Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan

Jumaat, 6 Januari 2023

Disangka mati, mangsa kemalangan 6 hari terbaring di tepi jalan tanpa sebarang pertolongan

Disangka mati, mangsa kemalangan 6 hari terbaring di tepi jalan tanpa sebarang pertolongan


Seorang lelaki yang cedera dalam kemalangan motosikal terselamat meskipun selepas enam hari terbaring di tepi sebatang jalan tanpa sebarang pertolongan, lapor laman berita Thaiger pada 4 Januari 2023.


Dalam kejadian itu di Udon Thani, rantau Isaan, Withawat Nanthapetch pada awalnya dilaporkan hilang pada 29 Disember tahun lalu selepas pergi ke sebuah bar bersama rakan-rakannya.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) bar tersebut menunjukkan lelaki berusia 22 tahun itu berjalan keluar dari premis berkenaan sekitar pukul 1.44 pagi (waktu tempatan) sebelum dilaporkan hilang.


Ahli keluarga Withawat kemudian mencari lelaki itu selama empat hari, namun gagal mengesannya. Rakan-rakan mangsa turut memuat naik hantaran di media sosial meminta orang ramai memberikan maklumat sekiranya mereka pernah melihat lelaki itu.


Kehilangan misteri Withawat membuatkan ahli keluarga dan rakan-rakannya percaya dia telah meninggal dunia, namun mereka terus mencari lelaki berkenaan untuk membawa pulang ‘mayatnya’ ke rumah.


Bagaimanapun, nasib menyebelahi Withawat apabila bapa saudaranya, Wanna Kamrin menemui motosikal milik lelaki itu di tepi Jalan Udon-Nong Bua Lamphu dekat Lapangan Terbang Udon Thani.


Wanna yang pada asalnya menyangkakan anak saudaranya itu telah meninggal dunia, terkejut apabila menemui Withawat dalam keadaan masih bernyawa dan tersembunyi di sebalik rumput panjang di tepi jalan.


Selepas polis dan pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian, mereka mengesahkan Withawat masih hidup meskipun dia mengalami luka dan kesan gigitan serangga di seluruh badannya. Dia kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.


Ibu Withawat menangis ketika dia bertemu semula dengan anaknya. Dia memberitahu media bahawa dia sangat gembira anak lelakinya bertahan dalam ujian itu. Dia menambah bahawa penemuan anaknya merupakan hadiah terbaik sempena Tahun Baharu. - Sumber The Thaiger.


Withawat ditemui di sebalik rumput panjang dan dahan pokok. - Foto Facebook.

Selasa, 3 Januari 2023

Penduduk panik harimau bintang mengamuk dalam kampung cederakan beberapa orang

Penduduk panik harimau bintang mengamuk dalam kampung cederakan beberapa orang


Seekor harimau bintang mengamuk di sebuah perkampungan kecil di India dan mencederakan sekurang-kurangnya 15 orang ketika mencari makanan, lapor akhbar Daily Star pada 30 Disember 2022.


Haiwan itu berkeliaran di perkampungan dalam negeri Assam, timur laut India Isnin lalu dengan menyerang 10 penduduk di Institut Penyelidikan Hutan Hujan di Chenijan.


Menurut seorang lelaki, Ranjit Konwar dari institut itu memberitahu media tempatan berkata haiwan itu juga menyerang beberapa kakitangan pekerja kerana kelaparan.


"Harimau bintang itu menyerang dua pegawai hutan pada waktu pagi. Haiwan itu menjadi sangat agresif dan kami telah meletakkan perangkap di dalam kampus untuk menangkapnya," jelasnya.



Semua usaha untuk menangkap harimau bintang itu tidak berjaya dan rakaman video yang diambil oleh penduduk tempatan menunjukkan kawasan itu menjadi huru-hara.


Satu lagi rakaman video menunjukkan haiwan itu melompat ke atas pintu pagar tinggi dan merempuh sebuah kenderaan sebelum berlari ke arah lain.


Seorang jurucakap berkata: "Kami sentiasa berjaga-jaga dan memantau keadaan dalam usaha kami untuk menenangkan harimau bintang.


"Akhirnya, selepas berusaha tanpa henti, pasukan kami berjaya mengesan harimau bintang itu dan menenangkannya dengan tembakan ubat pelali sebanyak dua kali, pertama di kawasan lapang, dan kemudian di dalam kawasan kediaman kampus institut itu sekitar jam 9.30 pagi."


Antara yang cedera ialah dua kanak-kanak dan seorang wanita, lapor Times of India. - Sumber Daily Star.


Seekor harimau bintang melompat ke arah sebuah kenderaan di sebuah kampung kecil di negeri Assam. - Foto ANI News.

Khamis, 29 Disember 2022

Lelaki beristeri 12, mempunyai 102 anak 'serik' tambah cahaya mata kerana berhadapan masalah ekonomi

Lelaki beristeri 12, mempunyai 102 anak 'serik' tambah cahaya mata kerana berhadapan masalah ekonomi


Seorang lelaki di Uganda yang mempunyai 102 orang anak bertekad untuk tidak lagi mendapat cahaya mata kerana dia sedang bergelut untuk mendidik anak-anaknya yang semakin membesar, lapor akhbar Mirror UK pada 27 Disember 2022.


Lelaki tersebut, Musa Hasahya, 67, yang mempunyai 12 isteri kini mengarahkan mereka untuk mengambil pil perancang keluarga.


"Saya tidak boleh bertolak ansur lagi untuk (isteri-isterinya) melahirkan anak kerana sumber yang terhad. Atas dasar itu, saya telah menasihati semua isteri saya untuk membuat perancangan keluarga.


"Saya juga tidak menggalakkan orang ramai yang ingin berkahwin lebih daripada empat isteri supaya tidak berbuat demikian kerana situasi (ekonomi) yang tidak baik," katanya.


Musa yang juga mempunyai 568 cucu, mempunyai rumah 12 bilik di Bugisa. Dia berkata, walaupun boleh membezakan anak-anak dan cucu-cucunya, dia tidak mengenali semua mereka dengan panggilan nama.



Musa berkahwin dengan isteri pertamanya, Hanifa pada tahun 1971 ketika usia 16 tahun selepas berhenti sekolah. Dia menjadi bapa buat kali pertama dua tahun kemudian apabila isterinya melahirkan seorang anak perempuan.


Sebagai pengerusi kampung dan ahli perniagaan, Musa berkata, dia memutuskan untuk menambah bilangan keluarga kerana mempunyai wang dan tanah.


"Oleh kerana saya memperoleh sesuatu, saya memutuskan untuk mengembangkan keluarga saya dengan mengahwini lebih ramai wanita.


"Saya memastikan bahawa cangkul disediakan untuk setiap mereka untuk mengusahakan tanah dan menghasilkan makanan yang mencukupi untuk menyara keluarga kerana tanahnya subur," ujarnya.


Tetapi selepas berdekad-dekad kelahiran dan perkahwinan, Musa kini meminta bantuan kerajaan kerana dia sedang bergelut untuk membiayai pendidikan anak-anaknya.


Bercakap kepada The Sun, petani itu berkata: "Pendapatan saya semakin rendah sejak beberapa tahun berikutan kerana peningkatan kos sara hidup dan keluarga saya semakin besar." - Sumber Mirror UK.


Musa mempunyai 568 cucu selain 102 anak dan tinggal di Bugisa, Uganda. - Foto Henry Wasswa/Avalon.

Rabu, 28 Disember 2022

Korea Selatan rekod kes pertama jangkitan 'amoeba pemakan otak'

Korea Selatan rekod kes pertama jangkitan 'amoeba pemakan otak'


Korea Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri yang biasanya dirujuk sebagai 'amoeba pemakan otak', menurut pihak berkuasa kesihatan pada Isnin 26 Disember 2022.


Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan kematian warga tempatan berusia lingkungan 50-an selepas mangsa kembali dari sebuah negara Asia Tenggara pada 10 Disember lalu, selepas menetap selama empat bulan di negara terbabit.


Lelaki itu dipercayai meninggal dunia selepas dijangkiti Naegleria fowleri, yang merosakkan otak, dimasukkan ke hospital sehari selepas kepulangannya.


"Dia dimasukkan ke hospital pada keesokan harinya dan meninggal dunia pada Rabu lalu. Kami telah melakukan ujian genetik ke atas tiga jenis patogen yang menyebabkan Naegleria fowleri untuk mengesahkan punca kematiannya.


"Keputusan ujian itu menunjukkan gen dalam tubuh lelaki itu adalah 99.6 peratus sama dengan yang ditemui pada pesakit meningitis di luar negara," jelas KDCA.


Naegleria fowleri ialah amoeba atau organisma sel tunggal yang hidup, biasa ditemui di tasik air tawar yang hangat, sungai, terusan dan kolam di seluruh dunia. Amoeba disedut melalui hidung, bergerak ke otak dan memusnahkan tisu otak.


Antara simptom awal termasuk sakit kepala yang teruk, demam, loya atau muntah dan tempoh inkubasi Naegleria fowleri biasanya dua hingga tiga hari atau boleh mencecah sehingga 15 hari.


Dalam pada itu, KDCA memaklumkan, kemungkinan penularan Naegleria fowleri daripada individu kepada individu lain adalah rendah, tetapi menasihatkan penduduk tempatan untuk mengelakkan diri daripada berenang di kawasan di mana penyakit itu sudah merebak.


Sebanyak 381 kes Naegleria fowleri dilaporkan di seluruh dunia setakat 2018 termasuk di Amerika Syarikat (AS), India, Thailand, China dan Jepun.


Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di AS, sebanyak 154 kes jangkitan 'amoeba pemakan otak' dilaporkan dari 1962 hingga 2021 dan hanya empat pesakit terselamat dengan kadar kematian lebih 97 peratus.


Keputusan ujian itu menunjukkan gen dalam tubuh lelaki itu adalah 99.6 peratus sama dengan yang ditemui pada pesakit meningitis di luar negara. - Foto KDCA.

Isnin, 19 Disember 2022

Penjaga gol, Martinez membuat isyarat lucah cemar malam gemilang Argentina

Penjaga gol, Martinez membuat isyarat lucah cemar malam gemilang Argentina


Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez bukan sahaja mencuri tumpuan ketika perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 menentang Perancis semalam dengan aksi tangkasnya menepis percubaan berbahaya Les Blues, namun turut mencetuskan kontroversi dengan menerusi gaya sambutannya ketika dikalungkan pingat juara selepas tamat perlawanan.


Martinez, 30 tahun yang meraih anugerah Sarung Tangan Emas selepas dihadiahkan trofi untuk penjaga gol terbaik Piala Dunia, membuat mimik muka kelakar sambil meletakkan trofi itu di celah kangkangnya sejurus menerima anugerah berkenaan.


Tindakannya itu mengejutkan peminat yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia apabila dia membuat isyarat lucah selepas menerima trofi tersebut.


Argentina melakarkan kemenangan ke atas Perancis menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 sehingga masa tambahan tamat.



Martinez bertindak cemerlang dengan menyelamatkan percubaan di saat-saat akhir masa tambahan untuk membawa perlawanan ke penentuan penalti.


Selepas perlawanan dia dihadiahkan Sarung Tangan Emas, trofi yang diberikan kepada penjaga gol dengan rekod bersih terbanyak.


Dia kemudiannya memegang anugerah itu di pangkal pahanya dan membuat isyarat lucah semasa kembali menyertai rakan pasukan.


Namun tindakan Martinez ini menimbulkan rasa kurang senang dikalangan peminat sukan dunia.


"Dia tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang bodoh untuk beberapa saat. Ia tidak matang. Bayangkan melakukan ini di hadapan dua bilion orang!!" komen salah seorang netizen di media sosial.


Martinez membuat isyarat lucah dengan trofi Sarung Tangan Emas. - Foto Daily Mail.

Khamis, 15 Disember 2022

Doktor temui cacing 'menari' dalam testis seorang lelaki

Doktor temui cacing 'menari' dalam testis seorang lelaki


Seorang lelaki berusia 26 tahun di India menimbulkan kekecohan di Internet selepas buah zakar kanannya bengkak akibat dimasuki cacing, lapor akhbar New York Post pada 13 Disember 2022.


Satu rakaman memaparkan haiwan parasit itu 'menari' di bahagian kemaluan lelaki itu tular di media sosial.


"Daripada keputusan ujian ultrasound, struktur bergerak dapat dilihat dalam saluran limfa (saluran nipis yang mengangkut cecair dan sel darah merah dalam skrotum)," tulis doktor dalam satu kajian kes mengenai penemuan cacing itu.


Pesakit itu dilaporkan kepada Hospital Max Super Specialty di New Delhi selepas mengalami 'sakit dan bengkak pada skrotum serta deman selama sebulan, jelas kajian itu yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.


Lelaki itu didiagnosis mengalami filariasis limfa yang biasanya dikenali sebagai elephantiasis. Ia berlaku akibat gigitan nyamuk yang menyebarkan cacing mikroskopik, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Pesakit itu bernasib baik kerana tindakan doktor yang memeriksa testisnya lebih awal. Cacing itu berjaya ditangani sepenuhnya selepas pesakit diberikan ubat anti parasit.


Dalam kes elephantiasis yang lebih serius pada tahun 2018, doktor di India telah mengeluarkan ketulan seberat 13 kilogram daripada kaki seorang lelaki yang menderita penyakit itu. - Sumber New York Post.


Lelaki itu disahkan mengalami elephantiasis atau penyakit kaki gajah. - Foto New England Journal of Medicine.

Isnin, 12 Disember 2022

Perompak cedera parah silap langkah samun kedai emas milik juara menembak

Perompak cedera parah silap langkah samun kedai emas milik juara menembak


Sekumpulan empat perompak bersenjata cuba merompak sebuah kedai emas di daerah Mueang, wilayah Tak di utara Thailand, namun digagalkan oleh pemilik kedai yang merupakan seorang juara pertandingan menembak, lapor laman berita Thaiger pada 11 Disember 2022.


Empat perompak itu telah memecah masuk kedai emas yaowarat sekitar pukul 12.55 tengah hari (waktu tempatan). Kejadian itu berjaya dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV). 


Ketika salah seorang perompak cuba memotong palang keluli, pemilik kedai, Phisit Raphitpan, 41, melepaskan empat das tembakan ke arah mereka.


Perompak-perompak itu bertempiaran melarikan diri dengan tangan kosong, manakala salah seorang daripada mereka tergelincir pada kaca yang pecah.



Phisit melepaskan empat das tembakan lagi dan mengenai seorang perompak ketika suspek cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal. Polis menemui lelaki itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah di luar kedai emas tersebut.


Lelaki itu cedera parah dan dibawa ke Hospital Somdet Prachao Taksin Maharat untuk menerima rawatan, sebelum dipindahkan ke hospital di wilayah Phitsanulok. 


Seorang lagi perompak melarikan diri dengan berjalan kaki. Dia ditahan di sebuah lorong berhampiran kedai itu oleh anggota dari Balai Polis Mueang Tak.


Dua lagi perompak berjaya melarikan diri melalui daerah Wang Chao dan mungkin melarikan diri ke Myanmar. Polis berpendapat mungkin mereka menyeberang melalui kawasan hutan ke daerah Phop Phra, di sepanjang sempadan Burma.


Menurut polis, dua lelaki yang cedera dan ditahan itu pernah merompak sebuah kedai emas di daerah Phop Phra pada 12 Februari lalu.


Askar Tentera Diraja Thailand, Mejar Kitti Kerdphon memberitahu pemberita bahawa pemilik kedai emas, Phisit telah dilatih menggunakan senjata api.


Dia adalah seorang peminat senjata api dan datang ke lapangan menembak bersama isterinya sejak lebih lapan tahun lalu. Sejak itu dia kerap berlatih di sana. Phisit kemudiannya menyertai dan memenangi pertandingan menembak di wilayah Tak.


Peguam terkenal, Decha Kittiwittayanan berkata bahawa Phisit menggunakan senapang patah secara sah kerana penyerang cuba mencuri emasnya dengan mengacukan senjata. Lima tembakan yang dilepaskan oleh Phisit adalah untuk melindungi diri, kata Decha. - Sumber The Thaiger.


Dua daripada empat suspek masih bebas selepas cuba memecah masuk sebuah kedai emas di mana pemilik melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan perompak itu melarikan diri. - Foto Thaiger.