Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Sabtu, 16 April 2022

Wayar fon telinga sepanjang 80 sentimeter tersangkut dalam pundi kencing lelaki

Wayar fon telinga sepanjang 80 sentimeter tersangkut dalam pundi kencing lelaki


Seorang lelaki berusia 34 tahun di Indonesia, berdepan detik cemas apabila wayar fon telinga tersekat di dalam pundi kencingnya, lapor akhbar Daily Mail pada 14 April 2022.


Lelaki itu memberitahu doktor bahawa dia menyumbat wayar fon telinga sepanjang 80 sentimeter itu ke dalam alat sulitnya. Dia turut mengakui melakukan perbuatan tersebut sehingga lima kali dalam seminggu.


Lelaki yang dirahsiakan identitinya tiba di jabatan kecemasan Hospital Pengajaran Akademik Am Dr. Soetomo di kota Surabaya, dengan mengadu sakit perut ketika membuang air kecil.


Menurut laporan jurnal Radiology Case Reports, doktor-doktor menyatakan, wayar itu 'bersarang di dalam pundi kencing pesakit'. Mereka menjalankan ujian X-ray untuk memeriksa lokasi tepat kedudukan wayar itu di dalam badan pesakit.


Wayar setebal tiga milimeter itu kelihatan seperti bergulung tetapi pesakit bernasib baik kerana ia tidak terlekat pada dinding pundi kencingnya. Jika itu berlaku, ia boleh menyebabkan lubang yang memerlukan pembedahan untuk diperbaiki, kata pakar urologi.



Doktor menarik keluar wayar tersebut menggunakan forsep dan lelaki itu dibenarkan pulang selepas ditahan semalaman untuk pemantauan.


Pakar-pakar kesihatan menyifatkan situasi ini sebagai kes klasik polyembolokoilamania iaitu tindakan memasukkan bendasing ke dalam lubang kemaluan. Namun, mereka berkata, pesakit tidak menunjukkan tingkah laku psikotik dan mentalnya berada pada tahap sihat.


Dr Rich Viney, pakar urologi perunding di Hospital Queen Elizabeth di Birmingham, memberitahu MailOnline berkata, jika objek tersangkut di dalam kemaluan, ia boleh menyebabkan beberapa masalah, mulai dari rasa terbakar, ketidakupayaan untuk membuang air kecil dan masalah ereksi.


Katanya, komplikasi yang lebih serius seperti lubang yang muncul di pundi kencing, dan parut pada tiub yang membawa air kencing keluar dari badan, ia mungkin memerlukan prosedur pembedahan yang kompleks untuk diperbetulkan. - Sumber Daily Mail.


Wayar fon telinga yang dikeluarkan dari dalam zakar seorang lelaki Indonesia. - Foto Jam Press.

Khamis, 7 April 2022

Jersi 'Gol Tangan Tuhan' Diego Maradona dilelong RM22 juta

Jersi 'Gol Tangan Tuhan' Diego Maradona dilelong RM22 juta


Rumah lelong Sotheby bercadang untuk melelong jersi yang dipakai Diego Maradona ketika dia menjaringkan "Gol Tangan Tuhan" pada Piala Dunia 1986. Jersi yang pernah dipakai oleh legenda itu dirancang untuk ditawarkan kepada pengumpul mulai 20 April hingga 4 Mei 2022.


Ia dijangka akan dijual dengan harga £4 juta (RM22.05 juta) dalam satu sesi lelongan. Ikon legenda itu menjaringkan kedua-dua gol ketika suku akhir berdepan England. Gol pertama Maradona dijaringkan secara kontroversi apabila menggunakan tangan bagi menewaskan Peter Shilton.


Bagaimanapun gol kedua dijaringkannya digelar "Gol Abad Ini." Jersi ikonik berwarna biru dipakai Maradona bernombor 10 itu dimiliki bekas pemain tengah skuad Three Lions, Steve Hodge.


Dia mendapat jersi nombor sepuluh milik Maradona selepas bertukar jersi pada penghujung suku akhir Piala Dunia 1986 yang diadakan di Stadium Azteca, Mexico.


Pemain berusia 59 tahun itu tidak melalui hari yang bagus dalam perlawanan berkenaan. Hodge juga secara tidak sengaja memberikan bola kepada Maradona yang menyebabkan 'Gol Tangan Tuhan' itu.


"Saya menjadi pemilik jersi ini selama lebih 35 tahun, sejak Diego dan saya menukar jersi di terowong selepas perlawanan popular itu.


"Ia memang satu penghormatan bermain menentang seorang daripada pemain terhebat dan menakjubkan sepanjang zaman itu," kata Hodge.


Bagi Hodge, jersi Maradona yang dimilikinya bukanlah barang biasa. Kerana, ada nilai sejarah disebaliknya yang membuatkan jersi ini layak mendapat harga yang tinggi.


"Jersi tangan Tuhan mempunyai kepentingan budaya yang mendalam untuk dunia bola sepak, rakyat Argentina dan rakyat England. Saya pasti pemilik baharu akan berbangga dengan jersi bola sepak paling ikonik di dunia," kata Hodge.


Sebelum lelongan, jersi Maradona ini telah dipinjamkan kepada Muzium Bola Sepak Negara di Manchester untuk dipamerkan sejak 2002.


Gambar kiri, jersi ikonik berwarna biru dipakai Maradona bernombor 10. - Foto Sotheby.

Sabtu, 2 April 2022

Ramai teruja lihat 'kemunculan' Hummer H1 terbesar di dunia setinggi 6.5 meter

Ramai teruja lihat 'kemunculan' Hummer H1 terbesar di dunia setinggi 6.5 meter

 

Seorang bilionair dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) membangunkan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbesar di dunia, yang digelar Hummer H1 X3, lapor akhbar The Sun pada 28 Mac 2022.


Pemiliknya, Sheikh Hamad Hamdan Al Nahyan atau lebih dikenali sebagai Sheikh Rainbow, membina kenderaan dua tingkat itu yang turut mempunyai tangga, sebuah tandas dan ruang tamu pada bahagian dalamnya.


Trek gergasi itu mempunyai ketinggian 6.5 meter, sepanjang 14 meter dan selebar 6 meter, sekali gus menjadikannya Hummer terbesar yang ada setakat ini.


Kenderaan pacuan empat roda gergasi itu dibina pada rangka kenderaan kargo amfibia berkulit keluli, LARC-LX Tentera Amerika Syarikat dan menggunakan empat enjin diesel.



Menurut pihak muzium, saiznya adalah tiga kali ganda lebih besar daripada Hummer H1 dari segi skala dan 27 kali berdasarkan volum.


Aras satu kenderaan itu mempunyai tangga, sebuah tandas dan sinki. Aras dua pula menempatkan ruang khas untuk tetamu yang mempunyai sudut pemandangan 360 darjah.


Namun, spesifikasi teknikal seperti kelajuan tertinggi, daya dan seumpamanya masih belum didedahkan kepada umum.


Malah, kewujudan kenderaan itu baru diketahui selepas gambarnya dipandu ke Muzium Sejarah Off-Road di Al Madam, UAE, tular dalam talian, baru-baru ini.


Ia akan menjadi koleksi terbaharu bagi Muzium Sejarah Sharjah Off Road, yang terletak 30 kilometer di bahagian utara Dubai.


Sheikh Hamad, yang merupakan ahli keluarga diraja UAE kini memegang Guinness World Records bagi koleksi terbesar kenderaan 4×4 iaitu sebanyak 718 jenis model.


Sekali pandang, Hummer H1 yang juga kenderaan utiliti sukan (SUV) jalanan terbesar pernah dibuat, nampak seperti kereta mainan apabila diletakkan bersebelahan dengan Hummer H1 X3. - Foto SWNS.

Hummer H1 X3 mempunyai panjang 14 meter, selebar 6 meter dan setinggi 6.5 meter. - Foto SWNS.

Hummer H1 X3 mempunyai saiz 27 kali lebih besar daripada Hummer H1 berdasarkan volum. - Foto SWNS.

Ia mempunyai dua tingkat di dalam dan boleh dipandu sepenuhnya. - Foto SWNS.

Isnin, 14 Mac 2022

Saintis temui 'ikan pelangi' yang menakjubkan di 'zon senja' di luar pantai Maldives

Saintis temui 'ikan pelangi' yang menakjubkan di 'zon senja' di luar pantai Maldives


Saintis dilaporkan menemui ikan becok berwarna pelangi yang menakjubkan yang hidup di 'zon senja' di luar pantai Kepulauan Maldives, lapor akhbar Daily Mail pada 10 Mac 2022.


Ikan becok jenis rose-veiled fairy dan berwarna-warni itu adalah penemuan baharu dalam dunia sains. Ia ditemui hidup pada kedalaman antara 40 hingga 70 meter di bawah permukaan laut.


Ia diberi nama saintifik Cirrhilabrus finifenmaa untuk menghormati bunga kebangsaan Maldives iaitu bunga mawar merah jambu. Finifenmaa bermaksud mawar dalam bahasa tempatan.


Spesies berkenaan adalah yang pertama ditemukan oleh saintis Maldives, Ahmed Najeeb yang merupakan pengarang bersama kajian dan ahli biologi di Institut Penyelidikan Marin Maldives.


"Saintis asing selalu menggambarkan spesies yang ditemui di Maldives tanpa banyak melibatkan saintis tempatan, malah mereka yang endemik di Maldives," katanya dalam satu kenyataan.



"Penemuan kali ini adalah berbeza dan buat pertama kalinya mengujakan terutama selepas berpeluang bekerja bersama pakar iktiologi terkemuka dan menemukan spesies yang begitu elegan dan cantik ini," jelas beliau.


Spesies itu pertama kali ditemui 30 tahun lalu tetapi dipercayai adalah jenis Cirrhilabrus rubrisquamis atau ikan becok red velvet fairy.


Ikan becok merupakan spesies ikan berwarna terang yang diketahui bertukar warna apabila menjadi dewasa, demikian menurut pengarang kanan kajian, Luiz Rocha dari Akademi Sains California.


Menurutnya, spesies ikan berkenaan pada usia remaja kelihatan sangat serupa dan ciri-ciri yang berbeza hanya dapat dikenal pasti apabila ia meningkat dewasa.


Sehinggalah para penyelidik mengkaji rakaman dari kenderaan yang dikendalikan dari jauh di Chagos, barulah mereka menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan spesies baharu yang berbeza dengan Cirrhilabrus rubrisquamis.


Ikan becok jenis rose-veiled fairy atau Cirrhilabrus finifenmaa mempunyai warna unik yang termasuk magenta terang, pic, oren-merah jambu dan merah keunguan gelap.


"Sebelum ini kami fikirkan ia adalah ikan yang sama, sebenarnya adalah dua spesies berbeza," kata pengarang utama Yi-Kai Tea, pelajar kedoktoran Universiti Sydney, dalam satu kenyataan.


Zon senja lautan wujud pada kedalaman antara 115 kaki (35 meter) dan 230 kaki (70 meter), di mana terdapat cahaya yang cukup untuk beberapa kehidupan sebelum air beralih ke jurang yang gelap.


Gambar menunjukkan ikan becok jenis rose-veiled fairy yang baru ditemukan oleh saintis. - Foto Yi-Kai Tea.

Selasa, 8 Mac 2022

NASA lelong 74 gambar langkah pertama manusia di Bulan semasa misi Apollo 1968

NASA lelong 74 gambar langkah pertama manusia di Bulan semasa misi Apollo 1968


Sebanyak 74 gambar misi Apollo milik NASA yang mendokumentasikan penerokaan angkasa lepas akan dilelong. Ia termasuk gambar pertama earthrise yang disaksikan manusia dan gambar langkah pertama manusia di Bulan, lapor laman berita Wion News pada 7 Mac 2022.


Earthrise adalah gambar Bumi dan bahagian permukaan Bulan yang diambil oleh angkasawan William Anders pada 1968 semasa misi Apollo 8. Beberapa koleksi gambar itu adalah milik arkib NASA sendiri dan tidak diketahui umum.


Salinan terpilih adalah yang pernah muncul di muka depan majalah-majalah di Amerika Syarikat (AS) untuk memberitahu mengenai kejayaan negara itu dalam penerokaan di Bulan.


Lelongan koleksi peribadi milik seorang warga asing yang dirahsiakan identitinya itu dijadualkan berlangsung pada 9 Mac 2022, dan akan menyaksikan 74 gambar itu dilelong secara individu.


NASA memutuskan untuk melelong gambar-gambar itu sempena ulang tahun ke-60 ucapan terkenal bekas Presiden AS, John F. Kennedy mengenai Bulan pada tahun ini.


"Kata-katanya yang berinspirasi pada 1962 bukan hanya mengenai misi untuk meletakkan manusia di Bulan, malah untuk merangsang semangat di mana segala-galanya mampu dicapai oleh manusia dengan peredaran zaman," kata NASA.


Lelongan itu juga termasuk gambar lawatan terakhir Kennedy ke NASA di Cape Canaveral pada 16 November 1963, hanya enam hari sebelum kematiannya yang tragis.


Rumah lelong Denmark, Bruun Rasmussen yang bertanggungjawab untuk acara itu berkata, koleks itu itu dijangka dapat menjana perolehan lebih daripada AS$2 juta (RM8.36 juta).


Gambar yang dikeluarkan oleh NASA menunjukkan seorang angkasawan memberi hormat kepada bendera AS di permukaan Bulan semasa misi bulan Apollo 11 pada 20 Julai 1969. - Foto Space Center Houston.

Khamis, 24 Februari 2022

Kampung 'ghaib' 30 tahun muncul kembali selepas kemarau hampir 2 bulan

Kampung 'ghaib' 30 tahun muncul kembali selepas kemarau hampir 2 bulan


Sebuah perkampungan di Aceredo di Sepanyol, yang sebelum ini 'hilang' selama 30 tahun kerana pembinaan empangan, kini dapat dilihat semula apabila paras air empangan turun mendadak selepas kemarau.


Menurut Mirror UK pada 19 Februari 2022, melaporkan kawasan kampung yang tenggelam itu dapat dilihat selepas kawasan berkenaan tidak dilanda hujan selama hampir dua bulan.


Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk melihat bumbung bangunan di permukaan empangan Lindoso di barat laut Sepanyol itu. Malah, penduduk tempatan dapat melihat kereta berkarat dan jalan lama.


Ketika musim kemarau, kampung lama itu akan muncul semula selepas ditenggelami 30 tahun lalu selepas pembinaan empangan hidroelektrik yang menyebabkan kampung itu tenggelam.


Bagaimanapun, kini adalah musim sejuk, tetapi hampir keseluruhan kawasan kampung itu dapat dilihat.


Kapasiti air empangan itu pada masa ini hanya 15 peratus. Ia sekali gus mendedahkan bangunan dan struktur di kampung itu dengan sebahagian bumbung runtuh, batu bata dan serpihan kayu bertaburan di sekeliling.


"Saya pernah pergi ke bar bersama rakan-rakan selepas pulang dari memancing, seluruh tempat ini dahulunya adalah ladang anggur, pokok oren dan semuanya hijau..ia cantik," kata Jos Luis Penn, yang kini berusia 72 tahun.


Penduduk tempatan berkata adalah luar biasa untuk melihat kampung yang tenggelam semasa musim sejuk yang basah. - Foto REUTERS.

Orang yang tinggal di kampung Aceredo telah diarah berpindah dari rumah mereka pada tahun 1992 untuk pembinaan empangan. - Foto AFP/Getty Images.

Salah satu rumah di perkampungan Aceredo yang telah ditenggelami air pada tahun 1992. - Foto REUTERS.
Lelaki Nigeria berjaya cipta dapur guna kuasa air

Lelaki Nigeria berjaya cipta dapur guna kuasa air


Seorang lelaki warga Nigeria yang menetap di kawasan Jekadafari, negeri Gombe dilaporkan mencipta dapur memasak tanpa gas yang boleh berfungsi dengan hanya menggunakan air.


Menurut laporan laman berita Legit pada 17 Februari 2022, Hadi Usman, 67, mencipta dapur yang tidak memerlukan gas atau minyak tanah dalam menghasilkan api untuk memasak.


Menurut media tempatan, juruteknik elektronik itu berjaya menghasilkan inovasi berkenaan kerana ingin mengurangkan kos penggunaan gas dan minyak tanah.


Sebuah video di laman YouTube memaparkan situasi ketika Hadi menunjukkan bagaimana dapur tanpa gas itu berjaya menghasilkan api.


Lelaki yang pernah memasang pemancar radio serta mengendalikan stesen radio komuniti suatu masa dulu itu mahu institusi-institusi berkaitan membantu mempatenkan hasil inovasinya.


"Pada 23 januari 1980, Gasakiya Ta Fi Kwabo, tabloid vernakular yang diterbitkan oleh Akhbar Nigeria melaporkan bagaimana saya memasang pemancar radio, dan mengendalikan stesen radio komuniti di metropolis Gombe," katanya.


Beliau juga mahu wujudkan kerjasama dalam memastikan ciptaan terbaharunya itu dihasilkan secara besar-besaran, dan berharap institusi berkaitan boleh menyokong ke arah mempatenkan projek ini untuk pengeluaran.


"Sekurang-kurangnya, ia dapat membantu mereka tanpa perlu membeli minyak tanah atau gas dan boleh memasak menggunakan air," katanya.


Sementara itu, hasil ciptaannya ini dipercayai telah menarik perhatian global dari Amerika Syarikat, Jerman dan negara lain untuk menyokong penciptaannya walaupun masih belum disahkan.


Dapur memasak itu menggunakan tekanan air untuk menghasilkan api. - Foto SensorSpot, PR Nigeria.