Jumaat, 21 November 2025

Polis tahan dua lelaki lakukan perkara tak senonoh dalam kereta

Polis tahan dua lelaki lakukan perkara tak senonoh dalam kereta


Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam rakaman melakukan perkara tidak senonoh di dalam kereta seperti tersebar beberapa hari lalu.


Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki masing-masing berusia 19 dan 36 tahun itu ditahan pada semalam dan hari ini.


"Polis Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan siasatan terhadap dua laporan polis yang diterima berhubung penularan video di media sosial berkaitan kelakuan tidak senonoh dua individu dalam sebuah kenderaan.


"Hasil siasatan, polis mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Bahau. Tangkapan dibuat ke atas dua lelaki pada semalam dan hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Alzafny berkata, turut dirampas sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dan dua telefon bimbit.


Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan bagi kesalahan kelucahan melampau di tempat awam dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun.


"Polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas penularan berita tidak benar dalam media sosial mengaitkan kes ini dengan imam masjid di daerah Seremban.


"Kami sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan peruntukkan undang-undang sedia ada.


"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruangan awam mahupun media sosial," katanya.

Khamis, 20 November 2025

FIFA boleh naikkan denda, penggantungan jika rayuan FAM gagal di CAS - Hannah Yeoh

FIFA boleh naikkan denda, penggantungan jika rayuan FAM gagal di CAS - Hannah Yeoh


Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) boleh meningkatkan denda dan penggantungan sekiranya rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berjaya di peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, ketika ini FIFA melalui jawatankuasa rayuan memutuskan untuk mengekalkan keputusan asal iaitu mengenakan denda RM1.8 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


Katanya, FIFA turut mengekalkan hukuman terhadap tujuh pemain termasuk penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak serta denda RM10,500 bagi setiap pemain.


"FAM bagaimanapun mengesahkan akan membawa kes itu ke CAS. Sekarang ini ada dua proses yang sedang berlangsung. Pertama, skop siasatan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.


"Skop siasatan Tun Raus adalah untuk meneliti prosedur dalaman dan prosedur operasi standard FAM dalam pengurusan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya yang digantung selama 12 bulan.


"Tujuannya adalah bagi memastikan kegagalan seperti ini tidak berlaku lagi. Ia juga selari dengan perenggan 246 Laporan Jawatankuasa Rayuan FIFA," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi KBS di Dewan Rakyat, hari ini.


Hannah berkata, laporan dan hasil siasatan oleh Tun Raus adalah sangat penting untuk disiapkan secepat mungkin.


"Saya sudah meminta Pesuruhjaya Sukan untuk meneliti dan memberikan kerjasama bagi mengambill tindakan terhadap sebarang penemuan untuk pastikan ia tidak berulang lag," katanya.


Hannah berkata, CAS boleh menyarankan kepada FIFA untuk meningkatkan denda dan penggantungan jika FAM tidak berjaya di peringkat CAS.


"Selepas itu, jika FAM kalah di CAS, FIFA tribunal akan bermesyuarat untuk mengambil keputusan berhubung status tujuh pemain berkenaan sama ada boleh bermain untuk Malaysia atau tidak.


"Keputusan itu boleh dirayu oleh FAM ke CAS sekali lagi, selepas itu ia akan dipanjangkan ke AFC untuk tindakan selanjutnya dalam konteks perlawanan kelayakan Piala Asia.


"Jika keputusan berhubung pemain itu tidak berubah, Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula akan membuat keputusan," katanya.


Hannah berkata, AFC sudah maklumkan kepada FIFA untuk membuat keputusan sebelum 31 Mac 2026 iaitu tarikh akhir perlawanan kelayakan Piala Asia.


"Jika FAM masih kalah di peringkat CAS, mengikut peraturan sedia ada di AFC, keputusan perlawanan akan dikira terbatal dan pasukan lawan akan diberikan tiga mata dan tiga gol," katanya menjelaskan Jawatankuasa AFC berhak jatuhkan hukuman lain selain daripada potongan mata.


Hannah Yeoh di  Dewan Rakyat. - Foto Bernama.

Rabu, 19 November 2025

Lelaki pukul polis trafik berang ditegur tak pakai helmet

Lelaki pukul polis trafik berang ditegur tak pakai helmet


Seorang penunggang motosikal di Maros, wilayah Sulawesi Selatan mengundang perhatian ramai apabila cuba menyerang anggota polis trafik hanya kerana ditegur tidak memakai topi keledar, dalam kejadian di Jalan Sam Ratulangi kelmarin, lapor portal berita INews Sulsel.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @rakyatsulsel menunjukkan lelaki terbabit mengamuk dan cuba memukul anggota terbabit sambil dihalang isterinya.


Ketua Unit Trafik Polis Maros, AKP Muhammad Arafah memberitahu bahawa penunggang motosikal itu pada awalnya ditegur kerana tidak memakai topi keledar.


"Lelaki itu kemudian diarah untuk mengelak daripada memasuki kawasan kawalan trafik tetapi arahan tersebut diabaikan, menyebabkan dia ditahan dan diminta untuk menunjukkan dokumen kenderaan.


"Dia bagaimanapun menunjukkan sikap agresif dan cuba menyerang salah seorang anggota kami," kata Muhammad.


Anggota berkenaan diarah untuk membuat laporan agar siasatan dapat dijalankan.


Tangkap layar video menunjukkan lelaki itu cuba memukul anggota polis trafik selepas ditegur tidak memakai topi keledar. - Foto Istimewa.

Selasa, 18 November 2025

Khidmat urut tawar seks songsang guna aplikasi media sosial tumpas

Khidmat urut tawar seks songsang guna aplikasi media sosial tumpas


Menggunakan aplikasi media sosial bagi menawarkan perkhidmatan urutan badan yang diselitkan aktiviti seks songsang terbongkar menerusi serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis di Taman Miharja, Kuala Lumpur semalam.


Lebih mengejutkan, kegiatan tidak bermoral itu turut menyasarkan pelanggan lelaki tempatan, selain warga asing, dengan bayaran antara RM200 hingga RM800 bagi setiap perkhidmatan yang dibayar secara dalam talian.


Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi khas itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam selama dua minggu sebelum pasukannya digerakkan ke lokasi pada jam 10.37 malam.


Beliau berkata, operasi melibatkan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu turut menahan 18 lelaki, masing-masing 15 warga Myanmar, seorang warga Vietnam, seorang warga India serta seorang warga Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.


"Modus operandi mereka ialah menawarkan urutan badan dan aktiviti seks songsang kepada pelanggan lelaki tempatan dan asing menerusi aplikasi Telegram serta WhatsApp.


"Kumpulan ini dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan memperoleh keuntungan dengan mengenakan bayaran tinggi yang dibayar menerusi dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.



Katanya, semakan awal mendapati seorang warga India yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan.


"Selain itu, seorang warga Myanmar ditahan didapati mempunyai Pas Lawatan Sosial (PLS) manakala dua warga Myanmar serta seorang warga Vietnam didapati tinggal lebih masa.


"Baki 13 warga Myanmar lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini," katanya.


Menurutnya, pihaknya turut menyita pasport India, Vietnam dan Myanmar, selain buku tempahan pelanggan, kunci premis, kondom dan minyak pelincir yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut.


"Seramai 13 warga Myanmar ditahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, dua warga Myanmar dan seorang warga Vietnam di bawah Seksyen 6(3) akta sama.


"Manakala seorang warga India serta seorang warga Myanmar disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.


Tambahnya, semua individu ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala seorang lelaki warga tempatan diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.


"JIM komited meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencabul undang-undang.


"Tindakan berterusan diambil demi mempertahankan kestabilan dan kemakmuran Malaysia MADANI agar negara kekal aman dan sejahtera," katanya.


Kumpulan ini dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan memperoleh keuntungan dengan mengenakan bayaran tinggi yang dibayar menerusi dalam talian.

Isnin, 17 November 2025

Indonesia rancang hantar 500,000 pekerja migran ke luar negara

Indonesia rancang hantar 500,000 pekerja migran ke luar negara


Kerajaan Indonesia merancang untuk menghantar 500,000 pekerja migran ke luar negara pada tahun 2026, dengan 300,000 daripada mereka terdiri daripada graduan Sekolah Menengah Kejuruan (SMK).


Timbalan Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (P2MI), Christina Aryani menjelaskan, inisiatif ini merupakan salah satu program keutamaan yang diarahkan oleh Presiden Indonesia dan menekankan bahawa graduan SMK akan melalui latihan khusus sebelum dihantar bekerja di luar negara.


"Mereka yang telah menamatkan pengajian akan diberikan peningkatan kompetensi termasuk latihan teknikal dan bahasa supaya mereka bersedia berlepas sebaik tamat latihan," kata Christina selepas menghadiri mesyuarat antara kementerian dengan Menteri Koordinasi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (Menko PMK) di Jakarta Pusat.


Bagi baki 200,000 pekerja migran, Christina menjelaskan bahawa peluang ini terbuka kepada orang awam termasuk pelajar SMK yang masih menuntut.


Latihan khusus akan diberikan supaya pelajar dapat mempersiapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk bekerja di luar negara selepas tamat pengajian.


"Baki 200,000 ini akan diambil daripada masyarakat umum dan pelajar yang sedang belajar di SMK. Mereka akan menerima pendidikan dan latihan khusus supaya apabila menamatkan pengajian, mereka sudah bersedia untuk berkhidmat di luar negara," jelas beliau.


Christina menegaskan bahawa sasaran 500,000 pekerja migran merupakan sasaran minimum yang ditetapkan oleh Presiden Indonesia.


Program ini juga diharap dapat meningkatkan kualiti tenaga kerja negara itu di peringkat antarabangsa dan menyediakan pengalaman profesional yang berharga kepada rakyat.


Kerajaan Indonesia menekankan bahawa latihan ini bukan sahaja merangkumi kemahiran teknikal tetapi juga penguasaan bahasa dan kebolehan menyesuaikan diri dengan budaya serta persekitaran kerja di negara penerima.


Usaha ini diambil sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan pekerja Indonesia di pasaran global.


Christina Aryani. - Foto Agensi.

Ahad, 16 November 2025

Temui cinta baharu ketika isteri masih dibekukan tunggu untuk 'dihidupkan semula'

Temui cinta baharu ketika isteri masih dibekukan tunggu untuk 'dihidupkan semula'


Suami kepada wanita pertama di China yang dibekukan secara kriogenik akibat kanser paru-paru mencetuskan perdebatan moral selepas memulakan hubungan baharu ketika isterinya masih disimpan dalam keadaan beku, lapor South China Morning Post.


Gui Junmin, 57, membuat keputusan membekukan isterinya, Zhan Wenlian, pada 2017 selepas doktor memaklumkan bahawa hayat wanita itu hanya berbaki beberapa bulan dengan harapan penawar kanser dapat ditemukan pada masa depan.


Zhan, 48, menjadi individu pertama di China yang diawet secara kriogenik selepas Gui menandatangani perjanjian selama 30 tahun dengan Institut Penyelidikan Sains Hayat Shandong Yinfeng yang bekerjasama dengan Hospital Qilu Universiti Shandong.


Selepas dua tahun hidup bersendirian, Gui menyedari risiko hidup tanpa peneman apabila serangan gout pada 2020 menyebabkannya terlantar tidak bermaya selama dua hari sebelum pintu rumahnya terpaksa dipecahkan oleh saudara-mara.


Lelaki itu kemudian diperkenalkan kepada wanita yang kini menjadi pasangannya, Wang Chunxia yang bekerja sebagai ejen insurans menerusi seorang rakan sebelum hubungan mereka berkembang menjadi lebih serius.



Walaupun Wang menjaganya dengan penuh perhatian, Gui mengakui bahawa hubungan mereka lebih bersifat 'utilitarian' atau atas dasar keperluan kerana wanita itu belum dapat menggantikan tempat isterinya di dalam hati.


"Saya rasa bertanggungjawab terhadapnya tetapi dia tidak akan dapat menggantikan isteri saya. Saya tidak boleh melupakan masa lalu, namun perlu meneruskan hidup," katanya kepada media.


Terdapat perbezaan latar belakang yang ketara antara mereka apabila Gui stabil daripada segi kewangan dan bergaul dalam lingkungan dihormati manakala Wang berasal dari luar bandar serta pernah bekerja sebagai buruh kilang dan pelayan.


Walaupun menegaskan Zhan tidak boleh diganti, Gui mengakui dia kini bergantung kepada Wang untuk urusan harian terutamanya selepas menjalani pembedahan jantung yang menjejaskan pergerakannya.


Gui kini berdepan dilema sama ada perkahwinan dengan Wang akan dianggap sebagai bigami pada masa depan selain persoalan rumit mengenai pengurusan aset sekiranya Zhan berjaya dihidupkan semula.


Kisah itu mencetuskan kontroversi dalam talian apabila ada netizen menyifatkan tindakan itu sebagai 'poligami emosi' dan mengkritik Gui kerana bersikap mementingkan diri sendiri dalam perhubungan.


Gui bersama pasangan baharunya Wang (tengah). - Foto infzm.com.

Gambar kenangan Gui bersama isterinya, Zhan. - Foto infzm.com.
Isteri bunuh suami guna kapak bimbang skandal dengan adik ipar terbongkar

Isteri bunuh suami guna kapak bimbang skandal dengan adik ipar terbongkar


Seorang wanita di Maharashtra dan adik iparnya ditahan polis selepas mereka mengaku membunuh suaminya kerana bimbang hubungan sulit mereka terbongkar.


Mangsa, Parameshwar Ram Tayde dari kampung Somthana ditemui mati dalam guni yang dibuang ke kolam Wala-Somthana pada Khamis pagi, selepas orang awam melihat guni terapung di kolam tersebut.


Laporan polis dibuat oleh bapa mangsa, Ram Natha, sebelum polis menahan isteri mangsa, Manisha dan adik lelaki mangsa, Gyaneshwar.


Kedua-duanya pada awalnya cuba mengelak menjawab tetapi akhirnya mengaku membunuh Tayde selepas disoal siasat secara agresif oleh polis.


Menurut polis, Manisha dan Gyaneshwar menjalin hubungan sulit dan Tayde dianggap sebagai penghalang.


"Mereka merancang pembunuhan, kemudian memukul kepala dan muka Tayde dengan kapak sehingga maut.


"Selepas itu, mayat mangsa dimasukkan ke dalam guni, diikat dan dibuang ke kolam, dengan batu ditambah untuk mengelakkan mayat timbul," ujar polis.


Kes kini dalam siasatan lanjut, dan kedua-dua suspek direman untuk tindakan undang-undang selanjutnya.


Manisha (kiri) dan Gyaneshwar (kanan) mengaku membunuh Tayde (tengah). - Foto Agensi.


Sabtu, 15 November 2025

Satu lingkaran misteri berbentuk cincin hitam muncul di langit Disneyland

Satu lingkaran misteri berbentuk cincin hitam muncul di langit Disneyland


Satu lingkaran berbentuk cincin dan berwarna hitam muncul di langit sebuah taman tema terkenal di negeri California, lapor akhbar The Sun UK.


Lingkaran hitam itu dirakam di ruang udara Taman Tema Disneyland, bandar Anaheim, baru-baru ini.


Penemuan itu dirakam oleh seorang pengguna jalan raya bernama Lori Nayahalski sebelum dikongsi di media sosial.


"Lingkaran hitam ini tidak hilang. Saya juga tidak tahu tetapi ia adalah sesuatu," kata Nayahalski.


Rakaman video itu menjadi tular dan mengundang pelbagai teori konspirasi bahawa taman tema tersebut berada di bawah pencerobohan makhluk asing.


"Makhluk asing juga tahu di mana tempat paling bahagia dunia (Disneyland)," kata seorang netizen.


Satu lingkaran berbentuk cincin hitam muncul di langit Taman Tema Disneyland. - Foto Lori Nayahalski/KTLA5.

Jumaat, 14 November 2025

Datuk 61 tahun kahwin gadis 19 tahun, mas kahwin Honda HRV

Datuk 61 tahun kahwin gadis 19 tahun, mas kahwin Honda HRV


Seorang warga emas berusia 61 tahun mengundang perhatian orang ramai apabila mengahwini seorang gadis berumur 19 tahun dan memberikan mas kahwin berupa sebuah kereta, lapor portal berita Tribunnews.


Perbezaan usia kira-kira 42 tahun tidak menghalang pasangan dari Jepara, wilayah Jawa Tengah itu untuk mendirikan rumah tangga.


Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @pembasmi.kehaluan.reall menunjukkan pasangan tersebut bergambar di atas pelamin sambil memegang sijil pernikahan mereka.


Pengantin lelaki bernama Haji Duriyanto itu menyerahkan sebuah kereta jenis Honda HR-V kepada isterinya sebagai mas kahwin.


Klip video itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Definisi sebenar tidak memandang rupa dan usia kecuali harta," kata seorang netizen. 


"Itu pilihan hidup dia,” kata pengguna media sosial lain.


Tangkap layar video menunjukkan pasangan pengantin bergambar bersama sijil pernikahan mereka di atas pelamin. - Foto Instagram.
Inspektor Sheila buat tiga laporan polis berbeza di ibu negara

Inspektor Sheila buat tiga laporan polis berbeza di ibu negara


Pegawai polis digantung tugas, Inspektor Sheila Sharon Steven Kumar, 37, membuat tiga laporan polis berbeza di ibu negara, semalam.


Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika diminta mengulas mengenai beberapa kejadian tular membabitkan wanita itu semalam.


Beliau berkata, laporan pertama yang dibuat pegawai itu kerana perasaan tidak puas hati terhadap tangkapan dijalankan ke atasnya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan laporan ini dirujuk kepada laporan asal untuk semakan menurut prosedur siasatan.


Katanya, laporan kedua pula dibuat kerana wanita itu mendakwa anggota polis tidak menghormatinya sebagai pegawai kanan, namun hasil penelitian polis mengklasifikasikannya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).


"Laporan ketiga membabitkan perselisihan faham antara wanita itu dengan seorang peniaga makanan yang tular di media sosial semalam namun diklasifikasikan sebagai tiada apa-apa kesalahan (NOD)," katanya dalam kenyataannya, hari ini.


Terdahulu, tular satu video klip berdurasi 43 saat memaparkan pertikaman lidah antara seorang wanita dan seorang peniaga kedai makan.


Inspektor Sheila, gambar fail. - Foto Bernama.