Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan

Selasa, 12 April 2022

Pengantin wanita rugi RM135,444 ditipu bakal suami yang lari sebelum akad nikah

Pengantin wanita rugi RM135,444 ditipu bakal suami yang lari sebelum akad nikah

Foto Kompas.com

JAWA TENGAH - Seorang lelaki berasal dari Semarang diberkas pihak polis selepas menipu bakal calon isterinya sendiri sebanyak 461 juta rupiah (RM135,444).


Menurut lapor Tribunnews pada 8 April 2022, suspek juga melarikan diri sebelum akad nikah berlangsung, walaupun kad jemputan sudah diedarkan kepada tetamu.


Pelaku ialah Mulyani Sanjoyo, 43, dan mangsa, TH, 34, berasal dari bandar Magelang. Difahamkan, pasangan itu mula berkenalan menerusi aplikasi Tinder sejak Jun 2018.


Komunikasi mereka semakin rancak dengan berbual sesama sendiri selepas bertukar nombor Whatsapp. Hingga akhirnya memutuskan untuk bertemu di sebuah hotel di Semarang.


Selepas sebulan menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih, lelaki itu memberitahu mangsa dia tidak berselera makan kerana sering dikejar pemungut hutang.


Lelaki itu malah memberitahu ibunya sedang sakit dan tidak mampu meneruskan rawatan kerana tidak mempunyai wang mencukupi bagi menjalani pembedahan. Mangsa kemudian menyerahkan sejumlah wang kepada suspek.


Ketua Polis Bandar Magelang, Yolanda Evallyn Sebayang berkata, suspek kemudian berkunjung ke rumah mangsa untuk berjumpa kedua-dua orang tua wanita itu. Jelasnya, suspek kononnya berniat serius untuk mengahwini anaknya.


"Sebulan selepas itu, lelaki itu mengadu keretanya mengalami kemalangan dan meminjam wang daripada wanita itu. Mangsa kemudian mahu suspek berjanji untuk mengahwininya selepas kereta tersebut siap dibaiki.


Beberapa bulan selepas itu, suspek meminta wanita itu melakukan persiapan perkahwinan termasuk menyediakan kad jemputan, maka dipersetujui 7 Mac 2020 sebagai hari perkahwinan," katanya.


Mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu. Polis menyiasat laporan itu dan akhirnya menangkap pelaku pada Rabu, 23 Mac 2022, di sebuah bilik hotel di kawasan Sragen. - Sumber Tribunnews.

Sabtu, 9 April 2022

Pesawat DHL mengalami masalah hidraulik terputus dua selepas tergelincir ketika pendaratan kecemasan

Pesawat DHL mengalami masalah hidraulik terputus dua selepas tergelincir ketika pendaratan kecemasan


Sebuah pesawat kargo Boeing 757-200 yang dikendalikan oleh DHL, terputus dua selepas tergelincir dari landasan ketika melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria di Costa Rica, laporan akhbar Daily Mail pada 8 April 2022.


Penerbangan D07216 itu terbang dari San Jose ke Bandar Guatemala, pada Khamis (7 April), namun terpaksa berpatah balik kira-kira sejam selepas berlepas dan mendarat semula di Lapangan Terbang Juan Santamaria sekitar 10.30 pagi (waktu tempatan).


Semasa mendarat, pesawat berusia 22 tahun itu terbabas sebelum membelok tajam ke arah kanan. Kepulan asap keluar dari bawah tayar sebelum kapal terbang itu berhenti di kawasan tidak rata dengan percikan api keluar pada hujung ekornya.


Krunya hilang kawalan ke atas pesawat DHL tersebut semasa pendaratan cemas selepas kedua-dua topang gear runtuh. Topang gear adalah mekanisme yang menanggung beban pendaratan.



Rakaman video menunjukkan sebahagian badan pesawat terputus, manakala jentera bomba pantas menyembur buih pencegah kebakaran ke atasnya. Dua anak kapal yang berada dalam pesawat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.


Pengedali lapangan terbang tersebut, Aeris menyatakan insiden itu berlaku pukul 10 pagi waktu tempatan dan selepas kerja pembersihan dilakukan, lapangan terbang tersebut dibuka semula pukul 3.30 petang.


Jelasnya, kira-kira 8,500 penumpang dan 57 penerbangan kargo terjejas akibat penutupan sementara lapangan terbang terbabit.


Menurut Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Costa Rica, Luis Miranda Munoz, pesawat itu dijadualkan terbang ke Guatemala apabila mengalami kegagalan sistem hidraulik. Sehubungan itu, juruterbang meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan sejurus berlepas.


Keadaan pesawat kargo DHL yang terbabas ketika melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang San Jose, Khamis lalu. - Foto Twitter.

Jumaat, 25 Mac 2022

Suami isteri didakwa bunuh anak mereka dengan membiarkan menjadi gemuk

Suami isteri didakwa bunuh anak mereka dengan membiarkan menjadi gemuk


Sepasang suami isteri yang didakwa membunuh anak perempuan mereka berusia 16 tahun dengan membiarkannya menjadi obes. Mereka dihadapkan ke Mahkamah di Britain, semalam, lapor akhbar Daily Mail pada 22 Mac 2022.


Kaylea Titford disahkan meninggal dunia oleh paramedik pada 8.12 pagi pada 10 Oktober 2020, di rumahnya yang terletak di daerah Powys, Wales.


Bapanya, Alun Titford, 44, dan ibunya, Sarah Lloyd-Jones, 39, dituduh gagal memastikan 'keperluan' Kaylea dipenuhi yang membawa kepada masalah obesiti yang teruk.


Mereka juga didakwa gagal memastikan Kaylea mendapat senaman yang mencukupi dan berada dalam keadaan bersih selain tidak mendapatkan bantuan perubatan yang munasabah.


Pasangan itu hadir ke Mahkamah Majistret Welshpool pada 21 Mac 2022, untuk menghadapi pertuduhan yang didakwa membunuh dengan kecuaian dan menyebabkan kematian seorang anak atau individu terdedah.


Pendakwa Raya, Helen Tench meminta kedua-dua defendan untuk kekal dengan jaminan bersyarat dan tidak berhubung dengan sesiapa di bawah umur 18 tahun. Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Diraja Mould pada 14 April 2022.


Menurut pegawai penyiasat, walaupun punca kematian disebabkan keradangan dan jangkitan di kawasan ulser kerana obesiti, namun keadaan yang menyebabkan kematian Kaylea sedang disiasat oleh Polis Dyfed-Powys.


"Oleh itu penyiasatan itu memberi saya alasan untuk mengesyaki bahawa kematian Kaylea mungkin luar biasa, kerana punca kematian semulajadi mungkin dianggap tidak wajar di mana terdapat penglibatan atau sumbangan manusia yang bersalah kepada kematian itu," jelasnya.


Pasangan suami isteri itu didakwa gagal memastikan anak mereka, Kaylea mendapat senaman yang mencukupi. - Foto WNS.

Sabtu, 5 Mac 2022

Kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah akhirnya karam

Kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah akhirnya karam


Sebuah kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah dan terbakar lebih seminggu lalu akhirnya karam di tengah lautan Atlantik, lapor akhbar Daily Mail, semalam.


Menurut tentera laut Portugal, Felicity Ace yang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat (AS), karam kira-kira 402.3 kilometer (km) dari Kepulauan Azores di Portugal ketika ia ditunda.


Lapor Daily Mail, Pengurus Felicity Ace memaklumkan kapal sepanjang 198.12 meter itu berada pada kedudukan sisi kanan sebelum karam. Menurut Tentera Laut Portugal, kejadian itu berlaku di luar perairan negaranya.


Sebelum ini, sebuah helikopter milik Tentera Udara Portugal berjaya memindahkan 22 anak kapal ketika kebakaran berlaku yang menyebabkan kapal itu hanyut - ia terbakar sejak minggu lalu, di tengah Lautan Atlantik.



Bot tunda yang membawa peralatan pemadam api berusaha memadamkan kebakaran pada kapal tersebut, namun berdepan kesukaran susulan angin kencang dan laut bergelora.


Felicity Ace mampu membawa muatan kargo melebihi 17,000 metrik tan dan kebiasaannya digunakan untuk mengangkut ribuan kenderaan.


Bloomberg yang memetik sumber Volkswagen di AS melaporkan, kapal itu membawa sebanyak 3,965 kenderaan keluaran syarikat tersebut, selain Porsche, Audi dan Lamborghini.


Portal The Drive pula memaklumkan, Felicity Ace turut membawa 189 kenderaan keluaran Bentley yang dianggarkan bernilai AS$30 juta (RM126 juta). Kumpulan Volkswagen dalam satu kenyataan memberitahu, kapal tersebut dalam perjalanan ke AS.


Felicity Ace karam kira-kira 402.3 kilometer (km) dari Kepulauan Azores di Portugal. - Foto tentera laut Portugal.

Khamis, 17 Februari 2022

Bekas ratu cantik jadi pemandu treler 44 tan

Bekas ratu cantik jadi pemandu treler 44 tan


Seorang model dan bekas finalis pertandingan ratu cantik Miss England 2018, menukar haluan kerjaya apabila menyertai latihan sebagai pemandu kenderaan barangan berat (HGV), lapor akhbar Daily Mail pada 13 Februari 2022.


Milly Everatt, 22, dari Eastoft, Lincolnshire, mengambil keputusan itu berikutan krisis kekurangan pemandu lori yang berlaku di United Kingdom (UK), tambahan pula, pekerjaan tersebut menawarkan gaji lumayan.


Everatt yang juga anak petani bekerja keras ke arah mencipta kerjaya baharu, untuk menangkis streotaip dalam industri tradisional yang didominasi oleh golongan lelaki.


Dia ketika ini berlatih untuk kategori lesen pemandu kenderaan barangan berat (HGV) kelas 1 dan 2, yang mungkin menyaksikan model berusia 22 tahun itu bakal memandu lori membawa muatan seberat 44 tan.


"Saya fikir kita berada di zaman moden dan tiada apa yang boleh menghalang gadis seperti saya terlibat dalam dunia yang didominasi lelaki.



"Ia bukan norma tetapi ia sepatutnya. Ia juga sesuatu yang tidak difikirkan oleh orang ramai, ia tidak cukup difikirkan dalam feminisme.


"Saya mengenali beberapa anak perempuan petani yang tidak melakukan apa-apa untuk membantu ibu bapa mereka bertani. Pertanian telah dilupakan oleh feminisme.


"Saya mahu membuktikan bukan hanya lelaki berusia 40-an yang mampu melakukan kerja ini dan jika ia memberi inspirasi kepada wanita lain untuk melakukan perkara yang sama," kata Everatt.


Meskipun berjaya di pentas peragaan, mendapatkan lesen HGV sentiasa berada dalam senarai perkara yang perlu dilakukan oleh Milly.


"Saya sepatutnya melakukannya pada usia 18 tahun tetapi penularan wabak Covid-19 berlaku jadi saya menangguhkannya.


"Kekurangan pemandu HGV pada tahun lepas benar-benar mendorong saya untuk mendapatkannya semula," jelasnya.


Milly Everatt dari Eastoft, Lincolnshire, telah dinobatkan sebagai Miss Charity pada 2018.
 
Everatt mahu menghapuskan stereotaip bahawa hanya lelaki 40-an sahaja yang boleh memandu HGV.

Khamis, 3 Februari 2022

Wanita roboh rumah setelah bercerai dengan bekas suami kerana ada isteri baharu

Wanita roboh rumah setelah bercerai dengan bekas suami kerana ada isteri baharu


Seorang isteri di Desa Gedungbanteng, Daerah Sukorejo, Ponorogo, dalam wilayah Jawa Timur nekad merobohkan rumah miliknya bersama suami selepas dia diceraikan asbab orang ketiga, lapor laman Berita Jatim pada 3 Februari 2022.


Darmi,40, yang berkahwin dengan suaminya Purwanto,35, pada 2010 lalu mengaku sengaja merobohkan rumah yang dibina pada 2016 itu dengan jentolak kerana berang diceraikan.


"Tanah ini milik orang tua Purwanto, iaitu bekas suami saya tetapi rumah ini kami bina bersama-sama. Sekarang dia sudah ada wanita lain, saya tidak akan benarkan bekas suami dan kekasihnya tinggal di rumah ini. Biar sama-sama tidak memiliki rumah ini, barulah adil," jelas Darmi.


Saat ditanya sama ada dia berasa menyesal merobohkan rumah yang boleh diwarisi oleh anak-anak, Darmi pantas menafikannya.


"Saya bina rumah bukan untuk anak-anak tetapi untuk hidup bersama suami hingga ke hari tua. Ternyata, kami berpisah jadi jalan paling senang, robohkan sahaja.


"Saya juga mendermakan semua barang-barang dalam rumah buat mereka yang berminat. Saya tidak mahu wang atau apa pun, cukup rumah ini sudah dirobohkan," katanya ketika ditemui di lokasi tersebut pada 3 Februari 2022.


Menurut Darmi, keputusan merobohkan rumah itu terpaksa dipersetujui bekas suami Purwanto, kerana kos pembinaan rumah tersebut kebanyakannya datang daripada keluarganya.


Untuk makluman, kejadian merobohkan rumah sebelum ini juga berlaku di Ponorogo. Ia berlaku pada Julai 2021, di Desa Carangrejo, Kecamatan Sampung Ponorogo. Sebab perobohan pun sama, sebab tuan punya rumah dah bercerai.


Keadaan rumah Darmi yang musnah selepas dirobohkan wanita itu sebaik diceraikan suaminya. - Foto Berita Jatim.

Isnin, 31 Januari 2022

Ketam merah gergasi yang boleh membesar sehingga 6 kaki muncul di perairan Britain

Ketam merah gergasi yang boleh membesar sehingga 6 kaki muncul di perairan Britain


Spesies ketam merah gergasi dari Rusia dilaporkan mula membiak dengan banyak di perairan Britain, yang bukan sahaja menyebabkan kegembiraan, malah ketakutan dalam kalangan nelayan, lapor akhbar The Sun UK pada 28 Januari 2022.


Haiwan laut yang boleh membesar sehingga lebar 1.83 meter dan berat 12.7 kilogram itu dilaporkan muncul di luar pantai daerah Yorkshire.


Nelayan-nelayan teruja dengan kehadiran haiwan yang terkenal dalam kalangan tukang masak itu, namun khuatir spesies tersebut akan memakan semua kerang dan ketam coklat yang menjadi penghuni asal ekosistem kawasan itu. 


Spesies ketam dengan cengkerang atasnya yang keras itu sebenarnya berasal dari Amerika Utara. Saintis-saintis memperkenalkan spesies tersebut di Rusia pada tahun 1960-an yang seterusnya berkembang di Laut Artik.


Tidak lama kemudian, spesies itu berkembang ke Norway dan mencetuskan satu lagi ledakan bagi aktiviti memancing. Kini, spesies itu mula berada di perairan Britain yang belum pernah ditemui dalam jumlah yang begitu besar sebelum ini.



Seorang pembekal ikan, Shaun Henderson memaklumkan bahawa salah seorang nelayannya berjaya menangkap sebanyak 40 ekor ketam merah gergasi di perairan Yorkshire.


Shaun yang merupakan pembekal kepada 80 buah restoran berkata, keluarganya telah memancing selama dua generasi tetapi tiada seorang pun yang pernah menangkap ketam merah gergasi sebelum ini.


Walaupun Shaun teruja dengan tangkapan baru itu, katanya, dia juga 'berwaspada' kerana spesies itu kelihatan invasif - memakan kerang dan ketam perang yang membuatkan dia bimbang tentang makanan laut yang berasal dari Britain.


Beliau berkata, walaupun hasil dari tangkapan ketam gergasi telah menghasilkan banyak wang kepada nelayan di Norway, tetapi pada masa yang sama telah mengurangkan populasi makhluk laut lain.


Will Murray, ketua chef di restoran Fallow di St James's Market, tengah London, antara pembeli ketam tersebut turut mengatakan dia mempunyai 'perasaan bercampur baur' tentang 'kedatangan' ketam itu di Britain.


Ketam merah gergasi yang boleh membesar sehingga 1.83 meter itu telah ditangkap di perairan daerah Yorkshire. - Foto Alamy.