Amerika Syarikat (AS) tidak melihat perjanjian perdagangan yang ditandatangani bersama Malaysia menjejaskan kedaulatan negara ini.
Sebaliknya, Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard Kagan, berkata beliau percaya keputusan Malaysia bagi menjalinkan hubungan dengan lebih rapat dengan AS melalui perjanjian perdagangan itu dibuat secara berdaulat oleh kerajaan negara ini.
"Saya langsung tidak bersetuju dengan dakwaan itu. Perkara utama di sini ialah apabila kita bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi dalam aktiviti ekonomi, maka perlunya wujud kerjasama yang lebih erat.
"Dan saya rasa kita melihat perkara itu dalam banyak bidang. Kita juga menjelaskan sejak beberapa tahun memang ada isu yang kita tidak sependapat, tetapi saya percaya perjanjian ini melindungi kedaulatan Malaysia.
"Keputusan untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan AS dibuat secara berdaulat oleh kerajaan Malaysia sendiri. Saya fikir ini mencerminkan dasar kerajaan yang jelas," katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur.
Kunjungan Presiden AS, Donald Trump, semalam ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menyaksikan beberapa perjanjian ditandatangani antaranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan perjanjian untuk menaik taraf hubungan dua hala ke arah Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Terdahulu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mendakwa ART yang ditandatangani Malaysia dilihat bukanlah satu bentuk timbal balik seperti yang digambarkan, sebaliknya adalah satu bentuk penyerahan terhadap AS.
Mohamed Azmin mendakwa salah satu klausa paling merugikan ialah Artikel 5.1, yang mewajibkan Malaysia mengikut sekatan perdagangan atau sekatan ekonomi AS terhadap negara lain.
Pada masa sama, Kagan berkata, kejayaan memeterai perjanjian perdagangan yang dibuat dengan semangat sahabat, menunjukkan AS menghormati kedaulatan Malaysia sepanjang proses itu berlangsung.
"Jika kita imbas kembali pada bulan April, apa yang dikatakan pembangkang di Malaysia? Mereka berkata Malaysia memerlukan satu perjanjian dengan AS.
"Terdapat pandangan meluas, dan saya percaya pandangan itu masih kekal, bahawa adalah sangat penting bagi Malaysia untuk terus mempunyai hubungan perdagangan istimewa dengan AS," katanya.
Kagan turut mengulas mengenai Artikel 5.3 yang menyatakan bahawa jika Malaysia ingin memeterai perjanjian perdagangan bebas baharu dengan negara lain, ia mesti mendapat persetujuan AS sekiranya negara itu berpendapat perjanjian terbabit boleh menjejaskan kepentingannya.
Katanya, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu penyerahan kedaulatan, sebaliknya ia lebih kepada pengiktirafan ketika dua negara berkenaan memasuki fasa baharu dalam hubungan dua hala.
"Saya fikir begitulah hubungan antara rakan kongsi rapat berfungsi. Sekiranya AS melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan Malaysia, contohnya menandatangani perjanjian yang mengancam kepentingan Malaysia, kita juga mengharapkan kerajaan Malaysia akan membangkitkannya dengan kami.
"Begitu juga sebaliknya. Jadi saya tidak melihat ini sebagai penyerahan kedaulatan, tetapi lebih kepada pengiktirafan bahawa kita sedang memasuki fasa baharu dalam hubungan dua hala," katanya.
Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya kehilangan akses kepada pasaran eksport keduanya yang terbesar hanya kerana isu terbabit dalam perjanjian berkenaan.
Katanya, Malaysia tidak rugi dengan perkembangan itu kerana negara memperoleh akses kepada pasaran AS yang amat penting dalam pembangunan ekonomi negara dan menjadi salah satu pasaran eksport terbesar di dunia.
"Ini adalah sebahagian daripada proses rundingan. Dalam mana-mana rundingan, ada perkara yang kita peroleh, dan ada yang kita lepaskan.
"Dari perspektif AS pula, ada yang mungkin bukan ideal bagi kami, tetapi keseluruhannya, perjanjian ini amat menguntungkan kedua-dua pihak.
"Ia memberikan kepastian, kestabilan, dan hala tuju kepada hubungan perdagangan yang seimbang yang dalam jangka panjang sangat baik bukan sahaja untuk rakyat Malaysia dan AS, tetapi juga untuk ekonomi global secara keseluruhan," katanya.
Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan pada sidang media pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur. - Foto Harian Metro.