Memaparkan catatan dengan label Purba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Purba. Papar semua catatan

Rabu, 6 April 2022

Ahli Arkeologi Sahkan Piasu Firaun Bukan Berasal Dari Bumi

Ahli Arkeologi Sahkan Piasu Firaun Bukan Berasal Dari Bumi


Pisau dengan gagang emas yang ditemui di makam Raja Tut yang pernah digunakan oleh firaun Mesir, telah mengejutkan ahli arkeologi kerana bahan yang digunakan bukan berasal dari Bumi. Salah satu kajian terbaru mengenai pisau tersebut menyatakan bahan yang digunakan berasal dari meteor, dan ditempa oleh tukang besi kuno di kota Anatolia yang kini menjadi Turki.


Manakala kajian lain menunjukkan asal usul bahan tersebut masih menjadi misteri, kerana ketika Raja Tutankhamun memerintah dari 1333 SM hingga 1323 SM, teknik peleburan besi masih belum ditemui. Ini bermakna logam adalah komoditi jarang ditemui dan berharga yang sering datang daripada meteor, lapor Lives Science pada 5 Mac 2022.


Dalam salah satu kajian terbaru yang diterbitkan pada 11 Februari 2022 dalam jurnal Meteoritics & Planetary Science, penyelidik menerangkan bagaimana pelekat yang digunakan pada gagang emas pisau itu berkemungkinan diperbuat daripada plaster kapur.


"Plaster kapur ini tidak digunakan secara meluas di Mesir pada masa itu," tulis penyelidik. Selain itu, catatan sejarah yang ditemui di tapak Amarna, di Mesir, menunjukkan bahawa Tushratta, raja Mitanni di Anatolia, menghadiahkan sekurang-kurangnya satu pisau besi kepada Amenhotep III, yang memerintah dari kira-kira 1390 SM hingga 1352 SM.


Pasukan itu juga mendapati bahawa bilah dibuat dengan penempaan panas pada suhu rendah kurang daripada 950  darjah Celsius, kerana mineral yang dipanggil troilit dan pembentukan kristal besi-nikel masih kelihatan pada pisau, tulis penyelidik dalam artikel jurnal tersebut.


Sementara itu, pengkaji lain yang catatannya diterbitkan dalam buku bertajuk 'Besi dari Makam Tutankhamun' memberi pandangan berbeza. Mereka berpendapat, pada masa ini mustahil untuk membuat kesimpulan berhubung asal usul pisau Firaun.


Penulis kajian menyatakan bahawa batu kristal dari gagang bilah adalah serupa dengan artifak yang digunakan secara meluas di wilayah Aegean. Manakala bentuk gagangnya menunjukkan pisau ini bukan buatan Mesir.


Live Science menghubungi beberapa ahli arkeologi untuk membongkar misteri pisau Firaun. Albert Jambon, seorang penyelidik di Universiti Sorbonne di Perancis, tidak percaya dengan idea bahawa pisau itu dibuat di Anatolia.


Jambon menafikan dakwaan bahawa plaster kapur digunakan sebagai pelekat. Beliau menyatakan bahawa pada tahun 1920-an, serbuk batu kapur telah digunakan untuk membersihkan beberapa artifak Tutankhamun.


Ujian kimia yang digunakan dalam kajian itu mengesan larutan pembersih bukan pelekat. Di samping itu, pemegang dan bilah adalah dua bahagian yang berasingan dan boleh dihasilkan di tempat yang berbeza, kata Jambon kepada Live Science yang dihantarnya melalui e-mel.


Sementara itu, Marian Feldman, W.H. Collins Vickers, pengerusi arkeologi di Universiti Johns Hopkins, berkata jika pisau itu dihasilkan di Anatolia, ia akan menjadi pengesahan penting.


"Ia boleh menguatkan tanggapan bahawa beberapa objek mewah yang ditemui di makam Tutankhamen adalah hadiah diplomatik daripada kerajaan purba lain," tulis Feldman dalam e-melnya. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkan penemuan itu, tambah Feldman. - Sumber Lives Science.


Pisau dengan gagang emas yang ditemui di makam Raja Tut mengejutkan ahli arkeologi kerana bahan yang digunakan bukan berasal dari Bumi. - Foto DOK.

Ahad, 20 Mac 2022

Fosil ikan paus purba berusia 36 juta tahun kini dipamerkan kepada umum

Fosil ikan paus purba berusia 36 juta tahun kini dipamerkan kepada umum


Ahli paleontologi pada Khamis mendedahkan sebahagian fosil ikan paus purba yang dianggarkan mendiami lautan sejak 36 juta lalu, selepas ia ditemukan di kawasan gurun Peru pada tahun lalu.


Menurut akhbar New Straits Times pada 18 Mac 2022 melaporkan, Ahli paleontologi, Mario Urbina, ketua pasukan yang menemui rangka itu berkata, fosil itu terdiri daripada set lengkap tengkorak basilosaurus yang hidup 36 juta tahun lalu.


"Kami telah mempersembahkan basilosaurus Peru yang baharu, ia adalah tengkorak lengkap ikan paus kuno yang hidup 36 juta tahun lalu," katanya kepada AFP.


Jelas beliau, fosil paus berkenaan ditemukan pada penghujung tahun lalu di Gurun Ocucaje, kira-kira 350 kilometer ke selatan Lima. Kawasan gurun tersebut merupakan lautan cetek yang terbentuk jutaan tahun lalu.



Fosil yang digelar 'Ocucaje Predator' itu mempunyai panjang berukuran 17 meter dan dipercayai menjadikan tuna, jerung dan ikan sardin sebagai diet utamanya.


"Penemuan ini amat penting kerana tiada spesimen serupa dengannya ditemukan di tempat lain di seluruh dunia," kata Urbina yang juga merupakan pengkaji di Universiti Kebangsaan San Marcos di Lima.


Pasukannya menjelaskan, fosil basilosaurus berbeza berbanding spesies pasu purba yang lain berdasarkan saiz, gigi dan rantaian makanannya.


Baca Juga: Fosil Ikan Paus ditemukan di Tengah Padang Pasir.


Rabu, 16 Mac 2022

Patung ukiran Firaun Amenhotep III ditemui di bangunan pemakaman 'Kuil Berjuta-juta Tahun'

Patung ukiran Firaun Amenhotep III ditemui di bangunan pemakaman 'Kuil Berjuta-juta Tahun'


Baru-baru ini, sepasang batu kapur sphinx raksasa telah ditemui oleh ahli-ahli arkeologi yang menggali kuil Firaun Amenhotep III, yang memerintah Mesir kuno kira-kira 3,300 tahun yang lalu dan merupakan datuk kepada Firaun Tutankhamun.


Patung-patung itu mempunyai ukiran firaun tersebut yang mempunyai hiasan kepala berbentuk cerpelai, janggut dan rantai leher, lapor Daily Mail pada 21 Januari 2022.


Pasukan arkeologi Mesir-Jerman yang diketuai oleh Dr Horig Sorosian menemui patung-patung raksasa yang tenggelam di dalam air, di bangunan pemakaman yang dikenal sebagai 'Kuil Berjuta-juta Tahun,' menurut Kementerian Pelancongan dan Barang Antik Mesir.


Kuil itu berada di Luxor, Mesir yang terkenal dengan penemuan khazanah Mesir tertua dan paling purba, selain menjadi rumah kepada Lembah Raja-raja.


Firaun Amenhotep III ialah datuk kepada Firaun Tutankhamun yang terkenal dan memerintah pada abad ke-14 sebelum Masihi (SM) di Mesir, dan memimpin sebuah kerajaan besar yang terbentang dari Nubia di selatan sehingga Syria di utara.



Pemerintah Dinasti ke-18 itu menjadi raja ketika berusia kira-kira 12 tahun, dengan ibunya sebagai bupati dan dipercayai memerintah Mesir antara 1386 dan 1349 SM.


Firaun Amenhotep III meninggal dunia pada tahun 1,354 sebelum Masihi dan digantikan oleh anaknya, Firaun Amenhotep IV yang dikenali sebagai Firaun Akhenaten, yang merupakan bapa kepada Raja Tutankhamun.


Pada April 2021, ahli arkeologi mengumumkan penemuan sebuah bandar berusia 3,500 tahun di Luxor, yang mereka katakan sebagai bandar purba terbesar yang pernah ditemui di Mesir.


Ia dibina oleh Amenhotep III dan kemudiannya digunakan oleh Raja Tutankhamun. Luxor, sebuah bandar berpenduduk kira-kira 500,000 orang di tebing Sungai Nil di selatan Mesir. Kini kawasan itu dijadikan sebuah muzium terbuka.


Pasukan arkeologi Mesir-Jerman, yang diketuai oleh Horig Sorosian, menemui patung-patung besar itu tenggelam dalam air di bangunan pengebumian, yang dikenali sebagai 'Temple of Millions of Years. - Foto Getty Images.


Patung Firaun Amenhotep III ditemui di Luxor, Mesir baru-baru ini. - Foto Ministry of Tourism and Antiquities.

Jumaat, 11 Mac 2022

Mumia paling awal di dunia berusia 8,000 ditemui di Portugal

Mumia paling awal di dunia berusia 8,000 ditemui di Portugal


Satu kajian baharu mendakwa mayat manusia berusia 8,000 tahun yang ditemukan di Portugal, boleh memberikan bukti mumifikasi paling awal di dunia, lapor Daily Mail pada 7 Mac 2022.


Beberapa penyelidik telah mengkaji gambar-gambar sisa rangka 13 manusia yang digali dalam sebuah kubur pada awal tahun 1960-an di Lembah Sado, Portugal.


Kumpulan penyelidik itu dapat membina semula posisi asal ketika mayat dikebumikan, sekali gus memberi 'peluang unik' untuk mengetahui lebih lanjut mengenai upacara pengebumian mayat pada 8,000 tahun lalu.      


Analisis menunjukkan beberapa mayat dikebumikan dalam kaki dibengkokkan ke lutut dan diletakkan di hadapan dada. Pakar mendedahkan sesetengah mayat mungkin diawet sebelum dikebumikan bagi mengelak 'menjadi busuk'.


Setakat ini, mumia Chinchorro yang berusia lebih 7,000 tahun di utara Chile merupakan mumia tertua di dunia yang diawet oleh manusia.



Sementara itu, satu kajian sebelum ini mendedahkan orang Mesir purba melakukan pengawetan mumia sehingga 5,700 tahun lalu.


Kajian baharu ini menunjukkan kaedah pengawetan mumia paling awal diketahui berlaku di Lembah Sado. Dalam erti kata lain, mayat di Lembah Sado dianggap sebagai mayat manusia pertama yang diketahui sudah diawet.


Walau bagaimanapun, tisu lembut tidak lagi dipelihara dan mayat tersebut sepenuhnya hanya rangka, bermakna mayat Lembah Sado tidak lagi dalam keadaan mumia. Secara teknikal, mumia ialah mayat manusia atau haiwan yang tisu lembut dan organnya telah dipelihara.


Kajian baru itu telah dijalankan oleh ahli arkeologi di Universiti Uppsala dan Universiti Linnaeus di Sweden dan Universiti Lisbon di Portugal.


Digambarkan, pemandangan zaman moden dari tapak arkeologi Arapouco ke arah Lembah Sado, Portugal. - Foto Universiti Cambridge.


Dua rangka manusia yang ditemukan di Lembah Sado di Portugal. - Foto Universiti Cambridge.

Sabtu, 22 Januari 2022

Bakul berisi buah-buahan berusia 2,400 tahun ditemukan dalam runtuhan kota Thonis-Heracleion

Bakul berisi buah-buahan berusia 2,400 tahun ditemukan dalam runtuhan kota Thonis-Heracleion


Sebuah bakul anyaman berisi buah-buahan yang masih kelihatan elok sejak abad keempat sebelum Masihi ditemukan dalam runtuhan kota Thonis-Heracleion di pesisir pantai Mesir, lapor The Guardian pada 2 Ogos 2021 lalu.


Turut ditemukan adalah ratusan artifak seramik kuno dan khazanah gangsa. Artifak dan barangan itu tidak tersentuh sejak kota itu hilang di bawah gelombang air semasa abad kedua sebelum Masihi.


Kemudian, ia ditengggelamkan lebih jauh pada abad kelapan sebelum Masihi akibat bencana alam yang dahsyat termasuk gempa bumi dan ombak pasang surut.


Ahli Arkeologi Marin Perancis, Franck Goddio terkejut dengan penemuan baharu itu dan menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa kerana belum pernah disentuh sejak lebih 2,000 tahun.


Katanya, bakul bersejarah itu masih dipenuhi buah doum dan anggur. Bakul itu berkemungkinan diletakkan dalam bilik bawah tanah sehingga menyebabkan ia mampu bertahan sehingga hari ini.



Thonis-Heracleion merupakan pelabuhan terbesar Mesir sejak berabad-abad di kepulauan Mediterranean sebelum Alexander The Great mendirikan Alexandria pada 331 sebelum Masihi.


Selepas itu, kewujudan kota Thonis-Heracleion telah dilupakan sehingga penemuan semula oleh ahli arkeologi marin Perancis Franck Goddio dua dekad yang lalu, dalam salah satu penemuan arkeologi yang paling hebat sejak kebelakangan ini.


BACA: Kota Thonis Hanya Dianggap Mitos Sebelum Ini Ditemui Terkubur Dasar Laut Mediterranean, Mesir.


Prasasti ini mendedahkan bahawa Thonis (Mesir) dan Heracleion (Greek) adalah bandar yang sama. - Foto Franck Goddio/Hilti Foundation.

Bakul berisi buah-buahan di bawa ke permukaan oleh sepasukan arkeologi. - Foto The Guardian.

Isnin, 27 Disember 2021

Fosil lipan sebesar kereta yang hidup sejak 326 juta tahun lalu ditemukan di Newcastle

Fosil lipan sebesar kereta yang hidup sejak 326 juta tahun lalu ditemukan di Newcastle


Sebuah fosil lipan bersaiz gergasi yang dipercayai kehidupannya bermula sejak 326 juta tahun lalu, ditemukan di Pantai Howick di Northumberland, kira-kira 64 kilometer dari Newcastle, lapor akhbar Daily Mail pada 21 Disember 2021.


Lipan sebesar 2.7 meter dari kepala ke kaki yang ditemukan itu sekali gus merekodkan sebagai penemuan haiwan invertebrata terbesar sepanjang zaman - menyingkirkan pemegang rekod terdahulu, iaitu kala jengking laut purba.


Fosil Arthropleura atau lipan itu ditemukan kali pertama pada Januari 2018, selepas bongkah batu pasir jatuh dari tebing di Teluk Howick ke kawasan pantai. Spesimen itu hanya kali ketiga yang pernah ditemukan dan rekod sebelum ini digali di Jerman.



Pakar sedimentologi, Neil Davies dari Universiti Cambridge berkata, penemuan itu adalah satu kebetulan kerana cara batu itu terjatuh dan retak mendedahkan fosil kelihatan sempurna.


"Ia adalah satu kebetulan, batu yang retak itu terjatuh dan mendedahkan fosil dengan sempurna, salah seorang bekas pelajar PhD kami terlihat fosil itu ketika berjalan di pantai tersebut," katanya.


Fosil itu diekstrak dari batu pada Mei 2018, selepas pasukan itu mendapat kebenaran daripada Natural England dan pemilik tanah, Howick Estate.


"Ia adalah penemuan yang sangat menarik, tetapi fosilnya sangat besar sehingga kami mengambil masa mendapatkannya, dan empat orang diperlukan untuk membawanya ke permukaan tebing," tambah Davies.


Menurut Davies, penemuan fosil kaki gergasi itu jarang berlaku kerana sebaik sahaja haiwan itu mati, badannya akan kelihatan tidak jelas. Kemungkinan besar fosil itu adalah karapas berkulit yang dibuang haiwan itu semasa ia membesar.


"Kami belum menemukan kepala fosil. Jadi, adalah sukar untuk mengetahui segala-galanya tentang lipan tersebut," katanya.


Katanya selepas lama difikirkan, Arthropleura dapat mencapai saiz yang besar kerana gabungan ketiadaan pemangsa berasaskan darat, dan paras oksigen yang lebih tinggi semasa tempoh zaman Karbon dan Permian.


"Walaupun kita tidak dapat mengetahui dengan pasti apa yang mereka makan, terdapat banyak kacang dan biji berkhasiat yang terdapat dalam sampah daun pada zaman itu," katanya.



Davies dan rakan sekerjanya berpendapat, Arthropleura mungkin juga menjadi pemangsa yang memakan invertebrata lain dan juga vertebrata kecil seperti amfibia.


Katanya, Arthropleura hidup selama kira-kira 45 juta tahun sebelum pupus semasa Permian. Walaupun punca kematian mereka tidak jelas, ia mungkin hasil daripada peralihan kepada iklim yang lebih kering atau bersaing dengan reptilia yang baru muncul.


Zaman Karbon ialah zaman dan sistem geologi yang bermula dari penghujung zaman Devon, kira-kira 359.2 juta tahun lalu, hingga permulaan zaman Permian. Permian ialah tempoh yang dianggap sebagai pembahagian skala jisim geologi.


Ini adalah tempoh yang bermula kira-kira 299 juta tahun dan berakhir 251 juta yang lalu. Seperti dalam kebanyakan tempoh geologi yang telah berlaku di planet ini, strata ialah tempoh yang menentukan permulaan dan akhir tempoh yang dikenal pasti dengan baik.


Fosil lipan gergasi ditemukan di Pantai Howick.- Foto Neil Davies.

Selasa, 16 November 2021

Ahli Arkeologi Jumpa Katil Zaman Purba Yang 'Unik' Boleh Dilaras Di Pompeii

Ahli Arkeologi Jumpa Katil Zaman Purba Yang 'Unik' Boleh Dilaras Di Pompeii


Sekumpulan ahli arkeologi yang menggali sebuah vila di tengah-tengah runtuhan letusan gunung berapi 79 Masihi, yang memusnahkan bandar purba itu telah menemukan sebuah bilik sempit di bandar Pompeii, Itali, lapor The Telegraph pada 6 November 2021.


Proses penggalian vila yang ditimbus lahar letusan gunung berapi bersejarah itu menemukan sebuah asrama dan bilik simpanan sempit berserta katil kayu 'unik' yang boleh dilaras.


The Telegraph menyamakan penemuan purba itu sebagai 'model Ikea untuk dunia purba' kerana papan kayu boleh laras yang boleh diubah bergantung kepada saiz individu yang tidur di atas katil.


Katil itu mempunyai ukuran hampir 1.8 meter dan 1.2 meter sekali gus menunjukkan rumah itu didiami oleh sebuah keluarga dengan seorang kanak-kanak.


Menteri Kebudayaan Itali, Dario Franceschini berkata, penemuan itu adalah penting bagi meningkatkan pengetahuan tentang kehidupan seharian penduduk Pompeii.



Bilik itu ditemukan di sebuah vila di pinggir bandar Pompeii di Civita Giuliana yang hanya beberapa langkah dari tempat ahli arkeologi menemukan kereta mayat yang masih terpelihara.


Ruang itu hanya mempunyai sebuah tingkap tinggi dan tidak mempunyai sebarang perhiasan dinding serta mengandungi tiga katil yang diperbuat daripada kayu.


Pengarah Tapak Arkeologi Pompeii, Gabriel Zuchtriegel berkata, penemuan berkenaan memberi bayangan golongan hamba yang bekerja di kawasan itu tidur di bilik tersebut pada waktu malam.


Ahli arkeologi juga telah menemui sisa rangka milik dua orang lelaki, dipercayai seorang hamba dan tuannya, yang terkorban akibat terkena abu gunung berapi ketika cuba menyelamatkan diri.


Penemuan tiga katil di sebuah vila di bandar Civita Giuliana, Pompeii. - Foto AF.

Penemuan tiga katil di sebuah vila di bandar Civita Giuliana, Pompeii. - Foto AF.