Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan

Isnin, 4 Julai 2022

Pelanggan lelaki dikecam peluk pelayan wanita ketika bergambar

Pelanggan lelaki dikecam peluk pelayan wanita ketika bergambar


Adegan dua lelaki memeluk seorang pelayan wanita ketika bergambar mengundang pelbagai reaksi di laman sosial. Ada juga yang mengecam pelayan restoran berkenaan kerana berpakaian kurang sopan.


Video yang sempat dikongsikan oleh seorang lelaki menerusi aplikasi TikTok dan kemudiannya dipadam, namun sempat dikongsikan kembali oleh individu lain di laman Facebook cukup membuatkan masyarakat berasa marah.


Dalam klip video itu memaparkan dua pelanggan lelaki tanpa segan silu telah memeluk bahagian pinggang dan bahu wanita berkenaan sewaktu sedang bergambar. Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sebuah kedai makan milik wanita tersebut dipercayai terletak di Setiu, Terengganu.


Susulan daripada itu, rata-rata orang ramai terkejut dengan tindakan tersebut yang dianggap memalukan dan tidak bermoral.


"Harap pihak berkenaan dapat memantau dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat dengan gejala yang tidak bermoral ini," kata seorang pengguna.


"Pihak berkuasa kena ambil tindakan segera. Rosak nama negeri Terengganu," seloroh seorang lagi netizen.


"Aku ini tidaklah baik sangat, tetapi mengucap panjang juga tengok video ni. Perempuan itu terkenal di TikTok tetapi engkau tengoklah lelaki yang datang tu buat apa dekat dia," komen seorang lagi pengguna.


Walaubagaimanapun, ramai juga yang mendoakan supaya pelayan restoran berkenaan berubah ke arah yang lebih baik.


Kata mereka, cara yang digunakan untuk menarik pengunjung adalah tidak kena memandangkan ianya memburukkan imej kita sebagai orang yang beragama Islam.


Tangkap layar adegan berpelukan antara dua lelaki dan seorang wanita yang tular di laman sosial.

Isnin, 20 Jun 2022

10 bulan berkahwin isteri terkejut suami sebenarnya wanita

10 bulan berkahwin isteri terkejut suami sebenarnya wanita


Seorang wanita penduduk Kota Jambi di Indonesia terkejut selepas mengetahui bahawa suaminya sebenarnya seorang wanita selepas 10 bulan berkahwin, lapor Kompas.com pada 16 Jun 2022.


Awal minggu ini, wanita bernama NA, 22, itu berkongsi kisahnya di media sosial selepas kes tersebut menjadi tajuk utama berita. NA mendakwa bahawa dia bertemu dengan Anhaf dalam satu aplikasi cari jodoh pada Mei 2021.


Ketika itu, suspek berkata bahawa dia ialah seorang pakar bedah terlatih di Amerika Syarikat dan ahli perniagaan arang batu yang sedang mencari calon isteri. Tiga bulan kemudian, mereka berkahwin secara rahsia yang 'diiktiraf oleh agama tetapi tidak diiktiraf oleh negara'.


Menurut pasangan itu, mereka tidak dapat mendaftar perkahwinan kerana 'pengantin lelaki' tidak dapat mengemukakan dokumen yang diperlukan.


Pasangan tersebut kemudian tinggal di rumah ibu bapa mangsa selama beberapa bulan. Ibu bapa mangsa berasa curiga kerana Anhaf sering meminta wang selain tidak dapat memberikan sebarang bukti tentang kerjayanya.


Ibu NA juga curiga dengan tingkah laku Anhaf yang mencurigakan, kerana sering melihatnya mandi tanpa menanggalkan pakaiannya. Bagi mengelakkan rahsianya terbongkar, Anhaf membawa mangsa tinggal jauh daripada keluarganya hingga ke Sumatera Selatan.


Pembohongan itu terbongkar selepas NA melihat Anhaf menanggalkan pakaiannya ketika mandi. Ketika itu barulah diketahui bahawa Anhaf adalah seorang wanita.


Merasa tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis, penipuan Anhaf akhirnya terdedah dengan nama sebenarnya adalah Erayani. Suspek juga dilaporkan atas kes dakwaan pemalsuan ijazah kolej.


Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Daerah Jambi pada 14 Jun lalu. Dalam persidangan, Anhaf mengakui dia menggunakan cara lain saat berhubungan badan dengan NA.


Suspek berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabit dengan kesalahan. Perbicaraan itu masih berjalan di Mahkamah Daerah Jambi. Sepanjang perkahwinan, keluarga itu ditipu sebanyak 300 juta rupiah (RM88,996).


Anhaf Arrafif atau Erayani. - Foto Mawar.

Rabu, 8 Jun 2022

Harga tiket Candi Borobudur dicadang dinaikkan RM439

Harga tiket Candi Borobudur dicadang dinaikkan RM439


Kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga tiket Candi Borodubur sebanyak 750,000 rupiah (RM227) bagi pelancong domestik dan AS$100 (RM439) bagi pelancong asing. Harga tiket bagi golongan pelajar pula adalah 5,000 rupiah (RM1.50), lapor CNN Indonesia pada 6 Jun 2022.


Pihak kerajaan turut bersetuju mengehadkan kemasukan pelancong ke Candi itu sebanyak 1,200 orang sehari. Pelancong juga diwajibkan menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan tempatan untuk mengelilingi kawasan Candi itu.


Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, kenaikan harga tiket tersebut bertujuan memelihara sejarah, khazanah dan kebudayaan Indonesia.


Bagaimanapun, kenaikan harga tersebut ditentang banyak pihak kerana berisiko menyebabkan pelancong tidak berminat datang.


Ahli Parti Demokratik, Putu Supadma Rudana berkata, kenaikan harga tersebut adalah tidak wajar kerana kuasa membeli orang ramai masih rendah selepas fasa pandemik. Putu yang juga Pengerusi Persatuan Muzium Indonesia berharap pihak kerajaan mempertimbangkan semula keputusan tersebut.


"Jangan disebabkan harga tiket itu menjejaskan penduduk setempat yang sangat bergantung kepada kedatangan pelancong untuk meneruskan kehidupan harian mereka," katanya. 


Sementara itu, Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo menjelaskan alasan menaikkan bayaran masuk ke Candi Borobudur untuk pelawat adalah bagi mengehadkan jumlah pengunjung di puncak candi berkenaan.


"Kenaikan harga 750,000 rupiah adalah bagi pelancong yang hendak naik ke bangunan Candi, sementara tiket masuk adalah 50,000 rupiah (RM15).


"Namun pelancong yang membayar 50,000 rupiah hanya dibenarkan memasuki kawasan sehingga pelataran Candi sahaja dan tidak dibenarkan naik ke kawasan stupa iaitu lokasi suci kuil.


"Masuk kawasan dan naik ke Candi adalah dua perkara berbeza yang perlu disampaikan kepada orang ramai agar bisa tahu kenapa ada pembatasan naik ke Candi," jelasnya.


Tambah Ganjar, buat masa ini pelancong masih tidak dibenarkan naik ke kuil. Mereka hanya boleh berada di kawasan halaman Candi Borobudur, dan keputusan untuk menaikkan harga tiket itu juga belum muktamad. - Sumber CNN Indonesia.


Harga tiket Candi Borobudur dicadang dinaikkan 750,000 rupiah (RM227) bagi pelancong domestik dan AS$100 (RM439) bagi pelancong asing. - Foto Google.

Isnin, 6 Jun 2022

Isteri nekad menyerbu majlis kahwin suami dengan bakal madu

Isteri nekad menyerbu majlis kahwin suami dengan bakal madu


Seorang wanita di Indonesia nekad menyerbu majlis perkahwinan suaminya dengan isteri kedua bagi menggagalkan percubaan nikah tersebut, lapor laman Tribunnews.com pada 6 Jun 2022.


Menerusi rakaman video yang kini tular TikTok, isteri pertama itu membawa ahli keluarganya untuk 'menyerang' majlis perkahwinan suaminya dengan wanita lain.


Paparan video menunjukkan wanita itu masuk ke dalam rumah, manakala di dalam rumah sudah ada hiasan perkahwinan, dia bertemu dengan pengantin perempuan yang siap memakai gaun putih.


"Saya isteri kepada Yusuf, sila jangan teruskan perkahwinan ini. Adakah anda tidak tahu bahawa dia sudah beristeri dan mempunyai anak?


"Jika perkahwinan ini diteruskan, saya akan tuntut semua harta Yusuf yang ada," demikian amaran yang diberi isteri pertama kepada bakal madunya.


Keluarga isteri pertama itu turut berang dan meminta perkahwinan itu dibatalkan kerana pengantin lelaki sudah mempunyai isteri dan anak yang sah.


Pemilik rumah yang sedang berbincang segera mempersilakan isteri pertama itu duduk.


 "Tolong puan, sila duduk dulu" kata seorang lelaki.


 "Jangan diteruskan ya, jangan teruskan," kata seorang wanita.


Pihak keluarga dari isteri pertama terdengar semakin emosi dan meminta untuk tidak meneruskan perkahwinan. Bagaimanapun, pemilik rumah cuba menenangkan dan menyelesaikan masalah itu.


Lelaki yang memakai baju koko warna navy cuba masuk campur. Lelaki itu juga memberitahu, sejak awal dia tahu pengantin lelaki sudah mempunyai isteri, jadi perbincangan sebelum akad nikah diadakan.


Berlaku pertengkaran, tetapi semua diam selepas seorang lelaki mengatakan bahawa akad nikah belum dijalankan.


"Ia belum selesai," kata seorang lelaki.


Video tersebut menerima pelbagai reaksi netizen yang menyokong tindakan isteri pertama dan menyalahkan lelaki tersebut kerana tidak meminta izin untuk berkahwin lain.


"Puan, jika perlukan bantuan sila beritahu. Kami para netizen sedia membantu bagi memastikan mereka berdua tidak jadi bernikah," komen seorang pengguna media sosial.


Pengantin perempuan (duduk) diberi amaran agar tidak meneruskan perkahwinan dengan lelaki yang bernama Yusuf kerana sudah beristeri. - Foto Tribunnews.com.

Jumaat, 3 Jun 2022

Dilarang lakukan seks 8 minggu selepas dijangkiti cacar monyet

Dilarang lakukan seks 8 minggu selepas dijangkiti cacar monyet


Ketua pakar kesihatan di Britain memberi amaran kepada pesakit cacar monyet supaya berhenti me­lakukan hubungan seks buat sementara waktu, kerana dibimbangi boleh membantu penyebaran virus, lapor akhbar Mirror UK pada 30 Mei 2022.


Menerusi garis panduan yang dikeluarkan, sejumlah agensi kesihatan utama di Britain menasihatkan semua pesakit cacar monyet untuk tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu selepas dijangkiti.


Sekiranya ada pesakit yang ingin melakukan hubungan itu, maka mereka digalakkan untuk memakai kondom sebagai perlindungan.


"Pesakit perlu menahan diri daripada berhubungan seks semasa tempoh permulaan gejala dan tidak menyentuh sebarang jenis luka.


"Walaupun ketika ini tiada bukti virus cacar monyet ada dalam cecair alat kelamin, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks atau menggunakan kondom selama lapan minggu selepas jangkitan.


"Panduan ini akan dikemas kini apabila terdapat bukti baharu," kata agensi-agensi ber­kenaan.


Sebelum ini, mereka mene­gaskan bahawa cacar monyet tersebar melalui sentuhan fizikal terutamanya melalui luka dan kudis. Pesakit turut dinasihatkan untuk me­ngasingkan diri di rumah sehingga mereka didapati cukup sihat.


Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan penularan virus cacar monyet yang berlaku ketika ini dilihat tidak akan menjadi pandemik seperti kebimbangan banyak pihak.


Britain menjadi negara pertama merekodkan jangkitan tersebut pada 7 Mei dan sehingga kini, hampir 400 kes dicatatkan di puluhan negara di seluruh dunia.


Pakar cacar monyet WHO, Rosamund Lewis menyatakan, agensi itu tidak melihat wabak berkenaan akan menjadi pandemik.


"Kami tidak rasa cacar monyet akan bertukar menjadi pandemik, namun itu tidak bermakna kita boleh mengambil mudah dengan apa yang berlaku. Adalah lebih bagus jika kita dapat mencegah penularan virus itu daripada merebak lebih teruk," ujarnya. - Sumber Mirror UK.


Cacar monyet telah wujud selama beberapa dekad tetapi baru-baru ini merebak ke UK dan Eropah. - Foto AFP.

Ahad, 29 Mei 2022

Parasit ubah minda, jadikan individu dijangkiti kelihatan lebih menarik dan sihat

Parasit ubah minda, jadikan individu dijangkiti kelihatan lebih menarik dan sihat


Satu kajian terbaharu mendedahkan bahawa parasit yang mengubah minda manusia, Toxoplasma gondii boleh menjadikan orang yang dijangkiti lebih kelihatan menarik, lapor laman berita Wion News pada 20 Mei 2022.


Kajian itu dilaporkan menerusi satu penerbitan dan diketuai oleh pengarang utamanya, Javier Borraz-Leon yang merupakan ahli biologi Universiti Turku di Finland. 


"Dalam satu kajian, tikus jantan dijangkiti Toxoplasma dianggap lebih menarik secara seksual dan lebih disukai oleh tikus betina yang tidak dijangkiti," jelas kajian tersebut. 


Sebelum ini, beberapa kajian mendapati bahawa parasit tersebut boleh menjangkiti mana-mana mamalia atau burung. Pakar-pakar sering menyebut bahawa Toxoplasma gondii adalah parasit yang paling berjaya di dunia pada hari ini.


Apabila menjangkiti manusia, seseorang akan menjadi pembawa Toxoplasma seumur hidup. Pelbagai kajian juga menunjukkan bahawa ia boleh mengubah tingkah laku manusia.


Ia merebak apabila seseorang terdedah kepada najis kucing yang dijangkiti, dan daripada makanan tercemar atau menerusi hubungan intim dengan orang yang dijangkiti. 


Kajian terbaharu mendapati lelaki dan wanita yang dijangkiti dilihat lebih menarik, dan lebih sihat berbanding mereka yang tidak dijangkiti. 


Kesimpulan kajian itu menyatakan bahawa beberapa parasit yang ditularkan secara seksual seperti Toxoplasma gondii, mungkin menghasilkan perubahan dalam penampilan dan tingkah laku manusia.


Perubahan itu sama ada disebabkan oleh kesan sampingan atau hasil daripada manipulasi parasit tersebut, untuk meningkatkan penyebaran kepada perumah baharu.


"Walaupun kedengaran pelik, saintis berkata bahawa fenomena itu munasabah dari sudut evolusi biologi," kata laman berita Science Alert. - Sumber Wion News.



Suntingan 3D memaparkan imej Toxoplasma gondii, protozoa parasit yang menyebabkan penyakit toxoplasmosis. - Foto Kateryna on/ Shutterstock.

Selasa, 26 April 2022

ATM rampas 510 kilogram daun ketum yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok

ATM rampas 510 kilogram daun ketum yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas longgokan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 510 kilogram, yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok di Kampung Nibong dekat Tanah Merah, Kota Bharu, pagi tadi.


Longgokan bungkusan daun ketum itu yang dianggarkan bernilai RM15,300 ditemukan oleh sepasukan anggota Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged), yang melakukan rondaan rutin di sepanjang tebing itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi.


"Pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam menemukan sejumlah 50 plastik hitam berisi daun ketum seberat 510 kg. Bungkusan plastik daun ketum berkenaan dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.


"Rampasan ini memberi petunjuk bahawa penyeludupan daun ketum di sempadan Kelantan-Thailand semakin aktif berikutan permintaan dan harga yang tinggi di pasaran Thailand," kata Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis.


Menurutnya, sejak Januari hingga hari ini, sembilan kes rampasan ketum direkodkan oleh ATM menerusi Op Merpati di kawasan negeri ini yang bersempadan dengan Thailand, dan rampasan daun ketum di sekitar lokasi berkenaan adalah yang kedua dalam bulan ini.


Abu Hasan Assha’ari memberitahu, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.


"ATM menyeru kepada penduduk setempat untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan.


"Hal ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya segera diambil untuk menjamin kedaulatan negara dan menjaga keselamatan sempadan Malaysia- Thailand," katanya.


Daun ketum seberat 510 kilogram yang ditinggalkan di tepi Sungai Golok dekat Kampung Nibong, Tanah Merah hari ini. - Foto ATM.