Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Januari 2023

Shah Rukh Khan pelakon terkaya Asia, ke-4 dunia, mengalahkan Tom Cruise, George Clooney

Shah Rukh Khan pelakon terkaya Asia, ke-4 dunia, mengalahkan Tom Cruise, George Clooney


Hero Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) disenaraikan sebagai pelakon terkaya di Asia dengan memiliki kekayaan sebanyak AS$770 juta (RM3.3 bilion).


Menurut tweet oleh firma analisis global, World Of Statistics, pada Ahad (8 Januari 2023), pelakon dari India itu berada pada tangga ke empat dunia di belakang pelakon Hollywood, Dwayne Johnson yang memiliki kekayaan sebanyak AS$800 juta (RM3.5 bilion).


Menurut CNBC, SRK menjana pendapatan bukan sahaja daripada filem, tetapi juga daripada tawaran sokongan dengan jenama seperti Pepsi, Tag Heuer, LUX dan Big Basket. Dia adalah penerima 15 Anugerah Filmfare dan 17 Screen Awards.


Selain itu, beliau juga memegang pelbagai penghormatan negara, termasuk Padma Shri (anugerah awam keempat tertinggi yang mengiktiraf sumbangan penting dalam seni, sains atau sosial dan hal ehwal awam) oleh Kerajaan India.


Berada di tangga pertama pelakon paling kaya di dunia adalah Jerry Seinfeld dengan kekayaan AS$ 1 bilion (RM4.3 bilion) diikuti Tyler Perry yang turut mempunyai kekayaan sama.


Selain Shah Rukh Khan, pelakon Asia yang turut berada dalam carta 10 pelakon terkaya di dunia adalah pelakon aksi ngeri dari Hong Kong, Jackie Chan dengan memiliki kekayaan AS$520 juta (RM2.24 bilion) dan berada di tangga ke enam.


Antara pelakon lain yang turut tersenarai adalah Tom Cruise di tangga ke lima, George Clooney ke tujuh manakala Robert de Nero di tangga ke lapan.


Sementara itu, bekas Gabenor Carlifornia, Arnold Schwarzenegger dan Kevin Hart masing- masing berada di tangga ke sembilan dan 10.


Shah Rukh Khan pelakon terkaya di Asia. - Foto AFP.

Rabu, 18 Januari 2023

Hanya beberapa tahun, pemenang loteri RM52 juta kini pokai kerana boros

Hanya beberapa tahun, pemenang loteri RM52 juta kini pokai kerana boros


Seorang lelaki di Britain yang memperoleh £10 juta (RM52.9 juta) dalam kemenangan Loteri Kebangsaan kehabisan wang selepas menyertai pelaburan yang merugikan, lapor akbar Daily Star pada 15 Januari 2023.


John McGuinness memenangi hadiah lumayan itu pada 1997. Dia kemudian menyertai beberapa siri pelaburan selain memberikan sebahagian besar wang kepada bekas isterinya. 


Sebelum kemenangan itu, dia bekerja sebagai pekerja am hospital dengan pendapatan £150 (RM793) seminggu dan tinggal bersama ibu bapanya di sebuah rumah kerajaan.


Wang kemenangan McGuinness pantas menyusut setelah dia melabur untuk kelab bola sepak kesayangannya, pasukan Liga Perdana Scotland, Livingston.



Salah satu tindakan McGuinness adalah dengan membuat pelaburan berjumlah £4 juta (RM21.1 juta) ke dalam kelab bola sepak tersebut tanpa menyelidiki pentadbirannya. Akibatnya, dia bertanggungjawab ke atas semua pinjaman dan hutang kelab itu.


Dia juga membelanjakan £140,000 (RM739,862) untuk membeli sebuah kereta Ferrari Modena Spyder, £500,000 (RM2.6 juta) untuk rumah mewah di Majorca dan £1.3 juta (RM6.9 juta) untuk sebuah rumah besar di Borthwell, South Lanarkshire.


Jumlah keseluruhan perbelanjaan itu adalah lebih separuh daripada wang kemenangan loteri yang diterimanya. 


Dia turut memberi sekitar £3 juta (RM15.8 juta) kepada ahli keluarga terdekatnya dan £750,000 (RM3.96 juta) kepada bekas isterinya. Pasangan itu dan tidak mendedahkan perceraian mereka kepada umum.


Beban kewangan itu ditambah dengan pinjaman £2 juta (RM10.6 juta) untuk kelab bola sepak yang tidak membawa keuntungan kepadanya.


Menjelang 2007, McGuinness secara rasmi kehabisan wang setelah diberitahu oleh seorang rakannya.


Dia menyalahkan perbelanjaan wang itu terhadap bekas rakan perniagaan, Dominic Keane. Lelaki itu didakwa meyakinkannya supaya melabur dalam kelab Livingstone. McGuinnes mengekalkan profil yang rendah hingga sekarang sejak kejatuhan dramatiknya. - Sumber Daily Star.


McGuinness memenangi hadiah besar pada 1997. - Foto Daily Record.

McGuinness menghabiskan banyak wang kemenangannya dalam masa kurang daripada 10 tahun. - Foto Sunday Mail.

Sabtu, 7 Januari 2023

Ribuan penumpang terkandas, pesawat Papua New Guinea gagal terbang kerana tiada bahan api

Ribuan penumpang terkandas, pesawat Papua New Guinea gagal terbang kerana tiada bahan api


Ribuan penumpang pesawat komersial terkandas di seluruh Papua New Guinea selepas syarikat penerbangan memberhentikan operasi pesawat berikutan masalah bekalan bahan api, lapor portal berita WION pada 6 Januari 2023.


Syarikat Puma Energy yang merupakan satu-satunya pembekal bahan api di Papua New Guinea berkata, masalah tersebut itu disebabkan kekurangan mata wang asing yang dialami Bank Pusat negara berkenaan.


Mata wang asing itu antara lain turut digunakan untuk membeli bahan api dari pasaran antarabangsa.


Laporan portal berita The Guardian mendakwa bahawa terdapat kekecohan di lapangan terbang domestik utama negara tersebut di Port Moresby dengan semua syarikat penerbangan utama membatalkan operasi domestik awal Khamis lalu.


Beratus-ratus penumpang gagal menaiki kapal tebang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksons di ibu negara, menyebabkan mereka menuntut campur tangan daripada Perdana Menteri, James Marape.


Syarikat penerbangan terbesar Papua New Guinea, Air Niugini mengeluarkan kenyataan pada hari Rabu, mengatakan bahawa semua penerbangan di seluruh negara akan dibatalkan kerana Puma Energy telah menggantung bekalan bahan api Jet A1 kepada semua syarikat penerbangan.


Air Niugini memberi amaran bahawa penerbangan antarabangsa juga boleh dibatalkan jika bank pusat negara itu gagal membekalkan cukup dolar AS untuk pembekal bahan api, Puma Energy, untuk membeli bahan api jet.


Keadaan muka bumi Papua New Guinea yang sukar dan kekurangan jalan yang saling bersambung menjadikan perjalanan udara sebagai cara perjalanan yang paling cekap. Dua bandar terbesar, Port Moresby dan Lae, hanya boleh diakses dengan kapal terbang.


Papua New Guinea hanya mempunyai dua lebuh raya utama yang menghubungkan tanah tinggi pedalamannya ke pantai dan tiga lebuh raya lain yang menghubungkan bandar-bandar kecil dan tidak ada landasan kereta api. - Sumber Wion News.


Syarikat penerbangan Air Niugini membatalkan operasi penerbangan pada Rabu lalu kerana masalah kekurangan bahan api. - Foto AFP.

Jumaat, 6 Januari 2023

Disangka mati, mangsa kemalangan 6 hari terbaring di tepi jalan tanpa sebarang pertolongan

Disangka mati, mangsa kemalangan 6 hari terbaring di tepi jalan tanpa sebarang pertolongan


Seorang lelaki yang cedera dalam kemalangan motosikal terselamat meskipun selepas enam hari terbaring di tepi sebatang jalan tanpa sebarang pertolongan, lapor laman berita Thaiger pada 4 Januari 2023.


Dalam kejadian itu di Udon Thani, rantau Isaan, Withawat Nanthapetch pada awalnya dilaporkan hilang pada 29 Disember tahun lalu selepas pergi ke sebuah bar bersama rakan-rakannya.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) bar tersebut menunjukkan lelaki berusia 22 tahun itu berjalan keluar dari premis berkenaan sekitar pukul 1.44 pagi (waktu tempatan) sebelum dilaporkan hilang.


Ahli keluarga Withawat kemudian mencari lelaki itu selama empat hari, namun gagal mengesannya. Rakan-rakan mangsa turut memuat naik hantaran di media sosial meminta orang ramai memberikan maklumat sekiranya mereka pernah melihat lelaki itu.


Kehilangan misteri Withawat membuatkan ahli keluarga dan rakan-rakannya percaya dia telah meninggal dunia, namun mereka terus mencari lelaki berkenaan untuk membawa pulang ‘mayatnya’ ke rumah.


Bagaimanapun, nasib menyebelahi Withawat apabila bapa saudaranya, Wanna Kamrin menemui motosikal milik lelaki itu di tepi Jalan Udon-Nong Bua Lamphu dekat Lapangan Terbang Udon Thani.


Wanna yang pada asalnya menyangkakan anak saudaranya itu telah meninggal dunia, terkejut apabila menemui Withawat dalam keadaan masih bernyawa dan tersembunyi di sebalik rumput panjang di tepi jalan.


Selepas polis dan pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian, mereka mengesahkan Withawat masih hidup meskipun dia mengalami luka dan kesan gigitan serangga di seluruh badannya. Dia kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.


Ibu Withawat menangis ketika dia bertemu semula dengan anaknya. Dia memberitahu media bahawa dia sangat gembira anak lelakinya bertahan dalam ujian itu. Dia menambah bahawa penemuan anaknya merupakan hadiah terbaik sempena Tahun Baharu. - Sumber The Thaiger.


Withawat ditemui di sebalik rumput panjang dan dahan pokok. - Foto Facebook.

Rabu, 28 Disember 2022

Korea Selatan rekod kes pertama jangkitan 'amoeba pemakan otak'

Korea Selatan rekod kes pertama jangkitan 'amoeba pemakan otak'


Korea Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri yang biasanya dirujuk sebagai 'amoeba pemakan otak', menurut pihak berkuasa kesihatan pada Isnin 26 Disember 2022.


Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan kematian warga tempatan berusia lingkungan 50-an selepas mangsa kembali dari sebuah negara Asia Tenggara pada 10 Disember lalu, selepas menetap selama empat bulan di negara terbabit.


Lelaki itu dipercayai meninggal dunia selepas dijangkiti Naegleria fowleri, yang merosakkan otak, dimasukkan ke hospital sehari selepas kepulangannya.


"Dia dimasukkan ke hospital pada keesokan harinya dan meninggal dunia pada Rabu lalu. Kami telah melakukan ujian genetik ke atas tiga jenis patogen yang menyebabkan Naegleria fowleri untuk mengesahkan punca kematiannya.


"Keputusan ujian itu menunjukkan gen dalam tubuh lelaki itu adalah 99.6 peratus sama dengan yang ditemui pada pesakit meningitis di luar negara," jelas KDCA.


Naegleria fowleri ialah amoeba atau organisma sel tunggal yang hidup, biasa ditemui di tasik air tawar yang hangat, sungai, terusan dan kolam di seluruh dunia. Amoeba disedut melalui hidung, bergerak ke otak dan memusnahkan tisu otak.


Antara simptom awal termasuk sakit kepala yang teruk, demam, loya atau muntah dan tempoh inkubasi Naegleria fowleri biasanya dua hingga tiga hari atau boleh mencecah sehingga 15 hari.


Dalam pada itu, KDCA memaklumkan, kemungkinan penularan Naegleria fowleri daripada individu kepada individu lain adalah rendah, tetapi menasihatkan penduduk tempatan untuk mengelakkan diri daripada berenang di kawasan di mana penyakit itu sudah merebak.


Sebanyak 381 kes Naegleria fowleri dilaporkan di seluruh dunia setakat 2018 termasuk di Amerika Syarikat (AS), India, Thailand, China dan Jepun.


Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di AS, sebanyak 154 kes jangkitan 'amoeba pemakan otak' dilaporkan dari 1962 hingga 2021 dan hanya empat pesakit terselamat dengan kadar kematian lebih 97 peratus.


Keputusan ujian itu menunjukkan gen dalam tubuh lelaki itu adalah 99.6 peratus sama dengan yang ditemui pada pesakit meningitis di luar negara. - Foto KDCA.

Khamis, 22 Disember 2022

Elon Musk umum akan letak jawatan CEO Twitter sebaik temui menggantinya

Elon Musk umum akan letak jawatan CEO Twitter sebaik temui menggantinya


Elon Musk berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Twitter sebaik sahaja menemui pengganti "seorang yang cukup bodoh" untuk mengambil alih jawatan itu.


"Saya akan meletakkan jawatan sebagai CEO sebaik sahaja saya menemui seseorang yang foolish enough untuk mengambil alih tugas itu!


"Selepas itu, saya hanya akan menerajui pasukan perisian & pelayan," kata Musk di Twitter pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.


Pengumuman Musk dibuat berikutan hasil tinjauan dalam talian yang disiarkannya di Twitter, sama ada beliau perlu meletakkan jawatan sebagai ketua platform media sosial itu.


"Saya akan mematuhi keputusan tinjauan pendapat ini," katanya.


Selepas tempoh kaji selidik berkenaan berakhir pada Ahad lepas, tinjauan itu menerima lebih 17.5 juta undian di seluruh dunia dengan majoriti 57.5 peratus mahu beliau meletakkan jawatan berbanding hanya 42.5 peratus mengatakan tidak.


Pada akhir Oktober, Musk memuktamadkan pemerolehan Twitter bernilai AS$44 bilion.


Musk merombak operasi harian syarikat, termasuk menamatkan perkhidmatan separuh pekerjanya dan eksekutif Twitter yang bertanggungjawab ke atas privasi, keselamatan siber, dan penapisan platform berkenaan.


Sebelum menyiarkan tinjauan pendapat pada Ahad mengenai potensinya meletak jawatan sebagai ketua Twitter, Musk memaklumkan mulai sekarang, "undian akan dilakukan bagi menentukan perubahan dasar utama" di platform media sosial itu.


Pengumuman itu dibuat selepas Musk melancarkan satu kaji selidik meminta pandangan pengguna Twitter tentang prestasinya sepanjang memegang jawatan sebagai ketua syarikat berkenaan. - Foto Anadolu Agency/Getty Images.

Isnin, 19 Disember 2022

Penjaga gol, Martinez membuat isyarat lucah cemar malam gemilang Argentina

Penjaga gol, Martinez membuat isyarat lucah cemar malam gemilang Argentina


Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez bukan sahaja mencuri tumpuan ketika perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 menentang Perancis semalam dengan aksi tangkasnya menepis percubaan berbahaya Les Blues, namun turut mencetuskan kontroversi dengan menerusi gaya sambutannya ketika dikalungkan pingat juara selepas tamat perlawanan.


Martinez, 30 tahun yang meraih anugerah Sarung Tangan Emas selepas dihadiahkan trofi untuk penjaga gol terbaik Piala Dunia, membuat mimik muka kelakar sambil meletakkan trofi itu di celah kangkangnya sejurus menerima anugerah berkenaan.


Tindakannya itu mengejutkan peminat yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia apabila dia membuat isyarat lucah selepas menerima trofi tersebut.


Argentina melakarkan kemenangan ke atas Perancis menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 sehingga masa tambahan tamat.



Martinez bertindak cemerlang dengan menyelamatkan percubaan di saat-saat akhir masa tambahan untuk membawa perlawanan ke penentuan penalti.


Selepas perlawanan dia dihadiahkan Sarung Tangan Emas, trofi yang diberikan kepada penjaga gol dengan rekod bersih terbanyak.


Dia kemudiannya memegang anugerah itu di pangkal pahanya dan membuat isyarat lucah semasa kembali menyertai rakan pasukan.


Namun tindakan Martinez ini menimbulkan rasa kurang senang dikalangan peminat sukan dunia.


"Dia tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang bodoh untuk beberapa saat. Ia tidak matang. Bayangkan melakukan ini di hadapan dua bilion orang!!" komen salah seorang netizen di media sosial.


Martinez membuat isyarat lucah dengan trofi Sarung Tangan Emas. - Foto Daily Mail.