Selasa, 9 Jun 2026

23 NGO serta parti politik gesa hentikan gelombang kebencian terhadap Rohingya

23 NGO serta parti politik gesa hentikan gelombang kebencian terhadap Rohingya

(Foto dijana AI)

Dua puluh tiga badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik menggesa semua pihak menghentikan gelombang kebencian terhadap pelarian Rohingya.


Antara NGO yang tampil menyuarakan kebimbangan itu ialah Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), BERSIH, Parti Sosialis Malaysia dan SIS Forum (Malaysia).


Menerusi kenyataan bersama, NGO terbabit menyifatkan gelombang kebencian dan intimidasi yang semakin meningkat terhadap komuniti Rohingya adalah membimbangkan dan memalukan.


Menurut kenyataan itu, penyebaran maklumat palsu yang menggambarkan komuniti Rohingya sebagai pihak yang menuntut kewarganegaraan, kuasa politik atau autonomi wilayah sengaja direka dan diperluaskan bagi mencetuskan ketakutan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat.


"Dakwaan palsu yang menggambarkan pelarian Rohingya sebagai pihak yang menuntut kewarganegaraan, kuasa politik atau autonomi wilayah telah sengaja direka dan diperluaskan untuk menghasut ketakutan dan permusuhan.


"Pemimpin komuniti melaporkan mereka menerima ancaman, maklumat peribadi serta alamat rumah disebarkan secara dalam talian, manakala keluarga mereka hidup dalam ketakutan terhadap gangguan dan keganasan," menurut kenyataan itu.


Menurut gabungan NGO berkenaan, komuniti Rohingya datang ke Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan keselamatan selepas menjadi mangsa penganiayaan, diskriminasi sistematik serta keganasan di Myanmar.


"Golongan itu tidak sepatutnya menjadi sasaran penghinaan, ancaman atau layanan tidak berperikemanusiaan hanya kerana status mereka sebagai pelarian.


"Walaupun Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, negara ini masih mempunyai tanggungjawab untuk melindungi maruah manusia serta mencegah diskriminasi selaras komitmen hak asasi manusia antarabangsa yang sudah diratifikasi.


"Semua individu dalam sempadan negara ini perlu dilayan secara berperikemanusiaan dan dilindungi daripada keganasan, intimidasi serta penderaan," katanya.


Sehubungan itu, mereka menggesa pemimpin politik, organisasi media, platform media sosial serta agensi penguat kuasa memainkan peranan lebih aktif dalam mengekang penyebaran maklumat palsu dan menangani ancaman terhadap pelarian.


"Kekecewaan berhubung cabaran ekonomi dan sosial tidak akan dapat diselesaikan dengan menyasarkan golongan yang mempunyai paling sedikit kuasa dan perlindungan.


"Pada ketika kebencian sedang diperluaskan, kami menyeru semua rakyat Malaysia memilih kemanusiaan berbanding permusuhan, kebenaran berbanding maklumat salah dan solidariti berbanding ketakutan," katanya.


Perkampungan di Bukit Malut, Langkawi yang menjadi penempatan warga Rohingyan (gambar fail). - Foto NSTP.
Flat haram Hulu Langat: Pemilik benarkan pembinaan struktur tanpa kelulusan - ADUN Dusun Tua

Flat haram Hulu Langat: Pemilik benarkan pembinaan struktur tanpa kelulusan - ADUN Dusun Tua


Flat haram yang tular didakwa menjadi penempatan warga asing di Sungai Tekali, Hulu Langat dipercayai berpunca daripada tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan tersebut dan pembinaan struktur tanpa kelulusan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, penempatan itu turut menyediakan kemudahan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik sekali gus bukan sahaja melanggar peraturan ditetapkan, malah menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu itu secara berkesan.


"Perkara ini bukanlah isu baharu dan telah saya bangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi-agensi berkaitan.


"Untuk makluman, pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan," katanya pada hantaran Facebook hari ini.


Beliau berkata, memandangkan sebahagian tindakan dan maklumat berkaitan melibatkan operasi penguatkuasaan tidak boleh didedahkan secara terbuka, banyak perkara serta bukti tidak dapat dikongsikan kepada umum pada ketika ini.


"Namun, berdasarkan maklumat dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan, jelas bahawa peranan pemilik tanah merupakan antara faktor utama menyumbang kepada berlarutannya isu ini.


"Perkara ini akan saya bangkitkan semula dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang. Pada pandangan saya, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka," katanya.


Beliau berkata, semua pihak terlibat perlu dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa agar penyelesaian yang diambil benar-benar menangani punca sebenar masalah.


Johan turut berterima kasih kepada pelakon dan penyampai radio, Azad Jasmin yang menularkan video berkenaan bagi membawa isu tersebut kepada perhatian umum.


Hari ini media melaporkan, satu perumahan flat empat tingkat didakwa dibina warga asing secara haram di Hulu Langat mengundang kemarahan rakyat Malaysia.


Dalam masa sama, tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Kutip telah dilaksanakan dengan penangkapan seramai 42 warga asing di sebuah struktur bangunan flat yang didirikan secara haram di Kampung Kenangan, Sungai Makau, Hulu Langat.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, tangkapan warga asing di lokasi tersebut telah dibuat pada 28 Februari tahun lalu hasil tindakan bersepadu Ops Kutip bersama Jabatan Imigresen Selangor.


Beliau dilaporkan berkata, masih terdapat penghuni di flat terbabit melibatkan dua keluarga iaitu pemilik dan penyewa warga tempatan.

'Mereka tidak menghormati budaya kita' Rohingya beban yang terus membesar

'Mereka tidak menghormati budaya kita' Rohingya beban yang terus membesar


Kehadiran komuniti Rohingya di beberapa daerah di Kedah menimbulkan kegusaran berikutan didakwa semakin bertambah dan dibimbangi akan membawa kepada pelbagai implikasi yang lebih besar pada masa hadapan.


Seorang pekerja swasta, Mohd Nizam Razman, 34, berkata, mereka didakwa menyewa di rumah kampung dan kawasan rumah kedai yang kurang mendapat perhatian ramai.


Menurutnya, bilangan mereka juga dilihat semakin bertambah dan mendatangkan rasa tidak selesa kepada penduduk setempat.


"Di sebuah kawasan rumah kedai yang disewa mereka di sini, pada awalnya ada beberapa pasangan sahaja namun kini dah bertambah dengan pasangan lain dan anak-anak mereka," katanya.


Perkara sama turut diakui oleh seorang mekanik, Khairi Mohamed, 45 yang mendakwa mereka hanya bermula dengan menyewa sebuah rumah dan kemudian bilangan rumah yang disewa semakin bertambah.


"Bila bercakap tentang komuniti ini, jadi serba salah disebabkan apa yang terjadi kepada mereka sebelum ini.


"Namun selepas beberapa tahun mereka tinggal di sini, penduduk tempatan pula mula tidak selesa dengan segelintir sikap mereka tidak menghormati budaya kita di sini," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU), Amirul Syahir Musa berkata, kebimbangan rakyat terhadap kehadiran warga Rohingya di sekitar di Kedah perlu diberikan perhatian


Menurutnya, isu ini bukan lagi perkara yang boleh dipandang ringan atau dibiarkan berlarutan tanpa tindakan yang tegas dan berkesan.


"Kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi menangani kemasukan serta penempatan warga asing yang semakin bertambah sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.


"Keutamaan kerajaan mestilah diberikan kepada kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat kita," katanya.


Jelasnya, walaupun rakyat negara ini memahami aspek kemanusiaan yang menjadi asas kepada bantuan terhadap pelarian, namun Malaysia tidak boleh menanggung beban yang berterusan tanpa rancangan jelas. - Sumber Sinar Harian.

PKR berisiko 'lenyap' selepas era Anwar Ibrahim, kata Rafizi

PKR berisiko 'lenyap' selepas era Anwar Ibrahim, kata Rafizi


Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meramalkan PKR bakal menghadapi risiko besar untuk lenyap selepas era Anwar Ibrahim jika parti itu terus mengekalkan struktur birokratik lama dan gagal melakukan pembaharuan.


Bercakap kepada pemberita selepas siri kedua majlis Jelajah Kancil di Hotel Seri Malaysia, di Ayer Keroh, Melaka, malam tadi, Rafizi menegaskan bahawa fokus PKR kini terlalu berpaksikan kepada kelangsungan politik Anwar semata-mata.


"Sebab keseluruhan fokus PKR ialah untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri untuk penggal kedua.


"Kalau tengok kepada lapisan kepimpinan seterusnya, pandangan saya sebagai bekas timbalan presiden dan sekarang ini sebagai pesaing, ada percanggahan yang besar contohnya di antara Bersama dengan PKR," katanya.


Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa PKR kini terpaksa bergantung kepada barisan kepimpinan lama ekoran ketiadaan pelan penggantian yang jelas bagi menarik minat golongan muda.


Dia juga menamakan beberapa tokoh kanan parti itu yang kembali diketengahkan bagi mengisi jawatan penting.



"PKR dia terbalik. Dia sebenarnya terpaksa melantik balik yang lama-lama. Terbaru Dr Zaliha (Mustapa), Saifuddin (Nasution) dilantik sebagai naib presiden dan juga bila naratif dan strategi itu berkisar kepada Anwar semata-mata, risiko itu besar kalau contohnya dia tidak menjadi perdana menteri selepas ini.


"Kalau contohnya dia masih lagi nak kekal menerajui PKR oleh kerana vakum itu tidak boleh diisi, maka tawaran dia itu lebih lemah kepada pengundi daripada tawaran pesaing-pesaing," katanya.


Menurut Rafizi, strategi meletakkan 100 peratus masa depan parti bersandarkan kepada Anwar untuk penggal kedua adalah langkah politik yang amat berisiko kerana tempoh tersebut mempunyai had masa yang tersendiri.


"Dia tak ada pembaharuan. Dia kalau sebelum ini tawaran kepada rakyat ialah kita nak tengok Anwar menjadi perdana menteri. Sekarang dah jadi perdana menteri, jadi kenapa ada lagi?


"Jadi strategik, naratif yang menumpukan 100 peratus masa depan PKR itu kepada Anwar menjadi perdana menteri penggal kedua sebenarnya adalah cukup berisiko.


"Kalau menang, tak apa, Tapi, itu hanya lanjutan tambahan hayat sebab satu penggal ya, lepas tu tak boleh dah. Dan apa yang akan berlaku selepas itu?" soalnya.


Rafizi yang kini menggerakkan wadah politik baru melalui Parti Bersama menjelaskan bahawa masa depan mana-mana parti politik kini bergantung sepenuhnya kepada keupayaan mereka mendekati pengundi baru, khususnya generasi muda.


Dia mendakwa struktur dalaman PKR kini terlalu rigid sehinggakan menyekat potensi pemimpin pelapis untuk menonjol.


"Kita tengok, cuma saya ingat masa depan mana-mana parti, bukan saja PKR, bergantung kepada sekuat mana kita menjadi daya tarikan kepada Gen Z. Jadi cabaran untuk semua. Jadi, PKR terpaksa berdepan dengan parti-parti lain yang lebih agresif untuk menarik Gen Z dan millennial.


"Dan setakat ini saya rasa PKR dan daripada pengalaman kita mengenai PKR sebelum inilah, saya rasa PKR akan ada bermasalah untuk menarik Gen Z dan millennial kerana keseluruhan struktur PKR itu telah menjadi begitu birokratik dan berlapis dan budaya politiknya juga bermakna yang muda-muda ini sangat payah nak naik," katanya.

Isnin, 8 Jun 2026

Elak emosi selesaikan isu pelarian Rohingya, keselamatan tidak dikompromi

Elak emosi selesaikan isu pelarian Rohingya, keselamatan tidak dikompromi


Kerajaan perlu menyeimbangkan aspek keselamatan dan kemanusiaan dalam pengurusan pelarian di negara ini, namun sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau sedar mengenai sentimen yang semakin kuat berhubung pengurusan pelarian, termasuk dari Rohingya, namun kerajaan tidak boleh mengendalikan isu itu secara emosi.


"Kita ada konteks kita, perlu seimbangkan antara keselamatan dan kemanusiaan. Jika mereka ada pilihan, apakah mereka akan datang ke sini ketika kampung halaman mereka dibakar, wanita mereka dirogol, identiti diri tidak diberikan dan masjid dimusnahkan.


"Dalam keadaan itu, apa pilihan mereka ada? Mereka sanggup menempuh lautan luas. Dalam banyak-banyak negara, Malaysia turut menjadi destinasi mereka dan ini bukan berlaku dua tiga tahun lalu. Ini isu legasi.


"Ia perlu diuruskan dan berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa serta mengharap keadaan berubah, itu tidak akan berlaku.


"Dalam menguruskan permasalahan ini, ia harus ada pertimbangan yang jelas, namun kita tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan sama sekali," kata ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan, petisyen penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau penempatan semula mereka di negara ketiga meraih lebih 319,500 tandatangan, setakat Jumaat lalu.


Petisyen yang dilancarkan akaun 'Aku Anak Malaysia' pada 29 Mei lalu itu turut menyasarkan sejuta sokongan, selain menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian alternatif bagi menangani kebanjiran pelarian etnik berkenaan.


Penganjur mendakwa, peningkatan jumlah etnik itu memberi tekanan terhadap sumber, infrastruktur dan perkhidmatan sosial negara.


Sementara itu, ketika sidang medianya, Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen akan mempergiat penguatkuasaan terhadap warga asing yang didapati menyalahguna pas lawatan sosial.


Ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.


"Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta Imigresen tapi jika membabitkan lesen perniagaan dan premis perniagaan, itu agensi kawal selia yang berkenaan.


"Sebab itu, Perdana Menteri arahkan supaya satu tindakan bersepadu dapat dibuat dan ia mahu tindakan itu sekarang, tanpa tangguh. Itu keputusan Kabinet," katanya.

Padah sebar video intim bekas suami dengan wanita lain (pengadu), wanita didenda RM2,800

Padah sebar video intim bekas suami dengan wanita lain (pengadu), wanita didenda RM2,800


Seorang pekerja kilang didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majestrit Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan menyebarkan video lucah membabitkan bekas suaminya dengan seorang wanita lain.


Tertuduh, Puteri Norfatimah Ishak, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.


Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didapati memiliki video dan gambar lucah dalam sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max. Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Ayer Keroh Lama dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 4 petang pada 11 Januari lalu.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, pada Disember tahun lalu, pengadu menerima satu rakaman video daripada kakaknya yang dihantar menggunakan nombor telefon dipercayai milik bekas isteri kepada seorang lelaki yang dikenalinya.


Video berkenaan memaparkan pengadu sedang melakukan hubungan seks dengan bekas suami tertuduh yang dirakam tanpa pengetahuan dan persetujuan pengadu.


Siasatan lanjut mendapati rakaman tersebut dipercayai telah disebarkan kepada beberapa ahli keluarga terdekat pengadu.


Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis kerana berasa teraniaya dan tidak berpuas hati dengan tindakan tertuduh yang didakwa menyebarkan rakaman berkenaan.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri ketika memohon hukuman setimpal berkata, kesalahan itu melibatkan penyebaran bahan lucah individu yang dikenal pasti sehingga mencabuli maruah serta privasi mangsa.


Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tindakannya dilakukan ketika berada dalam keadaan emosi selepas mengalami keguguran selain perlu menanggung ibu bapanya.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Dua beradik jatuh bangunan pangsapuri selang beberapa minit di Tampoi, Johor Bahru

Dua beradik jatuh bangunan pangsapuri selang beberapa minit di Tampoi, Johor Bahru


"Kami baharu buka paip tepi kolam mahu basahkan badan sebelum mandi, sekali terdengar bunyi kuat seakan benda jatuh," kata seorang wanita, antara saksi kejadian dua kanak-kanak jatuh bangunan pangsapuri di Tampoi, Johor Bahru pada jam 8 pagi semalam.


Berkongsi berkaitan kejadian menyayatkan hati itu menerusi laman sosial Instagram, wanita dikenali sebagai Irainany berkata, kolam renang berkenaan berada di tingkat tujuh.


Katanya, ketika itu suasana sangat sunyi memandangkan hanya empat individu berada di lokasi iaitu dia, suami, bayi mereka serta seorang pekerja bahagian pembersihan.


"Tak boleh lupa betapa cemasnya kami ketika itu apabila nampak seorang kanak-kanak perempuan jatuh selepas dengar bunyi yang kuat.


"Selepas itu, ramai jiran yang ke lokasi. Sampai kini saya masih trauma teringat kejadian. Ketika itu suami menyerahkan bayi kepada saya dan ke lokasi kanak-kanak itu terjatuh," katanya.


Beliau berkata, ketika itu dia, suami serta beberapa individu lain buntu melihat keadaan mangsa.


Menurutnya, selang beberapa minit mereka sekali lagi mendengar bunyi kuat, sebelum nampak seorang budak lelaki pula yang jatuh.


"Suami kemudian menghubungi ambulans dan meminta bantuan jiran lain," katanya.


Sementara itu, seorang lagi penduduk di kawasan berkenaan menerusi ruangan komen menyatakan, dia yang tinggal di tingkat 13 di blok berkenaan masih terkejut dengan kejadian.


"Kanak-kanak lelaki itu di kenali sebagai Irfan dan adiknya, Puteri. Selepas beberapa minit kejadian ibunya ke lokasi dan saya sempat memeluk ibu mereka bagi memastikan dia tenang," katanya.


Difahamkan kanak-kanak perempuan itu berusia lapan tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala abangnya berusia 10 tahun masih di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian. Beliau berkata, pihaknya akan memberikan kenyataan selepas siasatan dijalankan.


Gambar tular dan gambar internet. Pangsapuri lokasi kejadian dua kanak-kanak terjatuh dari bangunan di Tampoi pagi semalam.
3 lelaki Myanmar ditahan di Tanah Merah, 2 daripadanya guna kad UNHCR palsu

3 lelaki Myanmar ditahan di Tanah Merah, 2 daripadanya guna kad UNHCR palsu


Tiga lelaki warga Myanmar ditahan selepas dua daripadanya dipercayai menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, dekat Tanah Merah, semalam.


Mereka berusia 21 hingga 28 tahun ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada jam 9 malam oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA).


Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas di SJR Lalang Pepuyu menahan sebuah kereta jenis Chevrolet Optra kelabu yang mencurigakan.


Katanya, pasukan bertugas mengarahkan kereta itu berhenti dan pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 28 tahun mempunyai kad UNHCR masih sah, namun dua penumpang memiliki kad UNHCR meragukan dan disyaki palsu.


"Pemandu ditahan kerana disyaki menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang asing tanpa izin mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.


"Dua penumpang pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana disyaki memalsukan dokumen perjalanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, kereta Chevrolet Optra bernilai RM40,000, empat telefon bimbit bernilai RM4,000 dan tiga kad UNHCR dirampas.


Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu masuk ke Malaysia pada 2019 dengan menaiki kapal dari Sittwe Myanmar melalui Pulau Langkawi dan bekerja sebagai buruh binaan di Johor Bahru selama lima tahun sebelum berpindah ke Kajang Utama, Selangor bersama isteri dan anak yang juga warga Myanmar.


"Mereka yang bekerja sebagai buruh binaan di Kajang Utama mula kenal ketika membina rumah pemilik kereta di Johor pada 2019 dan hampir dua minggu pemandu menggunakan kenderaan dengan kebenaran.


"Ketiga-tiga suspek mendakwa dalam perjalanan dari Kajang Utama ke Batu Karang, Pasir Mas untuk melawat ibu saudara yang sakit. Namun pemeriksaan di lokasi mendapati rumah yang dimaksudkan tidak wujud.


"Barang kes dan tiga lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). Mereka dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

Ahad, 7 Jun 2026

Suami dipenjara, isteri dicekup berkhalwat dengan seorang pemuda pada malam Jumaat

Suami dipenjara, isteri dicekup berkhalwat dengan seorang pemuda pada malam Jumaat

(Foto dijana AI)

Seorang wanita yang suaminya sedang menjalani hukuman penjara dicekup berkhalwat dengan seorang pemuda oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah rumah di Batu Berendam, Melaka pada malam Jumaat lalu.


Dalam operasi kira-kira pukul 12.25 tengah malam itu, penguat kuasa memeriksa sebuah rumah selepas menerima aduan awam mengenai kes berkenaan.


Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, pemeriksaan anggota penguat kuasa JAIM kemudian menemukan wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kerani di dalam rumah.


"Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja di sebuah kafe sedang bersembunyi di dalam almari di tingkat atas rumah tersebut bagi mengelak dikesan.


"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit masih bujang manakala wanita berkenaan sudah berkahwin, namun suaminya sedang menjalani hukuman penjara," katanya hari ini.


Tambahnya semakan lanjut mendapati, kedua-duanya gagal mengemukakan sebarang dokumen atau hubungan mahram sebelum dibawa ke pejabat JAIM bagi tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut.


Md Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat apabila berdua-duaan sehingga mendatangkan syak di dalam rumah berkenaan.


"Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan JAIM dari semasa ke semasa sebenarnya bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak.


"Ia sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi tuntutan agama dan mengelakkan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan bertentangan dengan hukum syarak," katanya.

Tiada etnik Rohingya kerja punggah ikan di kompleks LKIM Pulau Kambing

Tiada etnik Rohingya kerja punggah ikan di kompleks LKIM Pulau Kambing


Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan (PNKKTS) menafikan pembabitan warga Rohingya memunggah ikan di dalam kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing, Kuala Terengganu.


Pengerusi PNKKTS, Mohd Razif Embong berkata, pihaknya tidak membenarkan warga asing memasuki kawasan kompleks untuk menjalankan aktiviti pemunggahan hasil laut.


Katanya, PNKKTS dengan kerjasama pengurusan LKIM turut melarang kemasukan warga asing membeli belah hasil laut di Pasar Nelayan di dalam kompleks LKIM Pulau Kambing.


"Saya menafikan sekerasnya pembabitan warga asing terutama etnik Rohingya di dalam dan di luar kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing seperti diviralkan melalui laman sosial.


"Kita sudah melakukan siasatan dan mendapati gambar sekumpulan etnik Rohingya yang didakwa siap menangkap ikan untuk disimpan stok untuk mereka bukan berlaku di dalam dan di luar kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing," katanya.


Beliau mengulas isu tular sekumpulan warga asing didakwa sedang menangkap ikan untuk simpanan stok bagi kegunaan mereka berhampiran tiga lori di kompleks LKIM Pulau Kambing.


Mengulas lanjut, Mohd Razif menegaskan gambar yang dimuatnaik itu bukan di kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing, sebaliknya di lokasi lain.


"Kita menegaskan semua warga asing termasuk etnik Rohingya tidak dibenarkan memasuki kawasan kompleks LKIM.


"Kita akan memberi kerjasama termasuk melaporkan kepada agensi penguat kuasa terutama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri jika terdapat warga asing memasuki kawasan kompleks," katanya.