Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan

Ahad, 18 April 2021

Nostalgia 'Feri Malaysia 1986' Pengangkutan Awam Menghubungkan Semenanjung Dan Borneo

Nostalgia 'Feri Malaysia 1986' Pengangkutan Awam Menghubungkan Semenanjung Dan Borneo


Generasi muda mungkin tak tahu bahawa pada pertengahan tahun 1980-an, terdapat perkhidmatan feri di antara Sabah/Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai Feri Malaysia. Bagi yang pernah menaiki perkhidmatan ini pasti meninggalkan banyak nostalgia dan kenangan suka duka yang masih diingati.


Feri Malaysia ialah jenama sebuah kapal penumpang yang pernah wujud di Malaysia. Nama kapal tersebut yang didaftarkan secara rasmi di Pelabuhan Klang, Selangor pada tahun 1986, ialah Cruise Muhibah. Perjalanan feri ini bermula di pelabuhan Kuantan (Pahang) dan akan ke Kuching (Sarawak) dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu (Sabah).


Feri sepanjang 134 meter ini mempunyai 7 lantai deck. Ianya boleh memuatkan sehingga 700 orang dan boleh membawa 100 buah kereta sekaligus. Jangkamasa perjalanan adalah selama dua hari dengan melalui sektor perjalanan Kuantan - Kota Kinabalu.


Dibeli daripada Helsinki, Finland dengan harga RM50 juta. Idea ni datang dari Tun Mahathir yang mendapat inspirasi daripada kejayaan perkhidmatan feri di negeri Scandinavia iaitu antara Finland, Norway dan juga Denmark. Matlamatnya ialah supaya wujud satu khidmat pengangkutan alternatif bagi merapatkan hubungan antara penduduk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.



Feri Malaysia yang berasal dari Helsinki, Finland, berjaya disiapkan pada 1986. Ia belayar selama sebulan dari Finland sebelum tiba di Pelabuhan Klang pada 6 Ogos 1986. Sultan Pahang kemudian membuat pelancaran rasmi khidmat Feri Malaysia pada 31 Ogos 1986 di Pelabuhan Kuantan, Pahang.


Ia merupakan sebuah feri persiaran yang pertama dan terbesar milik kerajaan Malaysia. Dengan beratnya 7,900 tan, mampu untuk berlayar selaju 19 batu nautika. Dilengkapi kemudahan seperti restoran, kafeteria, kolam renang, bar, disko, bilik mesyuarat, kabin, surau dan lain-lain.


Pada 18 Oktober 1987, perkhidmatan feri Malaysia ini telah mengalami kebakaran pada ruang enjin utama iaitu pada jam 2.45 petang yang mana pada ketika itu ia hampir mendekati destinasi Kuantan. Lokasinya adalah kira-kira 5 kilometer dari Pulau Tioman, Pahang.


Terdapat tiga ratus orang penumpang dan empat puluh buah kenderaan yang terdapat didalamnya pada ketika itu. Namun, kesemua penumpang telah berjaya diselamatkan oleh dua buah kapal muatan kargo dan membawa semua penumpang ke Pelabuhan Kuantan pada hari yang sama.


Setelah kebakaran berjaya dipadamkan akhirnya Feri Malaysia terdampar di lautan Pahang buat seketika. Menurut laporan kemalangan seperti yang dinyatakan oleh akhbar NST, antara punca berlakunya insiden tersebut adalah kerana kapal asal yang dibeli dari Finland ini sudah pun terlalu lama dan berusia 16 tahun.


Akhirnya, selepas tahun 1989, perkhidmatan Feri Malaysia ini tidak lagi beroperasi kerana dikatakan kos operasinya yang terlalu tinggi berbanding keuntungan yang mereka perolehi. Sumber: Orang KataArkib Negara



Jumaat, 2 April 2021

Kepingan mata wang purba, tembikar dari Dinasti Ming ditemui bersama rangka kapal dagang berusia 500 tahun

Kepingan mata wang purba, tembikar dari Dinasti Ming ditemui bersama rangka kapal dagang berusia 500 tahun


MELAKA - Penemuan serpihan papan serta kayu jenis merbau dipercayai digunakan sebagai struktur kapal dagang atau perang zaman Kesultanan Melayu Melaka, ditemui tertanam di kawasan tambakan laut di Kota Syahbandar, Pulau Melaka, di sini baru-baru ini.


Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, serpihan struktur kapal daripada kayu merbau itu, dipercayai milik sebuah kapal perdagangan buatan tempatan yang digunakan untuk aktiviti perdagangan.


Beliau berkata, antara yang turut ditemui di tapak berkenaan ialah ratusan kepingan mata wang dipercayai digunakan pemerintahan Sultan Mahmud antara tahun 1488 hingga 1511, di samping pecahan atau taburan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Ming dan Qing, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis.



"Kesemua penemuan itu ditemui menerusi kerja-kerja ekskavasi penyelamatan artifak, yang dilaksanakan Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), di Pulau Melaka bermula 25 Mac lalu.


"Justeru, kerajaan negeri menerusi Perzim akan mengambil langkah segera, bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi kepada pencarian artifak atau khazanah negara dan negeri di Pulau Melaka dijalankan, agar harta itu dapat dilindungi.


"Sebanyak 27 artifak ditemui di Kota Syahbandar berupa porselin, seramik, tempayan, pendayung dan celadon yang dipercayai dari Dinasti Song (sekitar tahun 960-1279)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pulau Melaka di sini, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perzim Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Timbalan Pesuruhjaya Warisan JWN Mohamad Muda Bahadin, Pengurus Besar Perzim Drs Mohd Nasruddin Rahman, Ketua Penyelidik Datuk Dr Dionysius S K Sharma dan Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Rozairy Arbi.


Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri bercadang memberikan peruntukan kecemasan, bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan dapat diteruskan dengan lebih lancar, kerana dipercayai lebih banyak artifak atau penemuan bakal ditemui.


Katanya, peralatan khas seperti 'ground-penetrating radar' (GPR) digunakan bagi mengesan rangka atau serpihan lain artifak dan rangka kapal, yang mungkin masih berada di bawah tambakan pasir di kawasan itu ekoran perubahan paras air dan kerja-kerja penambakan laut di Pulau Melaka sejak 2015.


Muhammad Jailani berkata, kerja-kerja menganalisa artifak yang ditemui turut dijalankan bagi membuktikan kaitannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, dan aktiviti perdagangan pada zaman berkenaan. Kesemua penemuan itu akan dipamerkan di Kompleks Pelancongan Samudera Perzim untuk tatapan rakyat.




Khamis, 25 Februari 2021

'Perak Man' Rangka Manusia Tertua Berusia 11,000 Tahun Akhirnya Memiliki Lakaran Wajah Sempurna

'Perak Man' Rangka Manusia Tertua Berusia 11,000 Tahun Akhirnya Memiliki Lakaran Wajah Sempurna


Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lalu di Lembah Lenggong, Perak kini mempunyai lakaran wajah yang siap pada 19 Januari lalu.


Lakaran wajah Perak Man itu dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruction, oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.


Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM Dr Johari Yap yang juga merupakan seorang daripada penyelidik berkenaan berkata, projek itu tercetus sejak dua tahun lepas, hasil idea Pakar Bedah Neurosurgeri di Hospital USM Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah.


Berkongsi cerita, Johari berkata, Jafri Malin yang banyak menjalankan kajian berkaitan neurosains dan kognitif telah mengajak beliau untuk mereka bentuk semula tulang kepala perak Man dan seterusnya membuat lakaran wajah perak Man.


Johari yang memilki kepakaran dalam pengimejan kraniofasial dan rekonstruksi 3D muka serta tengkorak berkata beliau telah menggunakan data imbasan CT perak Man dan tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D untuk dihantar melalui e-mel kepada Moraes bagi menghasilkan lakaran wajah.


Jelasnya, sebelum mereka bentuk wajah, Moraes memerlukan maklumat seperti jantina, umur dan keturunan bagi menghasilkan tisu muka berdasarkan ketebalan purata melalui kajian sebelum ini.


Tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D bagi menghasilkan lakaran wajah Perak Man.

"Apabila muka sudah terbentuk, pihak kami akan berbincang mengenai warna mata, warna kulit, rambut berdasarkan Antropologi Forensik.


"Oleh kerana perak Man ini dirujuk sebagai 'Australo-Melanesian' dan merupakan nenek moyang kepada orang asli Negrito, maka ciri-ciri Negrito banyak mempengaruhi reka bentuk akhir muka perak Man ini," katanya.


Selain Johari, Jafri Malin dan Moraes, empat lagi penyelidik yang terlibat dalam kajian berkenaan ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, Pakar Forensik Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Dr Helmi Hadi, Pakar Pengimejan Kraniofasial Prof Dr Zainul Ahmad Rajion dan Pensyarah Sekolah Seni USM Norshahidan Mohamad.


Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lepas di Lembah Lenggong, Perak.

Jelasnya, hasil kajian mendapati anggaran isi padu otak perak Man adalah 1,204.91 mL, rendah sedikit daripada isi padu otak manusia moden yang dalam lingkungan 1,312 mL hingga 1,479 mL dan secara tidak langsung dapat memberikan sedikit maklumat kognitif berkaitan perak Man.


"Walaupun dilahirkan dengan kecacatan fizikal, perak Man terus hidup dan menjalani gaya hidup berburu dan berkumpul secara nomad, mungkin disebabkan penjagaan yang diberikan kepadanya. Dia mungkin mengatasi kekurangan fizikalnya dengan mengembangkan kemahiran berburu, atau mungkin dia jarang memburu dan melakukan tugas lain.


"Berdasarkan andaian statusnya, perak Man mungkin seorang yang dihormati dalam kumpulan dan mungkin juga seorang dukun dan orang yang paling berpengetahuan dalam kumpulan mengenai kelangsungan hidup, pemburuan, pengumpulan dan aspek lain dalam kehidupan seharian Paleolitik.


"Perak Man berkemungkinan hidup sebagai pemburu, sama seperti gaya hidup kumpulan etnik Negrito, yang mungkin keturunan perak Man," menurut para penyelidik dalam jurnal itu.


Johari berkata, menerusi perkembangan terbaharu kajian berkenaan, ia dilihat membuka jalan bagi pengkaji menggunakan teknologi abad ke-21 untuk memahami bagaimana interaksi antara otak, minda, tingkah laku dan budaya berlaku pada masa lalu.


Katanya, teknologi 3D yang ada sekarang ini mampu menghasilkan lakaran muka yang mampu memberikan kefahaman baharu mengenai penemuan prasejarah di negara kita.

Ahad, 24 Januari 2021

Kenapa Jasad pemimpin dunia diawet?

Kenapa Jasad pemimpin dunia diawet?

Jasad pemimpin pertama Soviet, Vladimir Lenin.


Pelbagai cara dilakukan untuk memperingati pemimpin negara dan salah satunya adalah, mengawet mayat mereka. Stuff.co.nz melaporkan ada yang beranggapan jasad si mati itu akan kekal selamanya. Malah, ada yang dijadikan sebagai pameran bagi tontonan kelompok tertentu termasuk parti yang dipimpin semasa hayat individu berkenaan.


Namun, kebiasaannya, mayat pemimpin ini diawet untuk mengenang jasa mereka kepada masyarakat dan negara. Jasad pemimpin pertama Soviet, Vladimir Lenin (Russia) diletakkan di dalam keranda kaca dengan tangannya terletak pada pahanya, mayat yang diawet itu sekali imbas kelihatan seperti patung lilin.


Kisah pengewatan mayat Lenin, apabila dia mati pada Januari 1924, tidak ada orang yang merancang untuk menyimpan mayatnya sebegini lama. Selepas menjalani bedah siasat, mayat itu diawet buat sementara waktu bagi mengelak ia reput dan selama empat hari ia diletakkan di keranda terbuka di Rumah Kesatuan di tengah Moscow.


Orang ramai datang menziarah mayat berkenaan walaupun suhu ketika itu negatif 7 darjah Celsius. Kerajaan kemudian memindahkan keranda itu ke sebuah dewan di Dataran Merah. Memandangkan cuaca amat sejuk, mayat berkenaan tidak mereput walaupun sudah 56 hari dia mati.


Pegawai Soviet mengambil keputusan untuk mengawetnya secara kekal apabila cuaca semakin panas. Walaupun saintis berjaya mengekalkan tulang, otot, kulit dan tisu lain, namun semua organ dalamannya sudah dikeluarkan.


Otaknya dikeluarkan untuk dikaji oleh ‘Institut Otak’ Soviet yang ditubuhkan tidak lama selepas kematian Lenin dengan tujuan untuk mengkaji ‘keupayaan luar biasanya.’ Kepingan otak itu masih disimpan hingga ke hari ini di Pusat Neurologi di Akademi Sains Russia.


Jasadnya yang sudah berusia 96 tahun kini dipamerkan di sebuah dewan di Red Square dan orang ramai boleh melihatnya secara percuma setiap hari, kecuali Isnin, Jumaat dan Ahad, bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.


Beberapa lagi Jasad pemimpin dunia diawet setelah meninggal


Mayat Joseph Stalin turut diawet. Beliau salah seorang pemimpin Kesatuan Soviet dicurigai diracun pada 5 Mac 1953 dan meninggal dunia pada 9 Mac 1953, mayatnya diletakkan di sisi Lenin namun kemudiannya dipindahkan ke lokasi lain.


Mayat pemimpin China, Mao Zedong juga diawet dan ditempatkan di Dataran Tiananmen di Beijing untuk lawatan umum. Pemimpin itu pernah meminta supaya mayatnya dibakar, namun jasadnya kemudian diawet selepas dia meninggal dunia.


Jasad mendiang pemimpin Vietnam, Ho Chi Minh pula diawet dan disimpan di Ba Dinh, Hanoi lokasi beliau membaca Proklamasi Kemerdekaan Vietnam pada 1945. Disimpan di dalam bekas kaca, jasadnya dilihat kecil namun bagi rakyat negara itu, jasanya begitu besar terutama ketika membebaskan negaranya dari belenggu penjajahan.


Mayat pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il juga diawetkan. Jasad bapa kepada pemimpin Korea Utara ketika ini, Kim Jong Un itu diletakkan di Istana Peringatan Kumsusan, Pyongyang. Jong Il meninggal dunia pada 2011. Mayatnya diawetkan di sebuah pusat yang sama mengawet Lenin dan Ho Chi Minh.


Bekas Presiden Venezuela, Hugo Chavez juga diawetkan untuk tontonan ahli partinya. Namun, berikutan masalah teknikal dan faktor cuaca, jasadnya mengalami kerosakan pada 2013. Dia kemudiannya dikebumikan di Muzium Cuartel de la Montana.

Selasa, 29 Disember 2020

Objek misteri muncul di Pantai Lutong mungkin senjata perang

Objek misteri muncul di Pantai Lutong mungkin senjata perang


Miri: Penduduk sekitar Pantai Lutong, dekat sini, gempar dengan penemuan objek besi yang ditemui di kawasan berpasir di pinggir pantai itu, semalam.


Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Sebastian Ting berkata, objek itu ditemui penduduk setempat yang kemudian memaklumkan kepadanya. Susulan itu, beliau meninjau ke lokasi penemuan objek berkenaan dan turut menghubungi pihak berkaitan bagi memaklumkan mengenainya.


Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, berkata beliau juga sudah berhubung Hill untuk mendapatkan pandangan memandangkan pakar O&G itu pernah datang ke Miri untuk menjalankan kajian berkaitan sumber minyak dan gas di sini pada 1981. Beliau berharap penemuan itu akan menambah nilai baharu kepada sejarah di Miri.


Pelbagai andaian timbul termasuk mengaitkan objek seperti tangki itu sebagai struktur tertentu digunakan industri minyak dan gas (O&G), selain ada yang mengaitkannya dengan struktur turet senjata yang digunakan ketika Perang Dunia Kedua.


Apa yang pasti, objek terbabit muncul susulan hakisan yang berlaku di kawasan pantai itu. Pakar bebas O&G, Joh Hill, ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan objek berkenaan adalah turet senjata berputar yang digunakan ketika era Perang Dunia Kedua.


Bagaimanapun, katanya beliau sendiri masih menyiasat mengenai penemuan objek berkenaan.


"Saya akan hubungi Memorial Perang Australia untuk melihat apakah mereka dapat membantu dalam penyiasatan saya ini," katanya.


Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Jabatan Muzium akan menjalankan kajian lanjut ke atas penemuan itu.


"Ia mungkin struktur untuk minyak dan gas, namun kita tunggu pengesahan daripada pakar nanti," katanya.

Rabu, 13 Mac 2019

Fosil Gajah Raksasa Purba Ditemui Secara Tak Sengaja, Spesies Ini Mendiami Bumi Sejak 5 Juta Tahun Lalu

Fosil Gajah Raksasa Purba Ditemui Secara Tak Sengaja, Spesies Ini Mendiami Bumi Sejak 5 Juta Tahun Lalu


Pada akhir tahun 2015 lalu, satu penemuan fosil gajah mammoth berbulu atau gajah purba mengejutkan di Michigan, Amerika Syarikat. James Bristle, petani, dan rakannya pada masa itu ingin membina saluran paip gas asli. Semasa penggalian dilakukan, cangkul yang mereka gunakan memukul objek keras.


Seperti yang dilaporkan IFL Science, pada mulanya, Bristle menganggap objek itu adalah pagar kayu lama. Namun, setelah diperiksa dengan lebih dekat, mereka percaya bahawa apa yang mereka dapati bukanlah kayu atau besi, tetapi rangka tulang dan tengkorak.


Kepastian terungkap setelah para saintis dari University of Michigan seramai 15 orang melakukan penggalian. Mereka sahkan, tulang-tulang itu adalah gading gajah raksasa, dan sebanyak lima bahagian badan berjaya dikeluarkan. Bahagian-bahagian ini adalah tengkorak, dua gading, beberapa tulang belakang, pelvis dan dua bahu.


Berdasarkan andaian awal, gajah Mammoth itu dianggarkan berusia 40 tahun sebelum mati akibat diburu. Pemburu itu sengaja menyembunyikan dan berharap suatu hari nanti dia akan mengambilnya kembali. Pada masa itu, manusia memburu haiwan untuk daging dan memanfaatkan kulit tebal untuk memanaskan badan.



Mammoth adalah gajah purba yang telah lama pupus. Haiwan ini mempunyai berat 6 hingga 8 tan, ada yang beratnya mencapai 12 tan. Mammoth (genus Mammuthus), spesies gajah yang mempunyai gading panjang dan lengkok, manakala spesies utara mempunyai bulu yang panjang.


Mereka hidup pada zaman Pliocene (kira-kira 5 juta tahun dahulu) sehingga zaman Holocene iaitu kira-kira 4,500 tahun dahulu di Afrika, Asia, Eropah dan Amerika Utara. Menurut Daniel Fisher, Pengarah dan Kurator Museum Paleontologi, University of Michigan, berkata kemungkinan raksasa itu disembelih dan dagingnya yang tersisa disembunyikan sehingga mereka dapat mengambilnya semula.


"Kaki depan dan belakang tidak dijumpai. Ini menunjukkan bahawa beberapa badan haiwan raksasa ini telah dimakan oleh manusia. Kawasan Michigan memang menjadi lokasi beberapa penemuan bersejarah, dianggarkan lebih daripada 30 fosil mammoth telah dijumpai di negeri ini," katanya.



Ahad, 18 November 2018

Misteri Kabus Beracun Mengakibatkan 12 Ribu Nyawa Terkorban Di Kota London

Misteri Kabus Beracun Mengakibatkan 12 Ribu Nyawa Terkorban Di Kota London


Sebut saja London kebanyakan antara kita mengenalinya sebagai ibu kota England, merupakan kawasan metropolitan yang terbesar di United Kingdom. Namun ramai antara kita yang tidak tahu bahawa pada suatu masa lalu kota ini pernah diselubungi kabus beracun. Tragedi itu mengakibatkan berpuluh ribu manusia dan haiwan maut.

Pada akhir 1800-an ketika revolusi industri, England merupakan negara yang tumbuh dengan pesat. Arang batu banyak digunakan untuk industri berkenaan mengakibatkan berlaku pencemaran di kota London, kabus tebal beracun menyelimuti kota itu menyebabkan kira-kira 2 ribu orang maut.

Tragedi itu malangnya tidak membuka mata pemerintah untuk mengekang industri yang memyebabkan kematian. Ia hasil limbah asap penggunaan arang batu untuk mesin industri kilang yang tidak terkawal. Susulan itu, masalah tidak berhenti disitu saja kerana ribuan mangsa lainnya juga turut maut dalam tahun-tahun berikutnya akibat kesan terhidu asap beracun.

Kejadian kabus pembunuh kembali menyeliputi kota London pada tahun 1952, apabila asap arang batu bercampur dengan kabus telah menewaskan kira-kira 4 ribu hingga 12 ribu orang. Ia juga turut menyebabkan kematian ribuan haiwan. Kejadian itu akhirnya memaksa pihak pemerintah mengeluarkan undang-undang anti pencemaran di kota berkenaan.


Penyebab Kabus Beracun

Dalam sebuah analisis, para peneliti telah menyebut proses kimia yang dikombinasikan dengan kabus semulajadi akibat dari pembakaran arang batu. Akhirnya terhasil kabus asid mematikan yang mengubah langit benar-benar menjadi gelap. Ketika kabus beracun itu pertama kali tersebar pada bulan Desember 1952, hanya segelintir yang menyedari kerana kabus semulajadi telah lama menyelubungi kota.

Penyelidikkan terbaru dengan menggunakan data dari pencemaran moden di China, peneliti telah menemukan bahawa peristiwa bencana itu adalah hasil dari zarah asid sulfurik yang bercampur dengan kabus semulajadi yang menutupi seluruh kota. Sulfur adalah penyumbang besar untuk kabus, dan zarah asid sulfurik dibentuk dari sulfur dioksida yang dilepaskan oleh pembakaran arang batu yang digunakan sebagai penjana kuasa elektrik.


"Tapi bagaimana sulfur dioksida berubah menjadi asid sulfurik tidak jelas. Hasil penelitian kami menunjukkan bahawa proses ini difasilitasi oleh nitrogen dioksida, produk sampingan dari pembakaran arang batu.

"Aspek kunci lain dalam penukaran sulfur dioksida menjadi sulfarik adalah bahawa ia menghasilkan zarah asid. Kabus semulajadi yang mengandung zarah yang lebih besar dan asid yang terbentuk dicairkan.

"Penyejatan dari zarah-zarah kabus kemudian meninggalkan zarah kabus asid yang menutupi kota," kata Renyi Zhang, Profesor di Texas A&M University pada 16 November 2016 lalu.

Menurut mereka, unsur kimia serupa sering terjadi di China moden, yang memiliki 16 kota paling tercemar di dunia. Namun, masalah pencemaran di China ini tidak betul-betul sama.

Perbezaan di China adalah kabus berasal dari nanopartikel yang jauh lebih kecil, dan proses pembentukkan sulfarik hanya mungkin dengan amonia untuk meneutralkan zarah itu, dibandingkan tragedi yang melanda di kota London adalah sangat berasid.

Jumaat, 20 Julai 2018

Tragis, Piano Kucing Katzenklavier Alat Muzik Paling Popular Satu Masa Lalu

Tragis, Piano Kucing Katzenklavier Alat Muzik Paling Popular Satu Masa Lalu


Katzenklavier adalah perkataan dalam bahasa Jerman yang bermaksud 'Piano Kucing'. Bukan piano untuk kucing bermain, tetapi piano ini dihasilkan melalui bunyi suara kucing, ia dicipta sekitar abad ke-17. Kucing-kucing ini disusun mengikut turutan nada suara mereka.

Alat muzik ini diletakkan beberapa ekor kucing didalamnya dan ekor setiap kucing ini akan ditarik ke bawah papan kekunci piano. Apabila papan kekunci piano ini ditekan kucing-kucing ini akan mengiau kesakitan akibat ekornya di kepit. Kebanyakan infomasi menyebut bahawa sarjana dari Jerman iaitu Athanasius Kircher adalah individu yang memcipta piona kucing ini.

Katzenklavier ini merupakan alat muzik paling popular di era abad ke-17 hingga ke-19. Untuk mengelak dari kucing-kucing itu terlepas, ia diletakkan dalam tempat yang sempit sekaligus menghalang pergerakan haiwan itu. Penghadang diantara kucing-kucing itu juga turut dipasang selain berfungsi untuk memastikan supaya kucing tidak mampu melarikan diri ketika keyboard piano dimainkan.


Selain ekor kucing ditarik oleh papan kekunci piano, paku juga akan memukul setiap ekor kucing untuk menghasilkan bunyi yang berbeza, mengakibatkan haiwan itu meronta kesakitan. Dengan begitu kucing akan membuat suara mengiau dan mengaung sesuai seperti nada yang diinginkan.

Suara-suara kucing itu juga disertai dengan muzik lain supaya alunan bunyi lebih sempurna ketika mengadakan persembahan. Selain kucing, haiwan lain juga turut dijadikan alat muzik yang serupa, dan ada juga yang menggunakan bunyi babi.

Namun seiring berjalanan waktu, penggunaan Katzenklavier dihentikan kerana dianggap sebagai penyeksaan terhadap haiwan. Alat muzik menggunakan haiwan seumpama ini akhirnya dilarang sepenuhnya hingga ke hari ini.

Sekiranya anda ingin mendengar sendiri bagaimana alat ini bekerja, anda boleh menonton video yang banyak dikongsi di Youtube. Namun kebanyakan video tidak benar-benar menggunakan kucing hidup, melainkan dengan menggunakan boneka kucing yang boleh membuat suara menyerupai haiwan comel itu.

Gambar seorang lelaki sedang memainkan alat muzik
Katzenklavier menggunakan boneka kucing.

Jumaat, 29 Jun 2018

Pulau 'Berhantu' Dipenuhi Tengkorak Dan Cebisan Tulang, Lebih 160 Ribu Orang Mati Disini

Pulau 'Berhantu' Dipenuhi Tengkorak Dan Cebisan Tulang, Lebih 160 Ribu Orang Mati Disini


Pulau Poveglia yang terletak di Venice, Itali ini menyimpan satu kisah silam yang amat mengerikan. Sehingga kini, pulau ini diselubungi misteri menyebabkan tiada siapa yang berani untuk menghampirinya. Suara menjerit meminta bantuan, bayangan manusia yang dikatakan berlegar-legar di persekitaran kepulauan ini menjadi buah mulut masyarakat setempat.

Sejarah hitam Pulau Poveglia bermula sekitar tahun 1347-1351 apabila benua Eropah diserang satu pandemik 'Black Death', merupakan wabak penyakit terburuk yang pernah menimpa manusia setakat ini. Menurut kisah pada ketika itu, Pulau Poveglia digunakan sebagai tempat untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti penyakit berbahaya bagi mengelakkan penularan wabak berjangkit itu.

Black Death merupakan wabak penyakit radang paru-paru yang dibawa oleh tikus dan mudah berjangkit melalui udara. Wabak berbahaya ini dikatakan telah membunuh lebih 75 juta orang diseluruh dunia, dan separuh daripada jumlah itu merupakan orang Eropah. Penduduk Itali tidak terkecuali daripada terkena tempias wabak yang merebak dengan pantas tersebut.

Mereka yang meninggal dunia kerana wabak Black Death semuanya ditempatkan di Pulau Poveglia, mayat dicampakkan dalam satu lubang besar dan kemudiannya dibakar. Masa itu juga, sesiapa sahaja yang menunjukkan simptom dijangkiti penyakit berkenaan akan dihantar ke pulau ini. Pesakit-pesakit akan dicampakkan di atas timbunan mayat yang sedang mereput.

Tidak kira Lelaki, wanita mahupun kanak-kanak kesemua mereka dibiarkan mati dalam kesakitan, sekalipun ada yang menangis dan merayu minta diselamatkan. Dianggarkan lebih kurang 160 ribu mayat telah 'dikebumikan' di sana ketika itu. Keadaan tersebut menyebabkan Pulau Poveglia dicemari dengan bau busuk yang sangat kuat. Mayat yang dibakar bercampur dengan tanah menghasilkan lapisan abu melekit yang sangat tebal.



Selepas wabak berakhir, Pulau Poveglia dibiarkan sepi tanpa penghuni beratus tahun lamanya. Pada tahun 1922, sebuah hospital psikiatri telah dibina lengkap dengan menara loceng yang amat besar di pulau itu. Ketika inilah misteri bermula apabila pesakit yang dimasukkan ke hospital itu mula mengadu, mereka sering terserempak dengan jelmaan dan hantu.

Setiap malam, para pesakit telah diganggu dengan bunyi jeritan dan tangisan roh yang meminta bantuan. Mereka yang sudah tidak tahan kerap kali mengadu kepada pihak pengurusan hospital. Tetapi atas alasan pesakit di sana memang mempunyai masalah mental, aduan mereka langsung tidak diendahkan.

Belum cukup dengan misteri yang melanda hospital tersebut, seorang doktor dikatakan cuba untuk membina namanya di Itali dengan mencari penawar bagi penyakit mental yang dialami pesakit di situ. Dia mula menjalankan eksperimennya sendiri dengan menyeksa pesakit-pesakit berkenaan.



Saban malam, suara pesakit yang diseksa kedengaran memecah kesunyian kawasan kepulauan itu. Menurut catatan sejarah, doktor gila itu menggunakan pelbagai peralatan seperti pahat dan tukul. Ritual tersebut didakwa dijalankan untuk mencari penawar bagi penyakit gila yang dihadapi pesakit di sana. Kebanyakan pesakit mati dalam keadaan yang sangat mengerikan.

Gangguan demi gangguan makhluk halus terus dirasai oleh pesakit di hospital tersebut. Dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa menanggung seksaan dari eksperimen doktor itu. Selepas bertahun-tahun menjalankan kegiatan gilanya, doktor itu dikatakan mula diganggu dengan bayangan mangsanya yang datang menuntut keadilan terhadap kematian mereka.

Akhirnya doktor tersebut menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun dari menara, iaitu tempat dia menyeksa semua pesakit di dalam hospital itu. Menurut seorang jururawat yang merupakan saksi kejadian, doktor gila itu tidak mati serta-merta ekoran kesan jatuh dari menara. Tetapi sewaktu dia sedang berbaring di bawah, tiba-tiba muncul satu jelmaan kabus besar yang kemudian mencekik dirinya sehingga mati.

Selepas kejadian itu, bunyi loceng besar di menara tersebut didengari setiap hari. Hospital berkenaan ditutup dan ditinggalkan tanpa penghuni sejak tahun 1968. Hari ini, Pulau Poveglia bukan sahaja dibiarkan sepi tanpa penghuni, malah sebarang aktiviti pelancongan ke sana juga diharamkan oleh kerajaan Itali. Nelayan tempatan juga mengelak daripada berlayar berhampiran dengan kawasan pulau ini kerana bimbang ada tulang manusia yang bakal tersangkut pada jaring jala mereka.

Isnin, 19 Mac 2018

Gempar, Penemuan Runtuhan Istana Purba Di Pulau Terpencil Siberia

Gempar, Penemuan Runtuhan Istana Purba Di Pulau Terpencil Siberia

Misteri Por Bajin

Terdapat sebuah pulau kecil dan terpencil dengan pemandangan yang membingungkan, salah satu misteri dunia yang belum dipecahkan hingga kini. Pulau di Siberia yang nyaris tidak tersentuh peradaban ini dikenal sebagai Por Bajin atau Por-Bazhyn. Terletak di antara dua wilayah Siberia iaitu Sayan dan Altai, berdekatan dengan sempadan Mongolia.

Runtuhan purba yang terkenal dengan nama Por Bajin ini diyakini dibangunkan sekitar 1300 tahun lalu, antara 744-840 Masehi. Runtuhan misteri ini pertama kali ditemui pada tahun 1891. Meski pada pandangan pertama terlihat seperti benteng dengan dinding yang tinggi dan barisan bangunan tersusun rapi, kita tetap masih merasa bingung ketika melihat lebih dekat kerana reka bentuknya yang unik.

Namun, sehingga sekarang tidak dapat dipastikan atas tujuan apa tempat itu dibina, dan mengapa ditinggalkan. Pada tahun 2007, para ahli peneliti mendapat sedikit gambar merungkai misteri itu apabila menemukan adanya pengaruh budaya Tiongkok di Por Bajin. Perkara itu merujuk pada penggunaan jubin tertentu serta kaedah pembinaan bangunan itu hampir mirip dengan peradaban China purba.

Misteri Por Bajin

Para ahli percaya struktur runtuhan berusia 1300 tahun ini pada awalnya, mungkin merupakan istana musim panas ketika kekuasaan Uighur. Beberapa peneliti lain juga percaya bahawa pulau tersebut mungkin pernah menjadi tuan rumah sebuah kuil Buddha atau Manichaean. Pendapat lain juga mengatakan ada kemungkinan tempat tersebut merupakan benteng pertahanan.

Semakin banyak spekulasi dan pendapat berkaitan tempat ini, namun tidak satu pun yang benar-benar mengungkap misteri Runtuhan tersebut. The Por-Bajin Cultural Foundation, web rasmi yang bertanggungjawab meneliti runtuhan ini pernah menyatakan bahawa, Por Bajin dibangunkan pada kekuasaan Uighur sekitar 744 hingga 840 masehi.

Namun, belum jelas apa tujuan mereka membangun benteng di tempat terpencil yang jauh dari permukiman besar dan laluan perdagangan ini. Masih banyak misteri Por Bajin belum terjawap dan terus diperdebatan hingga kini. Adakah tasik yang ada sekitar Por Bajin sengaja dibuat? Jika betul begitu, pasti ada tujuan tertentu disebalik itu semua. Apapun persoalannya, Por Bajin akan tetap menjadi misteri dunia selama bertahun-tahun yang akan datang.



Khamis, 15 Mac 2018

Resort Terbesar Di Dunia Terbengkalai Lebih 80 Tahun Disebabkan Perang Dunia Ke-2 Meletus

Resort Terbesar Di Dunia Terbengkalai Lebih 80 Tahun Disebabkan Perang Dunia Ke-2 Meletus


Prora adalah sebuah pusat peranginan tepi pantai terletak di pulau Rugen berdekatan Binz. Nama Prora ini diberi oleh rejim Nazi sewaktu kekuasaan mereka. Selain itu, Prora juga dikenali dengan nama Hotel Hitler. Merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan Adolf Hitler untuk menambat hati penyokongnya melalui program 'Strength Through Joy'.

Pembinaan resort ini berlangsung sekitar tahun 1936 hingga 1941. Dibangunkan sepanjang 3 batu atau bersamaan 4.8 kilometer ini bermula 3 tahun sebelum Jerman menguasai Poland pada 1939. Dirancang dapat menampung lebih 20,000 orang dalam satu masa sekiranya siap dibangunkan.

Prora juga bakal menjadi pusat percutian terbesar di dunia apabila siap dibina ketika itu. Pembinaan Prora dikendalikan oleh Clemens Klotz setelah memenangi saingan untuk mendapatkan projek tersebut. Pemilihan diselia oleh ketua arkitek Adolf Hitler iaitu Albert Speer.

Lebih dari 9000 pekerja terlibat dalam pembinaan Prora. Keseluruhan bangunan sepanjang 4.5 kilometer ini terletak 150 meter jarak dari garis pantai. Prora mempunyai 8 blok bangunan dilengkapi teater, panggung wayang, kolam renang dan dewan festival.


Pembinaan tergendala disebabkan Perang Dunia Kedua

Namun begitu, perancangan ini gagal apabila Perang Dunia Ke-2 tercetus sehingga terpaksa memberhentikan pembinaannya pada tahun 1941. Prora telah bertukar menjadi markas rahsia ketenteraan Red Army di bawah pemerintah komunis Jerman Timur.

Setelah Perang Dunia berakhir, tempat itu digunakan oleh Uni Soviet. Pada awalnya sebagai pangkalan angkatan bersenjata Uni Soviet, kemudian dijadikan perumahan angkatan bersenjata Jerman Timur yang dibentuk pada tahun 1956.





Setelah berpuluh-puluh tahun berlalu, sebuah syarikat hartanah Jerman bernama Metropole Marketing telah memiliki hak untuk membangunkan semula Prora pada tahun 2003. Mereka mengubahsuai semula bangunan dengan menjadikan sebuah kediaman mewah musim panas.

Pembinaan semula ini melibatkan 8 blok struktur bangunan yang akan dipisahkan kepada dua bahagian iaitu, Prora Solitaire Home dan Prora Solitaire Hotel Apartments and Spa yang dijangka siap sepenuhnya pada 2022. Projek membangunkan semula Prora mendapat sambutan hangat pelabur berikutan 95 peratus unit Apartment di Prora Solitaire telah dijual.

Harga untuk Apartment sekitar RM1.7 juta untuk 100 meter persegi. Tingkat paling bawah pula dijual dengan harga lebih RM3 juta untuk penthouse menghadap laut. Dibawah ini adalah gambar ilustrasi kawasan peranginan Prora apabila siap dibangunkan.

Rabu, 7 Mac 2018

Misteri Kehilangan Amber Room, Bilik Kecil Diperbuat Dari Emas Dan Permata

Misteri Kehilangan Amber Room, Bilik Kecil Diperbuat Dari Emas Dan Permata

Amber Room

Ketika Perang Dunia Ke-2 bermula pada tahun 1941, tentera Nazi menyerang Rusia dan menyerbu istana Catherine di St. Petersburg. Ketika itu Adolf Hitler telah mengarahkan tenteranya merampas apa saja harta benda milik Rusia. Walaupun tentera Soviet berusaha menyembunyikan semua kepentingan Rusia masa itu, namun Jerman berjaya menemui Amber Room.

Amber Room adalah sebuah bilik kecil berukuran 11 kaki persegi terdiri dari dinding berukuran besar bertatahkan batuan Amber. Setiap sisi cermin dihiasi emas dan empat buah mozaic Florentine yang sangat luar biasa cantiknya.

Amber Room yang sangat mewah ini dibina sejak 300 tahun lalu. Disebut sebagai harta karun paling unik dalam sejarah, dinding Amber Room dibina dengan batuan Amber yang dikatakan terhasil melalui getah pokok Hymenaea yang hidup kira-kira 30 juta tahun dahulu.

Amber Room, rejim nazi

Amber Room tersusun dalam tiga tingkat dipenuhi emas dan permata yang tidak ternilai harganya. Menurut catatan sejarah, ramai tukang emas yang terlibat dalam pembinaan Amber Room. Pembinaan Amber Room ini mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Mula dibina pada tahun 1709 dan merupakan milik Raja Prusia ketika itu. Amber Room kemudian dihadiahkan kepada Tsar Peter pemerintah agung empayar Rusia pada tahun 1716. Pemberian itu merupakan tanda perjanjian damai antara Prusia dan Rusia. Amber Room kemudian disimpan di istana Catherine di Rusia.

Selain emas dan batuan Amber, dindingnya juga turut disalut batu permata yang sangat berharga. Pada akhir Perang Dunia Ke-2 tentera Nazi dipercayai telah merampas Amber Room dan meleraikan bilik emas itu, kemudian kesemua isinya dipindahkan ke Konigsberg di Jerman. Selepas Perang Dunia Ke-2 berakhir pada tahun 1945, kerajaan Rusia cuba mendapatkan semula Amber Room yang dianggap sebagai harta paling berharga milik Rusia.

Malangnya, Amber Room sangat berharga itu telah hilang dan tidak dapat dikesan hingga kini. Sesetengah pihak mendakwa Amber Room telah hancur dalam peristiwa pengeboman Konigsberg, namun tiada bukti kukuh menyokong dakwaan tersebut. Ada pendapat mengatakan Amber Room mungkin disembunyikan di dalam lombong, atau telah tertimbus di kawasan pergunungan bijih timah ketika perperangan berlaku.

Ada juga dakwaan mengatakan Amber Room telah terbenam bersama sebuah kapal yang karam di lautan Baltik ketika dibawa belayar. Walaupun terdapat serpihan kapal ditemui ditempat yang disebutkan itu, tetapi tidak ada tanda-tanda Amber Room pernah berada disitu. Pada tahun 2008, sekumpulan pemburu harta karun telah menemui satu gua bawah tanah buatan manusia, dipercayai menyimpan kesemua dinding Amber Room. 

Peralatan elektromagnet yang digunakan juga mengesan sekurang-kurangnya terdapat dua tan emas di dalam gua yang tertutup rapat itu. Namun, usaha itu dihentikan serta-merta tanpa sebarang alasan kukuh dan berita susulan.


Pada tahun 2010, Sergei Trifonov mendakwa telah menemui kubu yang pernah digunakan oleh tentera Jerman di Konigsberg pada tahun 1945. Turut dipercayai mungkin Amber Room yang hilang itu tersimpan disana, namun kubu tersebut terletak sedalam 1,000 meter di bawah tanah.

Hasil cari-gali yang dilakukan hanya menemui garisan batu yang dipercayai merupakan serpihan kubu tersebut. Ada beberapa kisah misteri berkenaan Amber Room ini menceritakan bahawa, setiap pemiliknya akan mendapat malang. Antaranya adalah kaunselor yang menjaga Amber Room iaitu Alfres Rhode dan isterinya yang meninggal dunia akibat penyakit tifus.

Peliknya, jasad suami isteri itu telah lenyap termasuk doktor yang menandatangani surat kematian mereka. Jeneral Rusia iaitu Gusev yang ada kaitan dengan Amber Room mati dalam satu kemalangan. Manakala Georg Stein, salah seorang pemburu Amber Room turut ditemui mati di hutan Bavaria dalam keadaan telanjang dengan perut terhiris.

Oleh kerana Amber Room tidak ditemui, Rusia akhirnya memutuskan membina semula replika Amber Room dengan mengekalkan emas sebagai bahan utama. Pembina dilakukan di Tsarskoye pada tahun 1979. Pada tahun 2003 barulah Amber Room siap dibina sepenuhnya dan dirasmikan di istana Catherine, merupakan tempat asal Amber Room sebelum dirampas tentera Nazi dahulu.

Sehingga kini, masih ramai yang mencuba untuk mencari di mana Amber Room sebenar berada. Kesemua gambar yang diletakkan dalam artikel ini adalah replika Amber Room yang telah siap dibina, kini dipamerkan di istana Catherine.

Amber Room, rejim nazi