Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Jumaat, 5 April 2024

Cendawan termahal di dunia mencecah RM5,000 sekilogram

Cendawan termahal di dunia mencecah RM5,000 sekilogram


Cendawan matsutake Jepun adalah cendawan termahal di dunia, bernilai sehingga mencecah AS$500 (kira-kira RM2,373) setiap paun (kira-kira 0.4 kilogram), lapor laman berita Oddity Central pada 2 April 2024.


Ia menyaingi harga trufel dan dianggap sebagai satu daripada bahan masakan Jepun yang paling berharga.


Matsutake, atau cendawan mattake turut tumbuh di Semenanjung Korea, di China, dan juga di Amerika Syarikat, tetapi hanya di Jepun, ia banyak dicari untuk dikutip terutamanya di sekitar kawasan Kyoto, kerana harganya yang tinggi.


Walaupun matsutake yang diimport boleh berharga sekitar AS$50 (kira-kira RM237) setiap paun (kira-kira 0.4 kilogram), cendawan Jepun boleh berharga sehingga 10 kali ganda.


Untuk membantu pembeli Jepun membezakan antara matsutake yang diimport dan yang ditanam sendiri, Jepun mempunyai undang-undang yang mewajibkan cendawan yang diimport dicuci daripada kotoran sebelum dikomersialkan, manakala varieti domestik mempunyai rupa yang kasar dan kotor.


Cendawan matsutake Jepun sangat dihargai kerana mempunyai aroma yang kuat, bertekstur daging dan memberikan rasa yang enak.


Matsutake Jepun dihidangkan di restoran mewah di seluruh Jepun, dalam sup, dengan nasi, atau hanya dibakar di atas arang dan dihidangkan dengan garam.


Harganya yang tinggi dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Pertama disebabkan ia sudah semakin berkurangan. Sepanjang 70 tahun yang lalu, hasil tuaian tahunan menurun sebanyak 95 peratus, menjadikan ia makanan istimewa yang jarang ditemukan.


Selain itu, cendawan ini hanya dituai sekali setahun iaitu pada bulan September atau Oktober, ditambah pula ancaman cacing invasif yang memusnahkan habitat cendawan, menyumbang kepada harganya yang tinggi di pasaran.


Kurang daripada 1,000 tan matsutake ditemukan setiap tahun. Cendawan Matsutake tumbuh di atas pokok-pokok pain merah dan perlu dikutip dengan tangan.


Penanaman matsutake secara buatan setakat ini terbukti tidak berdaya maju, kerana ia mempunyai hubungan yang benar-benar simbiotik dengan pokok pain merah. - Sumber Oddity Central.


Tangkap layar daripada video Business Insider menunjukkan cendawan matsutake yang baru dikutip. - Foto Business Insider.

Sabtu, 23 Mac 2024

Doktor keluarkan belut hidup dari perut pesakit

Doktor keluarkan belut hidup dari perut pesakit


Sekumpulan doktor berjaya menyelamatkan seorang lelaki apabila mengeluarkan seekor belut hidup sepanjang 30 sentimeter (cm) dari perutnya, lapor laman berita Oddity Central pada 21 Mac 2024.


Pada 20 Mac lalu, seorang lelaki berusia 34 tahun dimasukkan ke Pusat Perubatan Daerah Hai Ha di Wilayah Quang Ninh, Vietnam selepas mengalami sakit perut yang teruk.


Selepas menjalani imbasan X-ray dan ultra bunyi, doktor berjaya mengesan 'benda asing' dalam perutnya.


Doktor memutuskan bahawa tindakan terbaik adalah menjalankan pembedahan, membuang objek yang mencurigakan, dan cuba mengurangkan kerosakan pada usus lelaki itu.


Selepas membuka perut pesakit, doktor terkejut apabila mendapati objek asing itu adalah belut hidup sepanjang 30 cm.


Mujurlah, selepas pembedahan itu pesakit dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.


Ketika ditanya bagaimana belut itu memasuki perutnya, lelaki itu tidak dapat memberikan jawapannya, tetapi doktor percaya bahawa haiwan itu masuk dari dubur ke kolon pesakit, menggigit usus dan masuk bahagian perut.


Bagaimanapun, perkara yang masih mengejutkan kakitangan hospital adalah bagaimana belut itu masih hidup dalam badan lelaki itu sehingga dibedah doktor. - Sumber Oddity Central.


Seekor belut berjaya dikeluarkan dari perut seorang lelaki di Vietnam. - Foto Oddity Central.

Sabtu, 3 Februari 2024

Lemon berusia 285 tahun berjaya dijual pada harga RM8,406

Lemon berusia 285 tahun berjaya dijual pada harga RM8,406


Sebiji lemon dipercayai berusia 285 tahun yang ditemui dalam sebuah kabinet antik, telah dilelong dengan harga 1,415 pound (RM8,406) di dalam acara lelongan di United Kingdom (UK), lapor portal Independent, semalam.


Brettells Auctions di Shropshire berkata, lemon yang ditemui secara tidak sengaja di dalam kabinet yang dibawa masuk ke London pada abad ke-19 di mana sebelum itu ia sedang diambil gambar untuk dijual.


Kabinet itu dibawa masuk oleh sebuah keluarga mendakwa ia milik bapa saudara mereka yang sudah meninggal dunia.


"Lemon itu ditemui di belakang laci ketika seorang pakar sedang mengambil gambar kabinet untuk dijual.


"Buah itu ditulis dengan mesej: "Diberikan Encik P Lu Franchini 4 November 1739 kepada Cik E Baxter"," kata Brettells Auctioneers.


Pusat lelong itu memutuskan untuk cuba menjual lemon berusia 285 tahun itu.


"Kami berpendapat ia akan menjadi seronok selepas meletak buah lemon ini dalam acara lelongan dengan anggaran harga 40 hingga 60 pound (RM240 hingga RM361)," kata pelelong, David Brettell.


Katanya, mereka terkejut atau tidak menyangka apabila ia berjaya menjualnya dengan harga 1,415 pound dalam acara lelongan itu.


Sementara itu, kabinet yang menyimpan buat lemon itu berjaya dijual kira-kira 32 pound (RM192). - Sumber Independent.


Lemon berusia 285 tahun yang ditemui dalam sebuah kabinet antik di UK, berjaya dijual kira-kira 1,415 pound dalam acara lelongan. - Foto Brettells Auctions.

Khamis, 18 Januari 2024

Penumpang terkurung dalam tandas pesawat sepanjang penerbangan

Penumpang terkurung dalam tandas pesawat sepanjang penerbangan


Seorang penumpang di India dilaporkan terperangkap di dalam tandas pesawat sepanjang tempoh penerbangannya, lapor portal berita Independent pada 17 Januari 2024.


Lelaki itu menaiki pesawat milik SpiceJet dalam penerbangan dari Mumbai ke Bengaluru pada hari Selasa. Dia pergi ke tandas sebaik sahaja selepas pesawat berlepas.


Selepas selesai menggunakan tandas, lelaki itu gagal membuka pintu dan meminta pertolongan kakitangan penerbangan untuk membuka kunci dari luar, namun usaha mereka gagal.


Kakitangan penerbangan itu dilaporkan cuba berkomunikasi dengan mangsa dengan menyelit nota di bawah pintu tandas.


Penumpang itu digesa 'tidak panik' selepas percubaan mereka untuk membuka kunci pintu gagal.


"Pesawat ini sedang bersedia untuk mendarat dalam beberapa minit, jadi sila tutup penutup commode dan duduk di atasnya, selamatkan diri anda," kata dalam nota itu.


Penumpang itu akhirnya dibebaskan selepas pesawat mendarat di lapangan terbang Bengaluru setelah menamatkan perjalanan selama satu jam 45 minit.


Syarikat penerbangan SpiceJet memohon maaf atas kejadian itu dan berkata, penumpang berkenaan akan mendapat bayaran balik tambangnya.


"Pada 16 Januari, malangnya seorang penumpang terperangkap di dalam tandas selama kira-kira sejam dalam penerbangan SpiceJet yang beroperasi dari Mumbai ke Bengaluru kerana kerosakan pada kunci pintu.


"Sepanjang perjalanan, anak kapal kami memberikan bantuan dan bimbingan kepada penumpang. Sebaik tiba, seorang jurutera membuka pintu tandas, dan penumpang menerima sokongan perubatan segera," kata kenyataan syarikat penerbangan itu.


Insiden itu berlaku pada masa penerbangan di India bergelut dengan beberapa insiden di tengah-tengah kelewatan dan pembatalan penerbangan.


Keadaan menjadi lebih teruk apabila kabus tebal yang dicetuskan oleh gelombang sejuk menyelubungi bahagian utara India, mengganggu penerbangan. - Sumber Independent.


BACA: Berang pesawat lewat, seorang penumpang lelaki tampar juruterbang.

Jumaat, 29 Disember 2023

Kasut sniker ditemui dalam tong sampah dilelong pada harga lebih RM200,000

Kasut sniker ditemui dalam tong sampah dilelong pada harga lebih RM200,000


Kasut sniker (sneakers) Air Jordan 3 berwarna emas yang direka oleh pengarah filem terkenal, Spike Lee, dijual pada harga AS$50,800 (kira-kira RM234,518), lapor laman berita CNN pada 24 Disember 2024.


Ia dijual dalam satu acara lelongan yang dikendalikan oleh rumah lelongan, Sotheby's di Amerika Syarikat, pada 18 Disember lepas.


Sebelum ini, portal UPI pada 13 Disember lalu melaporkan, nilai kasut itu dianggarkan lebih AS$10,000 (kira-kira lebih RM46,130).


Sotheby's berkata, kasut itu ditemukan pada April, tahun ini oleh penghuni tempat perlindungan gelandangan, Burnside Shelter, yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Portland Rescue Mission.



James Free, seorang bekas gelandangan yang merupakan sebahagian daripada program perlindungan jangka panjang organisasi, menemui kasut itu.


Ketika itu, James melihat barangan yang didermakan orang ramai di situ, sebelum menemukan kasut sniker itu di dalam tong derma.


Menurut Erin Holcomb, pengarah kakitangan organisasi berkata, dia melakukan carian di Google mendedahkan kasut itu kelihatan seperti sepasang Air Jordan 3 berwarna emas yang dipakai oleh pengarah Spike Lee semasa Anugerah Akademi 2019 apabila dia memenangi Oscar pertamanya.


"Jadi kami fikir, 'Wah, replika yang menakjubkan. Dalam kepala saya, saya fikir, 'mungkin kita boleh menjualnya di eBay dengan harga AS$100 sebagai replika," kata Holcomb.


Susulan itu, Tinker Hatfield iaitu pereka kasut Air Jordan 3, berkunjung ke tempat perlindungan untuk memeriksa kasut berkenaan.


Hatfield kemudian mengesahkan ia adalah sepasang Air Jordan 3 yang direka oleh Spike Lee. Pengarah itu pernah memakai kasut daripada jenis sama ketika menghadiri Anugerah Akademi pada 2019.


"Saya benar-benar terkejut kerana saya tidak akan pernah dalam sejuta tahun membayangkan bahawa kasut ini dimasukkan ke dalam tong derma kami. Tetapi jelas saya teruja dan kagum," kata Holcomb.


Bagaimanapun, kasut sniker yang ditemukan ini tidak pernah dipakai oleh Spike Lee. Hatfield meletakkan kasut itu dalam kotak khas dan bingkai kaca bagi memaparkan bukti reka bentuk kasut berkenaan.


Kasut itu kemudian dilelong oleh Sotheby's dengan 100 peratus daripada jualan disumbangkan Portland Rescue Mission. Sehingga kini, tidak pasti bagaimana dan siapa yang mendermakan kasut itu disitu. - Sumber CNN.


Kasut sniker Air Jordan 3 berwarna emas yang direka oleh pengarah filem terkenal, Spike Lee. - Foto Sotheby’s.

James Free memegang sepasang kasut emas Nike Air Jordan 3 di Portland Rescue Mission. - Foto AP.

Isnin, 4 Disember 2023

Api panaskan susu tak pernah padam berterusan menyala sejak 1949

Api panaskan susu tak pernah padam berterusan menyala sejak 1949


Sebuah kedai di bandar Jodhpur, India mendakwa bahawa api yang digunakan untuk memanaskan susu di premis itu telah menyala sejak 1949, lapor stesen penyiaran NDTV pada 2 Disember 2023.


Pemilik kedai, Vipul Nikub dengan bangga mengatakan bahawa nyalaan api yang digunakan untuk memanaskan susu tidak pernah padam sejak datuknya memulakan perniagaan tersebut.


"Datuk saya memulakan kedai susu ini pada 1949. Api berterusan menyala sejak 1949. Kedai ini beroperasi 22 hingga 24 jam setiap hari.


"Susu dipanaskan secara tradisional menggunakan arang dan kayu. Sudah hampir 75 tahun kedai ini beroperasi secara konsisten dan ia diuruskan secara turun-temurun.


"Saya generasi ketiga. Kedai susu terkenal, orang suka dan susu membekalkan nutrisi dan tenaga kepada pelanggan jadi kami berjaya menjalankan perniagaan," katanya.


Kedai-kedai susu di seluruh India menjadi kiosk makanan yang klasik. Ia biasanya terletak di tepi jalan yang sibuk dan menawarkan pelbagai jenis produk berasaskan susu yang memenuhi citarasa tempatan.


Selain minuman, kedai susu akan menawarkan pelbagai jenis gula-gula, dadih dan hidangan tenusu lain. Dalam setiap teguk dan suapan, makanan yang kaya dengan perisa itu mentakrifkan kecintaan masyarakat India terhadap produk berasaskan susu. - Sumber NDTV.


Nikub menunjukkan susu yang dipanaskan di atas api yang menyala sejak 1949. - Foto NDTV.

Sabtu, 11 November 2023

Nelayan tangkap ikan Sowa berjaya jual pada harga lebih RM1 juta

Nelayan tangkap ikan Sowa berjaya jual pada harga lebih RM1 juta


Seorang nelayan di bandar Karachi, Pakistan menjadi jutawan dalam sekelip mata selepas menangkap beberapa ekor ikan yang jarang ditemui dan mempunyai banyak khasiat dalam perubatan.


Portal NDTV pada 10 November 2023 melaporkan, Haji Baloch yang tinggal di perkampungan nelayan miskin, Ibrahim Hyderi telah menangkap ikan yang jarang ditemui bersama pekerjanya di Laut Arab pada Isnin lalu.


Ikan yang ditangkap oleh Baloch dikenali sebagai ikan emas atau 'Sowa' dalam dialek tempatan.


"Kami sedang memancing di perairan Karachi apabila kami terjumpa 'ikan emas' yang besar ini, dan ia adalah rezeki yang tidak terkira bagi kami," katanya.


Baloch berkata, dia akan berkongsi wang yang dikumpul daripada jualan itu dengan tujuh anak kapalnya.


"Keseluruhan hasil tangkapan ini dijual pada harga kira-kira 70 juta rupee (RM1.16 juta) di pelabuhan Karachi pada pagi Jumaat ketika nelayan itu melelong hasil tangkapan mereka," kata Mubarak Khan dari Forum Rakyat Nelayan Pakistan.


Sowa adalah sejenis ikan jarang ditemui dan dianggap mahal. Purata beratnya adalah antara 20 hingga 40 kilogram dan boleh membesar sepanjang 1.5 meter. Ia sangat popular di negara Asia Timur.


"Seekor ikan itu memperoleh kira-kira 7 juta rupee (kira-kira RM114,323) dalam lelongan," kata Baloch.


Bahan yang terdapat dalam perut ikan Sowa mempunyai khasiat perubatan dan penyembuhan yang hebat. Doktor juga menggunakan bahan seperti benang yang terdapat dalam badan ikan Sowa dalam beberapa prosedur pembedahan.


Lebih penting lagi, ikan Sowa juga mempunyai kepentingan budaya dan tradisional selain penggunaannya dalam ubat-ubatan tradisional dan masakan tempatan.


Ikan Sowa hanya datang berhampiran pantai semasa musim pembiakan. - Sumber NDTV.


Nelayan itu menjual hasil tangkapan mereka di pelabuhan kelmarin. - Foto Facebook.