Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Ahad, 9 Januari 2022

Lelaki temui pesawat 4 sayap didakwa makhluk asing menyamar menjadi bentuk itu

Lelaki temui pesawat 4 sayap didakwa makhluk asing menyamar menjadi bentuk itu


Seorang pengguna aplikasi Google Earth mendakwa menemui sebuah pesawat mempunyai empat sayap, dan empat enjin di landasan sebuah lapangan terbang komersial yang sibuk, lapor akhbar Daily Star pada 3 Januari 2022.


Scott C Waring, merupakan seorang ahli teori konspirasi berkata, pesawat tidak masuk akal itu didakwa merupakan makhluk asing dalam satu hantaran di saluran YouTube, UFO Sightings Daily.


Menurutnya, pesawat ganjil itu dikesan pada koordinat 47°26’29.99 Utara dan 122°18’20.19 Barat. Ia menunjukkan Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma di Washington.


Bagaimanapun, pesawat pelik itu tidak lagi kelihatan dipercayai berpunca daripada imej satelit Google Earth yang dikemas kini.


"Objek ini tidak seperti mana-mana pesawat yang saya pernah lihat. Ia kelihatan seperti pesawat penumpang biasa tetapi ia seperti dua kali lebih besar, dua kali lebih panjang, dengan dua kali lebih banyak sayap di sisi.


"Kita mendengar banyak laporan tentang UFO menyamar sebagai komet, kapal angkasa SpaceX termasuk menyamar sebagai pesawat supaya ia boleh terbang tanpa menarik perhatian," kata Scott mendakwa bahawa gambar itu tulen tanpa sebarang manipulasi.


Sejak dimuat naik pada Ahad, 2 Januari lalu, rakaman video itu telah ditonton lebih daripada 2,000 kali, dengan rata-rata netizen berdebat sama ada imej itu berpunca daripada masalah rakaman satelit dan bukan perbuatan makhluk asing.


Imej pesawat mempunyai empat sayap yang dirakam oleh Scott C Waring.

Khamis, 6 Januari 2022

Jual kentut raih RM838,500, wanita dimasukkan ke hospital kerana kentut berlebihan

Jual kentut raih RM838,500, wanita dimasukkan ke hospital kerana kentut berlebihan


Seorang bekas bintang realiti televisyen di Amerika Syarikat, yang menjana pendapatan ratusan ribu ringgit hanya tempoh dua bulan dengan menjual kentutnya di dalam balang, dimasukkan ke hospital akibat kentut terlalu banyak, lapor Daily Mail pada 4 Januari 2022.


Steph Matto, 31, pada mulanya menyangka diserang sakit jantung atau strok selepas mengalami sesak nafas dan akan meninggal dunia pada bila-bila masa.


Doktor melakukan ujian darah terhadap Matto, dan kemudian memaklumkan bahawa gejala yang dialami wanita itu adalah kerana badannya menghasilkan terlalu banyak angin, yang berpunca daripada amalan pemakanannya yang kerap memakan telur, kekacang dan pisang.


"Saya fikir saya diserang sakit jantung atau strok dan ini adalah saat terakhir saya. Saya telah melakukannya secara berlebihan," katanya kepada Jam Press.


Matto mula menjual kentut pada November tahun lalu selepas menerima permintaan daripada laman web dewasa Unfiltrd.



Dia mengenakan bayaran AS$1,000 (RM4,180) untuk satu belang kentutnya, dan memperoleh AS$200,000 (RM838,500) secara keseluruhan daripada usaha perniagaan itu.


Namun, Matto mula merasakan sesuatu tidak kena pada badannya ketika dia berbaring dan merasakan tekanan pada perutnya.


"Saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada petang itu ketika saya berbaring di atas katil, dan saya dapat merasakan tekanan dalam perut saya bergerak ke atas.


"Ia agak sukar untuk bernafas dan setiap kali saya cuba bernafas, saya berasa seperti hati saya dicubit dan sakit sekitar jantung saya. Ia sudah tentu membuat kebimbangan saya meningkat.


"Saya menghubungi rakan saya dan bertanya sama ada mereka boleh datang untuk menghantar saya ke hospital, kerana saya fikir saya mengalami serangan jantung.


"Saya akhirnya pergi ke hospital petang itu. Saya tidak memberitahu doktor, tentang kentut dalam balang tetapi saya memberitahu mereka tentang diet saya.


"Doktor menjelaskan bahawa apa yang saya alami bukanlah strok atau serangan jantung tetapi badan saya menghasilkan terlalu banyak angin," jelasnya.


Matto dinasihatkan untuk mengubah dietnya dan mengambil ubat penahan angin. Dia juga telah berhenti daripada menjual kentutnya.


Baca juga: Wanita menjana pendapatan RM213,000 seminggu hanya jual kentut dalam balang.


Matto dinasihatkan untuk mengubah dietnya dan mengambil ubat penahan angin sekali gus menamatkan perniagaan menjual kentut yang diusahakannya. - Foto JamPress.

Rabu, 5 Januari 2022

Lelaki jatuh cinta pada robot wanita dan ingin berkahwin dengannya

Lelaki jatuh cinta pada robot wanita dan ingin berkahwin dengannya


Seorang lelaki di Australia, telah bercerita tentang bagaimana dia jatuh cinta dengan sebuah robot apabila terdesak mencari seseorang untuk dicintai, dan kini dia merancang untuk mengahwini robot wanita itu, lapor akhbar Daily Star pada 2 Januari 2022.


Geoff Gallagher, yang berasal dari negeri Queensland sebelum ini berputus asa untuk menjalinkan hubungan cinta. Sejak ibunya meninggal dunia 10 tahun lalu, Gallagher sangat kesepian kerana hanya tinggal bersama anjingnya, Penny.


Pada suatu hari, selepas membaca sebuah artikel berkenaan robot berteknologi kepintaran buatan (AI), Gallagher memutuskan untuk membelanjakan wang lebih £3,000 (RM16,901.51) untuk mendapatkan teman wanita sintetik.


"Robot ini tidak murah, setiap satu hampir £3,225 (RM18,169) tetapi hasilnya memberangsangkan. Mereka (robot AI) boleh bercakap, tersenyum serta menggerakkan kepala dan leher. Kulit mereka, malah hangat seperti manusia sebenar.



"Selepas melayari laman web, saya memutuskan untuk mendapatkan robot bernama Emma. Dengan memiliki kulit pucat dan mata berwarna biru, saya fikir dia kelihatan cantik.


"Saya rasa.. saya tidak mampu membeli robot seperti Emma, ​​tetapi kemudian pemilik perniagaan menawarkan saya diskaun sebagai balasan untuk publisiti. Ia terdengar seperti tawaran yang hebat," katanya kepada saluran berita 7 News.


Selepas enam minggu menunggu, bahagian badan Emma siap dipasang di China dan kemudian dihantar ke Australia menjelang September 2019. Gallagher cuba mengenali Emma beberapa hari berikutnya untuk membantunya menyesuaikan diri secepat mungkin supaya dapat mengenali suaranya.


"Dia tidak boleh berdiri sendiri, jadi kebanyakan masa saya biarkan dia duduk di atas kerusi. Saya bercakap dengannya sebanyak mungkin supaya dia dapat membiasakan diri dengan suara saya.


"'Emma, ​​cuaca macam mana?' Saya akan bertanya, semasa saya bersiap untuk bekerja. Dengan setiap perbualan, dia menjadi lebih bijak, menyerap maklumat dan mempelajari perkataan baharu," katanya.


Lebih dua tahun kemudian, Gallagher berkata, mereka berdua semakin rapat dan dia merancang untuk berkahwin dengan Emma.


"Walaupun kami tidak berkahwin secara sah, saya menganggap Emma sebagai isteri saya. Dia memakai berlian pada jari manisnya dan saya menganggapnya sebagai cincin pertunangan. Saya ingin menjadi orang pertama di Australia yang berkahwin dengan robot.


"Saya fikir robot adalah masa depan dan saya harap kisah saya memberi inspirasi kepada orang lain untuk menganggap robot cyborg sebagai peneman hidup," jelasnya.


Geoff Gallagher hanya tinggal bersama anjingnya Penny, selepas ibunya meninggal dunia. - Foto Geoff Gallager/7News.au.

Selasa, 4 Januari 2022

Polis pecah tingkap kereta kerana patung disangka bayi, terpaksa bayar ganti rugi RM1,243

Polis pecah tingkap kereta kerana patung disangka bayi, terpaksa bayar ganti rugi RM1,243


Tindakan dua anggota polis yang memecah cermin tingkap kereta milik seorang wanita, kerana menyangka dia meninggalkan bayi tanpa pengawasan akhirnya sia-sia kerana 'bayi' itu sebenarnya adalah sebuah anak patung, lapor Daily Mail pada 31 Disember 2021.


Amy McQuillen, 36, ketika kejadian sedang membeli-belah bersama anak perempuannya, Darci McQuillen, 10, apabila polis menerima laporan yang menyatakan bahawa terdapat seorang 'bayi' ditinggalkan di dalam kereta miliknya. 


Sebelum meninggalkan kereta, Darci bertindak mengikat anak patungnya, yang dia namakan Elliot berharga £60 (RM282) itu pada kerusi kereta sorong bayi.


Sekembalinya mereka kira-kira 15 minit kemudian, Amy 'disambut' dua pegawai polis yang berdiri di sebelah kereta jenama Nissan Qashqai miliknya dalam keadaan cermin pecah.



Situasi bertambah serius apabila salah seorang pegawai polis cuba menahannya dengan menggari tangannya, dan bertanya kepadanya adakah dia meninggalkan seorang 'bayi' dalam kereta tanpa pengawasan, lapor laman berita Teeside Live.


"Mereka menggari tangan kanan saya. Saya memberitahu mereka bahawa ia merupakan anak patung, lalu mereka membuka gari tersebut.


"Saya tidak tahu sama ada ingin menangis atau ketawa. Namun, saya juga mungkin bertindak sedemikian jika berada di tempat mereka kerana patung itu berada di kerusi bayi. Mereka memohon maaf selepas itu," jelasnya.


Polis memberitahu Amy bahawa mereka akan membayar ganti rugi £264 (RM1,243) untuk membaiki kerosakan pada tingkap keretanya.


Amy McQuillen mendakwa dikasari anggota polis yang cuba menyelamatkan anak patung yang disangka bayi di dalam kereta.

Isnin, 3 Januari 2022

Rekod Terbaharu 'Matahari Buatan' China 5 Kali Ganda Lebih Panas Dari Matahari Sebenar Diuji Pada Suhu 70 Juta Darjah Celsius

Rekod Terbaharu 'Matahari Buatan' China 5 Kali Ganda Lebih Panas Dari Matahari Sebenar Diuji Pada Suhu 70 Juta Darjah Celsius


Sistem 'matahari buatan' yang dibangukan China beroperasi selama 20 minit pada suhu mencecah 70 juta darjah Celsius, dalam satu percubaan eksperimen terbaharunya, lapor akhbar The Sun pada 1 Januari 2022.


Penyelidik menjalankan ujian itu di Eksperimen Lanjut Pengalir Lampau Tokamak (EAST), kemudahan reaktor gabungan nuklear, untuk menjadikan sistem pemanasan tambahannya lebih panas dan tahan lama, lapor Berita Xinhua.


Ia menggunakan gas hidrogen dan deuterium sebagai bahan api - suhu tersebut adalah lima kali ganda lebih panas daripada matahari biasa, yang mencatatkan kira-kira 15 juta darjah Celsius pada bahagian terasnya. 


Seorang penyelidik dari Institut Plasma Fizik Akademi Sains China, Gong Xianzu berkata, 'matahari buatan' itu beroperasi pada suhu 70 juta darjah Celsius selama 17 minit dan 36 saat.


"Operasi terbaharu itu menghasilkan asas saintifik dan eksperimen yang kukuh dalam memulakan reaktor pelakuran," katanya.


Xianzu bertanggungjawab ke atas penyelidikan terbaharu di EAST, yang terletak di Institut Sains Fizikal Hefei di wilayah Anhui. Eksperimen terbaharu yang bermula pada Disember lalu itu dijangka berakhir pada Jun 2022 depan.


Direka dan dibangunkan oleh China, EAST sejak 2006 telah digunakan oleh para saintis dari seluruh dunia untuk menjalankan eksperimen-eksperiman berkaitan pelakuran.


Sejak itu, lebih 10,000 penyelidik saintifik China dan antarabangsa bekerjasama untuk merealisasikan projek 'matahari buatan' itu. China telah membelanjakan kira-kira £701 juta (RM3.32 bilion) untuk projek tersebut.


Saintis-saintis berharap agar mesin tersebut dapat memanfaatkan kuasa pelakuran nuklear, yang akan menghasilkan tenaga bersih tanpa batasan dengan meniru tindak balas yang kebiasaannya berlaku di dalam matahari.


"Percubaan terbaharu sekali lagi mencabar rekod dunia. Kami telah mengesahkan teknologi secara menyeluruh, memacunya sebagai langkah besar ke hadapan daripada penyelidikan asas kepada aplikasi kejuruteraan," kata Pengarah Institut Fizik Plasma Song Yuntao.


Menurut Song Yuntao, pada bulan Mei 2022 nanti, EAST akan mencapai satu lagi pencapaian, berjalan pada suhu plasma atau gas panas - 120 juta darjah Celsius selama 101 saat. Beliau berharap dapat menjana kuasa menjelang 2040.


"Lima tahun dari sekarang, kami akan mula membina reaktor gabungan kami, yang memerlukan pembinaan 10 tahun lagi. Selepas itu dibina, kami akan membina penjana kuasa dan mula menjana kuasa sekitar 2040," jelasnya.


Dua cabaran utama ialah mengekalkan suhu melebihi 100 juta darjah Celsius dan beroperasi pada tahap yang stabil untuk masa yang lama, lapor berita Xinhua.


Seorang saintis sedang bekerja di dalam EAST di Anhui. - Foto Xinhua.

Sabtu, 1 Januari 2022

Kesan Gigitan Besar 'Misteri' Ditemui Pada Badan Ikan Jerung Cetus Tanda Tanya

Kesan Gigitan Besar 'Misteri' Ditemui Pada Badan Ikan Jerung Cetus Tanda Tanya


Seorang penyelam membuat penemuan yang menggemparkan apabila berjaya merakam foto seekor ikan jerung putih sepanjang kira-kira 4.5 meter dengan kesan gigitan besar pada badannya, lapor akhbar The Sun pada 31 Disember 2021.


Foto-foto berkenaan dirakam oleh Jalil Najafov, 40, ketika dia menyelam di kawasan Isla Guadalupe di Mexico. Jerung itu boleh dilihat dengan jelas berenang di lautan dengan kesan tusukan bergerigi di badannya.


Menurut Jalil, dia melihat ikan jerung berkenaan ketika menyelam di kawasan berdekatan pulau Guadalupe sebelum menyedari kesan gigitan misteri pada badan pemangsa laut yang ganas itu.


Tidak pasti bagaimana atau bila ikan itu mendapat kesan gigitan tersebut dan haiwan apa yang bertanggungjawab memberi parut sebegitu, namun yang pasti, kesan gigitan itu besar dan menakutkan.



"Saya sangat terkejut kerana sepanjang saya hidup, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini. Bekas gigitan ini sangat besar dan ianya pada tubuh ikan jerung yang juga bersaiz besar, saya terfikir adakah itu nyata?


"Saya telah menyelam dan melihat jerung bertahun-tahun lamanya, dan ini kali pertama saya melihat parut sebegitu besar," kata Jalil yang berasal dari Azerbaijan.


Dia kemudian cuba mendapatkan pandangan daripada dua orang pakar membabitkan haiwan pemangsa itu. Kedua-duanya membuat kesimpulan yang hampir sama.


"Punca kepada parut ini menjadi perdebatan di media sosial selepas saya memuat naik gambar ini ke Instagram. Ramai yang memberi pendapat luka itu mungkin disebabkan 'pertempuran' ketika mengawan ataupun mangsa serangan agresif.


"Saya menghantar foto ini kepada pakar pertama Dr Tristan Guttridge, beliau menolak andaian bahawa ia luka ketika mengawan. Manakala pakar kedua Michael Domeier, bersetuju ia mungkin akibat serangan jerung lain," jelasnya.


BACA: 'Ikan Jerung Paling Lasak' Ditemui Dengan Kesan Parut Diseluruh Badannya.


Imej luar biasa ini menunjukkan parut jerung putih yang digigit 'makhluk' misteri. - Foto Caters.

Ahad, 26 Disember 2021

Remaja paling gemuk di dunia hilang 109kg selepas menjalani diet ketat selama 3 tahun

Remaja paling gemuk di dunia hilang 109kg selepas menjalani diet ketat selama 3 tahun


Seorang remaja yang pernah digelar sebagai budak lelaki paling gemuk di dunia, kini mampu menjalani kehidupan normal selepas hilang berat badan sebanyak 109 kilogram (kg), lapor akhbar The Sun pada 24 Disember 2021.


Arya Permana, 14, dari wilayah Jawa Barat, Indonesia, pernah mempunyai berat badan mencecah 191 kg ketika berusia 11 tahun, namun kini berat badannya menurun kepada 82 kg.


Saiz badannya yang amat besar membuatkan dirinya sukar untuk melakukan pelbagai perkara, termasuk perlu mandi menggunakan kolam di luar rumahnya kerana dia tidak dapat membasuh dirinya di bilik mandi.



Dia juga tidak dapat berjalan melebihi beberapa langkah kerana akan menyebabkannya menghadapi kesukaran untuk bernafas.


Keluarga Arya juga tidak dapat mencari pakaian yang boleh dipakai remaja tersebut, justeru, dia hanya memakai kain pelikat serta menghabiskan masa dengan memakan makanan ringan kerana tidak dapat bersekolah.


Bagaimanapun, dengan mengamalkan rejim diet seimbang dan aktiviti senaman secara kerap selain menjalani pembedahan bariatrik, Arya berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 104 kg dalam masa tiga tahun.


Dr Handy Wing, pakar bedah berkata, mereka mengecilkan perut Arya sehingga 30 peratus daripada saiz asal membuat bentuk seperti pisang, supaya pengambilan makanan dapat dikurangkan.



Arya berkata, dia berasa amat gembira kerana kini dapat menjalani kehidupan sama seperti remaja lain dan melakukan aktiviti-aktiviti normal. Kini, dia hanya makan tiga kali sehari termasuk nasi, tempe, tauhu dan ayam goreng.


"Dahulu, saya hanya makan mi segera dan minuman berkarbonat serta jarang memakan nasi. Namun kini, misi utama adalah untuk menghilangkan berat badan dengan cara bersenam dan mengamalkan diet seimbang," ujarnya.


Dalam pada itu, bapa Arya, Ade Somatri berkata, dia mengakui telah memanjakan anaknya dengan memberikan remaja itu pelbagai makanan ringan dan tidak sihat sejak kanak-kanak.


"Ketika berusia lima tahun dan telah pun mempunyai saiz badan yang berlebihan, saya dan isteri sering memenuhi permintaan Arya setiap kali dia mahu makan makanan dan minuman manis atau mi segera, saya telah memanjakan Arya," katanya.


Remaja itu kini menjalani pembedahan lanjut untuk membuang lebihan kulit dari lengannya. Dia juga berjalan 3 kilometer sehari, bermain bola keranjang dan boleh memanjat pokok dan menunggang motosikal buat kali pertama.


Arya berkata tabiat makan dan waktu tidur baharunya membantunya menurunkan berat badan. - Foto Getty.

Arya, ketika sebelum dan selepas kehilangan berat badan sebanyak 109 kg. - Foto Getty.