Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Rabu, 8 Februari 2023

Berang tidak diberi wang untuk kahwin, remaja 17 tahun bakar rumah ibu bapa

Berang tidak diberi wang untuk kahwin, remaja 17 tahun bakar rumah ibu bapa


Seorang remaja berusia 17 tahun bertindak nekad membakar rumah ibu bapanya kerana berang dimarahi dan tidak diberikan wang untuk belanja kahwin, lapor laman berita mamagini pada 7 Februari 2023.


Suspek yang dikenali sebagai Rangga Sariles berasal dari Tebo, wilayah Jambi, di Indonesia membakar rumah tersebut dengan dibantu rakan-rakannya.


Ketika kejadian, didapati bapanya sedang berkebun. Suspek dan rakannya kemudian masuk ke dalam rumah melalui tingkap bilik tidur dan menuang tiga liter petrol. Apabila api mula marak, mereka segera melarikan diri.


Menurut polis, suspek telah diberkas selepas didakwa membakar rumah ibu bapanya akibat marah tidak diberi wang untuk berkahwin.


Ketua Polis Tebo Tengah, Asisten Komisioner Polis Dedi Tanto Manurung mengesahkan penangkapan itu dengan suspek kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.


"Ya, terdapat aduan daripada mangsa bernama Amri yang mengatakan anaknya telah membakar rumahnya," kata Dedi, kelmarin.


Dalam kejadian pada Sabtu lalu, rumah milik pengadu di Jalan Kelompok Tani, kabupaten Tebo, wilayah Jambi hangus akibat dibakar. - Sumber Mamagini.


Petugas kecemasan memadamkan api daripada rumah yang terbakar di Tebo. - Foto iNewsTV/Budi Utomo.

Sabtu, 4 Februari 2023

Minum sampai 10 botol tapi tak nak bayar, malah berani tumbuk pemilik kedai depan polis

Minum sampai 10 botol tapi tak nak bayar, malah berani tumbuk pemilik kedai depan polis


Seorang lelaki warga asing bertindak berani memukul seorang pemilik kedai makan di hadapan beberapa pegawai polis, dalam satu kejadian di Bangsar, Kuala Lumpur malam semalam.


Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial, lelaki warga asing tersebut dipercayai enggan membayar kepada pemilik restoran sehingga terlibat dalam pergaduhan sebelum polis datang untuk meleraikan.


"Lelaki ini minum dan makan dekat sebuah kedai. Dia minum nak dekat 10 botol tetapi tiada duit nak bayar. Lepas itu, kurang ajar dengan pemilik dan cari gaduh.


"Dia yang mula menumbuk dulu, lepas itu baru pemilik balas. Mereka bergaduh sampai polis leraikan," menurut keterangan dari video tersebut.


Walau bagaimanapun, ketika pihak polis sedang menyoal siasat, lelaki warga asing itu bertindak bangun dan menumbuk pemilik kedai terbabit di hadapan pegawai polis.


Pihak polis kemudiannya mengawal segera situasi tersebut dan pemilik kedai diberikan bantuan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.


Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam tindakan lelaki warga asing itu yang dianggap sengaja menimbulkan pergaduhan gara-gara tidak ingin membayar.


"Kenapa dia perlu sebut banyak kali dia datang dari negara mana? Negara kita pun ada undang-undang, harap diberikan hukuman setimpal," komen seorang netizen.


"Sudahlah makan dan minum lepas itu tidak mahu bayar, lagi mahu cari gaduh dengan orang," komen pengguna yang lain pula. - Sumber Kosmo.


Tangkap layar video tular insiden pergaduhan melibatkan seorang lelaki kulit hitam dengan warga tempatan ketika sedang makan di sebuah restoran.

Khamis, 26 Januari 2023

Tular kucing bermata berlian, didakwa membawa tuah kepada pemiliknya

Tular kucing bermata berlian, didakwa membawa tuah kepada pemiliknya


Seekor kucing berwarna oren dengan mata kiri seperti berlian berkilat tular di media sosial Thailand pada Rabu lalu. Ia selepas rakaman video haiwan peliharaan itu dimuat naik di TikTok.


Seorang pengguna di media sosial tersebut memuat naik empat rakaman yang menunjukkan kucing jantan mempunyai mata kiri dengan pelbagai aksi.


Satu daripada rakaman itu menarik 1.5 juta tontonan, setakat awal petang Rabu.


Kebanyakan netizen menasihati pemiliknya supaya menjaga kucing itu dengan baik kerana ia dipercayai membawa kemakmuran.


Ada juga netizen yang mengambil kesempatan untuk meramalkan nombor bertuah bagi loteri Thailand, pada 1 Februari.


Nombor mungkin dipilih berdasarkan nama pengguna TikTok atau nombor bertuah yang dikaitkan dengan mimpi kucing (biasanya 4, 8 dan 7).


Ramai rakyat Thailand percaya bahawa kucing dengan mata berlian akan menyebabkan berlian diberikan kepada pemiliknya. Kepercayaan itu turut digambarkan dalam sebuah filem Thai pada 1972, Cat's Eye Diamond.


Walau bagaimanapun, apa yang orang Thailand sebut sebagai mata berlian pada kucing biasanya disebabkan oleh glaukoma, bukan tuah.


Foto kucing bermata berlian yang tular di TikTok.

Ahad, 22 Januari 2023

Wang lebih RM32 juta dalam bank lesap dicuri anak ketika terlantar sakit

Wang lebih RM32 juta dalam bank lesap dicuri anak ketika terlantar sakit


Seorang wanita berumur 83 tahun menerima wang ganti rugi sebanyak 207 juta baht (RM27.17 juta) selepas duit yang disimpan di sebuah bank di Bangkok dicuri anak perempuannya sendiri, lapor laman berita The Nation pada 20 Januari 2023.


Mahkamah Sivil Phra Khanong membuat keputusan itu dengan bank tersebut, empat pekerjanya termasuk timbalan pengurus cawangan serta anak perempuan wanita berkenaan didapati mencuri 250 juta baht (RM32.82 juta) daripada akaun banknya ketika dia terlantar sakit.


Wanita tersebut, Huai Sriwirat, memfailkan kes di mahkamah pada November 2019 dengan menuduh bank itu, empat pekerja dan anak keduanya, Mawadee Sriwirat memalsukan dokumen untuk memindahkan wang daripada akaun bank miliknya.


Pada Disember lalu, Mahkamah Jenayah Phra Khanong menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan denda 123 juta baht kepada Mawadee kerana memalsukan dokumen untuk mencuri lebih 250 juta baht daripada ibunya.


Semasa ibunya sakit tenat, Mawadee, 56, dilaporkan mengubah syarat mengeluarkan wang daripada akaun Huai di dua cawangan bank dengan bantuan kakitangan, demikian menurut tuntutan mahkamah.


Daripada memerlukan tandatangan, Mawadee dan rakan sejenayahnya menukar proses supaya hanya cap ibu jari diperlukan. Ini membolehkan Mawadee mengeluarkan lebih 250 juta baht daripada akaun bank Huai, yang dilakukannya dalam banyak transaksi kecil.


Mahkamah jenayah mendapati Mawadee bersalah kerana memalsukan dokumen dan 84 pertuduhan mencuri. Mahkamah juga memerintahkan dia membayar balik 123 juta baht kepada ibunya - plaintif dalam kes itu.


Mengenai kes sivil, peguam Huai, Ananchai Chaiyadech berkata bahawa Mahkamah Sivil Phra Khanong pada Khamis memerintahkan bank terbabit membayar ganti rugi 44.6 juta baht, ditambah faedah maksimum 7.5% setahun, kepada plaintif.


Defendan lain diperintahkan membayar pampasan antara 34.8 juta baht hingga 117 juta baht, menurut peguam itu. - Sumber The Nation Thailand.


Huai duduk di atas kerusi roda ketika ditemu bual pemberita. - Foto Thaiger.

Sabtu, 14 Januari 2023

Bilionair terkaya di dunia disaman pandu laju di pulau miliknya sendiri

Bilionair terkaya di dunia disaman pandu laju di pulau miliknya sendiri


Salah seorang lelaki terkaya di dunia telah disaman selepas memandu laju di sebuah pulau di Hawaii yang menjadi miliknya, lapor akhbar New York Post pada 11 Januari 2023.


Mogul teknologi, Larry Ellison mengaku salah melanggar undang-undang jalan raya selepas diminta berhenti oleh polis trafik di Pulau Lanai kerana memandu laju dan melanggar arahan papan tanda berhenti.


Ellison merupakan pengasas bersama syarikat perisian komputer, Oracle dan orang keenam terkaya di dunia dengan nilai kekayaan bersih yang dianggar majalah Forbes berjumlah AS$108.3 billion (RM469.5 bilion).


Pada Oktober tahun lalu, beliau dihentikan oleh seorang polis trafik ketika sedang memandu kereta jenama Corvette berwarna jingga berhampiran Manele Road.


"Sebab saya menahan kamu adalah kerana kamu melanggar arahan papan tanda berhenti dan memandu laju," kata anggota polis kepada Ellison dalam rakaman kamera badan yang disiarkan minggu ini.


Rakaman tersebut pada awalnya diperoleh oleh laman berita Hawaii News Now.


"Jika saya bersalah, saya minta maaf," jawab Ellison, yang membeli kira-kira 98 peratus daripada hartanah di Pulau Lanai pada harga AS$300 juta (RM1.3 bilion) lebih sedekad lalu.


Pegawai itu kemudian bertanya kepada Ellison: "Ada sebab mengapa khususnya?"


"Saya cuba pulang ke rumah untuk makan malam dengan anak-anak saya tetapi tiada alasan. Tiada alasan yang baik," jawab Ellison.


Ellison mencari beberapa dokumen yang diminta selama beberapa minit sebelum memberitahu anggota berkenaan bahawa dia tidak membawa lesen memandunya.


Anggota Jabatan Polis Maui yang bertugas di Pulau Lanai itu kemudian merekodkan kesalahan Ellison.


Wakil rakyat tempatan, Gabe Johnson memuji anggota polis itu kerana menguatkuasakan undang-undang walaupun terhadap Ellison selaku tuan tanah. - Sumber New York Post.


Ellison diberhentikan oleh polis trafik kerana memandu laju dan melanggar arahan papan tanda berhenti pada Oktober lalu. - Foto Hawaii News Now.

Khamis, 12 Januari 2023

Dua cedera selepas 'power bank' tiba-tiba terbakar dalam pesawat

Dua cedera selepas 'power bank' tiba-tiba terbakar dalam pesawat


Dua penumpang cedera akibat pengecas mudah alih (power bank) terbakar dalam pesawat Scoot ketika ia mahu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taiwan menuju Singapura pada hari Selasa, 10 Januari 2023.


Kedua-dua mangsa menaiki pesawat TR993, yang sepatutnya berlepas pada 7.35 malam, Selasa dan dijadual tiba di Singapura 12.20 tengah malam keesokannya, lapor penerbitan berbahasa Cina, Lianhe Zaobao yang memetik laporan media tempatan.


Anggota bomba segera dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihak berkuasa lapangan terbang menerima maklumat kes, jam 7.40 malam, dan pesawat itu kembali ke landasan selepas api dipadamkan.


Gambar yang tular di media sosial menunjukkan sebahagian kabin pesawat dipenuhi asap putih tebal.


Penumpang dilaporkan memilih untuk meneruskan penerbangan selepas penilaian pemeriksaan menunjukkan mereka tidak memerlukan rawatan hospital.


Menjawab pertanyaan The Straits Times, Scoot memaklumkan penerbangan itu selamat kembali ke pintu pelepasan selepas bank kuasa (power bank) milik pelanggan menjadi terlalu panas ketika pesawat masih belum berlepas.


"Bantuan perubatan sudah diberikan kepada mangsa dan rakannya, yang melecur ringan di jari mereka.


"Kami menjadualkan semula penerbangan dan akan menyediakan penginapan serta makanan kepada penumpang yang terjejas," katanya.


Syarikat itu turut meminta maaf atas kejadian itu dan menegaskan bahawa keselamatan pelanggan dan kru adalah keutamaannya. Siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.


Para penumpang dilaporkan memilih untuk meneruskan penerbangan selepas penilaian perubatan menunjukkan mereka tidak memerlukan rawatan hospital. - Foto Wanghauyu/Facebook melalui The Straits Times/Asia News Network.

Rabu, 4 Januari 2023

Suami tidak sedar tertinggal isteri sejauh 150 kilometer di tengah-tengah perjalanan

Suami tidak sedar tertinggal isteri sejauh 150 kilometer di tengah-tengah perjalanan


Seorang lelaki di Thailand secara tidak sengaja meninggalkan isterinya di tengah-tengah perjalanan semasa berhenti seketika untuk menggunakan tandas, sekali gus memaksa wanita berkenaan berjalan kaki lebih 19.31 kilometer (km), lapor laman berita NDTV.


Boontom Chaimoon, 55 dan isterinya, Amnuay Chaimoon, 49, melakukan perjalanan dengan sebuah kenderaan pada Ahad lalu untuk menghabiskan cuti di kampung halamannya di wilayah Maha Sarakham.


Pasangan itu berada di dalam kenderaan tersebut sehingga si suami berasa perlu pergi ke tandas. Dia kemudian menghentikan kenderaannya di tepi jalan pada pukul 3 pagi (waktu tempatan).


Bagaimanapun, isterinya turut melangkah keluar dari kereta dan memberanikan diri pergi ke tepi hutan berhampiran untuk membuang air kecil. Si suami yang kembali ke kenderaannya tidak menyedari bahawa si isteri masih belum muncul.


Sejurus kembali ke kenderaan, Amnuay tidak menemui kereta atau suaminya lalu menyedari Boontom telah pergi meninggalkannya bersendirian. 


Dia juga tidak membawa telefon bimbitnya kerana ia disimpan di dalam beg yang ditinggal dalam kenderaan tersebut. Memandangkan hari gelap, wanita itu sangat takut dan keliru sebelum memutuskan untuk berjalan kaki bagi mendapatkan bantuan.


Dia berjalan kira-kira 20 km sehingga sampai ke daerah Kabin Buri pada pukul 5 pagi (waktu tempatan) dan dapat menghubungi polis tempatan yang memintanya menelefon suaminya. Sekitar jam 8 pagi, dia akhirnya dapat menghubungi suaminya.


Menurut Boontom, dia tidak tahu isterinya tiada di dalam kereta, dan beranggapan bahawa isterinya sedang nyenyak tidur di tempat duduk belakang. Pada masa itu, dia telah memandu sehingga ke wilayah Korat, sejauh 159.6 km, lapor laman berita Thailand Daily News.


Apabila dia menyedari apa yang berlaku, dia cepat-cepat berpatah balik memandu semula untuk mengambil pasangannya. Dia sangat menyesal dengan tindakannya dan memohon maaf kepada isterinya.


Walaupun setelah melalui pengalaman pahit itu, wanita itu tidak bertengkar dengannya. Wanita itu mendedahkan mereka telah berkahwin sejak 27 tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 26 tahun. - Sumber NDTV.


Boontom yang memandu sebuah kenderaan meninggalkan Amnuay ketika dalam perjalanan ke kampung halaman mereka baru-baru ini. - Foto New York Post.