RON95 RM2.65, kekal subsidi menerusi BUDI95 RM1.99

Anwar tolak cadangan Bank Dunia RON95 RM2.65, kekal subsidi menerusi BUDI95 RM1.99


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan mengikut harga pasaran.


Beliau berkata penyasaran subsidi RON95 merupakan langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.


"Cadangan (Bank Dunia) adalah untuk menaikkan harga kepada RM2.65 seliter untuk semua (kategori) petrol, kemudian memberikan subsidi khusus untuk kategori tertentu. Justeru itu, saya dan rakan-rakan jemaah menteri menolak cadangan tersebut, dan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter bagi rakyat serta RM2.60 seliter bagi warga asing.


"Ini menunjukkan, pendekatan (kerajaan) yang lebih berhemat dan memberikan faedah kepada rakyat. Alhamdulillah, penyasaran subsidi RON95 di seluruh Malaysia ini sambutannya sangat baik dan positif," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penyasaran subsidi secara menyeluruh itu memastikan bantuan terus dinikmati rakyat, di samping membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara serta kegunaan perniagaan.


"Ketika kerajaan menghentikan (pemberian) subsidi ayam dan telur, dan mengapungkan harganya, kerajaan memastikan harga kekal stabil, bekalan mencukupi dan rakyat tidak terkesan.


"Melalui pengapungan harga ayam dan telur, serta penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95, kerajaan meraih penjimatan sekitar RM15.5 bilion setahun," kata Anwar.


Dalam pada itu, beliau berkata ketika pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan memilih untuk tidak memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya menumpukan kepada penambahbaikan tatakelola, penyasaran subsidi dan pengukuhan pematuhan cukai.


"Lazimnya, apabila perbelanjaan tambahan diumumkan, kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu, tetapi di Malaysia peruntukan ditambah tanpa menambah cukai baharu kerana kita (melaksanakan) penyasaran subsidi dan beberapa langkah lain bagi penjimatan dan mengelakkan ketirisan.


"Jika kerajaan Persekutuan mengambil langkah sedemikian, saya menyeru kerajaan negeri supaya turut berbuat demikian dan berhati-hati agar sebarang tindakan dan cukai baharu tidak membebankan rakyat," katanya.

Muhyiddin didakwa punca kekalahan teruk Bersatu dalam PRN17, didesak lepas jawatan

Muhyiddin didakwa punca kekalahan teruk Bersatu dalam PRN17, didesak lepas jawatan


Kepimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menjadi punca utama kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), Sabtu lalu.


Susulan kekalahan tersebut mendesak Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) supaya berundur dan meletakkan jawatan beliau sebagai Presiden Bersatu.


Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Yunus Nurdin berkata, jentera Bersatu Sabah sebenarnya membuat persiapan rapi menghadapi PRN, namun usaha mereka terganggu oleh pergolakan dalaman yang tercetus sebelum dan semasa kempen berlangsung.


Menurutnya, beberapa pimpinan bahagian dan ahli telah dikenakan tindakan termasuk pemecatan, hanya kerana mengkritik kepimpinan Pengerusi PN itu.


Beliau juga mendakwa bahawa tiada peruntukan kewangan disalurkan oleh kepimpinan Pusat untuk membantu gerak kerja jentera di lapangan, meskipun parti bertanding di 33 kerusi.


"Ketiadaan sumber kewangan menyukarkan kami, malah ada calon terpaksa gadaikan kereta, rumah, harta mereka sebagainya untuk kita berjuang pada PRN ini.


"Kita semua menanggung hutang sekarang ini untuk parti kami. Bersatu Sabah ini mengalami kegagalan (pada PRN) saya kira memalukan.


"Kami mahu presiden parti bertanggungjawab atas kelemahan sebagai pemimpin dan mendesak presiden untuk berundur meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi PN," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Sabah hari ini.


Yunus yang juga Ahli Majlis Pimpinan Bersatu Pusat mendakwa, desakan itu mendapat sokongan daripada 20 daripada 24 bahagian Bersatu di Sabah.


Beliau menegaskan, mereka bersedia meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya dikenakan tindakan tidak adil oleh parti.


"Tidak terfikir keluar (Bersatu) kerana parti ini di Sabah kami semua yang bina kembali dengan usaha serta sumber kewangan kami sendiri.


"Jadi kenapa mesti kami keluar, sepatutnya pemimpin yang lemah itu meletak jawatan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih bagus.


"Kami telah suarakan kepada pimpinan pusat sepatutnya benda ini tidak berlaku kepada kami terutamanya yang sedang berhadapan dengan kempen pilihan raya. Ini memberi kesan yang mendalam terutamanya keyakinan akar umbi ahli parti di peringkat negeri Sabah," katanya.


Yunus turut memaklumkan bahawa mereka masih gagal menghubungi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, untuk mengadakan perbincangan serta menyelesaikan kemelut berkenaan.


Bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang disifatkan mengambil berat terhadap Bersatu Sabah dan sanggup mengeluarkan sumber kewangan sendiri untuk membantu jentera parti.

Demi cinta, gadis kahwini mayat kekasih

Demi cinta, gadis kahwini mayat kekasih


Wanita berusia 21 tahun, Aanchal Mamidwar dikatakan mengahwini mayat kekasihnya, Saksham Tate, 21, di daerah Nanded, Maharashtra pada Isnin lalu.


Saksham dilaporkan dibunuh oleh bapa dan abang Aanchal kerana tidak merestui hubungannya dengan lelaki dari kasta rendah.


Memetik laporan The New Indian Express, Aanchal tiba di rumah Saksham sebaik sahaja mendengar berita kematian kekasihnya itu.


Sebagai tanda penentangan, dia menyapu kunyit pada mayat kekasihnya dan serbuk merah pada dahinya secara simbolik 'mengahwini' lelaki itu semasa majlis pengebumian.


Video upacara perkahwinan Aanchal dengan mayat Saksham tular di media sosial.


Wanita itu membuat keputusan untuk tinggal di rumah keluarga kekasihnya seumur hidup sebagai menantu mereka, sambil mengisytiharkan bahawa upacara rasmi itu akan menjadikan cinta mereka "abadi".


Aanchal menyatakan bahawa dia mengahwini Saksham walaupun lelaki itu sudah meninggal dunia kerana cinta mereka kekal "sangat hidup".


"Cinta kami menang walaupun Saksham meninggal dunia dan bapa serta abang saya kalah," kata Aanchal.


Dia menuntut supaya bapa dan abangnya dikenakan hukuman gantung atas "pembunuhan kejam" itu.


Aanchal bertemu Saksham melalui abangnya, tetapi keluarga Mamidwar tidak bersetuju dengan hubungan mereka kerana perbezaan kasta. Pasangan itu menjalinkan hubungan selama tiga tahun.


Polis memaklumkan selepas keluarga Mamidwar mengetahui Aanchal merancang untuk mengahwini Saksham, mereka merancang untuk membunuhnya.


Pembunuhan itu berlaku di kawasan Ganj lama Nanded. Saksham berada bersama rakan-rakannya apabila berlaku pertengkaran antara dia dengan abang Aanchal, Himesh Mamidwar.


Himesh kemudian melepaskan tembakan ke arah Saksham.


Polis segera menahan Himesh, adiknya, Sahil dan bapa mereka, Gajanan Mamidwar. Kesemua tertuduh didakwa di bawah kes pembunuhan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut.


Polis turut memaklumkan bahawa Saksham dan Himesh pernah berkawan rapat dan kedua-duanya mempunyai rekod jenayah.


Aanchal Mamidwar bercakap dengan media selepas 'perkahwinannya' dengan kekasihnya yang meninggal dunia. - Foto tangkap layar melalui video PTI.
Juruteknik di Singapura ditahan lakukan provokasi, pecahkan cermin kereta

Juruteknik di Singapura ditahan lakukan provokasi, pecahkan cermin kereta


Polis menahan seorang juruteknik bagi membantu siasatan berhubung insiden keganasan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang semalam.


Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di kawasan Taman Bukit Kempas, Johor Bahru pada jam 7.50 petang.


Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai juruteknik di Singapura itu tiada memiliki rekod lampau. Ujian saringan air kencing juga negatif dadah.


"Pihak polis turut merampas sebuah motosikal dan suspek direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini (Rabu).


Semalam, tular di media sosial, seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa menjadi mangsa provokasi dan diserang seorang penunggang motosikal di lebuh raya tersebut.


Klip video berdurasi 24 saat yang dimuat naik menerusi laman Facebook itu menunjukkan penunggang terbabit memecut motosikal di belakang kereta sebelum membaling batu ke arah cermin belakang kenderaan berkenaan.


Sementara itu, Kumarasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat selain Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.


Lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden membaling batu pada cermin belakang kenderaan ditahan reman. - Foto Sinar Harian.

Selasa, 2 Disember 2025

Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta - PM Anwar

Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta - PM Anwar


Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, pelaburan ini berdasarkan keyakinan terhadap perancangan jangka panjang negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.


"Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan Malaysia, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99 peratus siap," kata beliau dalam catatan di laman media sosial semalam.


Terdahulu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, anak Malaysia yang telah mengharumkan nama negara dalam industri semikonduktor dan perisian di persada global.


"Dalam pertemuan tersebut, kami membincangkan perkembangan sektor semikonduktor serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi," kata beliau.


Anwar turut menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan melalui mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan yang telah menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun.


"Segala pelaburan ini mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem bakat tempatan dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia," kata beliau.

JIM serbu sarang pelacuran 'tumpuan' warga asing di Klang, 17 orang ditahan

JIM serbu sarang pelacuran 'tumpuan' warga asing di Klang, 17 orang ditahan


Seorang lelaki dikenali sebagai 'Kevin' dikesan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport bagi mendalangi kegiatan pelacuran kepada warga asing dengan bayaran RM50 hingga RM80 setiap sesi.


Ia dibongkar hasil serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas sarang pelacuran di sebuah rumah kedai tiga tingkat membabitkan warga asing di kawasan Klang Sentral, yang diuruskan lelaki warga Bangladesh dikenali 'Kapten'.


Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan pada jam 10.25 malam semalam dan seramai 17 warga asing ditahan.


Katanya, serbuan susulan aduan awam dan risikan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM, Putrajaya selama dua minggu.


Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 14 pegawai pelbagai pangkat diatur gerak ke kawasan terbabit.


"Seramai 21 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan wanita warganegara asing serta satu lelaki dan dua kanak-kanak lelaki warganegara tempatan diperiksa dalam operasi ini.


"Hasilnya, seramai lapan lelaki warganegara Bangladesh dan sembilan wanita warganegara Vietnam berusia antara 21 hingga 32 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya dalam kenyataan hari ini.


Zakaria berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.


"Modus operandi kegiatan tidak bermoral terbabit adalah dengan menyediakan tempat penginapan bagi wanita warganegara asing ini menjalankan aktiviti mereka dengan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport seperti yang dipamerkan menerusi papan tanda di luar bangunan tiga tingkat itu.


"Sarang pelacuran ini diuruskan oleh seorang lelaki warganegara Bangladesh yang bertindak sebagai 'kapten' atau penjaga premis di mana sasaran mereka adalah dalam kalangan warga asing yang berada di dalam kawasan berhampiran lokasi itu," katanya.


Beliau berkata, salah seorang pelanggan warga asing yang ditahan mengaku membayar sebanyak RM50 hingga RM80 kepada 'kapten' bagi setiap sesi perkhidmatan seks yang ditawarkan.


"Dianggarkan jumlah keuntungan yang diperolehi setiap wanita warga asing terbabit adalah sebanyak RM400 hingga RM600 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan.


"Siasatan awal mendapati 'kapten' diupah untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini oleh seorang lelaki warganegara tempatan yang dikenali sebagai 'Kevin'.


"Pemeriksaan dalam setiap bilik wanita turut menemui sebilangan besar alatan untuk menjalankan kegiatan seks seperti kondom dan gel pelincir pelbagai jenama," katanya.


Katanya, kesemua warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


"JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.


"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.


Antara warga asing ditahan JIM di kawasan Klang Sentral, Selangor. - Foto JIM.

Isnin, 1 Disember 2025

Usahawan permainan video miliki 300 anak tuntut RM175 juta daripada bekas kekasih

Usahawan permainan video miliki 300 anak tuntut RM175 juta daripada bekas kekasih


Seorang usahawan permainan video di China memfailkan saman bagi menuntut wang sebanyak 300 juta yuan (RM175 juta) daripada bekas teman wanitanya dalam pertikaian yang mencetuskan kemarahan di media sosial, lapor laman berita VNExpress semalam.


Pengasas permainan video Fantasy Westward Journey, Xu Bo tinggal bersama bekas kekasihnya, Tang Jing selama 14 tahun tanpa berkahwin.


Pemfailan mahkamah mengatakan bahawa Xu telah memindahkan 819 juta yuan (RM480 juta) kepada Tang antara tahun 2012 hingga 2018.


Xu mendakwa, Tang telah memulangkan kira-kira 515 juta yuan (RM300 juta) tetapi menurutnya, kira-kira 300 juta yuan masih belum dibayar. Justeru, dia memfailkan saman pada tahun 2024.


Awal bulan ini, Tang menulis hantaran online mengatakan bahawa dana itu dibelanjakan untuk menyokong apa yang digambarkan sebagai 'keluarga besar dengan 300 anak'. Xu didakwa sebagai bapa kepada kanak-kanak itu.


"Sebahagian besar wang yang saya terima digunakan untuk kos sara hidup harian kami dalam tempoh itu," kata Tang.


Tang berkata, mahkamah menolak tuntutan pembayaran balik Xu dan wanita itu kini memelihara 11 anak mereka.


Xu sebelum ini mengiklankan di media sosial untuk mendapatkan ramai teman wanita, dengan mengatakan matlamatnya adalah untuk menjadi bapa kepada sekurang-kurangnya 50 anak lelaki yang berkualiti tinggi.


Kes itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial di China dengan ramai yang mengecam perbuatan tersebut.


"Bolehkah sesiapa menghentikannya? Hanya kerana dia mempunyai kekayaan, adakah itu bermakna dia boleh membesarkan anak-anak seperti ternakan?" tulis seorang pengguna media sosial.


"Kanak-kanak bukan serangga. Adakah dia menjalankan sejenis eksperimen pembiakan manusia?" kata pengguna media sosial lain.


Xu (kiri) menuntut wang sebanyak 300 juta yuan daripada Tang (kanan). - Foto Baidu.