Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Isnin, 31 Oktober 2022

Tular video wanita ditampar, tendang, dilibas selipar oleh seorang lelaki undang kemarahan warganet

Tular video wanita ditampar, tendang, dilibas selipar oleh seorang lelaki undang kemarahan warganet


KOTA KINABALU - Tular sebuah rakaman video memaparkan seorang perempuan ditendang dan ditampar beberapa kali termasuk dilibas selipar oleh seorang remaja lelaki sehingga mencetuskan kemarahan warganet.


Video berdurasi 18 saat itu menunjukkan remaja lelaki itu dilihat beberapa kali menampar muka perempuan terbabit hingga tertolak ke dinding.


Lelaki itu kemudian menyerangnya lagi dengan menendangnya sebelum bertindak menampar muka perempuan itu dengan selipar berkali-kali.


Perempuan itu hanya menangis menahan kesakitan dengan memegang kepalanya di tepi dinding. Dalam kejadian itu, rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki terbabit kerana terlalu ganas.


Malah netizen, turut mengecam individu yang merakam kejadian itu kerana hanya ketawa melihat tindakan lelaki itu. Setakat ini tidak dipastikan bila kejadian itu berlaku namun lokasi kejadian seperti di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat atau laporan polis mengenai kejadian itu sama ada benar ia berlaku di Kota Kinabalu.


Bagaimanapun katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai video tular berkenaan dan meminta kerjasama dari semua pihak untuk tampil memberikan maklumat mengenai kejadian itu. - Sumber Harian Metro.


BACA: Padah belanja sakan guna kad ATM orang lain, seorang wanita ditahan.


Tangkap layar seorang lelaki membelasah seorang gadis tanpa belas kasihan undang kecaman netizen.

Jumaat, 28 Oktober 2022

Dua ekor tedung selar 'makan' tuannya hingga tewas

Dua ekor tedung selar 'makan' tuannya hingga tewas


Sejak berpuluh tahun lalu, Imam Rokhani dianggap pakar menjinakkan ular tedung selar. Bagaimanapun, lelaki berusia 49 tahun dari Indonesia itu akhirnya meninggal dunia pada Ahad, 23 Oktober 2022 lalu selepas dipatuk dua ekor tedung selar peliharaannya.


Haiwan itu dilaporkan mematuk Imam ketika lelaki itu mahu menggantikan air di dalam sangkar peliharaan. Imam sebelum ini pernah dipatuk ular dan mengalami kecacatan kekal pada tangannya.


Imam, merupakan penduduk Dusun Winong, Desa Nrayung, Kecamatan Gandusari, Trenggalek di Jawa Timur. Dia belum berkahwin lagi.


Rakannya, Puji Setiawan berkata, Imam memelihara reptilia itu yang ditemukan di sebuah kebun. Ular sepanjang tiga meter ketika ditemukan itu sudah dipelihara Imam, sejak beberapa tahun lalu.


Katanya, ular berkenaan kemudian terus membesar sehingga panjangnya mencecah lima meter. Sepanjang tempoh dipelihara, ular itu akan diberi makanan iaitu haiwan yang saiznya jauh lebih kecil.


"Dua ekor tedung selar itu akan diberi makan pada waktu malam dan saya menjadi orang terakhir memberi haiwan peliharaan makan sebelum ini. Namun, tiada sebarang tindak balas ganjil sepanjang proses itu dibuat," katanya.


Menurut Puji, rakannya itu pernah menyatakan bahawa dia pasrah sekiranya meninggal dunia kerana dipatuk ular.


"Arwah mempunyai prinsip dan sudah pasrah. Jika suatu hari dia mati dipatuk ular, sudah menjadi risiko dan dia menyerah," jelas Puji Setiawan, sahabat karib almarhum melalui telefon kepada Kompas.com. - Sumber Kompas.com


Foto menunjukkan Imam bermain dengan ular peliharaannya. - Foto Kompas.com.

Ahad, 23 Oktober 2022

Mike Tyson dedah punca sebenar tumbuk peminat dalam pesawat

Mike Tyson dedah punca sebenar tumbuk peminat dalam pesawat


Mike Tyson mengakui dia pening kepala akibat terhidu bau ganja sebelum menumbuk seorang peminat di dalam pesawat. Bekas petinju berusia 56 tahun itu dirakam berulang kali menumbuk Melvin George Townsend dalam penerbangan JetBlue pada April 2022 lalu.


Tyson mengakui dia menaiki penerbangan dari San Francisco ke Miami selepas berada di tengah-tengah 60,000 orang yang menghisap ganja.


Bercakap mengenai kejadian itu, Tyson memberitahu dalam rancangan Piers Morgan Uncensored bahawa dia tidak boleh tahan lagi melihat tingkah laku Townsend yang cuba mendekatinya dan tidak henti-henti melakukan provokasi.


"Pertama sekali, saya datang dari tempat bernama Hippie Hill di mana 60,000 orang di sana menghisap ganja. Jadi apabila saya berada di dalam pesawat, saya lapar, pening dan letih. Lelaki itu terus mendekati saya.


"Saya geram dan bertindak menumbuknya. Mujur pengawal peribadi saya menghentikan insiden itu," katanya.


Susulan kejadian itu, pendakwa raya sebuah daerah di California memaklumkan bahawa tidak akan memfailkan pertuduhan terhadap Tyson yang didakwa menumbuk seorang penumpang dalam pesawat yang dalam penerbangan.


"Kini kami menganggap kes ini ditutup," kata Pendakwa Raya Daerah Steve Wagstaffe.


Wagstaffe berkata, pejabatnya telah mengkaji video insiden tersebut dan laporan polis mengenai insiden pertengkaran yang berlaku pada 20 April lalu sebelum memutuskan untuk tidak melakukan pendakwaan.


Wagstaffe menambah, pejabatnya juga tidak akan memfailkan pendakwaan terhadap penumpang terbabit, yang juga enggan mendakwa Tyson.


Pada April lalu, TMZ menyiarkan rakaman video yang memaparkan Tyson menumbuk Townsend yang duduk di barisan belakangnya dengan menyatakan insiden tersebut berlaku selepas penumpang itu terus mengganggu bekas penunju tersebut setelah dia diminta berhenti melakukannya.


Seorang saksi di dalam pesawat memberitahu TMZ bahawa pada mulanya bekas juara heavyweight itu bersikap mesra dengan peminat yang meminta bergambar namun Townsend terus bercakap dengan Tyson yang mencetuskan kemarahan sebelum menumbuknya.


"Malangnya Tyson mengalami insiden dalam penerbangan dengan seorang penumpang yang agresif yang mula mengganggunya dan membaling botol ke arah beliau ketika beliau berada di tempat duduknya," kata wakil Tyson kepada Fox Business menerusi satu kenyataan ketika itu.


Mike Tyson menumbuk Townsend di dalam pesawat, April lalu. - Foto Agensi.

Rabu, 19 Oktober 2022

Bola 'Tangan Tuhan' Maradona dilelong pada harga RM13.14 juta

Bola 'Tangan Tuhan' Maradona dilelong pada harga RM13.14 juta


Bola yang terkena tangan ketika Diego Maradona mengejutkan dunia dengan jaringan kontroversi di Piala Dunia Mexico 1986, akan dilelong 16 November ini dan dijangka mencapai harga sekitar 2.5 juta pounds (RM13.14 juta).


Bola itu digunakan di suku akhir perlawanan antara Argentina dan England, apabila Maradona menjaringkan gol selepas enam minit babak kedua dengan menumbuk bola menewaskan penjaga gol England, Peter Shilton yang dikatakan sebagai 'Tangan Tuhan'.


Empat minit kemudian, dia menggelecek bola dari kawasan sendiri melepasi beberapa pemain England untuk menjaringkan gol kedua yang dianggap antara jaringan tercantik dalam sejarah Piala Dunia.


Bola itu kini milik pengadil Tunisia Ali Bin Nasser, yang bertugas pada perlawanan suku akhir ketika itu antara England dan Argentina pada Piala Dunia di Mexico, 36 tahun lalu.


"Bola itu adalah sebahagian daripada sejarah bola sepak antarabangsa, rasanya ini adalah masa tepat untuk berkongsi dengan seluruh dunia," kata Nasser.


"Saya harap pembeli akan meletakkannya sebagai pameran atau berkongsi dengan orang ramai dengan cara sendiri," katanya.


Lelongan itu akan dikendalikan Graham Budd pada 16 November dengan pembida boleh mendaftar mulai 28 Oktober ini.


Sebelum ini, jersi dipakai Maradona pada perlawanan itu dijual pada harga 7.14 juta pounds (RM37.53 juta) pada awal tahun ini.


Maradona yang dianggap antara pemain bola sepak terbaik dunia sepanjang zaman meninggal dunia pada November 2020 pada usia 60 tahun.


Maradona menjaringkan gol dalam aksi 'Tangan Tuhan' ketika menentang England di suku akhir Piala Dunia Mexico 1986. - Foto Press Assoclation.

Khamis, 13 Oktober 2022

Kerana tak cukup wang, budak ini menggunakan beg sekolah yang diperbuat daripada tali rafia buatan bapanya

Kerana tak cukup wang, budak ini menggunakan beg sekolah yang diperbuat daripada tali rafia buatan bapanya


Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Malangnya, tidak semua orang mempunyai keadaan ekonomi yang mencukupi. Ada ibu bapa yang terpaksa melalui perjuangan yang bukan mudah hanya untuk keperluan beg sekolah anak mereka.


Salah satu kisah perjuangan ibu bapa kali ini berlaku di Kemboja. Di mana seorang bapa tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli beg sekolah anaknya. Dia kemudian membuat keputusan untuk membuat anyaman daripada tali rafia untuk dibentuk menjadi beg sekolah.


Menerusi perkongsian akaun Facebook Sophous Suon, yang merupakan seorang guru kelas berkata salah seorang muridnya datang ke sekolah dengan membawa beg dengan penampilan berbeza dari beg sekolah biasa. Beg pelajar itu diperbuat daripada anyaman tali rafia berwarna biru.


Menurutnya, pelajar itu menjelaskan bahawa bapanya telah membuat beg uniknya. Sophous kemudian memuat naik beberapa foto dalam status Facebooknya yang menunjukkan bahagian beg yang lebih terperinci.


Dapat dilihat betapa kreatifnya bapa yang berjaya membuat beg galas hanya dengan material tali rafia. Lebih-lebih lagi, beg galas itu juga kelihatan kukuh walaupun dipenuhi dengan banyak buku.


Seperti beg sekolah asal, beg galas itu juga ada tali anduh yang diambil dari beg lama. Selain itu, beg berwarna biru itu juga mempunyai reka bentuk yang unik kerana penutupnya seperti beg sekolah biasa.


Kisah penuh inspirasi ini turut menarik perhatian ramai pihak yang menawarkan sumbangan kepada pelajar tersebut. Sophous sendiri menyatakan bahawa tidak lama lagi dia akan bertemu bapa muridnya untuk memberi sumbangan.


"Saya berharap nasib pelajar ini akan berubah agar kelak dapat menjalani kehidupan yang lebih baik," kata Sophous. - Sumber Liputan6.


Walaupun beg ini hanya diperbuat dari tali rafia, ia kelihatan kukuh walaupun dipenuhi dengan banyak buku. - Foto Sophous Suon.

Selasa, 11 Oktober 2022

Rumah terapung bernilai RM6.7 juta tenggelam ketika pelancaran

Rumah terapung bernilai RM6.7 juta tenggelam ketika pelancaran


Sebuah model rumah terapung yang dilancarkan di Panama akhir bulan lalu gagal memenuhi konsepnya apabila ia tenggelam di hadapan penonton ketika majlis perasmian, lapor akhbar Daily Star pada 8 Oktober 2022.


Menurut syarikat teknologi inovasi laut, Ocean Builders, SeaPod dibina bertujuan bagi memenuhi sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan 72 peratus permukaan Bumi yang diliputi air sebagai 'syurga' kelestarian ekosistem.


"Teknologi kami akan membolehkan tamadun bergerak ke laut dan ia akan membuka kunci lautan sebagai sempadan baharu dengan kualiti hidup yang tiada tandingan di tempat lain," kata syarikat itu.


Bagaimanapun, ketika pelancaran rumah futuristik yang bernilai £1.3 juta (RM6.7 juta) itu, ia tumbang sebelum tenggelam di hadapan penonton termasuk Presiden Panama, Laurentino Cortizo.


Ocean Builders berkata, struktur yang tinggi itu dilengkapi batang keluli besi berisi udara bersaiz 47.8 meter padu yang menghasilkan daya apungan yang sangat tinggi.


Ia bahkan mampu menampung keseluruhan struktur SeaPod setinggi 3 meter di atas air. Malangnya, kegagalan fungsi pam lambung menyebabkan prototaip SeaPod tidak seimbang dan tumbang.


"Seperti semua inovasi dan teknologi baharu, terdapat fasa percubaan dan kesilapan. Ini memberi peluang kepada kita untuk belajar, menambah baik dan terus berinovasi untuk teknologi lautan," kata jurucakap SeaPod dalam satu kenyataan.


Ocean Builders bagaimanapun mengesahkan bahawa tiada individu cedera dalam insiden tersebut yang dianggap sebagai 'kemalangan yang kelakar'.


"Kira-kira pukul 4.35 petang (waktu tempatan) pada Khamis, 22 September, SeaPod mengalami masalah dalam sistem pengepaman, menyebabkan air melimpah di bilik jakuzi.


"Air melimpah dengan amat pantas dan mengalir ke bahagian lain sehingga menyebabkan apa yang kami gelar sebagai 'senget' (keadaan struktur SeaPod)," kata Ocean Builders. - Sumber Daily Star.


Rumah itu dirakam tumbang di hadapan penonton. - Foto Twitter.

Rumah terapung sebelum pelancaran. - Foto Daily Star.

Sabtu, 8 Oktober 2022

Bomba selamatkan warga emas jatuh perigi

Bomba selamatkan warga emas jatuh perigi


Seorang lelaki warga emas cedera bahagian perut selepas terjatuh dalam sebuah perigi sedalam 2.4 meter di Kampung Batu 8, Mantin di Nilai, Seremban pada hari Jumaat, 7 Oktober 2022.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.29 pagi.


"Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa seorang lelaki berusia 60 tahun terperangkap dalam sebuah perigi berkedalaman 8 kaki yang tidak lagi digunakan.


"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan dia berjaya diselamatkan dengan menggunakan tangga," katanya ketika dihubungi.


Menurut jurucakap tersebut, mangsa telah diserahkan kepada pasukan kesihatan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk rawatan lanjut.


Jelasnya, setakat ini punca mangsa terjatuh ke dalam perigi masih dalam siasatan memandangkan warga emas itu tidak fasih berbahasa Melayu.


Bomba menyelamatkan warga emas yang terjatuh dalam perigi di Kampung Batu 8, Mantin menggunakan tangga. - Foto Ihsan Bomba.

Mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans. - Foto Ihsan Bomba.