Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan

Ahad, 17 Oktober 2021

Kegiatan Melombong Emas Secara Haram Di Lahad Datu Lebih 30 Tahun Terbongkar

Kegiatan Melombong Emas Secara Haram Di Lahad Datu Lebih 30 Tahun Terbongkar


Aktiviti melombong emas secara haram sejak 90-an berjaya dibongkar berikutan penemuan ratusan lubang lombong di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua di Lembah Danum, Lahad Datu, baru-baru ini.


Pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan WWF serta agensi lain membongkar kegiatan itu pada 21 Ogos lalu.


Timbalan Komander PGA Briged Sabah Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, kegiatan itu berjaya dikesan dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang lancarkan sejak Ogos lalu selepas ia dilancarkan oleh Komander PGA Briged Sabah.


"Dalam operasi ini, ia memfokuskan seluruh Sabah. Ia bukan setakat di dalam hutan sahaja tetapi juga di perairan. Antara penemuan yang sangat penting dalam operasi ini adalah aktiviti melombong emas haram," katanya.



Toipi berkata, lokasi kegiatan mencuri khazanah negara itu berjaya dikesan hasil risikan dan maklumat awam sebelum ini. Katanya, pasukan operasi berjaya menemui lokasi-lokasi pelombongan itu selepas menempuhi perjalanan selama lapan hari.


"Ia disusuli operasi penggeledahan dilancarkan dan maklumat yang diterima mendapati aktiviti melombong emas di kawasan hulu sungai berkenaan sudah berlarutan sekitar 1990-an lagi," katanya.


"Bukan mudah untuk petugas operasi sampai dan menemui lokasi berkenaan. Petugas operasi terpaksa menempuh perjalanan di hutan tebal, melalui jeram, mendaki dan menuruni bukit serta perlu meredah sungai berbatu untuk ke lokasi berkenaan," katanya.


Walaupun sukar, katanya, anggota bertugas akhirnya berjaya tiba di lokasi berkenaan, dan hasil pemeriksaan di lokasi itu pihaknya menemui ratusan lubang atau lombong emas di sepanjang lapan kilometer Sungai Bole.



"Kira-kira 103 lubang lombong ditemui untuk satu kilometer di sepanjang tebing sungai berkenaan. Pelombong berkenaan dipercayai menggunakan kaedah tradisional bagi melombong emas di kawasan tersebut," katanya.


Menurutnya, dalam operasi itu juga pelbagai barangan disyaki untuk kegiatan melombong seperti dulang, alat penimbang digital, baldi dan penyodok tanah ditemui di lokasi berkenaan.


"Makanan seperti beras, gula, mi segera, minuman segera dan peralatan memasak turut ditemui di lokasi terbabit. Selain itu, senjata api jenis bakakuk dan senapang guli turut ditemui di lokasi berkenaan," katanya.


Menurutnya, pihaknya turut menemui enam lokasi penempatan yang mempunyai 14 pondok dibina dengan kanvas termasuk rumah atas pokok yang diwujudkan di kawasan berkenaan. Dengan penemuan itu, pihaknya berharap berjaya menghentikan kegiatan mencuri hasil negara terbabit.


Antara lubang pelombongan emas yang ditemukan di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di Lembah Danum. Anggota PGA memeriksa lubang lombong yang ditemui. - Foto Hazsyah Abdul Rahman.

Keadaan satu lubang lombong emas haram yang masih aktif turut ditemui. - Foto NSTP/Hazsyah Abdul Rahman.

Isnin, 13 September 2021

5 Lelaki Ditahan, Dua Senjata Buatan Sendiri Jenis 'Bakakuk' Bersama 35 Peluru Dirampas

5 Lelaki Ditahan, Dua Senjata Buatan Sendiri Jenis 'Bakakuk' Bersama 35 Peluru Dirampas


KOTA KINABALU - Lima lelaki dipercayai menjalankan kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan Jalan Kalabakan-Sapulut, ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK), semalam.


Dalam operasi 10.11 malam itu, pihak berkuasa turut merampas dua senjata api buatan sendiri jenis 'bakakuk', 35 butir peluru hidup, tiga kelongsong dan beberapa alat lain.


Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mereka ditahan ketika sepasukan anggota Tiger Platoon Batalion 14 PGA bersama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) menjalankan rondaan di laluan berkenaan.


"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux diparkir di bahu jalan berkenaan, dan mendapati lima lelaki berada di dalamnya dalam keadaan mencurigakan.


"Hasil pemeriksaan menemui dua laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk, 35 butir peluru hidup, tiga kelongsong dan beberapa alat lain," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Mohd Abduh, turut dirampas Toyota Hilux, 'vest' penguatkuasa Perhilitan, dan semua tangkapan berusia 24 hingga 43 tahun itu serta kenderaan dinaiki dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.


Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM143,575 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.


Lima lelaki ditahan bersama senapang jenis bakakuk dalam OBK di Jalan Kalabakan-Sepulut, malam tadi. - Foto PGA Sabah.

Rabu, 1 September 2021

Bawa Parang Dan Ugut Bakar Rumah Bekas Majikan Kerana Diberhentikan Kerja

Bawa Parang Dan Ugut Bakar Rumah Bekas Majikan Kerana Diberhentikan Kerja


BEAUFORT - Polis menahan seorang lelaki mengamuk serta mengugut akan membakar rumah majikannya selepas diberhentikan kerja dalam kejadian di Kampung Siaun Menumbok, di sini, semalam.


Difahamkan, suspek warga Indonesia itu diberhentikan kerja oleh majikannya kerana malas bekerja dan disyaki mengambil dadah syabu. Kerana tidak puas hati, suspek datang ke rumah bekas majikannya membawa parang panjang kira-kira 8 pagi.


Bagaimanapun, hanya anak lelaki bekas majikannya berusia 18 tahun yang berada di rumah itu dan remaja itu menghubungi ayahnya sebelum membuat laporan polis.


Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek adalah bekas pekerja ladang sawit milik bapanya yang telah diberhentikan kerja.


"Suspek yang tidak puas hati diberhentikan kemudian datang ke rumah majikannya dengan membawa parang sambil mengamuk sebelum beredar.


"Beberapa minit kemudian majikannya tiba rumah dan turut menerima pesanan melalui WhatsApp daripada suspek menyatakan akan membakar rumah majikannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, hasil siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan di Jalan Kuala Penyu - Menumbok di Kampung Kayul, di sini pada 7.40 malam.


"Siasatan masih dijalankan dan suspek belum membuat sebarang pengakuan berkenaan kejadian itu. Soal siasat akan diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.


(Kiri) Yusoff Zaki Mat Yaacob. (Kanan) suspek yang ditahan polis.

Isnin, 26 Julai 2021

Masalah Kotak 'Gear' Punca Kenderaan Dipandu Secara Mengundur

Masalah Kotak 'Gear' Punca Kenderaan Dipandu Secara Mengundur


SANDAKAN - Kotak gear didakwa mengalami masalah menyebabkan seorang pemilik pacuan empat roda memandu secara mengundur di atas jalanraya sebelum video kejadian itu tular di media sosial pada Ahad.


Difahamkan, kejadian berlaku pada jam 10 pagi Sabtu apabila seorang lelaki berusia 44 tahun yang memandu Toyota Land Cruiser dirakam ketika berada di Bandar Kim Fung.


Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bertindak pantas menyiasat kesahihan video berkenaan selepas kejadian itu tular.


Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Bandar Kim Fung. Polis berjaya mengesan kenderaan dan pemandu iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun.


"Pemandu terbabit memberi alasan kenderaan itu mengalami kerosakan teknikal pada bahagian kotak gear dan terpaksa dipandu secara mengundur.


"Bagaimanapun, tindakan sedemikian membahayakan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Tambah Mohd Azhar, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.


Tambahnya, pemandu yang mengalami kerosakan kenderaan, dinasihatkan untuk menggunakan khidmat trak tunda untuk menunda kenderaan ke bengkel sekiranya mengalami situasi sedemikian, demi keselamatan bersama.


Kenderaan pacuan empat roda yang tular dipandu secara mengundur di Bandar Kim Fung, Sandakan.

Ahad, 18 Julai 2021

23 rumah atas air hangus terbakar di Tanjung Aru

23 rumah atas air hangus terbakar di Tanjung Aru


KOTA KINABALU, 18 Julai - Penduduk perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru dikejutkan dengan kejadian kebakaran yang memusnahkan 23 buah rumah awal pagi hari ini.


Kebakaran pada pukul 4.32 pagi itu merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh singkat di kampung itu, yang mengakibatkan 33 rumah musnah pada 25 Mei lepas manakala 10 rumah lagi pada 6 Julai lepas.


Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada 4.32 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota yang terdiri daripada 36 orang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan 10 buah jentera dan kenderaan utiliti.


"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu digegaskan ke tempat kejadian sejauh tiga kilometer itu dengan dibantu anggota BBP Penampang. Bomba mengalami kesukaran ke lokasi kejadian disebabkan laluan jalan yang sempit," menurut kenyataan itu.


Kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah rumah sebelum api merebak ke rumah berhampiran berikutan kedudukan rumah yang terlalu rapat. Kebakaran itu turut memusnahkan lima kereta dan enam motosikal namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Operasi pemadaman kebakaran berjalan lancar dan api berjaya dikawal pada 5.49 pagi. Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 8 pagi, manakala jumlah kerugian masih disiasat.


Kebakaran yang memusnahkan 23 rumah perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu hari ini.

Keadaan rumah penduduk dan kenderaan di perkampungan Tanjung Aru yang hangus terbakar.

Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 10 buah rumah atas air di Kota Kinabalu, 6 Julai lalu.

Jumaat, 16 Julai 2021

Ular sawa 'kenyang' telan anak kambing ditangkap

Ular sawa 'kenyang' telan anak kambing ditangkap


BEAUFORT - Seekor ular sawa sepanjang hampir empat meter yang baru menelan seekor anak kambing berjaya ditangkap di Kampung Suasa, pada Khamis lalu.


Ular dengan berat kira-kira 25 kilogram itu ditemui di dalam kandang kambing pada jam 12.30 tengah hari selepas pemilik kambing menyedari kehadiran haiwan terbabit.


Susulan kejadian itu, pemilik terbabit bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.


Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort kemudian mengerahkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dengan menaiki dua buah jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.


"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seekor ular sawa berada di dalam sebuah kandang kambing. Hasil pemeriksaan mendapati ular itu telah menelan seekor anak kambing," katanya ketika dihubungi pada Khamis.


Katanya, pasukan bomba mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas.


"Ular sepanjang 12 kaki itu ditangkap bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Tiada mangsa lain dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi ditamatkan pada jam 1.23 petang," katanya.

Sabtu, 10 Julai 2021

Kehadiran Buaya Gemparkan Penduduk Di Taman Perumahan

Kehadiran Buaya Gemparkan Penduduk Di Taman Perumahan


KOTA KINABALU, 10 Julai - Seekor buaya masuk ke Taman Perumahan Bitsa Ridge, Luyang di sini, telah gemparkan penduduk. Bagaimanapun mereka berasa lega apabila buaya yang masuk ke kawasan itu berjaya ditangkap Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) malam tadi.


Penduduk kawasan itu mendakwa terlihat reptilia terbabit di kawasan perumahan terbabit pada 7.30 malam sebelum menghubungi JHLS untuk mendapatkan bantuan.


Penolong Pengarah JHLS Dr Sen Nathan berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan kehadiran buaya tersebut di hadapan sebuah rumah penduduk.


Menurutnya, setibanya di lokasi ditemukan seekor buaya sepanjang dua meter di kawasan semak berhampiran perumahan berkenaan.



"Operasi menangkap reptilia itu segera dijalankan dan dan usaha itu dilakukan tanpa sebarang masalah.


"Buaya berkenaan kemudiannya dibawa ke Pusat Penyelamatan Hidupan Liar di Potuki, Lok Kawi untuk penjagaan dan rawatan yang diperlukan," katanya di sini, hari ini.


Dr Sen berkata, buaya berkenaan akan dijaga buat sementara waktu sebelum ia lepaskan di habitat yang sesuai.


"Sehubungan itu, kita mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu dari segi kewangan untuk operasi hidupan liar seperti ini," katanya.


Kakitangan JHL Sabah menangkap buaya sepanjang dua meter di Taman Perumahan Bitsa Ridge, Luyang, Kota Kinabalu. Foto JHLS.