Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Ahad, 19 Disember 2021

Wanita menjana pendapatan RM213,000 seminggu hanya jual kentut dalam balang

Wanita menjana pendapatan RM213,000 seminggu hanya jual kentut dalam balang


Hanya dengan menjual kentut yang dikumpul di dalam balang, seorang bekas bintang realiti televisyen mampu menjana pendapatan sampingan yang menguntungkan mencecah ratusan ribu seminggu, lapor akhbar Metro UK pada 14 Disember 2021.


Stephanie Matto, yang membintangi rancangan 90 Day Fiance memperoleh hampir AS$50,000 (RM213,016) dalam masa seminggu, dengan menjual kentutnya sendiri yang dimasukkan ke dalam balang bersama beberapa kelopak bunga ros dan nota peribadi.


Wanita itu menyasarkan sejumlah 260,000 pengikutnya sebagai pelanggan untuk menjual produknya pada harga AS$1,000 (RM4,237) sebalang, dan membuat promosi sebanyak 50 peratus baru-baru ini.


Stephanie mula dikenali selepas menyertai sebuah rancangan yang memaparkan sama ada dua pasangan akan melansungkan perkahwinan, atau tidak setelah tiga bulan mereka menghabiskan masa bersama.


Walaupun tidak berjaya mendapat pasangan dalam rancangan itu, populariti yang diterimanya berjaya meraih perhatian peminat untuk membeli balang kentutnya.


Stephanie turut menyatakan bahawa untuk menghasilkan angin dalam badannya, dia makan banyak protein seperti yoghurt, telur rebus, dan kekacang. Dia juga berkata bahawa dia suka membaca sambil menunggu badannya memproses gas-gas tersebut.


"Saya juga akan memasukkan sekuntum bunga ke dalam balang untuk menjadikan bau kentut lebih kuat dan tahan agak lama sekurang-kurangnya dua hari," jelasnya.


Menurutnya, beberapa tahun lalu, dia mendapat beberapa mesej daripada lelaki dan wanita yang ingin membeli coli, seluar dalam, rambut dan air mandian. 


"Namun, saya berpendapat bahawa menjual kentut adalah cabang perniagaan yang hebat, menyeronokkan, unik dan berbeza," katanya.


Setakat ini, Stephanie telah menghantar 97 buah balang yang di pesan dan semakin di banjiri permintaan sehingga dia bergelut untuk memenuhi permintaan tersebut.


Stephanie mendedahkan bahawa dia memakan banyak protein, yogurt, telur rebus dan kekacang untuk mengepam kentutnya.

Jumaat, 17 Disember 2021

Kelibat Long Tiger dirakam CCTV lari di lorong belakang beberapa buah premis

Kelibat Long Tiger dirakam CCTV lari di lorong belakang beberapa buah premis


Kelibat seorang lelaki yang dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) dikatakan mirip 'Long Tiger' iaitu tertuduh yang melarikan diri, ketika hadir pada prosiding di sebuah mahkamah di Johor, kelmarin, tular di aplikasi TikTok.


Dalam video itu memaparkan seorang pemuda memakai baju berwarna putih berkepala botak lari di sebuah lorong belakang beberapa buah premis. Turut kelihatan tangan lelaki itu yang dibaluti sehelai kain putih.


Walau bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut dirakam. Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman sosial tersebut meninggalkan pelbagai komen dan reaksi.


Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataan hari ini berkata, faktor sempadan daerah Tangkak dan Melaka yang dekat berkemungkinan mendorong Long Tiger lari dan bersembunyi di Melaka.


"Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 33, dari Penjara Sungai Udang dibawa untuk tuduhan di Mahkamah Majistret Tangkak. Memang Tangkak dan Melaka bersempadan.


"Itu yang Long Tiger kemungkinan lari ke sana dan Ketua Polis Melaka juga ada buat kenyataan mengenai perkara itu," katanya.


Dalam pada itu, empat anggota polis disiasat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan orang tahanan lari.


Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi Rabu lalu, Long Tiger berjaya meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan bermula di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.


Pada 8 Ogos lalu, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengurung dan mengugut pekerjanya di Jalan Gambir 7, Bandar Baru Bukit Gambir di Tangkak.


Pada hari sama, Long Tiger turut membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan di bawah Seksyen 376 kerana merogol seorang gadis berusia 21 tahun di Taman Sri Jaya Bukit Gambir.


Berkaitan: 'Long Tiger' Lolos Lokap, Polis Melaka Tubuh Team Pantas Kesan Suspek.


Tangkap layar CCTV yang memaparkan kelibat seorang lelaki mirip 'Long Tiger' selepas lolos dari mahkamah di Johor kelmarin.

Rabu, 15 Disember 2021

Jabatan Perikanan ambil sampel dipercayai muntah ikan paus

Jabatan Perikanan ambil sampel dipercayai muntah ikan paus


KEMAMAN - Objek dipercayai muntah ikan paus yang ditemukan seorang wanita ketika memancing berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang, perlu dibuat kajian bagi mengesahkan ketulenannya.


Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, kajian itu penting bagi memastikan objek seberat sekitar lima kilogram itu adalah asli atau gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.


Susulan itu, pegawai jabatan itu telah mengambil sampel ketulan batu itu yang berkunjung di kedai makan Aida Zurina Long, 41, di Kemasik di sini hari ini. Ia akan dihantar untuk dianalisa bagi memastikan ketulenannya sama ada benar-benar muntah ikan paus atau sebaliknya.


"Kita risau jika ia sebenarnya sisa gumpalan bahan lain yang dikhuatiri berbahaya dan mengancam nyawa. Pihak kami hanya mengetahui penemuan objek didakwa muntah ikan paus itu setelah disiarkan media semalam," kata Ruzaidi ketika dihubungi di sini hari ini.


Ujar beliau, penemuan itu sepatutnya dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan negeri memandangkan ikan paus merupakan antara spesies terancam yang dilindungi.


Semalam, media tempatan melaporkan Aida Zurina menemui objek menyerupai ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus sewaktu memancing bersama keluarganya di Marang pada akhir bulan lalu. Sekiranya ketulenan objek itu disahkan, nilai pasarannya mencecah RM211,000 sekilogram.


Berkaitan: Bertuah, wanita temui objek dipercayai muntah ikan paus ketika memancing bersama keluarga.


Pegawai Perikanan Terengganu sedang menemubual Aida Zurina (dua dari kanan) berhubung penemuan objek dikatakan muntah ikan paus di kedai makan wanita itu di Kemasik, Kemaman hari ini.
'Long Tiger' Lolos Lokap, Polis Melaka Tubuh Team Pantas Kesan Suspek

'Long Tiger' Lolos Lokap, Polis Melaka Tubuh Team Pantas Kesan Suspek


Polis giat memburu seorang lelaki warga Myanmar bernama Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, juga dikenali sebagai 'Long Tiger' yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor, pagi hari ini.


Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, polis kini menjalankan Ops Tutup di semua jalan keluar dan masuk daerah Tangkak. Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan dan polis turut guna khidmat anjing pengesan K9.


Menjelas lanjut, Mohd Fadhil berkata, polis menerima laporan pada 11.55 pagi hari ini memaklumkan seorang lelaki melarikan diri dari lokap dengan keadaan tangan bergari, memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar.


Menurutnya, suspek telah diambil oleh pihak polis di penjara Sungai Udang, Melaka semalam untuk perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan. Prosiding yang sepatutnya bermula pada jam 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.


"Bagaimanapun, beberapa anggota polis yang membawa suspek ke mahkamah menyedari tertuduh sedang cuba melarikan diri, apabila melihat dia keluar ke pintu utama mahkamah menuju ke pagar serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran.


"Siasatan lanjut masih dijalankan, dan kami tidak akan berkompromi serta bertindak tegas terhadap mana-mana pihak termasuk anggota polis jika siasatan mendapati terdapat unsur kecuaian. Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan," katanya.


Susulan itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pihaknya juga telah menubuhkan satu pasukan Team Pantas bagi membantu kontinjen Johor mengesan Long Tiger dan meningkatkan kawalan pintu sempadan.


"Kita memang dapat maklumat Long Tiger itu telah melarikan diri dan kita akan tingkatkan risikan dan pencegahan di sempadan negeri. Team Pantas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri sedang membuat risikan sekiranya terdapat pergerakan etnik Rohingya itu merentas masuk ke negeri ini," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kami Prihatin anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Taman Seri Duyong, di sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat (tengah) menunjukkan wajah suspek yang dikenali sebagai Long Tiger yang kini diburu polis di IPD Tangkak, Johor. - Foto Utusan Malaysia.

Ahad, 12 Disember 2021

Tak pernah turun tangan kanan selama 45 tahun dan tidak bercadang untuk menurunkannya

Tak pernah turun tangan kanan selama 45 tahun dan tidak bercadang untuk menurunkannya


Dalam usaha untuk menyatukan manusia bersama, seorang warga emas di India dilapor tidak pernah menurunkan tangan kanannya selama 45 tahun, lapor akhbar Daily Star pada 6 Disember 2021.


Sadhu Amar Bharati mengangkat tangan kanannya dan menggenggam jari sejak 1976 dan tidak merancang untuk menurunkannya demi kepercayaan yang dipegang.


Kisahnya kembali diperkata selepas gambar menunjukkan keadaan tangan dengan kuku jari panjang yang masih kekal pada posisi sama.


Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak sebelum ini pernah bekerja di bank, tetapi pada tahun 1973 dia memutuskan untuk meninggalkan kehidupan itu demi keamanan dunia.


Bharati mula dedikasikan kehidupannya kepada dewa Shiva dan memutuskan untuk mengangkat tangan serta mengekalkan kedudukan itu sebagai tanda ketaatan.


"Saya tidak minta lebih. Kenapa kita perlu bergaduh sesama sendiri, mengapa ada begitu banyak kebencian dan permusuhan antara kita? Saya mahu semua rakyat India hidup aman," katanya sebelum ini kepada History of Yesterday.


Dia menghabiskan dua tahun pertama dalam kesakitan, tetapi keperitannya beransur kurang selepas itu sehinggalah kini dia sudah tidak merasakan apa-apa. - Sumber Daily Star.


Amar Bharati dengan tangan kanannya yang masih diangkat sejak 1973. - Foto Flickr Vision.

Sabtu, 11 Disember 2021

Nora Danish, suami kena kecam gara-gara tayang main buih

Nora Danish, suami kena kecam gara-gara tayang main buih


Pelakon Nora Danish sekali lagi menarik perhatian netizen apabila berkongsi beberapa keping foto, sedang bermain buih dan berendam di dalam tab mandi di sebuah hotel bersama suaminya, Nedim Nazri.


Rata-rata netizen berpendapatan adegan 'mesra' pelakon itu ketika mandi bersama-sama suaminya sebagai keterlaluan dan tidak wajar untuk ditayangkan kepada umum. Lima foto yang dimuat naik di media sosial itu, hari ini dipercayai dirakam di sebuah hotel di Langkawi.


"Main buih kejap. Kalau nak tengok Santa Claus saya boleh lihat gambar seterusnya," tulis Nora pada keterangan gambar itu.


Walaupun tubuhnya ditutupi dengan buih sabun, netizen masih beranggapan perbuatan yang dilakukan pelakon filem Gila-Gila Pengantin Popular itu tidak wajar kerana bertentangan dengan budaya masyarakat di Timur.


"Pandangan saya, memanglah Nora dah tutup badannya dengan buih. Tapi situasi mandi dalam tab mandi tetap perkara yang perlu dijaga dan dipelihara daripada pandangan mata terutamanya orang Islam. Awak seorang yang baik. Saya harap awak semakin matang mengikut usia," kata seorang pengikutnya.


"Mandi pun nak tunjuk? Kalau boleh 'ehem-ehem' tunjuklah sekali. Netizen ramai nak tengok," tulis seorang pengguna Instagram yang meninggalkan komen nakal gara-gara cemburu melihat kemesraan yang ditayang Nora bersama suaminya.


Namun, ada juga dalam kalangan pengikutnya masih menulis komen suka dan memberikan emoji hati. Difahamkan, percutian Nora ke Langkawi kali ini bagi meraikan ulang tahun kelahiran Nedim yang ke-38. Percutian tersebut turut disertai beberapa rakan mereka.


Nora sebelum ini pernah beberapa kali menuai kecaman netizen kerana gemar berkongsi foto berpakaian seksi di media sosial. Rata-rata berpendapat seharusnya Nora tidak berkongsi gambar sedemikian kerana dilihat kurang manis lebih-lebih lagi statusnya sebagai isteri dan ibu.


Aksi mandi buih Nora Danish bersama suaminya, mengundang perhatian dalam media sosial.
Perkhidmatan sewa telefon pintar iPhone dapat sambutan menggalakkan di Indonesia

Perkhidmatan sewa telefon pintar iPhone dapat sambutan menggalakkan di Indonesia


Sejak beberapa hari kebelakangan ini, perniagaan menyewa telefon pintar iPhone semakin berkembang di Indonesia, berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan menjadi peluang perniagaan baharu, lapor Kompas.com pada 10 Disember 2021.


Sehubungan itu, seorang peniaga yang menjual iPhone menerusi francais cawangan Pontianak yang dinamakan 'Abang Apple', kini turut menawarkan perkhidmatan sewaan telefon pintar tersebut.


Pemilik Abang Apple, Aprin berkata, perkhidmataan sewaan itu dapat memberikan pelanggan pengalaman menggunakan iPhone, terutamanya untuk golongan yang belum mampu membeli telefon mahal itu.


"iPhone memberikan pengalaman berbeza kepada penggunanya berbanding telefon pintar lain. Perkhidmatan sewaan telefon pintar ini juga boleh dijadikan pilihan kepada mereka yang bercadang untuk beli iPhone pada masa akan datang," katanya.


Menurutnya, telefon pintar itu boleh disewa secara harian bermula pada harga 40,000 rupiah (RM11.68) sehari untuk iPhone 6 dan 400,000 rupiah (RM117.25) bagi iPhone 11 Pro Max.


Jelas Aprin, pelanggan hanya perlu membawa salinan kad pengenalan, kad SIM dan mengisi borang butiran diri untuk mendapatkan perkhidmatan sewaan tersebut.


"Pelanggan hanya menyediakan salinan kad pengenalan atau lesen memandu dan mengisi borang data peribadi. Jika lulus pengesahan, pelanggan boleh segera membawa iPhone yang diingini," kata Aprin kepada Kompas.com, semalam (10/12/2021).