Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Rabu, 4 Mei 2022

Pelanggan hotel rebus ketam dalam cerek elektrik diarah membayar ganti rugi RM1,340

Pelanggan hotel rebus ketam dalam cerek elektrik diarah membayar ganti rugi RM1,340


Seorang pelanggan hotel di Jepun diarah membayar ganti rugi 40,000 yen (RM1,340) kerana menggunakan cerek elektrik di bilik penginapannya untuk merebus ketam, lapor laman berita Sora News24 pada 3 Mei 2022.


Pihak pengurusan hotel berkata, makanan yang dimasak pelanggan berkenaan menghasilkan bau yang sukar dihilangkan, menyebabkan mereka tidak dapat menyewakan bilik itu selama beberapa hari. 


Namun, pelanggan tersebut menafikan dakwaan pihak hotel dan berkata, mustahil bau itu tidak hilang selama beberapa hari, dan bilik yang disewanya itu akan menerima tempahan setiap hari selepas dia keluar.


Pihak hotel kemudian mengakuinya lalu mengurangkan ganti rugi kepada 17,000 yen (RM569) untuk kos penyahbauan bilik dan 5,000 yen (RM167) untuk menggantikan cerek baharu.


Pelanggan itu bagaimanapun masih tidak puas hati lalu mendakwa bahawa penapis udara telah dipasang semasa dia memasak, dan tiada peraturan bertulis di bilik berkenaan yang melarangnya memasak ketam menggunakan cerek.


Sementara itu 'mahkamah pendapat umum' iaitu netizen sebulat suara bersetuju dengan pihak hotel dalam kes tersebut. Mengenai liabiliti undang-undang dalam kes itu, portal Bengoshi Dot Com bercakap dengan seorang peguam untuk menjelaskan mengenai tindakan pelanggan terbabit.


Kata peguam berkenaan, menyewa bilik hotel atau pelanggan akan menandatangani kontrak yang mewajibkan mereka untuk tidak terlibat dengan tingkah laku yang boleh merosakkan bilik. Tambahan pula, air cerek elektrik kebiasaannya diguna untuk membancuh minuman seperti teh dan kopi.


Jadi, sesiapa yang menggunakannya untuk tujuan tidak normal seperti membersihkan seluar dalam, bermain besbol dan memasak haiwan dilihat bertanggungjawab membuat kerosakan kepada harta hotel yang didiami. - Sumber SoraNews24.


Ahad, 24 April 2022

Anak, bapa jumpa wang beribu dolar dalam tasik mengembalikannya kepada pemilik sah

Anak, bapa jumpa wang beribu dolar dalam tasik mengembalikannya kepada pemilik sah


Seorang remaja berusia 15 tahun bersama bapanya menemukan peti besi yang mengandungi wang tunai bernilai ribuan dolar Australia, ketika mencari barang logam dalam sebuah tasik di Lincolnshire, London.


Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 22 April 2022, George Tindale dan bapanya, Kevin, 52, sedang mencari barang logam dengan menggunakan 'pancing magnet' di Sungai Witham di Grantham, Lincolnshire sebelum penemuan luar biasa itu tiga minggu lalu.


George dan Kevin menemukan peti besi lama dan terkejut selepas mendapati beg plastik berisi wang kertas bernilai 2,500 dolar Australia (RM7,834).


Mereka turut menemukan sekeping sijil senjata api dan beberapa kad bank yang sudah tamat tempoh pada 2004. Ia sekali gus memudahkan mereka untuk menjejak pemilik asal wang tersebut.



Dilaporkan, peti besi itu milik seorang ahli perniagaan bernama Rob Everett yang dicuri pada tahun 2000 ketika pejabatnya dipecah masuk.


Selepas menghubungi Everett, George dan Kevin melawatnya di premis perniagaan di Grantham untuk memulangkan wang yang ditemukannya.


Everett, yang mengendalikan Winkworth and the Money Options Group berkata, peti besi itu dicuri dari pejabatnya oleh seorang remaja, yang ditangkap selepas Everett menemui topi yang ditinggalkan pencuri dengan namanya dijahit ke dalamnya.


"Saya masih ingat pada masa itu, dia merempuh kabinet untuk pergi ke peti besi.. saya hanya kecewa kerana terdapat pen yang bagus di atas meja saya, Mont Blanc yang tidak dapat dipulihkan.


"Bagi saya, saya hanya merasakan ada orang yang sangat baik di dunia ini. Mereka (George dan bapanya) boleh menyimpan wang itu, namun mereka mahu memulangka barangan itu kepada pemilik yang sah. Saya memberikan sedikit ganjaran kepada George," kata Everett.


Kevin dengan peti besi dan kandungannya sejurus selepas mereka menarik keluar dari sungai. - Foto SWNS.

Kevin mengeluarkan wang dari peti besi yang mereka temukan di sebuah tasik di Lincolnshire. - Foto SWNS.

Mereka terkejut apabila di antara lumpur dan lendir terdapat kantung berisi wang 2,500 dolar Australia. - Foto SWNS.

George dan bapanya, bergambar dengan Rob Everett. - Foto SWNS.

Sabtu, 16 April 2022

Parker pecah rekod dunia sebagai pemandu buta terpantas dunia mencapai kelajuan lebih 339 kmj

Parker pecah rekod dunia sebagai pemandu buta terpantas dunia mencapai kelajuan lebih 339 kmj


Seorang pemandu kereta lumba yang mengalami masalah penglihatan diiktiraf Rekod Dunia Guinness (GWR) sebagai pemandu buta terpantas dunia, lapor akhbar India Times pada 13 April 2022.


Dan Parker mencapai kelajuan tertinggi 339.640 kilometer sejam (kmj) di landasan Spaceport America, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 322.689 kmj. Lebih bermakna, Parker, meraih rekod berkenaan pada ulang tahun ke-10 dia hilang penglihatan akibat kemalangan perlumbaan 10 tahun lalu.


Parker menggubah suai kereta, Corvette khusus untuk dipandu laju dalam keadaan mata tertutup, selain menggunakan sistem panduan audio untuk membantunya mengawal kenderaan semasa percubaannya itu.


Perlumbaan terbaharu itu adalah sebahagian daripada Cabaran Pemandu Buta Persekutuan Kebangsaan Orang Buta (NFB). Inisiatif ini bertujuan untuk menarik perhatian kepada kepentingan memecahkan halangan dalam mobiliti, dan untuk menunjukkan pencapaian luar biasa orang buta.



"Bukan saja menunjukkan orang buta boleh mengendalikan kenderaan dengan selamat, tetapi kami boleh melakukannya dengan kelajuan lebih dua ratus batu sejam (kira-kira 321 kmj).


"Kami berharap kejayaan ini memberi inspirasi kepada orang buta dan menunjukkan kepada dunia potensi teknologi moden, seperti kereta pandu sendiri untuk membantu memecahkan halangan orang buta dalam pergerakan harian dan sebagainya," kata Parker kepada Las Cruces Sun News.


Acara Cabaran Pemandu Buta yang julung kali diadakan pada Januari 2011, apabila Mark Riccobono, kini presiden NFB, secara bebas mengendalikan hibrid Ford Escape yang diubah suai di Daytona International Speedway Road Course.


Riccobono menavigasi selekoh kursus dan mengemudikan kereta mengelilingi halangan dinamik dengan mengikuti gesaan haptik yang dijana oleh input daripada GPS kenderaan, kamera dan penderia LIDAR, lapor outlet itu. - Sumber India Times.


Parker ketika menerima sijil pengiktirafan daripada wakil GWR. - Foto Twitter.
Wayar fon telinga sepanjang 80 sentimeter tersangkut dalam pundi kencing lelaki

Wayar fon telinga sepanjang 80 sentimeter tersangkut dalam pundi kencing lelaki


Seorang lelaki berusia 34 tahun di Indonesia, berdepan detik cemas apabila wayar fon telinga tersekat di dalam pundi kencingnya, lapor akhbar Daily Mail pada 14 April 2022.


Lelaki itu memberitahu doktor bahawa dia menyumbat wayar fon telinga sepanjang 80 sentimeter itu ke dalam alat sulitnya. Dia turut mengakui melakukan perbuatan tersebut sehingga lima kali dalam seminggu.


Lelaki yang dirahsiakan identitinya tiba di jabatan kecemasan Hospital Pengajaran Akademik Am Dr. Soetomo di kota Surabaya, dengan mengadu sakit perut ketika membuang air kecil.


Menurut laporan jurnal Radiology Case Reports, doktor-doktor menyatakan, wayar itu 'bersarang di dalam pundi kencing pesakit'. Mereka menjalankan ujian X-ray untuk memeriksa lokasi tepat kedudukan wayar itu di dalam badan pesakit.


Wayar setebal tiga milimeter itu kelihatan seperti bergulung tetapi pesakit bernasib baik kerana ia tidak terlekat pada dinding pundi kencingnya. Jika itu berlaku, ia boleh menyebabkan lubang yang memerlukan pembedahan untuk diperbaiki, kata pakar urologi.



Doktor menarik keluar wayar tersebut menggunakan forsep dan lelaki itu dibenarkan pulang selepas ditahan semalaman untuk pemantauan.


Pakar-pakar kesihatan menyifatkan situasi ini sebagai kes klasik polyembolokoilamania iaitu tindakan memasukkan bendasing ke dalam lubang kemaluan. Namun, mereka berkata, pesakit tidak menunjukkan tingkah laku psikotik dan mentalnya berada pada tahap sihat.


Dr Rich Viney, pakar urologi perunding di Hospital Queen Elizabeth di Birmingham, memberitahu MailOnline berkata, jika objek tersangkut di dalam kemaluan, ia boleh menyebabkan beberapa masalah, mulai dari rasa terbakar, ketidakupayaan untuk membuang air kecil dan masalah ereksi.


Katanya, komplikasi yang lebih serius seperti lubang yang muncul di pundi kencing, dan parut pada tiub yang membawa air kencing keluar dari badan, ia mungkin memerlukan prosedur pembedahan yang kompleks untuk diperbetulkan. - Sumber Daily Mail.


Wayar fon telinga yang dikeluarkan dari dalam zakar seorang lelaki Indonesia. - Foto Jam Press.

Isnin, 4 April 2022

Ferrari RM1.38 juta kemalangan, pemilik hanya sempat memandu sejauh 3.2 kilometer

Ferrari RM1.38 juta kemalangan, pemilik hanya sempat memandu sejauh 3.2 kilometer


Merasai pengalaman memandu kereta mewah adalah impian ramai orang. Namun, seorang pemilik Ferrari yang baru saja membeli kereta itu hanya sempat memandu sejauh 3.2 kilometer sebelum terbabit kemalangan, lapor akhbar Mirror UK pada 1 April 2022.


Ia menyebabkan kereta sport itu yang berharga 250,000 Pound Sterling (kira-kira RM1.38 juta) remuk di bahagian depan manakala pemandu tidak cedera.


Kereta mewah yang terbabit kemalangan itu dipercayai model Ferrari 488. Gambar yang dikongsikan oleh polis menunjukkan bonet kereta itu melengkung dan mengalami kesan calar di seluruh bahagian hadapan kereta.


Pemandu kereta tersebut terpaksa mengira kos kerugian walaupun pada awalnya gembira selepas membelinya di bandar Derby, daerah Derbyshire.


"Derby. 1 April. Pemandu membeli sebuah kereta Ferari pagi tadi dan merempuhnya selepas memandu kurang daripada 3.2 kilometer. Tiada kecederaan dialami," kata Unit Polis Derbyshire di laman Twitter.


Pengguna maya memberi reaksi di media sosial dengan seorang menulis "Oh Tidak! Terluka" manakala seorang lagi berkata "Anda akan benar-benar kecewa."


"Saya menerimanya kerana kereta itu menghadap ke arah yang salah. Mungkin terlalu banyak minyak?" kata seorang lagi netizen.


"Betapa malunya anda. Itu akan memerlukan sedikit baik pulih," komen netizen lain. - Sumber Mirror UK.


Gambar menunjukkan kereta Ferrari 488 yang berlanggar sejurus selepas seorang pemilik membelinya di Derby. - Foto Derbyshire Roads Policing Unit / SWNS.

Khamis, 31 Mac 2022

Nenek 67 tahun tangkap ular sawa hanya hanya guna tangan

Nenek 67 tahun tangkap ular sawa hanya hanya guna tangan


Seorang nenek yang tinggal di wilayah Isaan, Thailand menjadi terkenal kerana mampu menangkap ular bersaiz besar hanya menggunakan tangannya sendiri, lapor laman berita Thaiger pada 29 Mac 2022.


Prakuad 'Own' Pasomsi, 67, dipuji oleh penduduk Surin sebagai 'penyelamat komuniti' terbaik selepas berjaya menangkap ular sawa terbesar yang pernah ditangkapnya setakat ini.


Warga emas itu hanya menggunakan tangannya untuk menangkap ular ketika menjalankan aktiviti tersebut sejak tiga tahun lalu. Jiran-jirannya juga kebiasaannya akan memanggilnya sebagai 'penyelamat komuniti'.


Prakuad yang lebih dikenali sebagai Own berkata, kebiasaannya, dia akan menangkap ular tidak berbisa dan menghubungi pasukan penyelamat untuk mengambilnya bagi dilepaskan di tempat yang sesuai.


Tambahnya, dia tidak takut akan ular. Walaupun pernah dipatuk sebanyak dua kali, Own mengakui bahawa ia tidak menyakitkan.


Tambah Own, jirannya sering meminta bantuannya jika mereka menemui ular. Dia juga bersedia untuk membantu mereka dan tidak pernah meminta wang sebagai balasan.


Own akan memberikan bantuan sekiranya dipanggil penduduk untuk menangkap ular. - Foto Nini Suphot Motor.

Isnin, 28 Mac 2022

Lelaki ditahan simpan lebih 500 basikal curi di halaman belakang rumahnya

Lelaki ditahan simpan lebih 500 basikal curi di halaman belakang rumahnya


Seorang lelaki Britain berusia 55 tahun ditahan selepas polis menemui lebih 500 basikal curi di halaman belakang rumahnya, yang boleh dilihat melalui satelit Google Earth, lapor laman berita NDTV pada 24 Mac 2022.


Polis menemui basikal-basikal itu yang ditimbun di kediaman tersebut di daerah Littlemore, Oxford. Pihak polis masih dalam proses untuk mengenal pasti pemilik-pemilik ratusan basikal yang ditemui di hartanah lelaki berkenaan.


Polis mendapat maklumat setelah beberapa aduan telah difailkan terhadap lelaki itu oleh jiran-jirannya, yang mengadu diganggu oleh tikus-tikus yang bersarang di dalam timbunan basikal curi itu.


Lelaki itu ditahan pada minggu lalu kerana disyaki menyimpan dan memiliki barang curi. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan selesai.


Polis Lembah Thames memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa waran telah dikeluarkan terhadap lelaki itu berdasarkan siasatan. Menurut penduduk tempatan, polis dilihat berada di lokasi tersebut untuk menyusun beratus-ratus basikal yang dicuri.


"Ia telah berlaku selama kira-kira lima tahun," kata Colleen Butler, yang telah tinggal di kawasan itu selama 32 tahun. Dia menambah bahawa lelaki yang ditahan kerana mencuri telah berpindah ke sana sedekad lalu.


Selepas kejadian itu dilaporkan dan polis memuat naik gambar basikal tersebut di media sosial, ia mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna yang kebanyakannya mempersoalkan tindakan lelaki tersebut.


"Apa yang dia lakukan dengan semua basikal itu?" kata seorang pengguna di Twitter. "Kenapa tiada siapa yang melihatnya lebih awal," tambah seorang lagi.


Sebanyak 500 basikal ditemui polis setelah menyerbu rumah lelaki berkenaan. - Foto Hyde News.