Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Selasa, 22 Mac 2022

Akibat tahan kentut depan teman lelaki, wanita ini terpaksa masuk hospital

Akibat tahan kentut depan teman lelaki, wanita ini terpaksa masuk hospital


Seorang penyanyi berusia 27 tahun dari Brazil, mengaku dia terpaksa dirawat di hospital gara-gara dia terlalu malu untuk kentut di hadapan teman lelakinya, lapor akhbar Daily Star pada 20 Mac 2022.


Penyanyi wanita berkenaan, Viviane de Queiroz Pereira yang mesra disapa Pocah, berkongsi gambar ketika dia berada di bilik perubatan sebuah hospital kepada berjuta-juta pengikutnya di laman perkongsian gambar Instagram.


"Saya terpaksa bangun pukul 5.30 pagi kerana rasa sakit di bahagian perut sebelum pergi hospital. Keadaan saya sekarang makin baik dan doktor sudah berikan ubat. Ini semua disebabkan tahan kentut," katanya.


Selepas insiden tersebut, penyanyi itu yang memulakan kerjayanya pada 2012 dengan nama MC Pocahontas, memberikan saranan kepada orang lain supaya tidak menahan kentut walaupun ketika berjumpa teman lelaki.


Katanya, mulai sekarang, dia akan berani melepaskan kentut seperti biasa, kerana lebih memalukan apabila terpaksa masuk ke hospital disebabkan tahan kentut.


"Apa yang lebih memalukan adalah membiarkan teman lelaki anda tidak dapat tidur dengan aman kerana anda mengajaknya ke hospital dan selepas itu, mengetahui bahawa anda sakit kerana kentut terperangkap dalam badan anda," katanya.


Sebelum ini, seorang doktor dalam TikTok, Dr. Karan Raj menjelaskan alasan mengapa seseorang tidak perlu menahan kentut. Jelasnya, secara normal seseorang akan kentut sebanyak 14 kali sehari.


"Jika menahan kentut terlalu lama, angin itu akan diserap masuk ke aliran darah dan keluar ketika menghembuskan nafas," katanya.


Kentut terdiri daripada beberapa kumpulan gas seperti hidrogen sulfida, yang menyebabkan kentut menjadi berbau. Tahan kentut boleh memburukan lagi sembelit yang dihidapi seseorang.


Kajian menunjukkan menahan kentut atau gas yang seharusnya keluar, boleh mengakibatkan peningkatan tekanan di dalam usus besar. - Sumber Daily Star.


Pocah telah pulih sepenuhnya dan mengatakan bahawa dia telah belajar daripada kajadian itu. - Foto Newsflash.

Sabtu, 5 Mac 2022

Gempar lelaki 'mengamuk' atas lori kontena, dipercayai kurang siuman

Gempar lelaki 'mengamuk' atas lori kontena, dipercayai kurang siuman


Suasana di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru 4, Klang, gempar apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman mengamuk atas sebuah lori kontena hari ini (5 Mac 2022).


Kejadian tular di media sosial itu dipercayai berlaku pada 10.50 pagi, apabila seorang lelaki yang berusia lingkungan 30-an memegang objek seperti kayu berada di atas kenderaan terbabit sambil menjerit.


Keadaan itu menimbulkan kegusaran orang awam yang berada berdekatan premis perniagaan di kawasan itu, dan bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan lanjut.


Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.07 pagi.



Katanya, sepasukan 12 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikerah dalam operasi berkenaan.


"Setibanya di lokasi, anggota kita segera meletakkan jentera bomba bersebelahan lori kontena tersebut. Ia bagi membantu memudahkan polis untuk menahan lelaki yang dipercayai kurang siuman itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Norazam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.29 pagi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada 10.58 pagi.


"Polis menerima maklumat mengatakan ada orang tidak siuman berada di atas sebuah lori kontena.


"Polis ke lokasi sebelum menangkap lelaki itu dengan bantuan bomba dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan," katanya.


Lelaki di atas lori kontena mencetuskan suasana gempar di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru 4, di Klang, Selangor.

Jumaat, 4 Mac 2022

Parkir di laluan pejalan kaki, pemilik kenderaan dikecam warganet

Parkir di laluan pejalan kaki, pemilik kenderaan dikecam warganet


Tindakan seorang pemandu yang meletakkan sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton sehingga menghalang laluan pejalan kaki mengundang kecaman hebat daripada orang ramai.


Menerusi perkongsian gambar yang dimuat naik oleh pengguna Twitter, memperlihatkan kenderaan tersebut sedang parkir di kawasan larangan sehingga menghalang seorang orang kelainan upaya (OKU) yang ingin melalui laluan berkenaan.


"Macam mana la OKU nak lalu, kalau nak parkir berbumbung beli la rumah bawah yang mahal-mahal," ciapnya, semalam.


Kemudian, selepas dua jam perkongsiannya menjadi tular di media sosial dan difahamkan ada pihak telah membuat aduan mengenai perkara tersebut, dia sekali lagi memuat naik ciapan terbaharu memaklumkan bahawa pihak penguat kuasa telah datang bagi mengambil tindakan kepada pemilik kenderaan itu.


"Nah mendapat penguat kuasa dah datang buat kerja, mantap," katanya.



Menjengah ke ruangan komen, ada pengguna lain turut memeriksa nombor pendaftaran kenderaan tersebut bagi mengetahui pemilik sebenarnya. Hasil pemeriksaan warganet, trak pikap tersebut dipercayai mempunyai lebih kurang 10 saman berjumlah RM2,400.


"Terdapat 10 saman berjumlah RM2,400 sehingga 4 Mac 2022.


"Siapa kenal pemilik Triton ini pesan pada dia selesaikan saman tertunggak dan pesan juga untuk jumpa mak cik berkerusi roda itu dan minta maaf sebab parkir kereta macam itu," kata netizen tersebut.


Selain itu, seorang pengguna lain turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan individu tersebut yang dianggap tidak berakal.


"Apa jenis manusia la, siapa ajar parkir kenderaan di laluan pejalan kaki, ini belajar kelas memandu atau tidak," komennya.


Rata-rata warganet turut mengecam tindakan pemandu tersebut yang dikatakan mementingkan diri sendiri sehingga menyusahkan orang ramai.


Gambar yang dikongsikan oleh pengguna Twitter menunjukkan keadaan sebuah trak pikap yang parkir di laluan pejalan kaki.

Khamis, 17 Februari 2022

Hasil Jual Biawak, Lelaki Borong Emas Buat Perhiasan Demi Dapat Tuah

Hasil Jual Biawak, Lelaki Borong Emas Buat Perhiasan Demi Dapat Tuah


Hanya kerana terlalu obses dengan emas, seorang lelaki Vietnam, baru-baru ini tular kerana memakai barang kemas yang banyak di leher dan di tangannya, serta memilik motosikal dan sebuah kereta yang disaluti dengan emas.


Tran Duc Loi, 39, seorang ahli perniagaan dari wilayah An Giang di Vietnam, menjadi perhatian di negaranya kerana minat dengan logam berharga.


Menurut lapor Oddity Central pada 15 Februari 2022, sejak tiga tahun yang lalu, Tran, mencari rezeki dengan menjual biawak Amerika Selatan sebagai haiwan peliharaan yang mahal. Hal tersebut menyebabkan beliau mampu untuk membeli emas yang banyak.


"Dia percaya emas membawa nasib baik dalam perniagaan, dan memastikan untuk memakai perhiasan jenis itu sebanyak mungkin apabila dia keluar rumah," lapor Oddity Central.


"Pada mulanya, saya hanya memakai beberapa barang kemas, dan kemudian saya terus menambah lagi. Saya mula merasakan beratnya, tetapi saya sudah terbiasa dengannya.


"Saya cuba mencari keseimbangan, kerana aksesori emas kecil mudah pecah, manakala aksesori yang terlalu tebal berat untuk dipakai untuk jangka masa yang lama," katanya.



Selain daripada perhiasan mewah yang dipakainya setiap kali muncul dalam video TikTok, dia juga mempunyai sebuah kereta Lexus disadur emas serta beberapa motosikal yang disaluti emas.


Menurutnya, itu semua bersalut emas, dan mengakui sukar untuk meninggalkan kenderaan di luar tanpa pengawasan. Proses penyaduran emas sahaja dipercayai menelan belanja ratusan juta dong Vietnam.


Duc Loi mendedahkan bahawa dia memakai hampir dua kilogram barang kemas setiap kali keluar rumah, termasuk rantai leher berbentuk naga 250 gram, 10 cincin emas besar, gelang tebal dan jam tangan besar bersalut emas.


Jelasnya, dia tidak memakai semuanya secara sembarangan, tetapi sebaliknya bergantung pada prinsip feng shui. Ia dipercayai sebagai cara meningkatkan nasib baiknya.


Walaupun sesetengah orang mengkritik Duc Loi kerana mempamerkan kekayaannya dan menunjukkan contoh buruk kepada golongan muda, video TikToknya menjadikan lelaki itu popular di media sosial.


Beberapa klip videonya ditonton berjuta-juta orang dan ramai yang berharap mereka boleh menjadi sepertinya.


Antara koleksi emas yang dimiliki Duc Loi.

Khamis, 10 Februari 2022

Kucing duduk di atas kereta sport, pemilik tuntut ganti rugi RM12,737 baiki kesan calar

Kucing duduk di atas kereta sport, pemilik tuntut ganti rugi RM12,737 baiki kesan calar


Seorang lelaki di Thailand dilaporkan memfailkan saman ganti rugi sebanyak 100,000 baht (RM12,737) ke atas jirannya selepas seekor kucing milik keluarga itu memanjat dan mencalarkan dua kereta sport mewahnya, lapor laman berita Thaiger pada 8 Februari 2022.


Pemilik kucing menyiarkan video di TikTok mengatakan jirannya menuntut pampasan, kerana membiarkan haiwan peliharaannya keluar ke kawasan awam lalu menyebabkan kerosakan pada harta benda orang lain.


Wanita itu menambah bahawa dia sanggup membayar ganti rugi untuk membaiki kesan calar yang dilakukan oleh kucingnya, tetapi pada harga yang berpatutan.


Laporan mengatakan bahawa kejadian tersebut berlaku pada Oktober 2020 apabila seorang kanak-kanak secara tidak sengaja membiarkan kucing peliharaan keluar dari rumah.


Petang itu, seorang pemilik kereta menghantar sebuah video yang dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV), menunjukkan kucing peliharaannya duduk di atas dua kereta sport berwarna hitam dan kuning.


Pemilik kucing itu bersama keluarganya ke rumah berkenaan untuk memeriksa kerosakan pada kereta tersebut, dan mengatakan mereka hanya menemui kesan kotoran dari tapak kaki kucing itu.


Wanita itu berkongsi dengan media Thailand bahawa keluarganya telah cuba mencapai kata sepakat dengan jirannya, namun menegaskan bahawa semua kesan calar disebabkan oleh kucingnya dan meminta pampasan sebanyak 100,000 baht (RM12,737), sambil menambah bahawa harganya dianggarkan secara rasmi.


Pemilik kucing itu sudah membayar denda 500 baht (RM63.92) di balai polis kerana membiarkan haiwan peliharaan keluar ke kawasan awan tanpa pengawasan dan telah pergi ke mahkamah dua kali.


Rupa-rupanya, jirannya itu tidak pernah muncul di mahkamah dan terus pergi ke rumah mereka untuk meminta ganti rugi. Kisah tersebut dikongsikan secara meluas di Thailand dan laporan terbaharu mendapati pemilik kereta sport tersebut telah meminta maaf.


Gambar menunjukkan situasi ketika seekor kucing memanjat lalu duduk di atas dua kereta sport milik seorang lelaki di Thailand. - Foto The Thaiger.

Rabu, 9 Februari 2022

Tiga tahun kumpul syiling RM18,887 untuk tunai umrah

Tiga tahun kumpul syiling RM18,887 untuk tunai umrah


Seorang wanita di wilayah Kalimantan Barat menjadi tular di media sosial, kerana berkongsi video memaparkan duit syiling mencecah 65 juta rupiah (RM18,887) yang berjaya dikumpulkan hanya masa tiga tahun.

 

Menurut laman berita Kumparan pada 29 Januari 2022 mengatakan, impian Mustafa Tarmizi, penduduk Desa Sentebang, Kecamatan Jawai, Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat, untuk menunaikan umrah bersama isteri akhirnya menjadi kenyataan.


Nia, adik kepada Mustafa berkata, abangnya mula menyimpan duit syiling sejak 22 Februari 2019 untuk kegunaan pergi umrah. Abangnya memililh menyimpan duit syiling kerana jika simpan dengan duit kertas, memang selalu digunakan.


"Tiga tahun lepas abang cakap nak pergi umrah, nak menabung duit syiling. Kalau simpan guna duit kertas tak mungkin katanya sebab kalau ada duit kertas tak boleh simpan," kata Nia, pada Khamis 27 Januari 2022 lalu.


Mustafa hanyalah seorang penjual kayu. Syiling yang dikumpulkan datang daripada baki wang belanja harian mereka. Selain itu, beliau juga merupakan pengerusi pengurusan masjid di tempat kediamannya. Setiap hari Jumaat, Mustafa terjumpa dengan kenalan dan dia akan menukar duit syiling mereka dengan wang kertas.



Selama tiga tahun syiling itu diisi dalam 14 gelen air mineral. Satu gelen air mineral mengandungi pelbagai nilai duit syiling. Masa yang diperlukan untuk mengira syiling-syiling itu hampir sehari dan dibantu oleh beberapa saudara.


Kini duit syiling tersebut telah ditukar di salah sebuah kedai di situ. Nia mendedahkan, alasan tidak menukarnya kepada bank adalah kerana kedai itu gembira menerima pertukaran itu.


"Alhamdulillah, hasil menabung selama tiga tahun, dapat mengumpul sebanyak 65 juta rupiah. Wang hasil menabung ini untuk menunaikan umrah," tulis Nia keterangan pada perkongsian yang dimuat naik di akaun Instagramnya.


Hantaran itu mendapat perhatian orang ramai yang rata-rata turut mendoakan agar Mustafa dan isterinya dapat menunaikan niat itu; "Semoga perjalanan mereka dipermudahkan dan dilancarkan niat untuk ke Tanah Suci," kata seorang netizen.


Nia menunjukkan duit syiling yang dikumpul dalam masa tiga tahun. - Foto Kumparan.

Khamis, 3 Februari 2022

Wanita roboh rumah setelah bercerai dengan bekas suami kerana ada isteri baharu

Wanita roboh rumah setelah bercerai dengan bekas suami kerana ada isteri baharu


Seorang isteri di Desa Gedungbanteng, Daerah Sukorejo, Ponorogo, dalam wilayah Jawa Timur nekad merobohkan rumah miliknya bersama suami selepas dia diceraikan asbab orang ketiga, lapor laman Berita Jatim pada 3 Februari 2022.


Darmi,40, yang berkahwin dengan suaminya Purwanto,35, pada 2010 lalu mengaku sengaja merobohkan rumah yang dibina pada 2016 itu dengan jentolak kerana berang diceraikan.


"Tanah ini milik orang tua Purwanto, iaitu bekas suami saya tetapi rumah ini kami bina bersama-sama. Sekarang dia sudah ada wanita lain, saya tidak akan benarkan bekas suami dan kekasihnya tinggal di rumah ini. Biar sama-sama tidak memiliki rumah ini, barulah adil," jelas Darmi.


Saat ditanya sama ada dia berasa menyesal merobohkan rumah yang boleh diwarisi oleh anak-anak, Darmi pantas menafikannya.


"Saya bina rumah bukan untuk anak-anak tetapi untuk hidup bersama suami hingga ke hari tua. Ternyata, kami berpisah jadi jalan paling senang, robohkan sahaja.


"Saya juga mendermakan semua barang-barang dalam rumah buat mereka yang berminat. Saya tidak mahu wang atau apa pun, cukup rumah ini sudah dirobohkan," katanya ketika ditemui di lokasi tersebut pada 3 Februari 2022.


Menurut Darmi, keputusan merobohkan rumah itu terpaksa dipersetujui bekas suami Purwanto, kerana kos pembinaan rumah tersebut kebanyakannya datang daripada keluarganya.


Untuk makluman, kejadian merobohkan rumah sebelum ini juga berlaku di Ponorogo. Ia berlaku pada Julai 2021, di Desa Carangrejo, Kecamatan Sampung Ponorogo. Sebab perobohan pun sama, sebab tuan punya rumah dah bercerai.


Keadaan rumah Darmi yang musnah selepas dirobohkan wanita itu sebaik diceraikan suaminya. - Foto Berita Jatim.