Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan

Rabu, 20 Oktober 2021

Misteri Duit Hilang Di Empat Kampung Sejak 10 Tahun Lalu Mungkin Angkara 'Toyol'

Misteri Duit Hilang Di Empat Kampung Sejak 10 Tahun Lalu Mungkin Angkara 'Toyol'


Penduduk di empat kampung di Mukim Kubang Kerian, Kota Bharu, bingung dengan kehilangan wang kertas RM50 dan RM100 secara misteri, sehingga ada yang kerugian mencecah RM10,000 setiap mangsa secara berperingkat.


Dakwaan mistik itu timbul apabila beberapa siri kehilangan wang itu dikatakan pelik kerana kejadian tidak disedari dan tidak meninggalkan sebarang kesan langsung, malah sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu. Ada penduduk yang mengaitkan kejadian misteri itu angkara toyol.


Misteri kehilangan wang berkenaan membabitkan Kampung Pulong, Chicha, Kenali dan Pulau Raja, dan kejadian terbaru dialami kakitangan kerajaan, Sudarwaty Abdul Rajab, 42, pada petang Jumaat lalu apabila kehilangan RM500 yang disimpan di dalam beg tangannya.


"Petang Khamis lalu (14 Oktober 2021) saya mengambil wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM1,000 sebelum pulang ke kampung di Terengganu untuk berjumpa ibu bapa.


"Keesokan harinya apabila ingin menghulurkan wang kepada ibu bapa, saya terkejut kerana mendapati RM500 yang ingin diberikan itu hilang namun enggan bising kerana ini bukan kali pertama berlaku," kata Sudarwaty yang menetap di Kampung Pulong.


Katanya, duit kerap kali hilang tanpa mengira waktu dan hilang dalam pelbagai jumlah bermula RM50 sehingga RM1,000. Dia dan keluarga mengalami kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,000 akibat misteri berkenaan sejak setahun lalu.


Sudarwaty berkata, pelbagai cara dilakukan bagi mengelakkan terus menjadi mangsa, lipat duit, gumpal dan menyembunyikan di mana-mana tempat tersorok, namun semua gagal serta buntu, malah wang milik anak-anak turut hilang.


"Kejadian ini sangat aneh dan sememangnya tidak boleh dibiarkan lagi kami sudah mengalami banyak kerugian dan akan membuat laporan polis berkait perkara ini," katanya.


Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 41, berkata, misteri kehilangan wang tunai membabitkan 15 ahli keluarganya yang tinggal di Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian sudah berlaku sejak 10 tahun lalu dan terbaharu pada awal tahun ini.


Katanya, dia mencuba pelbagai cara termasuk menyimpan wang di dalam peti sejuk dan sentiasa membawa beg tangannya, namun wang kertas RM50 dan RM100 yang berada di dalam dompet tetap hilang.


"Selain RM50 atau RM100, kepingan wang RM20, RM10, RM5 dan RM1 tidak pula hilang. Perkara ini sudah terlalu lama berlaku menyebabkan saya sangat berhati-hati dan sentiasa membawa beg duit ke mana-mana sahaja, namun kejadian hilang duit masih berlaku," ujarnya.


Menurutnya, pada awal kejadian lalu, dia dan keluarga berdepan kesukaran kerana pandangan sinis masyarakat yang mendakwa kejadian itu membabitkan ahli keluarga sendiri.


"Saya ada tiga anak-anak lelaki berusia 10 tahun hingga 17 tahun. Kejadian hilang duit ini membabitkan tujuh ahli keluarga saya yang tinggal berasingan termasuk duit ibu dan arwah bapa, adik-beradik dan ipar.


"Saya mula-mula marah pada anak-anak kerana menyangkakan mereka yang mencuri tetapi apabila berlaku kepada orang lain sehingga 15 keluarga di satu kampung, barulah kami sedar yang kejadian ini sangat ganjil," katanya.


Malah, katanya, anak saudara perempuannya yang berusia 28 tahun turut menjadi mangsa apabila wang tunai RM1,000 yang disimpan untuk majlis akikah anak sulungnya pada Aidiladha tahun lalu, hilang.


Katanya, dia menyimpan wang berkenaan dengan cara menindih dengan batu bata bagi mengelakkan dicuri atau diketahui orang. Namun, semasa mahu mengambil wang tersebut, ia didapati sudah hilang menyebabkan dia terkejut dan sedih.


Siti berkata, dia pernah meminta bantuan seorang ustaz pada awal tahun ini dan memagari kawasan rumah kira-kira 20 penduduk yang kerap diganggu, sejak itu kejadian wang hilang sudah tidak berlaku di rumah keluarganya.


"Sebaliknya, kampung-kampung lain pula kecoh dengan kejadian kehilangan duit sehingga ada yang rugi mencecah RM10,000. Mangsa-mangsa yang terlibat bagaimanapun tidak membuat laporan polis kerana menganggap kejadian dilakukan oleh makhluk halus," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.


"Saya nasihatkan mangsa-mangsa yang terlibat untuk membuat laporan polis supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat dilakukan," katanya. - Sumber Sinar Harian.

Sabtu, 16 Oktober 2021

Penduduk Gempar Lihat 'Van Misteri' Tiba-Tiba Muncul Atas Perhentian Bas

Penduduk Gempar Lihat 'Van Misteri' Tiba-Tiba Muncul Atas Perhentian Bas


Penduduk di sebuah bandar di wilayah Brittany, Perancis, gempar apabila melihat sebuah van secara tiba-tiba berada di atas bumbung perhentian bas, lapor laman berita Oddity Central pada 15 Oktober 2021.


Dalam kejadian pada Isnin lepas, penduduk yang menggunakan perhentian bas Place de l’Eglise ketika awal pagi terkejut melihatkan van tersebut berada di atas bumbung tanpa diketahui puncanya.


Walaupun kenderaan itu sudah diturunkan untuk mengelak kemalangan yang tidak diingini. Beberapa keping imej van itu yang sempat di rakam telah dikongsikan di media sosial, dan menjadi tular dengan ramai netizen cuba meneka punca kejadian itu.


"Ia adalah suatu kejadian misteri. Kami tahu siapa pemilik kenderaan itu, namun tidak tahu bagaimana dan mengapa ia berada di situ,” kata seorang penduduk.



Selama hampir seminggu, misteri van di atas bumbung itu terus menjadi teka-teki. Namun semalam, media Perancis mengumumkan bahawa kes itu telah diselesaikan.


Menurut media tempatan, kejadian itu tidak berkaitan dengan pengaruh alkohol seperti yang menjadi spekulasi ramai. Bagaimanapun, ia disebabkan oleh 'persengketaan perniagaan' antara pemilik van dengan suspek.


Akibat berang, suspek dikatakan dengan sengaja meletakkan van tersebut di atas bumbung perhentian bas itu menggunakan sebuah trak palet.


Kedua-dua mereka, suspek dan pemilik van itu telah dipanggil untuk disoal siasat, dan berkemungkinan berdepan dengan dakwaan membahayakan orang ramai.


Isnin, 13 September 2021

Sekumpulan Banduan Dakwa UFO Lawat Penjara Mereka

Sekumpulan Banduan Dakwa UFO Lawat Penjara Mereka


Sekumpulan penghuni sebuah penjara di England mendakwa bahawa mereka melihat kelibat objek terbang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar di ruang udara kawasan penjara. Selepas kejadian itu muncul ruam merah 'misteri' pada badan mereka.


Menurut laporan akhbar Daily Star, hari ini, menerusi sepucuk surat yang ditulis kumpulan itu kepada majalah Inside Times, insiden itu berlaku awal tahun ini di penjara HMP, The Verne.


"Saya seorang yang tidak mudah percaya pada makhluk ghaib atau perkara-perkara pelik seperti makhluk asing, tetapi apa yang kami lihat di penjara ini adalah sangat pelik membuat saya tidak dapat berkata-kata.


"Kejadian berlaku ketika kami sedang beriadah di kawasan lapang penjara apabila UFO berbentuk piring berlegar-legar dan mengeluarkan cahaya terang," tulis surat itu.


Objek itu kemudian semakin dekat dan terbang serendah kira-kira 100 kaki di atas kepala banduan di situ untuk beberapa saat. Semua orang di kawasan itu, termasuk penjaga penjara, berdiri menatap UFO tersebut sebelum ia lesap di sebalik kabus tebal.


"Keesokan harinya, semua banduan yang terlibat dalam 'pertembungan' itu mendapat ruam-ruam merah pada badan mereka," jelas banduan itu.


Sehingga kini, kisah mengenai pendaratan UFO di Britain diceritakan menerusi pelbagai versi, manakala penduduknya merupakan antara masyarakat yang paling percaya dengan kewujudan makhluk asing. - Sumber Daily Star.


Sekumpulan banduan di penjara England mendakwa dilawati UFO awal tahun ini. - Foto Getty Images.

Jumaat, 3 September 2021

Padah suntik raksa mahu jadi X-Men, kulit terpaksa dipotong

Padah suntik raksa mahu jadi X-Men, kulit terpaksa dipotong


Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang terpengaruh dan ingin menjadi seperti karakter adiwira fiksyen X-Men, nekad menyuntik tubuhnya sendiri dengan cecair merkuri atau raksa, lapor Daily Star pada 30 Ogos 2021.


Remaja itu dilaporkan ingin mencontohi karakter adiwira studio Marvel namun tindakan itu menyebabkan tubuhnya ditumbuhi bisul yang menyakitkan dan sukar sembuh di bahagian kiri lengannya.


Kes tersebut dilaporkan dalam laporan Pusat Maklumat Nasional Bioteknologi India. Menurut laporan berkenaan, kecederaan yang dialami remaja yang tidak didedahkan identitinya itu berlaku selepas dia menyuntik tubuhnya dengan raksa.


Remaja itu menyatakan bahawa dia berbuat demikian sekurang-kurangnya tiga kali dengan menggunakan raksa yang diambil daripada sebiji termometer. Doktor terpaksa menjalankan pemeriksaan toksikologi bagi menilai tahap raksa dalam darah mangsa.


Dia bernasib baik kerana suntikan yang dilakukan, bukan semuanya pada salur darah utama, namun bisul yang terjadi pada tubuhnya itu perlu dipotong dan dia juga harus menjalani pembedahan mencantumkan kulit yang rosak.


"Remaja itu juga mempunyai sejarah digigit labah-labah kerana mahu menjadi seperti Spider-Man. Namun, dia tidak mempunyai masalah psikiatrik lain selain mempunyai kecerdasan otak atau IQ yang normal," tulis laporan tersebut.


Kesan kecederaan yang dialami mangsa akibat menyuntik kandungan berbahaya dalam badan. - Foto NCBI.

Khamis, 26 Ogos 2021

Lelaki Dakwa Diculik, Dibogelkan Makhluk Asing Yang Menyerupai Reptilia

Lelaki Dakwa Diculik, Dibogelkan Makhluk Asing Yang Menyerupai Reptilia


Sejak dulu lagi, ramai yang yakin dan percaya bahawa makhluk asing itu wujud, pelbagai cara dilakukan untuk menjejaki bentuk dan kewujudan mereka melalui gelombang radio dan sebagainya, namun tiada penemuan yang benar-benar jelas terbukti.


Baru-baru ini, seorang lelaki dari Bedfordshire, England telah menceritakan pengalamannya ketika dia diculik oleh sekumpulan makhluk asing yang menyerupai haiwan reptilia, dakwanya dia dibogelkan di atas katil selepas dibawa masuk ke dalam objek terbang tidak dikenali (UFO).


Menurut lapor akhbar Daily Star pada 24 Ogos 2021, Philip Kinsella mendakwa, dia telah berjumpa dengan makhluk asing pada tahun 1989 ketika terjaga pada tengah malam sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah UFO.


"Saya mendapati diri saya berada dalam satu suasana seperti bilik perubatan yang kelihatan suram dan amat panas. Saya juga sedang berbogel. Apabila saya berpusing ke arah kanan, saya melihat tiga reptilia yang berada dalam keadaan berkabus dan tidak berkomunikasi antara satu sama lain," katanya.


Tambah Kinsella, dia ketakutan apabila menyedari ada sesuatu yang telah ditampal pada bahagian bawah tubuhnya. Dia menjerit ketakutan kerana tidak mahu alat itu ditanggalkan dari badannya, dan menyifatkan makhluk asing sebagai tidak berperikemanusiaan dan tiada sifat belas kasihan.


Kinsella kemudiannya didakwa diselamatkan oleh suatu 'benda hidup' yang kecil dan berwarna kelabu. Ketika ia muncul, alat yang ditampal pada badannya secara tiba-tiba hilang dan talinya tertanggal sebelum ketiga-tiga reptilia tersebut hilang.


"Terdapat kesan fizikal pada tubuh saya keesokan harinya. Abang saya menjumpai tiga kesan berbentuk segi tiga pada belakang telinga kanan, tiga kesan pada lengan kanan dan pendarahan pada lubang hidung kanan saya yang berhenti selepas dua tahun," katanya.


Kinsella menyifatkan makhluk asing yang menculiknya itu menyerupai reptilia. - Foto Getty Images.

Khamis, 12 Ogos 2021

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik


Seorang remaja berusia 14 tahun dari Australia berjaya merakam imej gumpalan awan yang kelihatan sangat misteri seperti wajah yang menakutkan, lapor Daily Mail pada 10 Ogos 2021.


Kata Jarvis Smallman, imej tersebut di rakam ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Menerusi gambar yang dikongsikan, kelihatan pelangi pada bahagian bawah gumpalan awan dalam corak berpusing itu.


"Gambar itu diambil ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Saya gembira melihatnya. Ia adalah satu gambar yang cantik," katanya.


Jarvis memuat naik gambar tersebut pada Instagram miliknya beserta kapsyen 'Awan paling cantik yang pernah saya lihat setakat ini walaupun kelihatan agak menakutkan'.


Gambar itu kemudiannya dikongsi oleh stesen radio ABC South West dan menerima banyak komen positif daripada netizen yang mengagumi kecantikannya.


"Wah, gambar semula jadi yang hebat kerana merangkumi kombinasi wajah 'pelawak', pelangi, yang cantik dan buruk," tulis seorang pengguna.


"Ini membuatkan bulu roma saya berdiri. Menakutkan. Gambar yang hebat," komen seorang lagi netizen.


Gambar tersebut mempunyai imej seperti wajah yang menakutkan serta pelangi yang cantik. - Foto Jarvis Smallman.

Ahad, 25 Julai 2021

Lelaki Pasang Tanduk, Membelah Lidah Dan Robek Mulut Supaya Memiliki 'Senyuman Syaitan'

Lelaki Pasang Tanduk, Membelah Lidah Dan Robek Mulut Supaya Memiliki 'Senyuman Syaitan'


Seorang penyanyi rap di Brazil melakukan pengubahsuaian ekstrem dengan merobek bahagian pipinya semata-mata untuk memiliki 'senyuman syaitan' lapor akhbar The Sun pada 23 Julai 2021 lalu.


Renato de Santa, 41, turut menjalani pembedahan memasukkan implan tanduk ke dalam pada dahi, mengubah warna anak mata menjadi hitam pekat, membelah lidah supaya bercabang dan mengukir angka syaitan '666' di kepala­nya.


Namun, transformasi paling ekstrem yang dilakukan lelaki itu adalah menjalani prosedur merobek kulit pipinya dari mulut hingga ke telinga dan kini dia memiliki 'mulut sobek' yang diinginkannya.


"Transformasi ini diinspirasikan daripada sebuah legenda Jepun mengenai Kuchisake-onna. Ia menceritakan kisah seorang wanita yang merobek bibirnya hingga ke telinga," kata de Santa.



Menurut legenda itu, Kuchisake-onna akan bertanya kepada mangsa mengenai kecantikan wajahnya. Dia akan membunuh sesiapa sahaja yang menjawab 'tidak' serta merobek kulit mereka yang menjawab 'ya' agar kelihatan sama seperti wajahnya.


Menurut de Santa, dia mene­rima pelbagai reaksi daripada masyarakat sekeliling berhubung penampilannya. Katanya, ada wanita yang meminati penampilannya, namun ada juga bersikap sebaliknya.


"Masih banyak prejudis meskipun dalam dunia tatu, di mana mereka yang mencacah tatu bercorak komersial ada kalanya takut melihat penampilan saya," ujarnya.


Menurut de Santa, meskipun pelbagai cacian diterima terhadap penampilannya, dia berasa bangga dengan keadaannya dan tidak lagi terkesan dengan sebarang kata-kata kejian.


"Saya berasa sangat kacak seperti iblis. Kanak-kanak sangat menyukainya dan melihat saya sebagai superhero. Mereka bertanya bagaimana implan dibuat dan juga mata saya," katanya.


Secara keseluruhan, de Santa menganggarkan kira-kira AS$10,000 (RM42,265) telah dibelanjakan untuk menukar penampilannya itu.


De Santa melakukan transformasi ekstrem untuk mendapatkan senyuman Kuchisake-Onna.